Tuesday, October 30, 2012

Pembunuhan Aksara [File 002]


AKU dan Epool sampai ke kedai hardware dalam tengahari. Panas makin menyucuk tempurung kepala aku. Aku suruh Epool masuk dan beli apa yang dia nak. Malas aku nak ikut. Tanpa banyak soal, dia pergi dan kembali selepas 15 minit. Aku senyum-senyum tengok apa yang dia beli. Dia pun senyum-senyum jugak. Dia start kereta dan teruskan perjalanan.

Sampai kat tempat yang dijanjikan, Epool berhenti. Dari dalam perut kereta, kami terus memerhatikan shop lot yang terletak di seberang jalan. Menunggu. Dah seminggu aku perhatikan. Mamat tu selalu parking kereta dia tepi lorong. Punyalah bodoh. Tak tahu ke lorong tu bukan tempat parking? Tapi tulah rakyat Malaysia. Memang penuh dengan kebodohan. Parking tepi jalan, sampai jalan semua jem. Parking kat lorong, double parking plus tarik hand brake (memang babi perangai nih), tak bagi signal dan 1001 peel yang sangat menunjukkan spesies homo-sapiens ini memang sebenarnya kurang berakal. Isy, amende yang aku dok membebel nih? Kembali kat mamat tadi. Dia akan keluar dalam pukul 1.00. Lunch. Biasalah. Kalau time melantak, semua orang laju je. Eh?! Sentap plak tetiba.

Epool cuit bahu aku. Sepantas itu, anak mata aku mengekori arah yang ditunjukkan oleh jari telunjuknya yang lurus menunak ke hadapan. Mamat gemuk yang sudah lewat 40-an tu kelihatan terkedek-kedek keluar dari kedai menuju ke arah keretanya yang diparking di tepi lorong tadi. Epool bagi isyarat. Aku angguk. Seperti ninja, dalam sekelip mata kami berdua beraksi bersama kloroform, lalu si gemuk sudah berada di dalam but Proton Saga hijau milik Epool. Aku senyum-senyum lagi. Bayangan kepuasan sudah hampir menjelma dalam kepala hotak aku.

* * *

Aku menyusun gunting, cleaver, gergaji, playar, tukul dan kegemaran si Kevin iaitu skrewdriver di atas meja dengan elok. Penyakit. Aku memang suka tengok semua benda kemas dan tersusun. Sangat menjengkelkan sebenarnya tapi nak buat macam mana. Mata aku selalu sakit bila tengok sepah. Ceh, macam bagus! Aku angkat muka, pandang keliling. Si gemuk masih 'lena', terikat elok di atas kerusi. Ala, kerusi yang macam kat klinik gigi tu. Kitorang rembat masa Epool buat part time kat klinik gigi Bangsar. Tujuannya nak naikkan mood. Nak bagi ada feel bila kitorang buat 'aktiviti'. Hahaha.

Epool tak kelihatan. Dia memang macam tu. Dia takkan join sekali buat aktiviti. Dia cuma sukakan perasaan jadi CSI dan ninja saja. Maksud? Takpe, nanti korang akan faham sendiri. Aku raba poket, keluarkan kotak Sampoerna hijau yang dah hampir lunyai dan lighter cricket warna merah. Kadang-kadang aku rasa kelakar. Masa kerja 7E dulu, ramai customer yang cuma nak lighter cricket. Kalau lighter Aladdin, tak nak. Alasannya susah nak ejas. Apa gila! Tu pun susah ke? Sambil menunggu Kevin, Siti dan Farrah datang, aku nyalakan sebatang Sampoerna dan menghisap-hembusnya rakus.

"N! Woi, giler!"

Tanpa memandang aku dah cam tu suara Kevin. Sial! Datang-datang je nak memekak. Kevin dah tersengih-sengih macam gampang. Tak sabar sangatlah tu. Di antara kitorang, Kevin memang yang paling bernafsu. Farrah paling tenang dan Siti adalah yang paling ganas. Kalau dia dah beraksi, aku pun naik gerun. Aku? Aku orang seni. Aku suka bikin karya. Tapi hari ini bukan harinya untuk aku berkarya. Si gemuk ni terlalu keterlaluan. Jadi dia cuma layak jadi 'permainan' Kevin, Farrah dan Siti. Bukan aku. Hari ini aku cuma ingin jadi penonton.

