Friday, February 24, 2012

Rahmat Dari Langit

Yang kuning itu aku dan yang biru itu juga adalah aku...
(Ehsan Google)

AKU benar-benar rasa gembira hari ini. Alhamdulillah... dikala hidup sedang berada dalam keadaan yang sangat menghiris hati, aku merasakan hujan rahmat sedang turun dari langit ketika ini. Jujurnya, hari ini adalah hari yang sangat menggembirakan aku selepas hampir 3 tahun aku bergelar graduan penulisan kreatif. Aku telah menemukan pekerjaan yang aku idami selama ini dan ALLAH Maha Pengasih... Maha Mengasihani... aku merasa amat kerdil dengan rahmat ni.

Mungkin ada sesetengah orang tak faham apa yang membuat aku teruja sangat dengan kerja ni. Aku tak salahkan mereka, jauh sekali mahu berkecil hati. Aku terlalu gembira untuk ditenggelamkan dengan hal remeh seperti itu. Ya, mungkin menjadi editor di sebuah syarikat penerbitan buku yang kecil dengan gaji permulaan yang juga kecil ini jatuh bukan apa-apa untuk kalian, tetapi untuk aku, ia adalah impian dan cita-cita aku selama ini. Impian yang aku semai dan bajai dengan harapan yang menggunung.

Selama 4 tahun di akademi, aku bergelumang dengan dunia tulis, dunia sastera, dunia seni, dunia yang bijaksana (menurut kaca mata mereka yang mengangkat ianya sebagai kebijaksaan). Aku mengenali teman, sahabat yang selalu mengajak lawan bicara, berkongsi pengetahuan yang selama ini jauh dari pengamatan dan sama-sama mengenal betapa luasnya dunia. Sungguh dan suka untuk aku tegaskan, 4 tahun di akademi adalah syurga dunia. Dunia yang benar2 mengajar dan menguja.

Tamat belajar, dunia yang mengujakan ini seakan semakin memudar, menjauh dan menghilang. Aku kehilangan magis sihir kata-kata. Dunia keliling begitu lemau dan melemaskan. Aku jadi rindu untuk bergebang tentang sosialis, moralis dan dunia tanpa sempadan. Tapi, aku kira itu bukanlah perkara yang paling teruk. Dua tahun menjadi panel skrip, banyak yang sempat aku kutip dan menimba pengalaman. Paling tidak aku tahu bagaimana sebuah filem dihasilkan dan aku belajar suatu perkara yang penting, 'MUSTAHIL adalah perkataan yang tak wujud'. Untuk itu aku kalungkan terima kasih buat mantan boss.

Untuk seketika aku terfikir untuk berhenti berkhayal dalam mimpi indah ini (menurut pandangan sesetengah orang yang menilai aku). Maksudnya berhenti menjadi penulis dan cuba mencari pekerjaan di luar bidang yang menjanjikan pulangan yang lebih kukuh, contohnya menjadi admin dengan gaji RM2200. Serius, untuk sedetik aku merasa sungguh lelah dalam mempertahankan kecintaan aku dalam bidang penulisan. Lalu aku bawa diri, cuba kembali menyelami qalbi dan mengangkat tangan kepada Rabb... mohon dipertunjukkan jalan.

Alhamdulillah, aku diberikan rahmat oleh Tuhan untuk cuba kembali bergelumang dalam dunia yang amat aku cintai. Tanpa dirancang, tanpa diduga. Alhamdulillah, syukur. Ada rezeki aku di sini. Semoga aku beroleh kekuatan dan harus tahan menempuh cabaran. Biarlah pekerjaan ini menjadi yang paling molek kedudukannya di jiwa, semoga ia bisa menenang dan menguatkan rasa dan paling wahid ialah semoga rezeki yang aku perolehi di sini halal dan diberkati-NYA. Aku banyak buat silap dalam pekerjaan yang lepas. Semoga Tuhan mengampunkan aku. Percayalah kawan-kawan, rungutan, cemuhan dan makian boleh menjejaskan keberkatan rezeki yang kita terima.

Aku tetap percaya, selagi ada nyawa selagi itu esok masih ada. Dan semoga esok akan terus berbaik hati kepada aku. Amin. :'-)

Wednesday, February 22, 2012

Dandelion [Part 5]



WULAN terusan mengunyah resah. Sesekali palma tangannya singgah ke dada. Diusap perlahan dadanya dengan harapan rasa sakit di dalamnya akan segera berkurang. Namun sayang, sang jantung terus berdegup laju. Rancak menendang-nendang ruang dalam dada. Menyebabkan dia merasa begitu mengah. Begitu lelah. Dengan segera Wulan melontar pandangan ke luar jendela. Berharap malam akan berbaik hati meneduhkan gelora jiwanya dengan indah sinar bulan. Aduhai sayang seribu kali sayang... malam gelap tanpa bintang. Sang bulan juga seakan segan, terus bersembunyi di balik awan.


"Ah! Apa khabar si Nyx?! Masih belum pulang!"


