Tuesday, March 30, 2010

Aku Pilih Derita...!


AKU masih percayakan cinta! Aku tak mahu jadi hipokrasi... aku tak ingin bikin celaru emosi. Kau selalu bertanya, apa cinta untukku? Dan seperti selalunya juga aku menjawab, sengsara itu adalah cintaku. Lalu kau bertanya lagi seperti hari-hari yang telah berlalu, mengapa cinta harus sengsara? Akhirnya aku akan tetap menjawab, sengsara adalah roh cinta dan cinta adalah roh nyawa. Kemudian kau akan mengangguk dan aku kira itu adalah anggukan mengerti.

Aku pilih cinta. Ertinya aku pilih sengsara. Begitukah? Aku tahu engkau adalah bahagia bagiku... realisnya juga engkau adalah derita. Para sahabat pernah tanyakan pada aku,

“Wahai Sang Ratu, mengapa kau enggan melepaskan...”

Selalunya aku enggan menjawab terus melainkan memilih untuk diam. Mengharapkan nyenyatku bakal memahamkan mereka bahawa aku tidak punya jawapan untuk soalan mereka itu walakin aku sendiri tahu bahawa menipu para sahabat samalah seperti bohong pada nyaliku sendiri. Maka seburuk-buruk penipuan itu tiadalah lain melainkan dengan pendustaan nyali sendiri. Kerana terpukul dengan hakikat sedemikian, aku jawablah juga dengan sukma yang penuh berontak,

“kerana aku pilih derita...”

Meloponglah para sahabat. Sahabat I bangkit dan dengan suara yang memetir keras dia berkata,

“Ratu, kau masih belum temui mata yang bisa membisukan bibir serta qalbimu untuk ribuan tahun lamanya dan kau masih bahagia dengan situasi itu!”

Sahabat II pula terduduk lalu dengan suara yang perlahan campur tegas dia segera melempar bicara,

“Ratu, kau terlalu percaya yang sinar sebutir permata akan tetap dapat ditenggelamkan kilauan selerakan kaca. Kau harus belajar mendongak kepala!”

Engkau... dengarkah kau pada kata-kata para sahabatku? Melewati kuping telingamukah? Sempat singgah ke kesumamukah? Kalau terdengar, aku mohon abaikan. Aku tahu sendiri, tanpa permohonanku pun kau masih tetap jadi patung kencana. Kau hanya bernyawa tika bersamaku, bukankah?

Hari ini, aku enggan mengingati semalam. Aku tak sudi mengenang esok. Walau indah semalam masih bisa membaluti memori hari ini namun aku jijik mengungkit. Esok adalah fantasi. Untuk apa difikiri? Aku tahu hasratku tidak pernah keliru. Kau selalu katakan padaku, indah mempunyai harapan. Harapan adalah sama seperti separuh daripada harapmu telah tertunai. Petikan kecapi euforia mengiringi canaian hari-hari di mana harapanmu terukir di qalbi. Aku menggeleng kepala sekerasnya. Harapan untukku adalah hukuman yang paling kejam. Kau gembira untuk seketika, dan jika pada penghujung waktu kau akhirnya sedar dan tewas merealitikan impian harapanmu, bukankah sakitnya membunuh kesumamu? Mematahkan vitalitimu untuk meneruskan degup jantung. Bukankah?

Engkau selalu mahukan euforia mewarnai nyalimu supaya terukir bianglala di situ walaupun untuk sedetik cuma. Kau tidak tamak, katamu. Kau rela mengisi bahagia walau kau tahu ia tidak akan lama. Namun aku juga enggan menurut itu. Kau tahu, aku selalu percaya adalah terlalu indah dilupakan. Ia menzahirkan kerinduan yang tiada padam. Tahukan engkau itu? Untukku, andai bahagia bersamamu hanyalah seketika, maka aku lebih rela memilih derita merinduimu.

Engkau harus tahu. Cintaku tidak buta, tidak juga bermata. Tahukah? Cinta yang tidak mengenal hujungnya. Cintaku tidak punya suara namun tidak pula ia bisu tanpa bicara. Cintaku tidak bersyarat. Cintaku tidak punya permintaan.

Aku hanya punya cinta. Cinta sepenuhnya atau tidak ada langsung! Itu sahaja. Para sahabat juga, ketahuilah perihal cintaku yang tidak ada apa-apa.

Kata mereka, cinta itu puncak hidup. Tanpanya hidup ini tak akan mungkin sempurna. Sempurnakah cinta? Tiada cacat celakah? Adakala tika sakit dan sengsara yang melingkar jiwa menyebabkan aku ingin benar menancapkan bilah pisau di antara jantungku, membelah hati dengan belati, memutuskan urat nadi dengan mata yang tajam berkilauan. Cinta Juliet bisa jadi agung apabila bibir Romeonya mencicip manis setitis racun lalu menikmati saat-saat racun itu enak melalui tekaknya, melewati rongga nyawa lalu mengirimkan cinta ke alam syurga. Seperti mana kasih Romeo juga melayah ke alam dewa-dewa tatkala Sang Juliet membenamkan bilah belati dalam-dalam ke dalam jantungnya. Membelah jiwa dan membawa bersama cinta ke inderaloka.

