Tuesday, August 31, 2010

Diari Ramadhan ( III )


EMPAT hari berpulang ke kampung halaman sungguh menyegarkan! Menikmati suasana bersahur dan berbuka puasa bersama keluarga tercinta merupakan nikmat RABB yang agung. Aduh! Apabila sudah kembali ke dunia hiruk pikuk bandar ini benar meletihkan. Kewangan semakin meruncing. Maklum sahaja, persiapan menyambut raya mengalahkan orang yang sudah berkeluarga dan beranak-pinak! Huhuhuhu...

Empat hari merasa air tangan bonda, aku sungguh berpuas hati! Kata orang, pejam mata rapatlah tidur malam. ^_^ Mak macam biasa. Soalnya ;

"Nak makan apa berbuka nanti?"

Aku pun macam biasa. Meminta dimasakkan lauk-pauk kegemaran yang berhasil mengecurkan air liurku semahunya. Hasilnya, Kerabu Taugeh, Sambal Terung, Sayur Keladi, Ayam Percik, Gulai Ayam Kampung antaranya yang terhidang siap di atas meja menunggu menjadi santapan. Aduh! Puas, sungguh puas! Tambah pula dengan air tebu yang dingin, hasil tanaman sendiri menjadi lawannya... aduhai. Terasa berat nak meninggalkan kampung halaman. Hasilnya, perut buncitku semakin ke depan! Hahahaha... nasib baik awal2 lagi aku dah batalkan nak beli kebaya.

Sempat juga menjengah ke bandar Kuala Terengganu yang semakin sarat untuk menjeling sepasang lagi baju raya. Tapi geram sungguh. Ada baju yang berkenan, tapi saiznya kehabisan. M sedang2 sangat. XL pula terlajak besar (xsangkakan? Hahahaha!) Aku mencari saiz L. Tetapi semuanya kehabisan. Aduh! Tekanan betul. Tak apalah. Menariknya, tanpa sengaja kami sekeluarga bertemakan biru tahun ini. ^_^ Raya pula disambut dengan anggota keluarga yang baru. Selamat hari raya, Kak Long! Shopping jom! Huhuhu...

Duhai bonda dan ayahanda, nantikan kepulanganku di hening pagi Syawal nanti...

Thursday, August 26, 2010

Neraka Sebuah Syurga



Kau menjanjikan
Panji ilusi sebuah syurga
Memartabatkan cinta seorang wanita
Mengembalikan jiwa seorang hamba
Pulang ke pangkuan Yang Maha Esa

Kibar panjimu tercalar
Dalam yuda membina maya syurga cinta
Sang senapati muda
Ternyata silap bermain susun silang kata
Teratak fiktifmu gagal saur sempurna

Oh, prahara meniupkan pawaka
Bukan irama gemalai yang ditarikan pawana
Ternyata prolog syurgamu
Terlanjur menjemput epilog neraka
Tertewas ditewaskan sebuah bangga

Hari ini inderiaku memberikan kesaksian
Kejatuhan empayar rasa kagum
Kaku kebuntuan masih terusik belum
Gemersik berbisik meraikan neraka sebuah syurga
Gita mengalun melankolia membenam jiwa!

Monday, August 23, 2010

Mencari Syurga Dari Ijok ke Sungai Buloh

Proses menukang di Ijok (Teratak Syurga Cinta) Panel MIG

Proses Shooting di Ijok dan Kota Damansara

Mimie jadi pelakon! Bersama Mia Sara. Huhuhu...

LIMA hari lamanya, aku dan Mimie sama terjun dalam kembara mencari 'syurga' bermula dari Ijok, Kuala Selangor ke Kota Damansara dan berakhir di Sungai Buloh semalam. Betapa susah, betapa penat, betapa tertekan sehingga aku dapat menukang sebuah puisi dalam perjalanan kami. Bayangkan betapa tekanan mampu melahirkan sebuah karya. Aduh!