Wulan berucap dalam resah yang semakin membarah. Gelisah hatinya sudah gagal ditahan. Rasanya sudah hampir dua jam berlalu selepas bayang Nyx menghilang ditelan muka pintu. Wulan mula memikirkan yang tidak-tidak. 'Adakah Nyx menemui celaka dalam perjalanan pergi atau pulangnya?'


"Oh, tidak! Aku bermohon jangan..."

Atau 'adakah Nyx sudah berpaling tadah dan membawa diri bersama Gisher...?'


"Tak mungkin!!! Nyx terlalu setia untuk melakukan itu!"

Tanpa sedar Wulan memekik dan spontan melontarkan tubuhnya ke atas katil. Resah gelisah yang merejah menyebabkan dia langsung jadi runtuh lelah.


"Tuanku... mengapa...?"

Lembut suara yang menyapa bagaikan menyihir Wulan untuk bangun dan berpaling. Segumpal nafas lega dilantun keluar dari kerongkong tatkala anak matanya menangkap batang tubuh Nyx yang sedang berdiri dengan wajah lelah berkeringat. Wulan ingin menjawab, ingin bertanya mengapa Nyx lambat, adakah amanahnya sudah disampaikan, dan apa pula jawabnya Gisher. Tetapi entah kenapa dan entah apa celakanya, bibir Wulan seakan dijahit. Terkunci kemas. Dia sekadar merenung Nyx dengan mata yang mula bergenang. Wulan sedang dihimpit rawan. Terlalu parah gelisah melontarkan dia ke dalam emosi yang tidak keruan.


"Tuanku, pesanmu sudah aku sampaikan. Dan dia meminta suatu hal yang amat berat untuk aku sampaikan pula kepada tuanku."

Demikian dengan kata-kata itu, Nyx tertunduk lesu. Tangannya terangkat pula menghulurkan segulung kertas. Dalam keliru Wulan menyambutnya.


"Ini adalah titipan dari Pengeran Enu Juarsa. Aku bertembung dengannya berhampiran jalan ke kamar tuanku. Kerana itu aku lewat. Pangeran itu mahu berkenal dengan bakal ratunya. Jadi dia menyoal aku tentang apa yang tuanku gemarkan dan apa pula yang tidak. Sebelum berpisah, ini dikirimkan untuk tuanku"

Dalam terketar, jemari Wulan membuka gulungan kertas bingkisan daripada Sang Pangeran. Ada setitis air mata mengalir perlahan di pipinya yang gebu. Rawan semakin menyucuk bagai sembilu. Wulan dapat merasakan nyalinya terhiris pilu. Ada tulisan yang terukir kemas di atas kertas itu. Wulan cuba mentafsir kata-kata yang seakan bernyawa di hadapannya.


"Ketika bulan penuh, dan cahaya peraknya yang menyentuh...
Ketika itulah aku menyimpan hatimu di dalam hatiku...
Seribu mawar bukan apa-apa...
Selaut berlian juga bukan tolok bandingnya...
Kau intan terpilih, lalu aku merasa kasih...
Aku simpul mati janji pada bulan...
Akan kusunting kau di dalam genggaman...
Lalu mekar cinta di telapak tangan..."


Wulan langsung merenyuk dan mencampak jauh kertas di tangannya. Dadanya merasa bagai hendak pecah dengan sengsara! Dia bingkas bangun dan menggoncang bahu Nyx.


"Katakan padamu, apa pesan Gisher padamu?! Katakan!"

Nyx menggeletar mahu membuka mulut. Tetapi lidahnya seakan terpotong. Kelu. Goncangan yang semakin kuat dibahunya terus memaksa menyebabkan lidahnya yang terpotong sebentar tadi langsung bercantum kembali.


"Dia mahu bertentang mata dengan tuanku. Selepas bulan gelincir di dada langit. Lewat jam dua belas, di pinggir muara..."

Wajah Wulan segera berubah. Dia berlari ke jendela. Ah, bulan hampir gelincir. Dia lantas ke almari persalinan. Ditarik keluar sehelai jubah labuh bertudung kepala lalu disalut ke tubuhnya.


"Ayuh!"

Wulan lantas hilang ditelan muka pintu. Dalam gusar, Nyx segera menurut.


* * *

Malam tenang. Bulan sudah kembali menebarkan cahaya peraknya yang berkilauan. Lembut dan anggun menyapa muka muara yang beralun tenang. Lembut dan anggun pula kemilau muara memantulkan riak-riak alun ke wajah Gisher. Ah, alangkah berserinya malam!


"Terlalu indah malam. Tambah berseri pula dengan kehadiran Sang Puteri..."

Wulan yang sedang elok duduk di sisinya mengukir senyum.


"Patik orang kasar, tuanku. Tidak mahir dalam mencairkan kata-kata. Katakanlah yang sebenarnya, mengapa tuanku mahukan hati patik yang tidak bernilai apa-apa ini?"

Wulan terus menerus mengukir senyum sedang di hujung sana Nyx sedang gusar dalam memerhatikan sekitar.