"Jom! Aku dah tak sabar nih!"

Bayangan setan mula muncul di muka Kevin. Aku dah faham sangat. Si Kevin ni bukan boleh tengok lauk lama-lama. Mulalah naik gila. Aku angguk, bagi izin. Kevin menyeringai macam puaka. Dia berpaling, menapak menghampiri si gemuk yang mula menunjukkan reaksi sedarkan diri.

"Dasar jantan rakus!"

Farrah meludah. Dia memang lebih suka sabar dan menikmati acara dengan perlahan-lahan. Penuh dengan keasyikan. Aku hidupkan lappy. Mainkan lagu kegemaran aku, 'Bye Bye, Blackbird' dendangan Peggy Lee. Siapa peduli kalau lagu ciptaan Ray Henderson dan lirik oleh Mort Dixon itu kali pertamanya diputarkan pada tahun 1926? Aku suka, suka hati akulah. Lagu-lagu tahun 2012 ini kebanyakkannya crap. Langsung takde soul. Takde jiwa! Suara Peggy sedang bergentayangan memenuhi ruang bilik. Sama seperti nafsu Kevin. Sedang bergentayangan dalam benak dia.

Where somebody waits for me
Sugar is sweet, so is he
Bye bye, blackbird...

Ketika inilah Kevin merunjam skrewdriver ke peha si gemuk. Tanpa bertangguh, jeritan mula kedengaran! Kevin memulas-mulas skrewdriver yang sedang terbenam di dalam daging, menyebabkan lemak dan urat saraf turut sama memulas-mulas. Menghasilkan sensasi rasa sakit yang melampau untuk si gemuk dan rasa nikmat yang menggebu-gebu untuk Kevin. Si gemuk menggelupur namun Epool dah pastikan ikatannya cukup kemas. Kevin kemudiannya mencabut pemutar skru itu keluar, sekasar mungkin. Darah terpancut deras ke muka.

"Argggghhhhhh...!!!"

Monday, October 29, 2012

Selamat Ulangtahun

Aku ada kerana kau ada. Terima kasih.
INI merupakan sebuah entri ringkas yang penuh dengan kasih sayang. Selamat ulangtahun kelahiran yang ke-56, ayahku, Shamsudin Ismail. Terima kasih kerana menjadi ayah yang penuh dengan kasih sayang walaupun garang. Huhuhu. ^_^

p/s : Hari lahir ayah semalam, 29 Oktober. ^_^ Semalam juga genab setahun abangku, Allahyarham Shahrul Anuar Ibrahim kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah. Semoga rohnya aman dan berbahagia di alam sana. Amin.
Sentiasa dalam kenangan dan ingatan. Al-Fatihah.

Sunday, October 28, 2012

Maka Berkatalah Si Kata-Kata...


ALHAMDULILLAH. Seketika tadi Kak Ct Nazariah telah meng'pm' (ini pun boleh?) aku untuk menyampaikan khabar bahawa cerpen aku 'Jebat, Saat Darahmu Membasahi Taming Sari' telah selamat diterbitkan di dinding Warna Kaseh. Owh... gembira saya! Bagi kawan-kawan yang kita suka dan tak suka yang sudi membaca karya aku yang tidak seberapa ini, silalah klik pada gambar cover merah di bahagian Pena Aku. Huhuhu! Sempat saja promosinya. ;p

Apa yang sebenar-benarnya yang ingin aku sampaikan di sini ialah aku sedang gembira dan terharu dengan sokongan yang diberikan oleh mereka-mereka yang telah membaca karya aku. Walaupun kuantiti mereka yang menyokong ini tidaklah seramai peminat RAM (misalnya~ hahaha), namun cukup untuk membuatkan aku cukup bersemangat! Alhamdulillah dan insyaAllah aku akan terus percaya kepada rasa ingin menulis ini. Ia adalah anugerah Rabb yang penuh dengan kasih-sayang. ALLAH SWT tahu anugerah-NYA inilah yang menjadi nyawa jiwa rasa aku selama ini. Alhamdulillah. Terima kasih, Rabb.

