Wednesday, November 23, 2011

Catatan Sempena Ulang Tahun

Amat terharu atas kek ini!!! Kredit untuk Ikyn'z Zahari! ;D

Mr. Lim (HR) sempat menyibuk! Huhuhu...

TIDAK banyak yang hendak dan nak dicatatkan di sini. Jujurnya pada hari-hari yang lalu, aku merasa kosong dan tidak merasa ingin untuk menyambut hari ini. Apalah yang ada pada sebaris tarikh? Tiada apa yang istimewa. Biarlah ianya berlalu seperti hari-hari biasa. Apa yang penting buat aku adalah ingatan dan doa2 yang aku terima pada hari ini. Alhamdulillah...

Cumanya malam tadi, aku sedikit kaget. Benar-benar terkejut sebenarnya apabila sekitar lebih jam 12 malam (menandakan 24 November sudah tiba), Ikyn'Z dan Doraemimie tiba-tiba menghilang ke dalam bilik dan kemudian keluar menyanyikan lagu selamat sambil menatang kek. Aku benar-benar gembira. Benar-benar gembira. Diraikan adalah suatu hal yang sangat mengembirakan. Tidak kiralah bagaimana keraian itu dilakukan. Besar @ kecil, beramai-ramai @ hanya berdua... itu tidak penting. Apa yang penting adalah niat meraikan itu sendiri. Aku sungguh terharu, sungguh gembira.

Tak banyak yang mahu dan dapat aku perkatakan di sini selain rasa syukur setinggi langit ke hadrat ALLAH SWT atas limpah rahmat dan kurnia-Nya kepada aku selama ini. Alhamdulillah. Syukur kepada-Mu, Ya-ALLAH. Aku amat berterima kaseh. Terima kaseh Ikyn'Z, Mimie, Syiella, Ida, Fifa dan semua rakan sepejabat yang sudi menyanyikan lagu selamat buat aku. Terima kaseh juga buat kawan2 dan para sahabat yang mendoakan seluruh perkara yang baik-baik buat aku. Doa kalian aku angkat setinggi langit sebagai tanda ingatan walaupun hanya tercatat di dinding muka buku. Aku amat hargai. Terima kaseh.

Terima kaseh ayah dan mak yang masih menyayangi aku dan telah membesarkan aku. Untuk anda yang tahu siapa anda, terima kaseh atas nyanyian lagu ulang tahun.

Hari ini...
Hari yang kau tunggu
Bertambah satu tahun usiamu
Bahagialah kamu

Yang kuberi...
Bukan jam dan cincin
Bukan seikat bunga atau puisi
Juga kalung hati...

Maaf, bukannya pelit
Atau gak mau, modal sedikit
Yang aku ingin beri padamu
DOA SETULUS HATI

Semoga Tuhan melindungi kamu
Serta tercapai semua angan dan cita-citamu
Mudah-mudahan diberi umur panjang
Sehat selama-lamanya...

Selamat ulang tahun...!

Selamat ulang tahun hari lahir yang ke-25, N... semoga esok akan berbaik hati pada kau! Amin.

Tuesday, November 22, 2011

Aku Selalu Percaya... (Sebuah Catatan Klise)

Perjalanan Masih Panjang... InsyaAllah.

AKU selalu percaya, hidup harus sederhana. Aku selalu percaya, kalau kita masih ada prinsip dalam hidup, maka kita akan dihormati. Paling tidak oleh diri sendiri. Aku kira menghormati diri sendiri adalah jauh lebih besar daripada mendapat penghormatan dari orang2. Dalam kehidupan sehari-hari, kita akan bertemu bermacam-macam jenis ragam orang. Pilihan kita tak semestinya betul, pilihan orang2 di sekeliling kita juga tak semestinya salah.