Aku hampir menyerah kalah sebenarnya. Atau yang sebetulnya, aku memang dah menyerah kalah pun. Tapi ada yang tak membenarkan penyerahahan aku. Aku dipaksa bertahan walaupun aku memang sudah rebah. Rimpuh. Sudah tak punya kekuatan lagi untuk meneruskan sebenarnya. Ramai yang mendorong aku bertabah. Dan aku berusaha untuk bertabah, tetapi aku terlalu buntu. Tetapi kesan dari pemaksaan itu, alhamdulillah lima hari berlalu dengan 77 scene berjaya dicanai. Inilah cabaran dan dugaan besar yang mesti aku tempuh dalam perjalanan kerjaya aku sebagai panel skrip di sini. Aku cukup lega kerana aku dipaksa tabah. Kerana ia mengajar aku untuk tidak kalah. Kekalahan pada masa ini hanya akan merugikan semua pihak.

Catatan ini khas untuk para krew 'Epilog Syurga Cinta' seluruhnya. Walaupun drama ini mendapat kritikan hebat dari khalayak yang menonton, tetapi kita sama2 sedar dan tahu yang kita semua, terutamanya kalian telah memerah keringat yang bukan sedikit demi membawa drama ini daripada medium kaku di atas kertas ke layar kaca dengan jayanya. Kesempurnaan itu subjektif. Susah payah dan jerit perih kalian berbaloi. Walaupun susah, semuanya ditempuh dengan senyuman. Memang betul2 hadapi dengan senyuman! Masalah banyak, tapi kita tetap enjoy buat job ni! Siap masak lagi!

"Che Mat, buah melaka abang memang yang terbaeklah!"

"Nisha, puding roti dan masak tempoyak semalam memang... fuh! Betul sedap! Kena blajo masak dengan deme le jawabnya! Huhuhu"

InsyaAllah, walaupun kita terlanjur menjemput neraka dalam perjalanan mencari 'syurga' ini, namun kita masih boleh berbangga dengan kesemua kita kerana mampu bertabah! Kerana kesempurnaan itu adalah subjektif, maka epilog ini adalah sungguh sempurna!

Tuesday, August 17, 2010

Hakikat


Basah
Lekit-lekit lampau masih bertaburan di telapak tangan
Menjerut sekalung ingatan
Mengetuk sudut kasbah yang lekang
Lebar terkuak pintunya meruntuhkan hijab

Masih belum kering
Berkata inderia pandang sesetengah mereka
Hairan lekas bertamu
Kontang sudah menurut aku
Lekas yakin bertamu mengusir ragu

Mari aku khabarkan
Sudah kering... ertinya tidak lagi basah
Kau mahu memandang bagaimana
Atau aku ingin memahami
Penafian tidak akan mengubah realiti

Lekit-lekit tidak lagi melekat
Saur gita tidak lagi mengalun ghobar hakikat...!

Monday, August 16, 2010

Hening Syawal Yang Pernah Singgah


Baju untuk raya pertama. Huhuhu... dah beli! Baru 7 hari puasa...

BILA meraikan Ramadhan yang mulia, pastilah dalam kepala sudah terkenang Syawal yang bakal menjelang sesudah Ramadhan melabuhkan tirai senjanya yang ke-29. Apalah yang boleh kita ceritakan tentang Syawal melainkan kegembiraan meraikan sebuah kemenangan dan harinya di mana kita saling bertemu dan memaafkan di antara satu sama lain.

Semasa aku masih di dalam susuk anak kecil, Syawal adalah satu kemestian yang paling menggirangkan. Selain dari mengumpul duit raya dengan seluruh sanak saudara, hari raya memang menjanjikan seribu satu kegembiraan. Selalunya selepas masuk malam 15 Ramadhan, kami akan mula mencari buluh dan pelita. Terang seluruh kawasan rumah dengan cahaya pelita yang sayu indah. Masa ni aku duk umah kayu dekat dengan umah Teh (kakak mak aku). Sepupu ramai. Epi, Edi, Peyus, Abang Mir, Kak Ayu dan Kak Sa pun join sekaki dengan kami empat beradik. Seronok lawan pasang pelita. Masjid pun depan rumah, dapat dengar orang terawih. Suasana puasa+nak raya memang hidup.

