Monday, December 20, 2010

Zzzz... ( Aku Bersimpati )


HAIRAN aku. Kadang-kadang terasa begitu susah untuk memperjuangankan karya sastera di negara ini. Di kalangan teman-teman sendiri (malas nak pergi jauh kepada golongan pemimpin), membaca buku sastera adalah suatu hal yang jarang sekali dapat dikupas bersama. Rata-rata teman memilih untuk membaca buku popular saja. Baguslah! Sekurang-kurangnya kalian membaca.

Tapi tidakkah terasa sayang? Menghabiskan masa berjam-jam (mungkin berhari-hari) menelaah halaman yang beratus-ratus muka hanya untuk membaca kisah cinta? Ops! Maaf kalau ada yang terasa. Tidak bersalah kalau hanya membaca kisah cinta. Langsung tidak. Cumanya, dunia bukankah lebih luas dari itu? Masih perlukah mencari kisah cinta dan air mata, kekasih dirampas, cinta terhalang sedangkan dunia sedang bergolak hebat? Bacaanku yang terbaharu misalnya, "Serigala Dan Sekuntum Tulip" yang dicanai baik oleh SM Zakir (penulis kesayanganku), usai membacanya aku jadi berfikir, menghadam dan meneroka kehidupan dari suatu sudut dunia yang lain. Bukankah itu seronok? Bukanlah aku sedang meninggi hidung dengan mengatakan yang bacaanku adalah pilihan yang terbaik semata-mata. Tidak sama sekali. Bacaan yang baik adalah subjektif. Terpulang pada penilaian kalian.

Ramai yang beralasan, payah membaca karya sastera. Gaya bahasanya : Fuh! Berpeluh-peluh. Nanti sambil membaca, sambil menelaah kamus. Bersusah payah mencari makna kata yang kurang dimengerti atau mungkin tak pernah didengari, jauh sekali diketahui ertinya. Kurang seronoklah begitu! Pada mereka yang cakap macam tu, kalian sebenarnya pernah baca karya sastera atau tidak? Tak semua karya sastera yang menggunakan bahasa tinggi. Ada yang santai sahaja, cuma pengisiannya. Pengisian sesebuah karya sastera itu yang menjadikan kedudukannya lebih bermartabat! Lagipun, apa salahnya dengan bahasa sastera? Kalau sesetengah dari kalian sanggup membaca karya dalam bahasa Inggeris, dan bermula dengan menyemak kamus untuk memahami bahasa asing tu, jadi kenapa tak sanggup lakukan hal yang sama dengan bahasa ibunda sendiri? Kenapa harus malu menjadi Melayu yang tak tahu berbahasa Inggeris sedangkan lebih memalukan menjadi Melayu yang tak memahami bahasa Melayunya dengan baik!

Aku bukan hebat pun. Kalau baca "Rapsodi" hasil tukangan Zaen Kasturi pun aku masih muntah, membaca "Hujan Pagi", "Langit Petang" dan "Salina" A. Samad Said pun aku boleh demam menjelang khatam. Aku cuma sedih. Dan tak faham dengan mentaliti orang Melayu kita ni. Bahasa orang dijulang-julang, bahasa sendiri sekadar melukut di tepi gantang. Semasa bermesyuarat dengan wakil dari stesen tv berbayar yang terkenal di Malaysia tempoh hari, mereka dengan sinisnya mengatakan ini kepada Mimie,

"Kami suka baca beats awak ni. Banyak bahasa yang hebat seperti penasaran, terpempan dan sebagainya..."

Penasaran dan terpempan adalah bahasa yang hebat? Aku lekas menjelma menjadi patung yang bingung tercengang. Aduhai bangsaku... paling menarik seorang pelajar praktikal dari sebuah kolej seni swasta yang terkenal juga di Malaysia. Aku tugaskan dia membaca skrip dan bagi komen. Selang dua minit dia tanyakan pada aku,

"Akak, 'gonggong' tu apa?"

Aku jadi keras. Tapi dengan suara penuh simpati aku jelaskan juga padanya apa itu gonggong. Dia angguk faham. Dua minit kemudian, dia bertanya lagi,

"Akak, 'lintah bulan' tu apa?"

Aku jadi keras lagi, masih dengan suara simpati aku jelaskan juga padanya bagaimanakah kejadiannya lintah bulan itu. Dia angguk-angguk dan kembali khusyuk. Pada dua minit seterusnya, aku mendengar ini,

"Hmm, akak... 'bunian' tu apa?"