Cinta mereka menyusuri zaman bukan? Kasih mereka mengatasi batas setempat tidakkah? Dunia mengenal agung cinta mereka. Namun terbuktikah kasih hanya dengan kematian? Andai kematian bisa pasti jadi riwayat yang menghikayatkan cinta, aku rela meletakkan sebutir peluru ke dalam kepalaku. Aku rela benar-benar meletakkan tengkukku di antara siong sang tedung andai mati itu pasti bisa menjadikan cinta itu hak mutlakku. Namun benarkah? Benarkah matiku akan menjamin itu? Aku masih belum dapat memastikan. Dan kerana ketidakpastian itulah, aku masih bisa bernyawa. Aku tetap dapat menghela nafas semahunya dan degup jantungku masih berdetak derita. Aku hanya punya satu cinta. Hanya satu!

Cintamu berbeda semuanya. Cinta kata-katamu berbeda dengan cinta perbuatanmu berbeda juga dengan cinta tulisanmu tetap berbeda lagi dengan cinta hatimu. Aku tak tahu jujurnya yang mana satu daripada beda cintamu itu adalah cinta untukku.

Adakalanya aku gagal membaca namun ada ketikanya aku hanya tahu. Ia berbisik ke dalam sukmaku. Aku sekadar Sang Ratu yang semakin pudar serinya namun masih punya cinta yang tak tersentuh puncaknya! Untuk itu sengsaraku terbasuh dengan bahagia.

Engkau, andai bahagia bagimu adalah pergi dan bersama dengan Dewi yang kau kasihi, aku akan melambai pemergianmu dengan sekalung doa. Berbahagialah kalian berdua sehingga ke pintu syurga. Andai bahagia bagimu adalah sendiri dan melayari penghidupanmu dengan semahu hati, maka aku akan membiarkan kau dengan duniamu sendirian dan memerhatikan kau dari suatu sudut kecil tanpa suara. Aku tetap akan ada untuk menyambutmu andai engkau rapuh dan terjatuh. Kau takkan pernah rebah. Itu janjiku. Jagat raya ini milik cintaku. Terbanglah ke bumantara. Aku tetap berdiri di bentala, bersiaga memastikan sayapmu tak akan pernah patah. Senyumanku milikmu. Dengan itu, bianglala tetap berseri walau tanpa kurrat seperti punya rawi dan cendera. Zulmat masih enteng kusisih pergi.

Engkau, wahai kekasihku. Aku mahu kau mengerti, aku tak rawan bila kau pergi... namun aku terkilan bila kau enggan kembali. Namun aku masih terus menanti. Setia kerana panah cintamu telah sesap ke dalam khali nyaliku. Aku enggan melepaskan kerana sengsara adalah roh cinta dan cinta adalah roh nyawa. Aku masih percaya. Seperti hari-hari semalam dan hari-hari yang bakal mendatang, aku masih tahu yang hasratku tidak pernah keliru.

Andai derita merinduimu itu sebenarnya bahagia, maka aku pilih derita!

Monday, March 29, 2010

Buruk Sangatkah...?

KADANG-KADANG aku tertanya2 sungguh... buruk sangatkah menjadi aku? Asal orang tengok saja muka aku, mesti lama2 akan keluar ayat ni dari mulut diorang,

"Nak aku make-overkan kau tak?"

Aku geleng2 sambil senyum saja. Apakah salahnya... apakah buruk benar kelihatannya kalau aku hanya betah menyarung jeans dan t-shirt saja ke tubuh ni? Aku pernah cuba melaram, pakai comel2... tapi tak sesuailah dengan jiwa. Untuk apa kelihatan elok tapi hakikatnya aku sendiri tak selesa. Sejak bekerja, aku mula melanguk depan almari (perkara yang aku tak pernah buat seumur hidup!) memikirkan baju apa yang dipakai supaya kelihatan lebih elok dari biasa. Tapi... aku tak suka. Aku suka menjadi aku yang bangun pagi, mandi, sarung baju dan jalan. Aku ambil masa setengah jam saja untuk semua tu. Kadang2 sempat sarapan lagi. Pukul 8 aku bangun, 8.30 dah boleh keluar umah. Sekarang dah tak boleh. 7.45 dah kena bangun. Pilih baju, pakai make-up (kerja pejabat katanya) kemudian baru keluar umah.

Aku tak betah selalu begini. Aku pernah ke pejabat sesempoi yang mungkin. Terbeliak mata semua orang melihat aku selekeh begitu. Bila esoknya aku pakai elok2, ada akak menegur,

"Barulah sedap mata memandang..."

Sedap mata memandang, sedap ke hati aku merasa. Aku tahu, semua orang perlu berubah. Perlu lebih matang dan dewasa. Perlu tahu tatacara. Tapi adakah apa yang kita pakai, cara kita bertutur dan perilaku kita yang sopan saja yang menjadi kayu ukur betapa baiknya kita sebagai seorang insan? Aku seorang yang kasar, cakap kasar, perilaku pun kasar (macam jantan kata bondaku) malah, pakaian pun selekeh (berselipar jepun, jeans dan t-shirt, tudung pun main sarung je, tak pandai nak belit2, taruk pin kilat2). Jadi adakah aku ni manusia yang tak sempurna dan elok jadinya?