Dan selepas itu setiap malam adalah syurga buat kami. Main bunga api dan mercun adalah mesti! Aku biasalah, tipikal perempuan. Lebih gemar dengan mercun yang meletup-letup dengan berwarna-warni. Mercun naga namanya. Cantik! Aku paling tak suka dengan mercun bawang sebab budak2 ni suka campak dekat kaki. Tak sukalah! Mercun tarik macam biasa, memang diletakkan di antara selipar. Bila tertarik... pap! Huhuhu... semua orang ketawa. Selain tu mercun jarum. Bentuknya seakan mancis tapi menghasilkan letupan yang agak kuat. Paling kuat adalah mercun bola. Bunyinya... wow! Hebat! Tapi selalunya memang suka main bunga apilah.

Bunga api mempunyai satu kenangan yang takkan mungkin aku lupakan. Masa tu aku tak tahulah sama ada ayah lupa atau buat2 lupa untuk membelikan bunga api. Aku dan adik tak berani nak tanya pasal ayah memang garang orangnya. Along aku pulak dah besar. Dah pandai beli mercun sendiri. Jadi untuk mengubati hati, aku ajak adik aku tuang minyak tanah dalam cawan dan main cucuh2 ranting kayu. Punyalah seronok sampai tak sedar percikan minyak tanah tu dah menyala atas pangkin. Adik aku tiba-tiba cuak dan dia ambil secawan minyak tanah tu (yang disangka air sebab terlalu panik) lalu menyimbah ke arah api yang mula nak menyala tu. Apa lagi... wush! Pangkin terbakar! Ayah aku adalah ahli bomba yang baru nak gi kerja (shif malam) apalagi terus amik pasir dan curah atas pangkin. Hadiahnya, aku dan adik dirotan atas tapak tangan sampai jari aku cedera. Sebabnya ayah terlalu geram (pangkin tu baru buat... hahahaha). Tapi ayah tetap ayah. Esoknya balik dari kerja, dia belikan sekotak bunga api! Hah... mainlah sampai lebam! ^_^

Pagi raya macam biasa, kontrak aku adalah buat air, potong nasi impit dan cuci pinggan. Jadinya setiap kali pagi raya pertama aku akan pakai baju kurung biasa2 je pasal memang duk dapur. Huhu... hari raya kedua baru pakai lebih sikit pasal jadual hari raya kedua memang pergi beraya ke rumah jiran dan keluarga yang duduk dekat. Raya ketiga melangkah jauh-jauh beraya ke rumah saudara-mara. Raya ke4 beraya ke seluruh kampung dan rumah saudara yang bau-bau bacang. Aku beraya ke rumah kawan-kawan pun masa raya ke4.

Sekarang dah tak macam dulu. Sejak pindah ke rumah baru, kami dah tak pasang pelita. Pasang lampu kelip-kelip je tapi perasaannya tak sama. Kat sini angin terlalu kuat, tak boleh pasang pelita. Sepupu semua dah jauh. Masjid pun jauh. Sunyi sungguh. Tahun ni aku balik malam raya. Lagilah sedih perasaannya. Tapi tak kesahlah! Balik juga... itu yang penting. Hm, aku tunggulah dapat anak-anak buah nanti. Mungkin masa tu baru ceria Syawal tu akan kembali. Yelah, rumah dan riuh dengan suara budak... mesti seronok!

Duhai Syawal yang indah... pasti kukira detik bertemu kembali.

