Wednesday, October 7, 2015

Akhir Sebuah Penantian...

Usaha, doa, tawakal dan redha. In shaa ALLAH.

ASSALAMUALAIKUM. Rasanya kali ni bukan sahaja dah berhabuk, malah dah bersawang berat dah blog kesayangan aku ni. Huhuhu... apa nak buat? Semakin bertambah usia, semakin kurang perasaan nak berkongsi tu. Segala benda yang terlintas, terkuis, terjentik tu, aku semakin senang menyimpannya dalam fail hati sahaja.

Cuma....

Cuma pada hari yang dingin dan langit kelam diselimuti racun jerebu ini, aku terpanggil untuk berkongsi sedikit perubahan dalam hidup aku, lewat kebelakangan ni. Alhamdulillah, setelah lima tahun dua bulan 15 hari menyulam cinta, akhirnya aku telah selamat diijabkabulkan bersama En. Bulat.

Alhamdulillah.

Syukur yang aku rasakan, hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui. Perasaannya tamsil sebeban batu yang amat berat yang selama ini menghimpit kepala dan dada kau telah terkalih dengan begitu sahaja. Ringan... amat tenang. Segala dawai yang berserabut dalam otak dan jiwa aku ni, terlerai sudah. Ketenangan yang aku rasa sekarang ni, adalah suatu rasa tenang yang tak pernah terjangkau dek akal fikir aku sebelum ni.

Alhamdulillah.

ALLAH menguji aku dan Bulat hingga ke saat terakhir. Pada detik yang mana aku terasa paling tidak berdaya, paling rimpuh dan paling ingin terjatuh itulah, ALLAH menarik tangan aku. ALLAH datangkan bantuan supaya aku tidak rebah. Tak dapat nak aku ceritakan bagaimana rasanya. Benarlah firman-NYA dalam surah al-Baqarah ayat 286:

Terjemahan: "ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya...."

Benar. Ini adalah kebenaran yang aku sendiri telah alami. Dalam lewat bicara aku bersama sahabat, Ikyn Zahari, beliau telah mengingatkan aku supaya bersabar, berusaha, berdoa dan kemudian tawakal dan redha. Percaya pada ALLAH.

Percaya!

Alangkah sukarnya untuk seorang hamba yang kerdil lagi jauh dari sifat maksum seperti aku ini untuk percaya dengan sebenar percaya, redha dan tawakal dengan sebenar redha tawakal kepada yang Maha Pencipta lantaran kerana kedaifan aku sebagai manusia. Sukar benar sukar. Dalam menempuh penantian yang panjang dan melelahkan ini, aku sering tergelincir dari landasan tawakal-redhaku. Dalam tak sedar, kadang aku mengeluh kesah, kadang aku merungut, dan terkadang aku hilang arah. Padahal aku alpa. Aku lalai dalam percayaku.

Jujur kukatakan, dengan apa yang aku dan Bulat ada pada hari kelmarin, adalah mustahil untuk kami meraikan pernikahan kami dengan majlis. Satu demi satu perkara yang menimpa sehingga usaha-usaha yang kami lakukan tidak menemui titik kejayaan. Dalam lelah rimpuhku, Bulat sentiasa mengingatku supaya sabar dan tawakal. ALLAH ada... ALLAH ada! Itu ulangnya. ALLAH tak akan sia-siakan doa kita, ALLAH takkan abaikan hasrat kita. Itu pesannya.

Itulah kebenarannya.

Alhamdulillah. Walimatulurus kami berlangsung seadaanya seperti yang dirancang. Pada waktu yang masih berbaki beberapa hari, ALLAH gerakkan jiwa-jiwa insan yang tersayang untuk menghulur tangan kepada kami. ILAHI RABBI... aku terduduk dalam sujud syukurku. Sungguhlah firman-NYA dalam surah al-Rahman:

Terjemahan: "Maka yang mana satu antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang hendak kamu dustakan...?"

Alhamdulillah... tiada apa yang terdaya aku lakukan melainkan tidak putus-putus mengucap syukur pada ILAHI. DIA yang Maha Pengasih telah memperkenankan ijab dan kabul antara aku dan En. Bulat. Hikmah pernikahan ini terlalu banyak. Insomnia aku langsung hilang. Letak sahaja kepala atas bantal, aku langsung terlena. Cabaran selepas bernikah juga banyak. Namun entah kenapa, kali ini aku benar-benar sudah mampu untuk tawakal dan redha. Aku percaya yang aku hanya perlu berusaha dan berdoa dengan bersungguh. ALLAH ada. ALLAH sentiasa ada. Kalau apa yang aku usahakan itu tidak berbuah jaya, ertinya bukan itu yang terbaik untuk aku. Aku yakin itu.

In shaa ALLAH.

Semoga suami yang aku nikahi itu akan terus kasih cinta dan sabar dalam mengharungi hidup bersamaku sehingga ke akhirnya. Semoga aku dapat mendidik diri untuk menjadi seorang isteri yang sentiasa membahagiakan suaminya. Semoga kami dirahmati dengan zuriat yang soleh dan solehah. Semoga kawan-kawan di luar sana dapat terus mendoakan kami. Mudah-mudahan kita semua sentiasa berada dalam pelukan rahmat ILAHI. Aamiin...

Di kesempatan ini aku ingin merakamkan ucapan terima kasih yang terpaling terima kasih kepada seluruh ahli keluarga, keluarga mentua, adik-beradik dan seluruh sahabat-teman yang sudi datang dari kejauhan (Kedah, Selangor, Kelantan) demi meraikan kami. Terima kasih atas ucapan selamat dan doa yang subahanallah... amat indah dan manis untuk kami. Terima kasih kerana telah bersusah bersama kami untuk majlis ini. Terima kasih.

Terima kasih. 

Mudah-mudahan segala kebaikan yang anda semua berikan kepada kami akan mendapatkan balasan baik yang berganda-ganda daripada ALLAH SWT. Aamiin...!

p/s: Aku terpaling mendedikasikan rasa terima kasih ini kepada sahabat Nurjihadah, Ikynz Zahari, Faten Syamimie, kak Siti Nazariah, mama Halijah dan pa Amin, kerana telah ada di sisi kami sejak hari pertama pernantian ini berlangsung. Alhamdulillah... ia telah berakhir dan kini bahagian baru dalam kehidupan seorang aku telah bermula.