Ini adalah entri yang penuh dengan ucapan terima kasih. Terima kasih kerana memberikan aku semangat. Terima kasih!


Antara ucapan yang sedang menyemarakan jiwa.
(Ehsan warnakaseh)

Monday, October 22, 2012

KL ~ Elegi Tangisan Langit


TANPA aku sedar, masa semakin berlalu dan musim basah telah bertamu kembali. KL sedang dalam kedinginan lewat kebelakangan ini. Aku yang sentiasa gagal menahan rasa dingin telah bermalam-malam tidur dengan memakai stokin. Sejuk. Sesejuk hatiku yang semakin membeku.

Begitukah?

Semasa di PD tempoh hari, salah seorang penceramah motivasi yang cukup handal, bernama En. Azman, ada berkongsi sebuah (?) teori. Begini kurang lebih bunyinya.

"Ada tiga jenis manusia dalam menggelumangi situasi. Pertama, manusia jenis lobak. Kedua, manusia jenis telur. Ketiga, manusia jenis serbuk kopi."

Beliau memberikan air yang sedang mendidih sebagai metafora untuk situasi. Apakah yang akan terjadi apabila lobak, telur dan serbuk kopi di dalam tiga periuk yang berisi air mendidih? Mudah. Lobak akan menjadi empuk, telur akan masak dan air kopi akan terhasil. Betul? Jadi apakah perkaitannya dengan sifat manusia?

Dapat aku perjelaskan satu-satu di sini. Golongan manusia yang pertama iaitu jenis lobak. Lobak secara fiziknya adalah bersifat keras. Namun, apabila dia masuk dan bergelumang dalam situasi yang serba menekan dan memaksa serta tidak menyenangkan, dia akan diempukkan lalu menjadi lembut dan lemah. Hasilnya, dia akan terus diinjak-injak dan diperkudakan. Situasi tidak berubah. Tetap panas dan membara.

Golongan manusia yang kedua adalah jenis telur. Sama. Tapi kali ini psikologi berbalik. Orang yang jiwanya lembut namun terjun ke dalam situasi yang serba tidak mengerti, mencabar dan menyakitkan, dia akan terdidik untuk menjadi keras. Tamsil telur yang cair dan lembut menjadi masak dan keras. Seorang diktator lahir dan dia akan cenderung menyakiti orang lain di sekelilingnya pula. Jiwa besi. Situasi tetap tidak berubah. Terus panas dan membara.

Akhir sekali golongan yang ketiga iaitu jenis serbuk kopi. Golongan ini serba mengerti diri. Tahu apa kemampuan dan kehendak diri. Tegas. Jadi bila dia masuk ke dalam situasi, dia yang akan menangani situasi dan mengubahnya. Lihat serbuk kopi di dalam air panas. Serbuk kopi tetap ada dan tetap hitam. Tetapi dalam masa yang sama air mendidih yang jernih turut berubah ke warna hitam malah menghasilkan aroma kopi yang harum dan rasa yang menyelerakan.

Barangkali aku terletak dalam golongan yang mana? Aku pernah terfikir bahawa aku adalah serbuk kopi. Kerana itulah aku tinggalkan sesuatu (seperti UPMKB dan MIG) supaya aku tidak berubah. Aku masih serbuk kopi yang sama. Cuma masih gagal menghitamkan air didih. Itukah aku? Untuk situasi lain dalam kehidupan pun sama. Aku tidak dipengaruhi oleh kehendak orang. Aku tetap mahukan apa yang aku mahu. 

Tetapi.

Kedinginan dan kebasahan yang ditangiskan oleh langit menyebabkan aku banyak berfikir. Apakah hatiku sudah semakin keras sekarang? Adakah aku sudah berubah menjadi telur? Telur yang sedang perlahan-lahan mengeras di dalam air mendidih. Hurm...

Langit, berhentilah menangis. Aku rindukan hangatnya matahari dan kepanasan yang selalu mendodoikan tidurku saban malam. KL, lenyapkanlah awan mendung dan kabus dingin yang menyelimuti dada langitmu. Aku mahu menikmati keindahan bandaraya ini.