Baru-baru ini, aku telah mengambil satu keputusan yang separa besar dalam hidup aku. Aku masih belum menghebahkan kepada sesiapa (kecualilah mereka2 yang ada semasa aku mengambil keputusan itu). Bukan gusar, jauh sekali merasa takut mereka tak menerima, tapi aku mencari masa yang lebih sesuai. Aku ini amat suka banyak berfikir sebelum melakukan sesuatu hal. Jadinya aku merasakan Tuhan hendak mengkhabarkan pada aku, sesuatu itu perlu dilakukan untuk menyenangkan hati. Fikir-fikir saja takkan pernah habis. Jadinya, suatu kejadian kecil telah menjadi palam pencucuh untuk aku terus mengambil keputusan.

Hal ini belum tentu suatu keputusan yang bijak, tetapi sekurang-kurangnya aku rasa lega. Amat-amat lega. Aku kira rasa lega itu sudah mencukupi. Sesekali hati perlu dibelai dan diberi manja dengan cara begini. Kebelakangan ini lampau banyak hal yang sedah merusuh jiwa. Sekurang-kurangnya satu dari 1001 hal itu telah habis.

Aku perlu berusaha dengan lebih keras pada masa akan datang. Aku ni bukan teruk sangat. Cuma malas... aku perlu ubah sikap demi masa depan.

InsyaAllah... amin!

Sunday, November 20, 2011

Bebas Akhirnya!!!

Perasaan aku sekarang! ;p
(Ehsan Pakcik Google)

SELEPAS beberapa tahun tak merasa perasaan ini, akhirnya pada hari yang bersejarah ni, aku akhirnya berjaya membawa diri aku untuk penghijrahan. Mungkin untuk sesetengah orang, tindakan yang aku buat ni adalah tindakan bodoh. Tapi kau tahu sesuatu?

AKU TAK PEDULI!

^_^ Aku tak peduli pun. Cukuplah jiwa dan rasa aku terbeban dan terbelenggu hanya kerana nak cari rezeki sesuap nasi. Aku dah tak sanggup. Bak kata seseorang,

"Selagi kau percaya pada Tuhan, Tuhan takkan lupakan kau... Tuhan takkan biarkan kau sendiri."

Aku percaya tu. Aku amat percaya tu. Aku yakin ini yang terbaek untuk aku dan untuk semua orang juga. Aku sedar dengan cara aku yang kasar mungkin telah menyinggung banyak pihak dan buat korang semua tak selesa berada di sekeliling aku. Maaf. Aku memang begini. Walaupun aku berkasar tapi hakikatnya aku sayang korang semua. Korang semua bertanggungjawab memakna dan mewarna kehidupan aku selama di sini. Untuk korang yang masih bertahan ;

Berusahalah!

Dan doakan aku. Aku perlu doa korang. Terima kaseh untuk segalanya dan maafkanlah aku andai sikap aku menyakiti korang. Aku sayang korang semua!

Aku pun akan berusaha! ^_^

Tuesday, November 15, 2011

Betul ke...? Hurm...

Erk?!

AKU kadang-kadang keliru sikit. Aku adalah timbalan presiden Kelab Anti PINK! Untuk pengetahuan korang, presidennya ada Doraemimie. Hahaha... Dak kecik tu adalah maniac biru dan aku biasalah, dark-darker-darkest! Hahaha... suka hati je. Aku amat suka kombinasi merah-gold-hitam. Aku sendiri tak tahu kenapa dan dari mana puncanya, aku memang amat tak suka pink. Tapi aku cuma layak jadi timbalan presiden pasal aku masih lagi boleh terima dan pakai pink (macam baju, barang-barang perhiasan dan sebagainya) tapi Mimie memang pangkah habis. Dia langsung takde apa-apa pun yang berwarna pink (kecuali sehelai t-shirt yang dihadiahkan oleh kak Wani yang tak pernah dipakainya) hahaha...

Sebenarnya warna merah jambu yang manis ni takde apa dosanya pun pada aku nih. Cuma aku rasa aku memang tak sesuai jadi pinky-gurl coz warna ni memang girly sangat-sangat amat! Di mana langsung tak sesuai dengan konsep aku yang ganas dan selebet nih. Betul tak? Jadi, no pink! No, no, no!