"Aku telah tumpas dipanah sinar matamu. Bawalah aku pergi, Gisher. Aku tidak punya banyak masa di sini."


"Aku tidak pandai melarikan kepunyaan orang, puteri. Apa yang aku mahu, aku akan memintanya secara benar dari tangan yang punya hak. Kalau benar hatimu mahu disimpan di dalam hatiku, aku akan menemui Sang Bangsawan. Akan kurebut kau dari pangeran itu. Aku bukan laki-laki yang pengecut untuk membawamu lari!"

Wulan terpempan. Entah mengapa musim bunga seakan sudah bertamu mekar di dalam hatinya. Dia merenung mata yang jernih itu. Oh, di dalamnya ada kolam yang sarat dengan cinta. Wulan perlahan merebahkan tubuh ke dalam dakapan Gisher. Lantas lekas lengan kekar lelaki agam itu mendakapnya erat. Ada rasa yang sedang menjalar dan mengalir laju. Setiap urat dan darah sedang menyatu. Wulan tenggelam dalam wujud rasa yang terlalu agung.

Dia tidak salah memilih laki-laki! Laki-laki ini berani dan mahu memperjuangkan haknya demi cinta. Wulan mula merasa gagah kembali, tidak lagi berselerak emosi seperti tadi. Jiwa rasanya terasa dikuatkan oleh pengakuan Gisher. Dalam dakapan sang arjunanya itu, dia melontar pandangan ke hadapan. Muara yang indah sedang disiram cahaya anggun bulan. Romantis yang mengapung di dalam udara menyebabkan jiwanya seringan kapas.

Tatkala Wulan hampir terlena dalam ketenangan, kuping telinga terasa disentuh lembut oleh kelopak bibir milik Gisher. Dalam sedar dan tidak, dia menangkap kata-kata yang terungkap dari lelaki itu ;


"Aku akan menghadapi ayahanda dan tunanganmu sesudah kokok ayam yang pertama esok..."

Dengan itu, Wulan perlahan merapatkan kelopak matanya...!

Saturday, February 18, 2012

Mummy Yang Macam Mana Aku Akan Jadi?

Indah... rahmat agung RABB...
(Ehsan Google)

FUH! FUH! FUH! Dah berabuk benar dah blog aku ni. Bukan aku tak nak update, tapi tulah. Lappy kesayangan aku si Blackie ni tengah sakit tenat. Jadi, kalu online pun pakai hp je. Tak bolehlah nak update blog. Sedih! Kebetulan hari ni aku lepak dan tido umah si tengkorak Ikyn'z ni, bolehlah merampok pakai lappy dia. Hahahaha!

Merujuk kepada tajuk entri ni, aku nak ceritalah pasal kejadian yang berlaku beberapa hari lepas. Tengah aku syok makan tengah hari sorang2, tiba2 muncul seorang ibu bersama dua orang anak lelakinya minta izin nak duduk semeja dengan aku. Memandangkan semua tempat dah penuh, aku pun senyum dan jemput diorang duduk.

Aku tertarik dengan sikap dengan si abang. Umurnya sekitar 5, 6 tahun aku kira. Lakunya sopan, makannya elok dan langsung tak bersepah. Malah acapkali dia menegur sikap si adik yang makan dengan sesuka hati. Tapi aku agak geram dengan sikap ibunya yang bersikap acuh tak acuh untuk menegur dan mengajar anak kecilnya supaya makan dengan sopan. Bila si abang mengadu,

"Bu, tengoklah adik ni... makan bersepah sangat."

Si ibu terus menggeleng dan suruh si abang jangan nak marah si adik. Aku hampa dengan sikap dengan si ibu. Sampai aku buat kesimpulan yang mereka punya bibik dan si abang telah dididik dengan baik oleh si bibik. Tak tahulah.

Aku ni ada sejenis penyakit yang agak pelik aku kira. Aku sangat2 tak suka dengan bunyi budak kecil merengek. Yang jenis banyak tanya dan banyak mulut pun aku tak gemar. Kadang-kadang aku risau kalau dapat anak macam manalah agaknya? Selalu aku berdoa pada Tuhan supaya aku dapat anak yang biasa2 je. Tak perlu terlalu bijak, terlalu banyak mulut dan terlalu aktif. Biarlah aku dapat anak yang menyenangkan hati. Cukup. Banyak ibu2 yang aku tengok terlampau bangga bila anak diorang banyak mulut. Katanya budak bijak, banyak tanya. Aku tak suka. Pening kepala aku nak layan.

Risau jugak kalau-kalau esok bila ada anak, dapat yang banyak hal. Takpelah, semoga Tuhan memberikan aku kesabaran. Dah dapat jugak yang gitu, nak buat macam mana... cuma tulah, takut aku tak sabar... kadang2 pemikiran skeptis aku pernah juga berdetik, jangan2 aku ni tak ada rezeki nak dapat anak, pasal tulah... kurang sabar.

Itulah... agak-agaknya mummy yang macam mana aku akan jadi? Ataupun... memang takde rezeki nak jadi...? Hurm...