Wednesday, March 27, 2013

Sembilu Dalam Dada


SUSAH nak pujuk hati sendiri bila sembilu yang paling bisa tiba-tiba terbenam dalam dada. Apa boleh buat, aku ini memang sentiasa diselubungi dengan rasa yang maha kurang enak. Kata orang, apalah hidup dan pekerjaan tanpa masalah. 

Ia. 

Ia memang benar yang tidak aku tidakkan. Tapi kalau sudah terasa bagai teraniaya benar, aduhai... macam mana mahu kupujuk hati ini lagi?

Aku macam tak nak membebel panjang-panjang. Takut nanti lain pulak jadinya. Apa yang boleh aku katakan, kepada kawan-kawan yang sudi mendoakan dan tidak putus-putus memberikan sokongan, dukacita aku maklumkan yang Menunggu Nuraga dari Tuhan masih perlu menunggu. Ia tidak akan diterbitkan dalam masa terdekat ini.

Sekian.

Tuesday, March 12, 2013

Belas Kasih Tuhan


SYUKUR, alhamdulillah... setelah melalui penantian panjang untuk menunggu lahirnya baby sulung aku, akhirnya hujung bulan ini (in shaa ALLAH kalau tiada aral) ia akan keluar. Huhuhu~ Kalau orang mengandung, aku rasa dah bukan bunting kerbau lagi, ini memang dah bunting gajah! Hampir 3 tahun naskah ini 'bertapa' dalam gua, diperam semasak-masaknya. Alhamdulillah, sayapnya sudah kering dan sudah boleh membebaskan dirinya untuk terbang.

Adakalanya dalam melewati hari-hari dalam kehidupan lewat kebelakangan ini, aku jadi lupa dan kadang-kadang sesat. Tak tahu arah mana nak dituju. Hari ini, masuk hampir 3 tahun selepas hari terakhir aku bergelar mahasiswa. Aku sentiasa sedar, hidup ini takkan pernah mudah. Kerana itulah ALLAH SWT mengurniakan kita akal dan jiwa. Cuma itulah. Kita ini manusia yang tidak kamil. Kita ini manusia yang selalu khilaf.

Kamil Hijrah-Mu.

Naskah yang bertungkus-lumus aku tukangi demi Projek Tahun Akhir (PeTA) sebagai prasyarat untuk bergelar graduan Diploma Penulisan Kreatif (Pentas dan Cereka). Benar, novel setebal 360 m/s ini masih mentah. Walaupun sudah hampir 3 tahun ia diperam, namun mentahnya masih belum masak-masak juga. Hahaha~ Inilah natijah kelalaian aku. Aku kira tak mengapalah, in shaa ALLAH untuk novel yang kedua dan seterusnya nanti, aku akan berusaha dengan lebih tekun untuk memasaknya. Dengan harapan supaya ia boleh dihadam dengan baik oleh khalayak yang mahu menghadamnya (amin!). Semoga aku tidak akan berhenti. Amin, Ya-Rabb.

Seperti kebanyakkan manuskrip lain yang melalui sebuah perjalanan yang disebut 'proses', Kamil Hijrah-Mu juga telah berubah (diubah?) dengan memakai judul yang baru. Judul yang baru ini secara rasionalnya dilihat lebih mempunyai potensi yang bagus. Apa kata anda? ^_^

Menunggu Nuraga dari Tuhan.

Alhamdulillah. Setiap kali menatapnya, aku terasa diri bagaikan disihir dengan semangat yang baru. Di dalam naskah ini terkandung kenangan zaman terindah, ajaran guru, konflik diri, impian sepanjang hayat dan separuh nyawa-jiwaku yang telah aku tinggalkan. Untuk sesetengah orang, ia hanya sebuah novel kaku. Untuk aku, seluruh rasaku telah aku pertaruhkan bersamanya. Semoga mata penaku akan sentiasa basah dalam ingatan.

Untuk 'Guru yang Mengajar Aku Bagaimana Untuk Memanggil Masa Lalu', aku ucapkan terima kasih setinggi langit biru. Aku masih di sini, mempertahankan ini, kerana kau pernah menyihirku dengan kata-kata ;

"Biarpun tidak menjadi sasterawan negara, asalkan jangan melangkah keluar dari dunia penulisan ini juga sudah tidak apa..."

Terima kasih. Hutang budi ini kubawa mati.

* * *

"Aku tak sabar hendak menjadi dewasa... barangkali kerana aku mahu bebas" - Azad Ahmad Firjani

"Tidak! Aku tak pernah menyalahkan kau tentang apa yang berlaku. Percayalah... kita bertiga sama-sama bersalah!" - Abdul Rasydan

"Aku katakan bahawa sengsara itu cinta... dan cinta itu penakluk jiwa. Keindahan dan emosi yang menghidupkan jiwa manusia." - Wan Muhammad Wazien

- Menunggu Nuraga dari Tuhan -