Monday, July 2, 2012

Red Velvet dan Coke

Gandingan mantap. ^_^
SEMALAM aku ke Shah Alam Convention Centre (SACC). Bagi sesiapa yang tak tahu tu, di sana sedang berlangsungnya Pesta Buku Selangor 2012. Maklum sahaja, berkerja di syarikat penerbitan buku memestikan aku untuk peduli tentang acara-acara seperti ini (kalau tak kerja di sini pun, aku memang sentiasa peduli dengan acara buku). Huhuhuhu. Tangkapan di SACC boleh tahan walaupun tak sehebat tangkapan di PWTC. Lepas ni kena ikat perutlah aku memandangkan bajet makan dah lebur ke buku. Antara yang menarik sempat aku rembat ialah Perempuan Nan Bercinta, hasil air tangan Faisal Tehrani. Al-kisah tanpa aku sedari, koleksi FT hampir penuh dalam simpanan. Huhuhu.


Apa yang aku nak cerita sebenarnya ialah, dalam melayari kesibukan berpesta buku, aku terduduk semeja dan terberkongsi cerita bersama salah seorang teman buku Bos Kecik. Act, aku ke Shah Alam pun memang bersama Bos Kecik. Sambil bekerja, dia nak jumpa teman bukunya itu. Secara tak langsung, aku pun berjumpalah juga. 


Aku akui, aku mudah skeptis dengan orang yang baru pertama kali aku jumpa. Mula-mula nampak si manis Aira Aliff ni, aku fikir dia adalah tipikal perempuan yang hanya suka bergolek dengan buku-buku cinta (huhuhu, maaf. Aku berjujur). Rupanya sangkaan aku meleset jauh. Semasa sedang menikmati sepotong Red Velvet bersama segelas coke, kami mula buka cerita. Macam-macam cerita. Bermula dengan mengapa buku-buku DBP tersidai di stor, ke mana halatuju buku-buku ALAF 21 (yang menurutnya lebih berfokus kepada penulis yang ada nama sahaja), membawa kepada ketidakstabilan gaya bahasa di dalam buku-buku sesetengah penerbit seperti FIXI dan CREATIVE sehingggalah kepada kualiti buku-buku yang diterbitkan oleh BUKU PRIMA dan FAJAR PAKEER.


Teruja.


Rasanya sudah lama aku tak bergebang bincang sehingga bergegar meja ditepuk oleh gelak tawa kami. Habis cerita buku, Aira tersasul kepada drama tempatan dan artis-artis Malaysia terkini. Kami sama mengumpat tentang bakat vs kontroversi. Entah macam mana, gebang kosong kami sempat melarat hingga ke kancah politik. Tambah bersemangat dan berpeluh-peluh kami mengupas antara lain kebodohan wartawan dan kedangkal-dunguan para artis yang membicarakan tentang Hukum Hudud, terbabas ke isu air di Kelantan sehinggalah tenggelam sekejap dalam arus ISA dan PRU 13.


Sudahnya, kami bersurai dan mengucapkan selamat tinggal dengan perut yang kenyang terisi Red Velvet yang lemak manis, Coke yang bakal meracuni pembuluh darah dan isu-isu semasa yang hangat.


Selamat berjumpa lagi, Cik Aira yang manis. Anda mengujakan petang lemau saya.

No comments:

Post a Comment