Sunday, August 15, 2010

Diari Ramadhan ( II )

HARI ini sungguh penat! Sudahlah bersahur dengan air suam + kurma sahaja, sepanjang tengah hari sampai ke petang pula merayau sekitar 'Kolumpo'. Huhuhu... letih campur seronok sebenarnya. Dah tak lama tak berjalan ke mari dengan Mimie. Sedangkan semasa menuntut dulu, hampir setiap hari kami menjejak ke sini. Berjalan dengan Mimie seakan menelusuri kembali suatu kehidupan yang telah pun tertinggal di dalam relung masa yang telah berlalu... ada secebis sendu di situ. Namun aku sungguh bersyukur kepada RABB kerana ehsan-NYA memelihara hubungan aku dan Mimie sehingga ke hari ini. Alhamdulillah...

Mulanya kami ke Putra, mencari tiket untuk berpulang ke Terengganu kelak. Syukur sungguh, masih ada tiketnya! Tak kiralah tiket tu adalah untuk bas dua tingkat yang cukup aku tak gemar, tak kiralah tiket tu bertarikh malam raya di mana aku akan sampai ke kampung pada hening pagi Syawal yang indah... selaut syukur aku panjatkan kerana berpeluang beraya bersama keluarga. Rindu sungguh rasa hati. Destinasi seterusnya kami merayau ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Wah, seronok sungguh mencuci mata! Dalam beringat nak intai2 sahaja dan membeli kemudian selepas dapat gaji, masih sempat aku sambar sepasang baju kurung berwarna biru putih. Huhuhu... cadangnya tahun ni nak kebaya merah dan baju kurung kuning. Lain pulak jadinya. Kebaya merah cancel! Nak cari baju kurung kuning je lepas dapat gaji nanti.

Sudah tu, aku mengenang dua berita baik... satu, sahabat baik zaman sekolahku yang baru sahaja menyandang status isteri pada bulan 3 yang lalu, alhamdulillah! Bakal menyandang gelaran ibu pula. Segala puji2 pada ALLAH yang melimpahkan rezeki dan khabar gembira kepada hamba2-NYA... keduanya, sahabat zaman di akademi (tentu sahaja keduanya masih sahabat sehingga ke hari ini) pula bakal melangsungkan hari bahagianya selepas raya ni. Nak jadi isteri orang sudah sahabat aku yang manja dan degil ni! Huhuhu... aku sedang mendoakan yang baik2 untuk kalian.

Buat Mimi Aima Mamat yang bakal menjadi seorang ibu dan Nurjihadah Baharuddin yang bakal menjadi seorang isteri, berkat bulan yang mulia ni, semoga kalian dilimpahi rahmat. Selamat menjadi ibu dan isteri yang baik dan membahagiakan keluarga baru kalian. Amin...! (^_^)
ALLAH
Tuhan yang sarat dengan Ar-Rahman dan Ar-Rahim
KAU saratkanlah pula hati kami dengan cinta yang tiada musim surutnya
Kasih yang tiada musih luruhnya
Kesetiaan dan kejujuran yang mekar laksana musim bunga
Kami memohon dengan penuh kerendahan jiwa seorang hamba
RABB
Kau ikatkanlah ijab kabul Haniff dan Nurjihadah ini
Agar terpatri abadi
Mekar harumannya hakiki
Menyihir inderia dengan kasturi musim semi
Sehingga KAU menjemput kami kembali

RABB
Tuhan yang sarat dengan Al-Khaliq dan Al-Muhyi
Telah KAU perkenankan wujud suatu jasad yang berasal dari setitis air
KAU limpahkan suci kasih-MU
KAU hadiahkan gembira yang tiada tara buat seorang bonda
Dengan penuh rasa malu kami meminta
KAU selamatkanlah sembilan bulan ini
Perkenankanlah pula kelahiran yang teristimewa sesudahnya
Buat zuriat yang halal
Sang cahaya mata belahan jiwa yang menghilang duka
Amin... Ya, RABB

Thursday, August 12, 2010

Diari Ramadhan


HARI ni menu bersahur up sikit! Lima biji kurma+secawan nestum+dua gelas air suam= erk, alhamdulillah! Lepas subuh, aku 'membungkang' balik! Hahaha... apalagikan? Tapi pukul 8 dah bangun balik pasal jadual kerja sepanjang bulan puasa ni bermula 8.30pg-5.30ptg (tapi semalam balik dekat pukul 7 jugak. Apa boleh buat... kerja, kerja, kerja!) Mimpi ngeri aku dengan Epilog Syurga Cinta dah berakhir. Berjaya juga kami (panel MIG : Aku & Mimie) menyudahkan skrip yang bercelaru tu dengan persetujuan bos. Kepala pun dah ringan sikit. Huhuhu... sekarang fokus nak menyiapkan Jangan Pandang Belakang Congkak : The Series pula. Dah jadi trend untuk membawa filem ke dalam bentuk drama.