Tapi kadang-kadang aku macam pelik dengan diri sendiri. Aku selalu tengok banyak barang (terutamanya beg dan kasut) yang nampak cantik sangat dengan warna pink. Aku akan menyumpah dan cakap,

"Isy! Design cantik tapi warna geli. Takde warna lain ke???"

Bila aku dapat design yang sama dengan warna lain selain pink, terasa macam tak cantik pulak. Tak tahulah kalau design tu tak sesuai dengan warna lain ataupun tanpa aku sedari aku........ suka pink??????????

TIDAKKKKKKKKKKKKKKKKKKKK!!!

Tak mungkinkan? Sume benda nih hanya kebetulan. Aku tak mungkin akan suka pink! No, no, no! Tapi........... ada kemungkinan ke? @_@

Nope! Aku tetap kipas-susah-mati merah!!! Kegemaran aku, lili. (Ehsan Lebai Google lagi) ;p

Sunday, November 13, 2011

Dandelion [Part 2]



PADA malam itu bulan kelihatan begitu penuh... begitu bercahaya sehinggakan Wulan dapat melihat alam maya dibelai mesra cahaya perak yang sungguh menyentuh. Wulan tersenyum dalam titis-titis tangisan yang kian membarah. Di saat kolam hatinya sedang berkocak memainkan alunan kasih mesra buat Gisher, dia dikejutkan dengan khabar bahawa sebuah armada jiwa sedang berlayar datang dari seorang pria bangsawan dari Selatan.

Melalui Nyx, dayangnya yang menabur bakti dengan penuh setia itu, armada yang sarat dengan hantaran peminangan itu diketuai oleh Pangeran Enu Juarsa. Enu Juarsa itu sudah menyambut seruan ayahandanya. Lalu sang pangeran datang untuk merebut cintanya dari Gisher. Ah! Dia sekarang ibarat langit... manakan terdaya kail sejengkal Gisher yang berada di bumi untuk menariknya ke dalam mahligai bahagia. Wulan semakin merasakan sakit di ulu hatinya. Oh, mengapakan Enu Juarsa perlu muncul di saat begini?

Pada malam yang dingin itu juga, Wulan mengambil keputusan untuk menghantar Nyx sebagai utusan hatinya. Nyx tanpa bertangguh, dengan rela hati mempertaruhkan seluruh nyawa membawa utusan Wulan kepada Gisher. Gisher sendiri terperanjat separuh mati dalam mamai tatkala lenanya diragut kejutan keras dari Nyx. Pria itu pernah mendengar ceritera rapi mengenai puteri yang sedang hidup dalam sumpahan itu. Langsung dia sama sekali tidak menyangka sang puteri yang suci tinggi taraf hidupnya itu telah jatuh kasih pada seorang pengembala seperti dia. Nyx separuh mendesak, bergegas menanyakan balasan kepada warkah hati sang puteri. Gisher masih bingung. Lalu Nyx pulang tanpa jawapan.

Sementara itu armada Enu Juarsa sudah pun berlabuh tiba di pengkalan desa. Sudah pun bertandu dijemput penuh hormat oleh ayahanda Wulan ke istana. Wulan semakin diamuk resah. Untuk sekali ini, dia lebih rela jasadnya hancur dimamah Jurang Agam daripada menjadi suri buat Enu Juarsa yang tidak pernah dikenali. Sementelah pula, Gisher seakan bermain tarik tali. Tiada jawapan yang dikirimkan kepada Nyx, hampa luluh qalbinya.

Wulan menggenggam erat kristal berbentul hati yang terukir indah itu. Mampukah dia melalui malam kelak? Makan malam pertemuan pertama dia bersama Enu Juarsa. Wulan sungguh tidak rela kristal maharnya bertukar ke palma sang pangeran. Dia tidak sudi. Biarlah dia hancur luluh dimamah sumpahannya. Biarlah andai benar Gisher tidak sudi menyambut tangan yang sedang dia hulurkan. Mentari senja menyaksikan sepanjang petang dia menangis di ribaan Nyx.

Dia tidak sudi menjadi suri Pangeran Enu Juarsa.

Dia tidak sudi...!