Aku merindui...

Tuesday, October 16, 2012

Hujah Pembelaan

Pandangan yang berbeza. Pengalaman sendiri.
(Ehsan Google)

BILA memperkata tentang bahasa, aku adalah orang yang berasa senang dan bertanggungjawab untuk memperjuangkannya. Huhuhu. Aku paling menyenangi ketegasan Puan Nisah Haron yang bersungguh mahukan bahasa dieja dengan betul dan mengharamkan sistem ejaan SMS. Apatah lagi gaya remaja dewasa ini yang gemar menggunakan bahasa 'Ewww'. Apakah bahasa Ewww? Contoh adalah seperti di bawah.

"Aq sukew diew. Seyes. Tp ta taw diew sukew aq x?"

Atau

"Titew nk tidow da. Gud8!"

Maaf kalau contoh di atas tidak menepati gaya Ewww yang sebenarnya. Aku tak tahu. Tapi lebih kurang macam itulah bunyinya. Hahahaha~ Kadang-kadang aku sendiri ngeri untuk membayangkan bagaimana anak-anak muda ini akan menguasai bahasa Melayu selepas menginjak dewasa. Sungguh ngeri. Bayangkan, cucu aku kelak mungkin akan bercakap begini ;

"Granny, titew ta sukew lorgh. Titew bowink."

Pasti ringanlah tangan aku ni nak singgah ke pipinya. Sedih! Minta dijauhkan. Oleh sebab inilah, aku berfikir dengan sepanjang-panjang pemikiran sebelum memulakan penulisan cerpen bersiri terbaharu aku di blog ini yang memakai judul 'Pembunuhan Aksara'. Aku teringin nak bereksperimentasi dengan gaya sendiri yang sebelum ini terdidik dengan karya yang menggunakan bahasa yang baik. Cerpen ini sungguh tampil berbeza. Bahasa yang digunakan adalah bahasa sehari-hari yang bercampur-baur (atau pasar). 

Aku bukan sekadar suka-suka. Tapi nak kata ada agenda tersembunyi di sebalik penulisan begini pun tak juga. Jadi apa sebenarnya yang cuba aku buktikan melalui 'Pembunuhan Aksara' ini? Huhuhu~ tak lain tak bukan, adalah pendekatan. Aku sedar, tak ramai orang di luar sana yang benar-benar rajin untuk menelaah karya yang bagus, menggunakan bahasa yang tersusun dan tinggi (Pn. Ainon PTS) mahupun bersifat sastera. Tidaklah pula aku setuju dengan agenda untuk melacurkan bahasa semata-mata untuk menarik golongan ini supaya membaca. Apalah gunanya menghidangkan makanan segera kepada pengidap obesiti semata-mata untuk melariskan makanan tersebut? Benarkan?

Aku sebenarnya ingin mencuba sisi yang lain. Itu yang sebenar-benarnya. Genre slasher adalah subgenre yang selalunya jarang didekati oleh penulis. Malah, ada yang gemar melabel penulis seperti ini sebagai psiko atau ada sesuatu yang sedang rosak dalam jiwa mereka. Satu sifat yang selalunya segar dalam masyarakat pada hari ini ialah cenderung untuk menolak sesuatu yang tidak sehaluan dengan mereka. Orang-orang yang terasing jiwanya akan selalunya terus diasingkan. Aku terkenang sebuah filem yang diperankan oleh Depp berjudul 'Chocolat'. Mengisahkan dua beranak yang membuka sebuah kedai menjual aneka juadah coklat (coklat dikatakan godaan yang bersifat dosa) dan enggan ke gereja pada setiap Ahad. Mereka dimusuhi oleh seisi pekan atas hasutan dari Ketua Bandar. Hanya kerana idea mereka berbeza, mereka dipandang seperti makhluk asing yang perlu dihalau (atau dihapuskan) demi mengekalkan kesejahteraan yang sedia ada. Alangkah anehnya idea ini.