Bulan2 puasa ni, pejabat pun senyap sunyi sahaja. Masing2 menayang muka monyok dan mengantuk (termasuklah aku!) Selalunya riuh heboh! Ada je benda yang boleh dijadikan bahan mengusik dan ketawa.

Berbuka satgi cadangnya nak masak. Tapi Mimie dah merengek2 menarik aku ke Bazar Ramadhan. Aku bukan apa, malas nak ke sana pasal bajet aku confirm lari! Aku ni bukan boleh tengok aneka juadah depan mata. Mulalah itu nak, ini nak! huhuhuhu... Tapi juadah yang aku rasa nak beli untuk berbuka ini ialah, nasi putih + ayam goreng + kuah gulai + telur masin + air kelapa + buah melaka= pergh! confirm kenyang gila! Hahaha...

Oklah, aku ucapkan selamat berbuka puasa kepada semua! (^_^)

Wednesday, August 11, 2010

Ramadhan Kali Ini...


KLISENYA kita akan mendengar ayat ini, sedar tak sedar Ramadhan datang lagi. Huhuhu... itu adalah realiti jujurnya. Sekejap saja masa berlalu... telah kembali bulan penuh barkah ini kepada kita. Sejak aku melangkah keluar dari rumah kedua orang tua kira-kira 6 tahun yang lalu, aku menjalani Ramadhan yang sungguh sepi sebenarnya. Tanggungjawab pada pelajaran dan kini pekerjaan menyebabkan sangat jarang aku dapat menikmati acara berbuka puasa bersama keluarga. Kalaupun ada cuti, beberapa hari sahaja.

Ramadhan kali ini tak jauh beza dengan yang lepas. Menu wajib berbuka yang mudah2 saja. Tak ada hidangan penuh meja seperti di kampung. Kalau di kampung, ada beberapa juadah wajib yang mesti berada atas meja setiap hari. Murtabak, popia goreng, timun cina (tembikai, huhuhu), antara yang MESTI! Hidangan pusing (wajib buat tapi bukan setiap hari) pula, ikan pari bakar dengan sambal istimewa mak, ayam percik, kerabu, dan beberapa lagi hidangan kegemaran anak2 akan dimasak mak. Aku suka sambal terung, kerabu taugeh dan tumis air sayur keladi. Along, ikan talapia merah masak lemak ataupun goreng cili api. Mifdhal, ikan bawal masak tomato. Arrif takde lauk specifik. Asal sedap dia memang gemar! Hujung2 puasa, mak akan buat karipap pusing yang sangat sedap! Masa aku kecik dulu, mak suka buat air soya sendiri, tapi dah lewat usia ni kudrat pun semakin berkurang menyebabkan mak mengeluarkan kenyataan seperti ini;

"Sesetengah benda terlalu leceh! Beli sajalah..."

Huhuhuhu... aduh! Rindunya musim berbuka di kampung. Tahun ni dah bertambah dengan Kak Long. Kak Long suka lauk apalah? Huhuhu... Puasa bermula hari ni, menu bersahur biasalah : Air Suam! Kebetulan nestum aku dah habis. Kena pegi beli nih! Berbuka sedap sikit, pasal bos belanja dengan kawan-kawan pejabat semua. Hari pertama puasa saja, kena bepergian ke Ijok. Urusan kerja katanya. Kasihan Jocelyn. Serba salah sungguh dia nak minta diri untuk pergi makan. Masa berbuka pun beberapa kali dia tanyakan;

"Eh, dah boleh makan belum?"

