Monday, June 30, 2014

Marhaban Ya Ramadhan


ASSALAMUALAIKUM. Alangkah indahnya Ramadhan. Pada bulan mulia yang menuntut seluruh umat Islam menunaikan Rukun Islam yang ketiga ini, kita semua seakan bersatu hati. Kesabaran dilatih menjadi semakin tinggi, akhlak mulia diusahakan menjadi penghias peribadi dan misi mencari Nur ILAHI semakin menggebu-gebu di dalam diri. Bahkan, segala perkara yang lagho semakin terabai sepi dan segala keburukan diri semakin terusir pergi.

Alhamdulillah.

Tahun ini, sudah masuk tahun yang ke-11 aku meraikan Ramadhan secara berdikari. Jauh daripada ayah, bonda dan keluarga yang tercinta. Namun aku tetap bersyukur kerana setiap tahun, paling tidak akan ada sehari dua yang berjaya aku lapangkan untuk pulang ke kampung halaman dan menikmati Ramadhan bersama mereka. Syukur kepada RABUL'ALAMIN yang sentiasa memakbulkan hasratku untuk bersama keluarga pada bulan yang istimewa ini.

Ada kesederhanaan yang datang bersama Ramadhan. Kita terdorong untuk berasa rendah hati, dan semakin dekat dengan rahmat Sang Pencipta. Perut yang kosong mengingatkan kita pada kesusahan orang lain. Tekak yang haus membuatkan kita terkenangkan kepanasan di Padang Masyar kelak. Namun begitu untuk seorang aku, apabila berpuasa, aku memang akan serta-merta menjadi 'perlahan'. Kurang bercakap, kurang ketawa, lebih tenang dan kurang berasa marah.

Alhamdulillah.

Apa yang cukup aku kesalkan ialah media hiburan masa kini. Di dalam Ramadhan begini pun, tak habis-habisnya menghidangkan umat dengan perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan agama. Memang betul, kita tidak sepatutnya menjadi hipokrit. Baik semasa berpuasa, dan menyetan apabila tidak. Ada suara-suara sumbang yang selalu mengatakan begini;

"Buat apa nak jadi plastik? Masa bulan puasa, pakai tudung, mengaji al-Quran, tengok rancangan agama. Tapi bulan-bulan lain? Dedah aurat, al-Quran hanya jadi perhiasan almari dan rancangan hiburan jadi tontonan 24 jam!"

Betullah tu. Memang dedah aurat tu HARAM pada sepanjang tahun, dan bukannya pada bulan Ramadhan sahaja. Memanglah membaca al-Quran itu sepatutnya jadi amalan harian. Tetapi sedarkah kamu yang melakukan sedikit itu lebih baik daripada tidak melakukannya langsung? Tidak bernanahkah mata kamu melihat orang yang mengaku beragama Islam sedang memakai baju T tanpa lengan, skirt pendek dan gaun sendat pada bulan yang penuh dengan kemuliaan ini? 

Alangkah anehnya melihat rancangan hiburan yang terpekik terlolong, mengumpat dan memfitnah selebriti di sana-sini dan kemudian mengucapkan 'selamat berpuasa' dan semoga dapat mencari kebaikkan di dalam berpuasa. Alangkah canggungnya pula apabila kita melihat orang yang sedang menyeru supaya umat Islam mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan melipat-gandakan amal ibadah serta memperbaiki kekurangan iman diri tetapi dalam masa yang sama memakai kebaya sendat yang berkain jarang dengan rambut yang mayang mengurai.

Benar ada kata-kata yang mengatakan begini, "Jangan lihat siapa yang berbicara, tetapi lihat apa yang dibicarakannya." Tetapi eloklah kalau aku perturunkan pula kata-kata Imam Ibnu Sirin yang berbunyi ;

"Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka hendaklah kalian melihat dari siapa kalian mengambil agama kalian." 
(Muqaddimah Sahih Muslim)

Aku sedar yang aku sendiri masih jauh daripada kesempurnaan menjadi seorang muslimah. Ada bahagian aurat yang masih cuai ditutup dengan sempurna. Ada ibadat yang masih lompang di sana-sini. Ada juga sikap dan percakapan yang masih tidak terjaga dengan baik. Oleh sebab itulah, aku suka untuk menyeru semua muslimin dan muslimat sekalian, marilah kita sama-sama terus berusaha memperbaiki kelemahan diri. Melakukan kesilapan itu wajar, kerana kita hanya manusia biasa yang tidak maksum. Ruang khilaf sentiasa ada. Biarpun begitu, terus melakukan kesilapan dan berasakan kesilapan itu hanya hal yang kecil adalah SALAH dan TIDAK WAJAR.

Demi Ramadhan yang sedang memeluk kita dengan erat, ambillah sebanyak mungkin kesempatan untuk terus mendekatkan diri dengan ALLAH SWT. Saratkanlah jiwa hamba kita ini dengan cinta kepada ALLAH SWT dan Rasul. Demi ALLAH SWT yang sentiasa bersifat MAHA PENGASIH dan MAHA PEMURAH dengan sekalian hamba-NYA, marilah kita bersujud dan memohon keampunan untuk semua kekhilafan yang pernah kita lakukan. Dosa kecil, dosa besar, dosa tersembunyi, dosa terang-terangan, dosa yang sengaja dan tidak sengaja yang kita lakukan semoga akan mendapat keampunan-NYA. Sujudlah, berdoalah... kita selamanya hidup berTuhan.

Kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna,
agar dapat kulalui dengan sempurna....

Nota tangan kanan : Salam rindu yang menggebu-gebu pada ayah bonda dan adinda-adinda tercinta yang sedang menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah. Semoga beroleh rahmat nikmat beribadat dan semoga selamat pulang ke tanah air. Amin.