Thursday, November 10, 2011

Dandelion [Part 1]



WULAN memegang kristal berbentuk hati itu dengan kedua palma tangannya. Anak matanya lurus menunak ke hadapan. Jauh membatasi relung masa, jauh mengatasi rasa. Tiba-tiba ulu hatinya terasa perit. Wulan spontan terduduk dan memegang dada. Dengan keluh kesah yang terhambur perlahan, Wulan meletakkan kristal berbentuk hati itu kembali ke atas meja. Meja indah yang berukir. Dia langsung menangkap pemandangan seluruh kamarnya. Serba indah, mewah dan bisa dikatakan menjadi idaman setiap anak gadis di jagat raya.

Rasa perit di ulu hatinya masih bersisa. Keluhan di bibirnya juga terusan bersisa. Wulan sedar tindakannya mengeluh serupa itu tidak molek. Namun bagaimana dapat ditahan rasa jiwa yang sedang sarat direndam luka? Wulan bukan anak gadis sebarangan. Dia puteri tunggal yang terlahir di dalam sebuah kerabat bangsawan. Namun kelahirannya membawa khabar duka buat seisi desa. Dia lahir bersama sebuah sumpahan yang amat keras. Menjelang usianya 21 tahun, sekiranya dia masih belum disunting mana-mana pria, dia wajib dibunuh. Jasadnya perlu dihumban ke dalam Jurang Agam yang amat dalam dan menyimpan arus yang cukup bergelora di dasarnya. Tidak boleh tidak! Atau gempa dan nyawa setiap penduduk desa sebagai galang gantinya.

Semenjak sumpahan itu termetri, ayahandanya telah mengupah para bijak pandai untuk menempa sebuah kristal berbentuk hati yang akan menjadi mahar pernikahannya sebelum usianya menggenab 21 tahun kelak. Si Bangsawan itu juga telah memukul canang dan memaklumkan bukan sahaja ke seluruh desa malah ke seantero negara supaya mana-mana keturunan bangsawan sepertinya ada berkenan menjadikan waris perempuannya itu sebagai suri kelak. Jasad kecil itu semakin membesar dan setelah musim silih bergantian, tanpa Si Bangsawan sedar, anak kecilnya sudah membesar dan semakin ranum namun masih tiada lamarannya yang bersambut.

Wulan sering bermimpi akan kristal berbentuk hati itu sudah pun bertukar tangan. Namun apabila alam rasian ditamatkan usai dia bangun dari tidur malam, dia menyedari yang kristal berbentuk hati itu masih terpaku di antara bilah jemarinya. Wulan semakin rawan. Menjadi buntu dan tidak tahu apa lagi yang wajar dilakukannya. Tempoh untuk dia hanya berbaki lagi 3 purnama. Lagi 3 purnama usianya akan genab 21 tahun. Wulan tidak ingin mati dalam keadaan yang begitu tragis. Terhumban ke dalam jurang yang takjub dalam dan jasadnya berkecai tak bertanda. Dia kadang-kedang dihiris terkilan dengan sikap ayahandanya yang masih memilih keturunan bangsawan dalam keadaan yang sudah segenting ini.

Wulan kembali berdiri. Dia menyebak jurai langsir yang menutup separuh jendela kamarnya. Anak matanya tertancap pada sebatang tubuh sasa yang sedang asyik mencuci kuda di hujung bawah sana. Sudah hampir dua purnama Wulan terpanggil untuk memerhatikan sang pria itu. Melalui suatu risikan yang dikawal rapi, Wulan mengetahui nama sang pria itu adalah Gisher. Gisher berasal dari sebuah wilayah yang jauh ke utara dan dilahirkan di dalam keluarga peladang tani. Sejak pertama kali Wulan tertikam anak mata Gisher yang bening coklat jernih itu, dia sejujurnya telah tumpas lemas dalam sebuah perasaan yang amat indah.

Wulan sungguh ditusuk gundah. Bagaimanakah dapat dia memaklumkan pada ayahanda dan bondanya bahawa dia Puteri Wulan telah jatuh kasih pada Gisher, sang peladang yang kini menjadi penjaga kuda di istana...?

Bagaimanakah...?!