Selagi belum azan, memang dia tak sentuh makanan walaupun aku dah bagi tau supaya dia makan je. Aku oke! Huhuhu... Kalau tahun2 sudah, awal2 lagi baju raya dah siap. Pasal tukang jahit kat kampung memang tak nak terima tempahan bila dah masuk bulan puasa. Tapi tahun ni aku bercadang nak beli saja. Sepasang baju kurung warna kuning dan sepasang kebaya labuh warna hitam merah cadangnya. Tiket balik kampung pun belum beli. Sibuk sangat... aduh! Risau jugak ni. Tiket ke pantai timur memang macam pisang goreng panas. Silap2 dah habis! uiii... jangan! Meraung aku...

Berbuka esok lusa cadangnya nak masak je. Jimat sikit. Banyak nak pakai duit lepas raya ni. Macam puasa2 sudah juga, acara berbuka aku memang dengan Mimie je la. Huiii.... nak balik kampung! Oh, ye! Malam ni cadangnya nak tarawih. (^_^) Buat lapan je kot! Huhuhuhu...

Salam Ramadhan yang penuh barkah... selamat menunaikan ibadat puasa dan semoga kesemua kita berhasil mencicip rahmat yang Maha Esa... amin!

Monday, August 9, 2010

Kehidupan Yang Telah Lewat


LEWAT kebelakangan ni hidup aku banyak berubah secara mendadak sampaikan bila aku bangun pagi tadi, sambil2 duduk di birai katil aku termenung sejenak (padahal dah lewat nak ke pejabat! huhuhu). Banyak perkara yang dah berlalu dan banyak pula kenangan baru yang tercipta menindih kenangan yang lama dulu. Hujung minggu lepas aku menghabiskan masa di Perak. Bercuti dengan si dia. Huhuhu... seronok kerana terasa air terjun tempat aku berendam sambil kecut segala urat tu telah mengalirkan dan membawa bersama segala sisa yang tertinggal dalam hati aku. Semuanya dibawa pergi! Tak ada lagi yang sempat tinggal di hati.

Aku pernah mengatakan pada 'dia', hati aku bukan kertas. Dan apa yang pernah tertulis disitu bukan tinta yang bisa dipadamkan dengan cecair pemadam. Bukan! Dan 'dia' menjawab aku;

"Hati awak memang bukan kertas! Dan saya pun tak mahu memadamkan semua yang tertulis tu. Saya cuma nak menutup segala yang lama itu dengan segala yang lebih bersifat baru..."

Pada ketikanya aku berendam di dalam air terjun yang jernih itu, aku merasai seluruh kebenaran kata2nya itu. Aku bukan seorang yang suka berbicara tentang CINTA di ruangan ini. Terkecualilah puisi2 yang kutulis itu. Aku merasakan soal hati adalah soal yang lebih enak kalau diperibadikan. Tetapi kali ini aku merasa perlu merakamkan rasa hati di sini. Kalau masa boleh diundurkan, aku tetap akan memilih untuk menjalani hidup ini seperti ini. Aku tak pernah menyesal dengan apa yang telah berlaku. Aku yakin benar, penyesalan hanya akan membunuh diri detik demi detik.

Tidak menyesal, tidak pula bererti aku tak sedar salah betul setiap perbuatan aku. Aku cukup sedar! RABB... hanya KAU yang Maha Mengetahui dan Maha Mengerti di atas segala sesuatu itu. Setiap hari aku berperang dengan hati. Kalah atau menang, aku juga yang menanggung sakit nikmatnya.

