Tuesday, July 30, 2013

Masih Mencari Hingga Kini


DRAMA sungguh tajuk entri kali ini. Sebenarnya bukan apa. Sempena bulan baik hari baik ini, aku sedang mengenang seorang sahabat lama yang sudah menghilang tanpa jejak. Sudah bertahun-tahun aku cuba mencari, cuba menjejakinya kembali, namun masih gagal sehingga ke hari ini. Dia sudah hilang ibarat ditelan hijab masa.

Noor Shahida binti Madri.

Itu namanya. Seorang gadis bertubuh tinggi lampai, berkulit cerah dan manis. Aku mengenalinya semasa darjah 5. Kami semakin erat semasa di darjah 6. Terpisah selepas bersekolah menengah apabila dia kembali ke pangkuan keluarganya di Pahang. Terkadang aku mengutuk zaman 90-an yang masih tidak terkenal dengan telefon bimbit apatah lagi media sosial seperti Facebook yang menyebabkan hubungan kami menjadi terlalu jauh... jauh... jauh... dan jauh....

Sedih.

Walaupun tempoh kami bersahabat tak lama, tapi aku seakan berasa terikat dengannya. Dia adalah seorang wanita yang istimewa. Dia membuatkan aku lengkap sebagai manusia. Kali terakhir kami bertemu adalah semasa aku di tingkatan 2 dan kali terakhir aku bercakap dengannya adalah semasa di tahun 1 diploma. Tahun 2004, yakni 9 tahun yang lalu. Aku sentiasa terasa kehilangan sejak hari pertama dia meninggalkan aku.

Darjah 6, tahun 1998 adalah satu tahun yang sangat panjang dalam hidup aku. Terlalu panjang sehingga aku tak sedar yang ia telah berakhir. Aku menghabiskan hampir 365 hari bersamanya. 1998 juga menyaksikan bagaimana aku menjadi gemuk dan mula menyukai potongan rambut pendek. 1998... tahun yang amat penting dan terlalu bermakna dalam hidup aku. Ia menyimpan 1001 misteri, sejarah, memori dan permulaan bagi seorang aku.

Walaupun aku telah meneruskan hidup selama 13 tahun tanpa dia di sisi, namun aku tak pernah berhenti memerlukan dan mencari dia. Aku masih mencari hingga kini. Februari yang lalu adalah ulangtahunnya yang ke-27.

Bagi sesiapa yang mengenali susuk bernama Noor Shahida binti Madri yang berusia 27 tahun pada Februari 2013 ini, sila hubungi aku. Aku akan mengenang jasa kalian untuk seumur hidup.

Ya, Rabb... ketemukanlah aku dengannya walau hanya sekali. Amin.

Tuesday, July 23, 2013

Hijrah Lagi


ALHAMDULILLAH. Hari baik dan bulan yang baik. Makanya Rabbul'alamin ALLAH SWT telah memberi rezeki dan jalan untuk aku berhijrah lagi. Barangkali pada usia 27 tahun begini aku sewajarnya tidak lagi berhijrah ke sana ke mari. Mungkin pada usia begini aku patut mula selesa memantapkan diri di satu tempat sahaja. 

Bagaimanakah?

Kita hanya manusia yang merancang. DIA yang lebih tahu untuk menentukan. Jujurnya, aku gembira dengan ketentuan ini. Aku yakin ada hal baik yang tersembunyi di sebalik jalan hijrah ini. Amin. Cukup dengan teka-teki? Baiklah, aku berterus-terang. Tanggal 5hb Ogos ini yakni bersamaan dengan 27 Ramadhan 1434H, aku akan meninggalkan jawatan di Pekan Ilmu dan berhijrah ke tempat baru. Meninggalkan Pekan bukanlah kerana ada kekurangan di sini, samalah seperti aku meninggalkan MIG dulu bukanlah kerana ada kekurangan di sana. Cuma, sampailah sudah seruan untuk aku mencari yang lebih baik untuk diriku.

In shaa ALLAH.

Aku percaya ini adalah pilihan yang baik. Semoga di tempat baru kelak, aku akan menjadi pekerja yang lebih berdedikasi dan memberikan yang terbaik serta ikhlas di dalam pekerjaanku. Mari berusaha, kawan-kawan.

Alhamdulillah.

Wednesday, July 10, 2013

1095 Hari... Jalan Ini


DALAM tak sedar rupanya sudah 1095 hari berlalu sejak hari pertama aku bersama Si Bulat, Sang Laki-Laki yang berjaya mencuri hati. Huhuhu... Alhamdulillah. Aku bersyukur ke hadrat ALLAH SWT yang telah memberikan rasa ini kepada kami. Duhai RABB, kekalkanlah dan satukanlah kami kelak, andai tidak di dunia, biarlah di akhirat sana. Amin.

Syukur.

Dia masih laki-laki yang sama. Jujurnya, aku hanya manusia biasa yang tak tahu apa yang esok bawakan kepadaku. Biarpun begitu, aku akan terus mengharapkan yang baik-baik pada hari depan dan menikmati apa yang hari ini sajikan. Alhamdulillah.

Buat En. Nor Azahar Md. Nor, terima kaseh kerana menjadi anda... dan terima kaseh kerana tidak pernah berhenti untuk percaya dan ada.

Kutanyakan kepada Sang Bulan;
Mengapa ia gerhana?
Lalu jawabnya mesra;
Sayembara duka bergentayangan di bumantara.

Kutanyakan kepada Sang Malam;
Mengapa dingin dan sepi tanpa bicara?
Lalu dijawab dalam dengar dan tidaknya;
Cinta dan janji diukur dengan lidah rupa.

Dalam gerhana Bulan dan sepi Malam,
Aku memandang
Sebatang jalan merening dalam kesamaran
Langsung sebaris senyuman...
Terukir dalam kedinginan.

Biar bulan gerhana, biar malam sepi tanpa bicara
Kau dan aku masih ada
Dengan kasih RABB dan rasa percaya;
Kita 'kan rentas jalan bahagia bersama.

Monday, July 8, 2013

Selamat Datang, Ya Ramadhan


ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat ILAHI, aku masih bernafas, masih sehat dan masih berpeluang bertemu kembali dengan Ramadhan al-Mubarak. Semoga Ramadhan kali ini membawa 1001 barkah dan cerita ria dalam hidup aku.

Amin.

Selamat datang, Ya-Ramadhan. Kau kusambut dengan lapang dada dan tangan terbuka.

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui... dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa kuberada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintah-NYA
Moga dapat kulenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin kubiarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan, pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kumemohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Kumerayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah
Dengan rahmat-MU oh, Tuhanku
Kutempuh jua...

(Harapan Ramadhan - Raihan ft. Man Bai)