Aku selalu percaya, yang aneh dan berbeza itulah yang selalunya membawa sensasi yang menyegarkan. Jiwa akan berasa terkurung dan lemau sekiranya kita terus berpaksi pada suatu hal yang sama untuk satu tempoh yang lama. Orang-orang selalu mahukan pemikiran yang di luar kotak. Tapi secara jujur, aku melihat masyarakat sebenarnya jarang boleh menerima idea yang di luar kotak ini. 

Aku terkenang lagi seorang teman lama yang aku pernah kenali semasa di akedemi dulu. Ayam. Aku rasa ramai yang kenal dia ni. Aku tak fikir orang-orang biasa dalam masyarakat boleh menerima manusia seperti Fared Ayam ini di kalangan mereka. Ada betulnya kata Ayam ;

"Kita yang menentukan komersial. Kalau kita berani ke depankan idea kita dan bertahan, ia mungkin boleh jadi komersial dan akhirnya diterima oleh khalayak."

Malangnya, dalam dunia hari ini, orang-orang lebih senang mewarisi dan meneruskan kebiasaan. Perkara yang luar biasa dianggap tak munasabah, perlu dihentikan dan gila. Menyebabkan tak ramai yang berani bertegas dengan pendirian dan membebaskan diri seperti yang dilakukan oleh si Ayam ini. Aku tak kata dengan hanya berkelakuan pelik, berpakaian cara berbeza dan bercakap dengan hal-hal yang sukar difahami saja adalah bukti kalian boleh membebaskan diri. Interpretasi dan apresiasi setiap orang adalah berbeza-beza. Kerana itulah idea bersifat subjektif. 

Maka, dengan subjektifnya sesebuah karya itu, maka aku hasilkan 'Pembunuhan Aksara'.

I rest my case.

Wednesday, October 10, 2012

Pembunuhan Aksara [File 001]


SIAL!

Tiga empat kali aku tengok jam yang melingkari pergelangan tanganku. Setiap jarum minit berubah kedudukan, setiap kali itulah aku mendamprat. Memang celaka diorang ni! Kalau berjanji memang payah nak tepati. Aku garu kepala, garu ketiak, kemudian cium baunya. Ceh! Bau deodorant rupanya dah tamat tempoh. Aku lap tangan pada seluar jeans lusuh kegemaran yang sedang aku pakai.

Dari jauh, aku nampak si gemuk Epool tengah berjalan dengan begitu tenang. Celaka betul mamat ni. Dah lambat macam gini pun dia masih boleh melenggang kangkung. Adakah aku ini Statue of Liberty? Tak guna! Tapi bila aku ingat-ingatkan balik, si Epool ni memang sentiasa tenang. Cool saja. Tak menggelabah puyuh macam aku. Masa kitorang secara tak sengaja telah meletupkan kereta si sotong lembik budak tari dulu pun, dia tetap cool. Padahal rancangan awalnya hanyalah nak putuskan wayar brek saja. Biar si sotong tu mampus! Rasakan. Mulut macam p*ki! Suka-suka hati suruh aku diet dan bersenam. Biar nampak hot macam dia. Ceh, hot tak ingat dunia pun kalau sotong tu, sotong jugak!

Aku punyalah menggelabah. Takut kena tangkap. Pengajian aku ada dua tahun lagi. Nak buat macam mana. Aku jenis yang tak tahan tekanan. Tak boleh buat diploma tiga tahun. Mesti empat! Baru boleh rileks. Tiba-tiba plan tak menjadi pulak. Mana aku tak gelabah? Aku tak nak kena buang dari kolej. Sudahnya Epool tarik tangan aku. Dia menjerit minta budak-budak asrama bawa turun pemadam kebakaran. Akhirnya, semua orang percaya bahawa aku dan Epool hanyalah si malang yang kebetulan lalu di situ dan bernasib baik kerana tak mampus dalam letupan yang dahsyat tu.

"Bodoh punya gemuk! Dah turun sekilo berat aku ni menunggu kau!"

Epool hanya tersenyum menerima buah maki aku. Dia duduk. Matanya melilau pandang keliling. Mungkin pelik sebab tak nampak Farrah dan Kevin. Macam yang sepatutnya. Siti lagilah, haram tak nampak batang hidung!

"Diorang takde! Ada kelas."