Ada seorang lelaki pada suatu masa dahulu. Mengetuk pintu hati. Menghulurkan sebakul rasa hati dan aku terima baik. Tapi penerimaan aku sekadar di mulut. Jadinya hubungan itu bertahan sekadar tiga bulan sahaja. Sejak dari itu, hubungan aku dengan lelaki2 selepas dia selalunya tak menjadi. Menyebabkan aku terfikir, karmakah yang aku tanggung kerana mengecewakan lelaki sebaik dia? Dia sungguh ikhlas. Sampai sekarang aku tak berpeluang meminta maaf kerana melukakan dia. Selepas dia, datang pula seorang lelaki yang sentiasa ada 25 jam sehari dan 8 hari seminggu bersama aku. Aduhai... percaya atau tidak, dalam setiap detik bersama aku, entah betapa sempat dia masih meliar bersama perempuan lain. Dia melayan aku dengan sangat baik sebenarnya. Sangat-sangat baik! Tapi sikap suka meliarnya itu menyebabkan aku mengucapkan selamat tinggal dengan hati yang sungguh berat. Percaya atau tidak, sampai sekarang kami masih berhubung. Bertanya khabar dan sebagainya, Sebagai Kawan sahaja tentunya.

Di kala awan mendung sarat dengan guruh dan kedinginan yang mencengkam sampai ke tulang, datang seorang lelaki yang menyelimutkan aku dengan kehangatan. Yang ini aneh. Dia tak pernah ada. Tapi wujud. Dalam ketiadaannya, dia sentiasa dekat di hati menyebabkan aku terlalu kasih padanya dengan perasaan yang paling halus. Terlalu halus sehinggalah aku menerima khabar tentang pilihan lainnya dan perkahwinannya. Apa lagi yang boleh kita katakan?

Kali pertama dalam hidup, aku merasa sakit yang betul2 sakit. Sakit yang aku rasa sebelum ini automatik jatuh bukan apa2 kalau nak dibandingkan dengan sakit kali ni. Aduhai... entah macam mana, 'dia' datang dengan hanya menghulurkan tangan. Tidak meminta apa-apa melainkan mahukan huluran yang dihulur aku sambut dan tangannya aku genggam. Lebih dari itu dia memohon untuk menyimpan hatiku di dalam hatinya. Supaya hati itu tidak akan terluka lagi. Supaya sakit yang aku sengsarakan akan terhenti dan berganti dengan rasa indah yang lainnya. Supaya senyum yang aku ukirkan tidak lagi bersulam duka dan supaya airmata yang mahal nilainya itu tidak akan terbuang lagi.

'Dia'... bagaimana dapat aku katakan pada 'dia' yang aku benar-benar menghargai datangnya 'dia' dalam hidup dan hatiku? Bagaimana dapat aku ungkapkan apa yang ada dalam hatiku saat ini...? Bagaimana dapat aku zahirkan musim semi yang sedang bertamu dan memekarkan bunga rasa? Walaupun telah lewat 'dia' datang dalam nyali yang selalu rawan ini, namun masih belum terlambat!

RABB... telah aku ikhlaskan segala rasa. Hanya pada-MU tempat aku merapatkan kedua tapak tangan dan merayu-MU dengan seluruh rasa yang KAU wujudkan... jadikanlah ini yang terakhir. Kerana KAU yang Maha Mengerti... redhakanlah hati dan restuilah. ALLAH yang sarat dengan sikap kasih, sesungguhnya KAU yang Maha Esa... amin!

Tuesday, August 3, 2010

Puisi Bulan Kepada Malam


Pada suatu ketika
Di mana langit terlalu kelam
Suram menaburkan hitam di mana-mana
Telah berkuburnya sekeping hati
Mati dibunuh segerombolan janji

Datang dia entah dari pelusuk mana
Membawa segenggam pelangi dan secangkir bicara
Lalu dia tebarkan jala sapta warna dan panca rangkai kata
Menyihir kuburan jiwa dan menyeru nyawa
Perlahan nafas memainkan gita

Di malam hari ini
Dongaklah mengintai bulan di langit tinggi
Cahaya peraknya benar membelai
Gemilang menenangkan resah qalbi
Menjanjikan euforia sehijau musim semi

Duhai malam yang mengusir derita dan menjemput bahagia
Bulankan kekal bersinar meraikan jiwa