Tuesday, September 24, 2013

Penyakit Psikologi


APA perasaan anda jika suatu hari anda ditakdirkan hidup serumah atau sekurang-kurangnya mengenali manusia yang mengalami penyakit psikologi atau mental atau jiwa? Adakah anda boleh menerimanya dengan lapang dada dan tangan terbuka atau anda cuba sedaya-upaya untuk lari daripada manusia-manusia ini?

Apa yang akan anda lakukan?

Ini adalah persoalan yang sukar untuk dijawab sebenarnya. Ya, memang bukan mudah untuk menghadapi manusia-manusia yang mengalami masalah sebegini. Dalam kata ringkasnya, ramai yang lebih senang melabelkan mereka-mereka ini sebagai GILA.

Ya, gila.

Kegilaan ini sebenarnya bermacam-mana. Terlalu suka membaca pun, gila juga. Dikatakan ia gila membaca. Jadi, sejauh mana isu gila ini serius? Aku berikan satu soalan di laman sosial Facebook yang berbunyi begini :

"Ceritanya begini : Pada suatu hari ibu saudara Ali meninggal dunia. Pada majlis pengkebumian itu, Ali terserempak dengan seorang gadis yang jelita. Ali tertarik dengan gadis itu namun malangnya dia tak tahu siapakah gadis tersebut. Esoknya, penduduk kampung gempar apabila mendapati bapa saudara Ali (iaitu suami arwah ibu saudaranya) pula meninggal. Rupanya arwah dibunuh oleh Ali.

Soalan : Mengapakah Ali membunuh bapa saudaranya?"

Biar aku terangkan di sini. Secara normal, kebanyakan orang akan menjawab sama ada gadis itu isteri kedua atau mempunyai hubungan dengan bapa saudara Ali. Tetapi soalan ini mempunyai jawapan kedua. Sesiapa yang memberi jawapan kedua ini selalunya tidak normal (atau lebih mudah dihukum sebagai gila.) Tidak normal yang bagaimana? Orang yang memberi jawapan kedua dikatakan 'Cenderung berpotensi untuk menjadi pembunuh'.

Oke.

Di sinilah saatnya aku menjadi paranoid. Sudah dua minggu aku tak cukup tidur @ tidur tak lena. Hati aku sentiasa berdebar-debar dan aku rasa aku dah jadi paranoid. Biarlah aku berterus-terang. Aku kini sedang berhadapan dengan rakan serumah yang memberi jawapan kedua itu. Aku tak menuduh dia sebagai pengidap penyakit psikologi hanya kerana sebaris soalan. Tidak. Aku tidak secetek itu. Ada beberapa perkara dan siri perbuatan beliau yang mengesahkan ada sesuatu hal yang tidak beres dengan mental atau jiwa beliau.

Aku sebenarnya tak tahu apa yang patut aku lakukan. Buat masa ini aku hanya mampu berdoa supaya beliau akan dapat bertenang sehingga aku berpindah. Janganlah pula kawan-kawan semua menuduh aku berpindah kerana terlalu paranoid dan takut dibunuh. Tidak sampai begitu. Kebetulan aku kini sudah bertukar kerja. Jadi bagus kalau aku mencari rumah baru yang lebih dekat dengan tempat kerja. Ia lebih menjimatkan.

Buat masa ni, paranoid aku cuma setakat pulang lewat ke rumah, berpura-pura riang dan melayannya dan akhir sekali mengunci pintu bilik apabila hendak tidur sahaja. Semoga mimpi ngeri ini akan berakhir selepas aku berpindah. In shaa ALLAH. Amin.

Hati, tabahlah. 

Nota : Gambar di atas di petik dari sini. Terima kaseh.

Tuesday, September 17, 2013

Hilang


KADANG-KADANG dalam hidup ni kita memang tak boleh nak dapat semua benda yang kita nak. Oleh sebab itu, kita kena belajar terima, redha, berdoa dan bertawakal di samping berusaha dengan apa yang kita nak. Betul? Tak kisahlah betul atau tak, yang penting sekurang-kurangnya itu yang aku percaya tentang hidup ni.

Manusia.

Adatlah kalau penuh dengan keterlupaan dan kesilapan. Itu normal. Asalkan jangan mudah putus asa dan jangan bangang sangat sampai mengulang kesilapan yang sama. Itu saja konsep kira-kiranya. Bak kata si Poh (Ikyn'z Zahari);

"Hidup ni jangan banyak sangat fikir. Kalau rasa otak dah tepu, jangan cari manusia lagi untuk mengadu masalah. Cari Tuhan. DIA bagi dugaan kat kita sebab nak kita ingat pada DIA. Pasal kita ni manusia yang memang selalu lupa."

Betul kata Poh. Mungkin masalah terbesar dalam hidup aku ni adalah aku TERLALU banyak sangat berfikir. Otak aku perlukan rehat. Aku sendiri perlukan rehat. Berhenti berfikir dan nikmati sahaja hidup ini seperti mana ia perlu dinikmati. Terlalu banyak berfikir pun takkan menyelesaikan masalah 100%.

Usaha. Doa. Tawakal. Redha. Teruskan hidup.

Itu yang terbaik. Untuk itu aku akan berusaha untuk terus memperbaiki kehidupan. Apa sahaja yang akan berlaku pada masa hadapan, biarkan ia berlaku. Apa yang aku tahu, aku akan terus berusaha memberikan yang terbaik. Semoga esok akan terus berbaik hati. In shaa ALLAH.

ALLAH SWT takkan menguji hamba-NYA lebih dari apa yang termampu ditanggung.

Nota otak kanan : Tempoh hari pertama kali cuba aktiviti memancing. Sebelum ini hanya meneman, kali ini mencuba. Ia seronok, mengujakan dan menenangkan. Di saat aku mencampak mata kail, aku juga mencampak segala masalah yang bersarang di otak. (^_^)