"Lor, then plan kita ni jadi ke tidak?"

"Jadi! Kita gerak dulu. 'Jemput' mamat tu dulu. Bawak kat port macam biasa."

Epool angguk-angguk. Itu tandanya dia faham. Aku tahu. Dia bangun, aku pun ikut bangun. Kami sama-sama menuju ke arah Proton Saga hijaunya. Kereta buruk. Tapi cool macam dia jugak. Hahaha. Bodoh je aku rasa bila cakap macam ni. Entahlah. Dalam ramai-ramai kawan, aku rasa Epool ni paling best. Kepala hotak dia lain dari yang lain. Aku suka sembang dengan dia sebab dia tahu banyak benda. Setiap kali bersembang, aku terasa dunia ni luas betul. Dan muzik bukan sekadar di pentas AF. Ceh! Artis mi segera. Langsung takde khasiat, mendatangkan penyakit dan penyumbang kepada lemak! 

Masa aku buka pintu kereta, Epool pandang tepat ke muka aku.

"Kita kena beli gergaji baru."

Aku angguk. Dia sengih dan terus masuk ke perut kereta. Enjin Proton Saga berenjut dan bergetar bila Epool mula menghidupkannya. Ceh, kereta tua! Tapi tak apa, kereta tua pun tetap aku suka naik. 

"Kita singgah hardware!"

Friday, October 5, 2012

Dandelion [Finale]


PAGI itu terlalu cerah. Sinar sang mentari memancar dengan terlalu terang sehinggakan berjaya membangkitkan Wulan dari kamar peraduannya. Berasa silau, dia lekas bangun dengan palma tangan yang menutup bahagian mata lalu menarik tirai menutupi jendela. Ah, baru terasa nyaman.

Wulan menghela nafas.

Anak matanya menangkap pandangan keliling. Oh, rupanya dia masih di bilik peraduan. Seketika, Wulan seakan lupa akan apa yang sedang berlaku di seputarnya. Hanya tatkala Nyx melangkah masuk, membawakan sarapan yang lazat terhidang di atas dulang, baharulah segala ingatan menerjah masuk kembali ke benaknya. Lengan Nyx diraih kasar. Nyaris terlepas isi dulang. Nyx menggeleng perlahan.

"Tenang, puteriku..."

Begitu pujuk Nyx. Wulan nyaris rebah. Sudah pagi rupanya. Sudah sampai masa rupanya. Sudah tiba detik dan ketikanya. Sudah...

"Ayuh, duduk. Tuanku seakan sudah kehilangan separuh nyawa dari badan..."

Dulang sudah elok terletak di hujung birai katil. Nyx segera memimpin Wulan untuk turut melabuhkan punggung di katil. Wulan menurut dalam palma tangan yang masih menggenggam dada. Dia ternyata sedang mencari kekuatan. Nyx langsung digigit simpati. Dia sesungguhnya mengerti.

"Nyawaku sudah melayah terbang ke langit, Nyx. Menjadikan aku sebagai jasad yang tidak lagi berdaya..."

Nyx memilih untuk enggan mendengar. Dia mencapai bubur yang sudah disediakan seawal pagi. Dia sendiri yang mengadunnya. Resepi istimewa warisan leluhurnya yang sudah berusia lebih ratusan tahun. Bubur itu mengandungi 17 jenis bahan terpilih yang apabila digabungkan, mampu melahirkan suatu sensasi yang membangkitkan semangat. Wulan menggeleng, namun gelengan itu tidak diperdulikan Nyx. Dia terusan menyuap, memaksa, dan menyebabkan Wulan dalam enggan, tetap menelan.

"Kau sentiasa berdaya, puteri. Seorang pencinta harus mempunyai 1000 daya yang kuat. Tidak boleh tidak. Atau kau akan berakhir sebelum bermula. Akan tewas dan mati sebelum waktunya. Apa kau rela membiarkan dunia mentertewaskan cintamu sebelum kau bangkit untuk memperjuangkannya?"

Wulan tersentak. Kata-kata Nyx sedang mengalir di dalam urat-urat darahnya. Wajahnya segera memerah.

Tidak!

