Tuesday, January 15, 2013

Sebuah Kematian

Lebih kurang macam ni. Tapi hitam keseluruhan. Takde kuning.

HARI ni aku terasa nak berkongsi tentang satu hal yang aneh, melanda aku lewat beberapa bulan ni, dan kemuncaknya adalah pada dua hari yang lalu. Apakah halnya? Seperti yang beberapa orang maklum, aku telah berhijrah dari Subang ke Ampang. Rasanya masuk bulan ni, masuk 10 bulan aku tinggal di rumah baru di Ampang. 

So?

Apa yang nak aku kongsikan di sini ialah, rumah yang aku duduki sekarang agak aneh. Semua orang tau rasanya, Ampang adalah kawasan yang berbukit-bukit. Jadinya rumah aku pun terletak di celah-celah bukit. Jadi apa yang anehnya?

Sejak tinggal di sini, aku tak adalah mengalami gangguan yang serius. Cuma, yang 'ba... ba... cak' tu adalah. Ada satu ni yang paling klasik, kehadiran seekor burung berwarna hitam dan berekor panjang di dalam bilik air dan dapur rumah. Burung yang sama, dia akan datang 'melawat' kami sekali sebulan.

Kawasan dia berterbangan hanyalah dalam bilik air. Paling-paling pun dia akan masuk dapur. Tak pernah dia masuk ke ruang tamu. Aku seriusnya memang tak tahu kenapa dan apa motif burung hitam tu berada dalam bilik air kami setiap bulan. Apa yang aku tau, kami bertiga tak suka dan tak mengalu-alukan kedatangan dia. Aku memang jenis tak suka binatang yang melompat dan terbang. Aku cepat terkejut.

Nak dijadikan cerita, dua hari yang lepas, masa aku tengah sibuk mencuci baju dalam bilik air bertuah tu, si burung ni datang lagi. Beterbangan atas kepala aku. Tiba-tiba dia masuk ke celah kolah. Tak kelihatan. Aku pun tabahkan hati sudahkan cucian dan terus mandi cepat-cepat. Kebetulan bila aku keluar dari bilik air, housemate aku nak mandi pula. Aku pun bagitahu dia pasal 'tetamu' kami tu. Dia ni berani sikit (pasal dia lagi lama dah berkenalan dengan En. Burung tu). Dia pun kalihlah kolah demi menghalau En. Burung keluar. 

Apa yang jadi?

OMG! En. Burung dah mati! Mati! Aku memang terkejut. Siap housemate aku tu boleh tanya ;

"Akak pukul dia ke?"

Tidak! Takkanlah aku nak buat perbuatan terkutuk tu. Selama ni pun kami halau En. Burung dengan cara melibas-libas manja penyapu ke arahnya. Tak kena dia pun. Memang pelik bila tengok dia tiba-tiba mati macam tu sedangkan baru 10 minit tadi dia beterbangan atas kepala aku. Hmmm... bila aku cerita pada Si Bulat. Mudah saja jawabnya ;

"Baguslah dah mati. Tak adalah dia datang lagi nanti."

Hmm... kadang-kadang bila aku tengok En. Burung yang mati secara tiba-tiba tu, aku terfikir, kematian memang boleh datang bila-bila masa saja. Kebelakangan ni pula, aku banyak menerima khabar kematian dari kenalan. Oh! Aku terkenang kata-kata Ustaz Wan (ustaz jemputan khas untuk sesi rohani di Pekan) ;

"Kita ni dah bersedia ke untuk mati? Sedarkah kita, apabila kita lahir saja ke dunia ni, jambatan ke neraka dah tersedia untuk kita. Jadi, misi kita hidup di dunia ini adalah untuk membina jambatan ke syurga. Terfikirkah kita pada hari ini, dah sampai mana progress kita dalam membina jambatan ke syurga? Usahkan jambatan, entah-entah skru untuk buat jambatan pun belum ada, apatah lagi tiang! Macam mana pulak dengan jambatan ke neraka kita? Sudahkah kita robohnya sedikit demi sedikit ataupun rupa-rupanya kita hari-hari duk upgrade, besarkan, lebarkan dan kukuhkan jambatannya?"

Oh! Dalam tak sedar, kematian semakin menghampiri. Bersediakah kita menghadapi mati sedangkan kematian sentiasa bersedia untuk menghampiri kita?

Nota tangan : Belangsungkawa buat Allahyarham Hafiz Untong (kenalan ASK), Allahyarham Muhammad Adil Hanis (abang teman di MIG) dan Allahyarham Uncle Razali (BOD Pekan) atas pemergian mereka ke rahmatullah. Selamat berangkat ke negeri yang abadi. Al-Fatihah.

Monday, January 7, 2013

Ratu


ALHAMDULILLAH. Tahun baru nampaknya memberikan permulaan yang baik buat aku. Syukur. Hanya itu yang berkali-kali termampu aku lafazkan di jiwa. ALLAH SWT yang berkuasa dan Maha Bijaksana lagi Maha Pengasih. Ini adalah rezeki daripada-NYA. Aku bersyukur.

Ingin tahu?

Insya-ALLAH, nanti sampai masanya, aku akan menguar-uarkan. Kawan-kawan sila doakan aku, ya? ^_^