Tuesday, September 29, 2009

Memanggil Roh Dari Langit...


Memulakan sebuah kehidupan baru setelah sekian lama meninggalkannya merupakan suatu risiko yang mesti dihadapi. Jiwa harus kukuh. Memulakan adalah suatu perkara yang ‘besar’. Pernah dengar kata-kata ini;

“Pengembaraan yang besar bermula dengan satu langkah pertama yang kecil!’

Aku percaya itu. Namun tak dapat aku nafi, aku bukanlah orang yang termasuk dalam golongan yang gemarkan permulaan baru. Aku orang yang agak payah menyesuaikan diri. Lalu, kerana itu aku lebih betah dengan kehidupan yang sudah aku selesa dengannya. Tapi pilihan selalunya jarang bersimpati. Kata-kata yang aku petik dari salah sebuah filem kegemaranku berbunyi begini;

“Anda boleh hidup dalam kehidupan yang anda suka atau anda boleh menyukai kehidupan yang anda hidup…”

Kata-kata itulah yang sedang aku pegang. Tak ada salahnya kembali kepada kehidupan lama anda sebagai sebuah permulaan baru. Cuma canggungnya masih bersisa. Maklum sahaja, semasa hidup sendiri aku bebas mengambil keputusan, bebas ke mana sahaja, bebas...bebas! Namun kini semuanya serba terhad. Berlebih pula dengan kondisi aku yang tidak punya sekeping lesen untuk membawa kenderaan sendiri. Sama ada terperuk, berulang alik ke tempat kerja atau berjalan-jalan tawaf rumah sahaja. Hendak menjenguk cyber cafe pun cukup payah.

Cerita di tempat kerja sama sahaja. Tidak ada apa-apa yang menarik dan istimewa. Biasa... Aku sedang memanggil roh dari langit. Memanggil kekuatan dan semangatku untuk menulis. Pena ini jiwa... dan aku sedang berjuang untuk itu kerana entah kenapa aku merasa semakin jauh darinya... semakin lampus. Otak yang bejat dan terasa berkarat. Aku masih memanggil roh dari langit.... lekaslah melayah turun agar aku bisa terus bernyawa....!

Suatu Sesuatu...!


Pernahkah kau memijak suatu tanah?
Gersang... usang....
Warna-warna melayah menjauh,
Kosong bergentayangan;
Dan kau....
Pernahkah kau berenang di laut tandus?
Hapus... lampus....
Ikan-ikan basah berair mata,
Dan ombak mengalun lara;
Lalu kau....
Pernahkan kau terbang ke bumantara?
Permai... damai....
Para bidadari memetik kecapi;
Dan burung-burung berkicau mengikuti,
Maka kau....
Harus tetap memilih neraka realiti,
Berbanding syurga ilusi..!