Wulan segera bangkit. Dia melangkah pantas, lalu merentap tirai tebal yang tadinya menutupi sinar terang sang mentari. Ruangan kamar segera mencerah. Wulan terus berdiri menentang sinaran mentari. Kehangatannya cukup terasa. Wulan tenggelam dalam suatu dimensi rasa. Perlahan dia berpaling memandang ke arah Nyx.

"Aku yakin aku akan menang, Nyx. Cintaku akan menang."

* * *

Gisher sudah bersedia di suatu sudut. Manakala Enu Juarsa pula bersiaga di suatu sudut yang lain. Sang Bangsawan, para pembesar dan sekalian rakyat sedang berada di sekeliling arena. Wulan, setia ditemani oleh Nyx, sedang berada di suatu sudut yang agak terasing namun masih terlihat jelas. Debaran semakin memuncak, menyebabkan orang ramai ternanti-nanti.

Mata Enu Juarsa menyala-nyala. Tamsil seekor naga yang sedang terluka ekornya. Sedangnya Gisher terlihat tenang. Seakan tiada satu apa pun yang sedang menggetarkannya. Sang Bangsawan sendiri sedang gelisah, serba tak kena. Wulan sedang tenang, namun di wajahnya jelas terpancar sinar percaya dan tabah. Sekilas, Gisher memandang ke arah Wulan. Seulas senyuman terlontar dan sempat pula disaksikan oleh Enu Juarsa. Menyebabkan sang pangeran itu bertambah murka dan terluka.

"Ayuh! Kita selesaikan segala-galanya segera!"

Enu Juarsa segera menghunus pedangnya ke hadapan. Sudah tidak betah lagi mengepung sabar. Gisher berpaling kepada Sang Bangsawan, tanda hormat. Sang Bangsawan segera bangun, memberikan isyarat lalu mengangguk kepala. Sayembara merebut sang puteri bermula. Seluruh rakyat menganyam debar.

Gisher turut bermain pedang. Denting mata pedang mengisi ruang. Gisher sedang gagah bermain rentak Enu Juarsa yang tangkas. Perlawanan terlihat seimbang. Masing-masing bijak mengintai percaturan pihak lawan. Ketika srengenge sedang tegak di atas ubun-ubun, masing-masing sedang tercampak mengambil nafas. Sang Bangsawan terusan resah. Masih tiada tanda yang Gisher akan tewas. Begitu jugak masih belum terlihat Enu Juarsa akan menjadi juara.

Akhirnya pada suatu ketika, Enu Juarsa berjaya merunjam Gisher dengan serangan ampuh yang gagal ditepis. Gisher tercampak ke belakang, cedera. Wulan spontan berdiri. Enu Juarsa seakan sudah beroleh kemenangan. Dia bersorak dengan semahunya. Itu menjadikan dia lalai. Gisher bangun perlahan-lahan, lalu menyerang. Giliran si pangeran gagal bertahan. Dia rebah. Gisher meletakkan mata pedang di leher lelaki itu.

"Aku enggan menumpahkan darahmu. Kerana mata pedangku sedang berada di lehermu dan kau sedang rebah, aku kira ia adalah kemenanganku."

Enu Juarsa menundukkan kepala, seakan menyerah. Melihatkan itu Gisher mengangkat pedangnya lalu berpaling berjalan ke arah Sang Bangsawan. Arena gempita dengan sorakan memenangkan Gisher. Rupanya, Enu Juarsa bermain muslihat. Dia berpura menyerah. Perlahan dia bangun, menghunuskan pedang lalu...

Seketika itu, sepi segera membaluti. Seinci mata pedang telah menembusi kulit perut Wulan. Entah bila, dia meluru menghadang. Mujur, Enu Juarsa sempat menyedari dan berhenti. Apabila dia kembali menarik pedangnya, darah hitam merah segera keluar membasahi telapak tangan Wulan yang sedang berusaha menutupnya.  Gisher pantas merangkul Wulan.

"Kau laki-laki pengecut!"

Tempik Gisher. Enu Juarsa terpempan, namun amarahnya telah membius waras akal.

"Aku tak peduli. Apa yang aku mahu, pasti menjadi milikku! Kalau Wulan masih enggan, akan kuhancurkan Wilayah Timur!!!"