Oh... oh... oh... aku menepuk-nepuk dahi, terus mengeras dan tak mampu bersimpati lagi. Aduhai bangsaku. Tolonglah berhenti menjadi malas, sombong dan malu dengan bahasamu sendiri. Kenali dan sayangilah bahasa kita. Aku rasa, cara mudah untuk mulakannya adalah berjinak dengan karya sastera. Di dalamnya terkandung bahasa Melayu yang baik susunan dan penggunaannya. Jangan terkurung dalam momokan minda sendiri. Keluar dan bebaskan pemikiran kita! Jangan terpasung dalam belenggu yang melabelkan bahasa sastera itu bahasa yang mendalam dan terawang-awang. Cuba kenali dan cintai.

Aku pernah menjadi peminat tegar Ahadiat Akashah... dan aku mulai benar-benar serius membaca karya sastera hanya selepas aku berusia 19 tahun. Apa yang aku cuba nak sampaikan adalah masih belum terlambat untuk beralih arah. Percayalah, membaca karya sastera nikmatnya lebih enak dan manis. Semestinya memberikan kepuasan yang lebih berbanding hanya menelaah karya popular. Aku jadi tenggelam dalam dunia buku kalau membaca naskah sastera. Kalau baca "Salina", aku seakan dapat menghidu kebusukan tandas yang berlumut di Kampung Kambing. Kalau baca "Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril", langit akan beku dan putih salji terhampar di mana-mana sehingga hitam menjadi pudar. Kalau baca "Tulang-Tulang Berserakan", aku akan mendengar peluru bersipongan dan letupan granit yang membingit.

Bacalah... dan lupakanlah kisah cinta yang tergolek di sana-sini...!

Wednesday, December 8, 2010

Pembawa Khabar Gembira


HARI ini aku menerima khabar yang cukup indah. Cukup manis. Cukup segala-galanya. Khabar yang serta merta membuatkan aku langsung mengenang. Terbang pulang ke tanggal 15 Mei 2005. Tanggal pertama aku diketemukan dengan si dia. Sahabat yang masih bernama sahabat sehingga ke hari ini... sahabat yang masih bernama sahabat selepas 5 tahun, 6 bulan dan 23 hari berlalu sejak dari hari pertama kami bertemu.

Kami bertemu di parking lot. Bersapa mesra dan kebetulan menuntut dalam jurusan yang sama. Jadinya terus seiring bersama. Sahabatku ini memesrai kehidupan yang penuh liku. Dan liku2 ini gagal menewaskan dia sebaliknya menjadikan dia tumbuh sebagai wanita yang sekeras kersani. Jiwanya kukuh. Dia sentiasa yakin dan tahu apa yang dia nak. Hal inilah antara hal yang paling aku kagumi dan cemburui. Dia tak gentar untuk berjuang mempertahankan apa yang dia mahukan. Pernah ada suatu hal yang menyebabkan persahabatan aku, dia dan teman-teman lainnya dilitupi mendung seketika... namun pada tika itu, dia tetap sudi menjadi matahari yang masih menghangatkan aku walaupun hadirnya cuma di balik awan. ^_^

Dia adalah sahabatku yang istimewa, teman yang sentiasa ada, adik yang manja dan lawan yang menguja. Huhuhu! Jangan sampai kami lawan berdebat, memang dahsyat! Terkadang orang2 keliling pandang memandang, disangkanya kami sedang bergaduh besar. Hahahaha... mengenang masa lalu yang manis menyebabkan aku nyaris gagal mengawal emosi. Serasa kolam jernih di kelopak mata sedang memberat. Sahabatku itu sudah membawa separuh dari jiwaku pergi. Dari saat dia menjadi tunangan orang... dan seterusnya menjadi yang halal untuk seorang lelaki yang bernama suami, aku sedar yang sahabatku takkan selapang dulu. Dia sudah punya tanggungjawab yang lebih besar untuk memurnikan rumahtangganya berbanding menghabiskan masa bergebang dan berseronok dengan aku. Huhuhu... aku faham tu. Tapi dia memang sahabatku yang manis! Aku mendapat penghormatan untuk menjadi pengapitnya pada hari bahagia dia melangkah ke dunia baru sebagai seorang wanita yang menyempurnakan separuh dari agamanya, dan pagi tadi, aku menjadi orang kedua (selepas suaminya) yang menerima khabar yang cukup mewarnai hati dengan kegirangan dan kesyukuran.

Alhamdulillah! Duhai RABB... Kau telah melimpahkan sahabatku dengan anugerah yang tiada tara. Aku masih belum putus mengucap syukur. Aku sungguh-sungguh mendoakan agar tempoh yang bakal berlalu ini penuh dengan rahmat-Mu, ALLAH... dan semoga Kau menyelamatkan sahabatku sehingga sampai waktunya. Amin... Sahabatku, aku sentiasa mendoakan yang baik-baik untukmu.

Terima kasih kerana menjadi sahabatku. Terima kasih untuk waktu-waktu yang telah kita kongsi bersama. Terima kasih dan semoga selamat dirimu hendaknya. Amin...!