Wulan menggenggam erat tangan Gisher. Menghalang lelaki itu dari bersuara. Dalam sakit, dia menentang mata Enu Juarsa.

"Kau adalah laki-laki yang hanya tahu mencairkan kata-kata. Sedangkan aku mengotakannya. Kau pernah bilang, andai aku enggan, kau akan menerima dan pergi secara aman. Sekarang lidahmu sedang berputar memberikan ancaman."

Dalam termengah dan terketar-ketar, Wulan mengeluarkan sebilah belati dari dalam lipatan bajunya. Diangkat belati itu tinggi-tinggi. Enu Juarsa bersiaga.

"Enu Juarsa, demi rakyatku, aku akan memberikan apa yang kau mahu. Kau ambillah jantungku. Jadikan ia milikmu. Tetapi cintaku hanya untuk Gisher...!"

Dengan kata-kata itu, Wulan merobek dadanya sendiri. Gisher tidak sempat menghalang, manakala Enu Juarsa terus terpatung. Seakan tidak percaya apa yang sedang disaksikan. Wulan sedang berusaha memasukkan tangan ke dalam luka di dadanya, untuk menarik sang jantung keluar dari tubuh. Pada ketika inilah Sang Bangsawan meluru ke tengah gelanggang. Merebut Wulan dari dakapan Gisher lalu menekap luka di dada puterinya. Dijeritkan Nyx supaya segera mendapatkan tabib istana.

"Ayahanda, cinta telah menjadikan aku tak berdaya untuk menentangnya. Tapi cinta juga memberikan aku kekuatan untuk menentang dunia..."

Suara Wulan hampir tidak kedengaran namun jelas di inderia telinga Sang Bangsawan. Seketika itu jugak rabak dadanya dengan sebak. Hari ini telah benar-benar menyaksikan dia tewas sebagai ayah dan laki-laki. Puterinya itu dipeluk erat. Airmatanya terusan membasahi pipi tuanya. Sungguh dia sedang berasa terlalu kesal.

"Enu Juarsa, kau lekas pergi. Aku tidak mahu melihat walau bayangmu di atas bumi wilayah ini!"

Enu Juarsa berlalu dengan rasa terhina kerana terhalau. Dia tetap bertekad akan menyerang balas. Sang Bangsawan sedar akan hal itu. Kali ini dia tak lagi gentar. Dia akan menentang habis-habisan. Dia akan melawan. Dia tidak akan bersembunyi lagi. Dia akan bangkit demi cahaya mata belahan jiwanya yang satu itu. Dia berjanji, bersumpah akan memberikan apa sahaja kepada sang puteri andai Tuhan memberikannya satu lagi peluang.

"Oh, Tuhan... jangan ambil nyawa puteriku. Ampuni aku, Tuhan..."

Gisher tunduk, turut mengusap ubun-ubun Wulan yang semakin sejuk. Airmatanya juga menitis, lambang jiwanya yang sedang hiba. Dia mengeluarkan kristal berbentuk hati yang tersimpan di dalam bajunya lalu meletakkannya pada telapak tangan Wulan yang dingin dan berlumuran darah. Wulan cuba tersenyum. Begitu juga dengan Gisher.

"Ini hantaran penyatuan kita, wahai cinta. Wulan... kau cintaku yang abadi."

"Gisher... kau kekasihku yang tiada ganti."

Sang Bangsawan turut memaksa bibirnya tersenyum.

"Hari ini, aku menyaksikan langit dan bumi menyatu kerana cinta. Demi Tuhan, kalian berdua kurestui..."

Wulan memejamkan mata. Larian Nyx yang sudah tiba bersama tabib tidak lagi singgah di telinganya. Hanya kata restu Sang Bangsawan yang sedang bergentayangan di dalam benaknya kini. Sebutir air mata mengalir di hujung kelopak matanya yang sedang terpejam, bersatu dengan bibirnya yang sedang mengukir senyuman.

Abadi.

'Terima kasih, Tuhan...'

Dan untuk pertama kali, Jurang Agam tidak lagi memainkan gelombang yang mengerikan.