Kalau kesempurnaan itu dinilai dengan perkara yang cantik, indah dan baik2 saja... aku fikir, aku lebih bahagia menjadi yang tidak sempurna...!

Tuesday, March 23, 2010

Antara


Di manakah kubur seekor kupu-kupu
Di antara peniti dan paku

Di manakah terletaknya nombor tujuh
Di antara enam dan lapan

Di manakah kurrat sang pelangi
Di antara hujan dan mentari

Di manakah kesudahan hutang mati
Di antara hujung rambut dan jemari kaki

Di manakah ai yang sejati
Di antara mata dan nyali

Wednesday, March 17, 2010

Adalah Penting Untuk Merasa Diri Penting!

Sebelum ni, aku memang tak rasa penting untuk merasa diri penting sebab kepentingan untuk merasa penting itu hanya terpulang kepada orang-orang yang penting dan dipentingkan oleh perkara2 yang penting. Penting ke untuk rasa penting? Coz aku dulu fikir penting tu subjektif. Kalau kau rasa penting, pentinglah dan kalau kau rasa tak penting, tak pentinglah jadinya. Tak gitu? Betul ke tidak?
Hahahaha... pening ke belum? Aku ala-ala nak peninglah ni. Bukan apa, aku baru-baru ni baru dapat kerja baru. Kawan-kawan baru, persekitaran baru dan BOS baru! Rumah pun baru. Jadi aku yang baru ni terkial-kial sikit yang meninggalkan diri yang lama. Risau pun ada. Boleh ke tidak aku buat kerja? Berkualiti ke tidak kerja aku tu? Boleh memuaskan hati bos ke tidak? Aku memang terkial-kial datang kerja, terperuk macam penyu tua depan Blackie (laptop mummy!) sambil berpura-pura sibuk supaya tak nampak macam goyang kaki. Tapi selepas memberanikan diri berhadapan dengan bos selepas mendapat khidmat nasihat dari Abang Hairi (trimas, abang!) aku mula menjadi yakin.
Madam pun cakap pada aku,
"Awak jangan terperuk senyap-senyap dalam bilik tu saja. Jumpa saya setiap hari, laporkan kerja awak pada saya. Jangan sampai saya lupakan awak!"
Beliau berkata-kata sambil menepuk bahu aku sebanyak dua kali. Aku terima sebagai pembakar semangat. Dengan bos lagilah. Katanya,
"Kamu, jangan takut kena tegur (marah) sebab kamu akan tahu salah kamu. Jangan jadi macam pokok yang hijau daunnya tapi akar dah berulat dan bakal reput bila2 masa!"
Bos kata, bilik beliau tak ada halangan. Aku dan pekerja yang lain boleh datang bila2 masa sahaja demi menyampaikan apa saja komen, tak puas hati, berbincang masalah, menyampaikan berita terkini... pokoknya semua! Apa saja! Jangan rasa takut atau segan atau malu atau... apa saja! Jangan. Maunya terus terang saja! Aku entah kenapa lantas magis merasa diri penting. Aku rasa pun semua pekerja di sini merasa diri mereka adalah satu kepentingan dalam syarikat ni. Satu pujian aku kalungkan. Semangat untuk bekerja membara kerana bos sendiri cakap,
"Tengok preview, lepas tu bagi komen kepada saya sendiri. Jangan melalui orang lain!"
So? Sebenarnya hari ni aku memang semakin yakin, adalah penting untuk merasa diri penting kerana apabila kita rasa kita penting, kita juga akan rasa kerja-kerja kita penting dan oleh kerana ia penting, adalah satu kepentingan untuk menjadikan ia sempurna lalu kerja-kerja yang penting itu akan mendatangkan hasil yang penting pula! Dah pening? Kalau belum sila bongkok dan letak jari telunjuk atas lantai kemudian pusing sebanyak 18 kali sampai muntah!

Thursday, March 4, 2010

Perlukah Aku Menulis Ini?


DARI saat aku membaca tentang laporan CUEPACS mengenai isu yang aku yakin semua orang tahu itu, aku cuba bersikap rasional dan menahan diri dari meletup seperti Merapi yang melimpahkan kemarahan secara ganas. Aku cool! Pasal aku tahu, laporan seksis seperti itu tidak akan menjejaskan aku. Sentuh hujung kain aku pun tidak.

Tetapi! Hari demi hari, tak habis2 nampaknya orang2 sibuk memperkatakan tentang isu ini. Segala komen negatif terhambur, baik dari sikap membela diri kaum hawa bercampur dengan kutukan dan perli memerli dari kaum Adam. Tidak kurang juga dengan komen positif. Ramai yang bersikap rasional, memberi komen yang bijak dan tenang. Aku masih menyimpan perasaan dalam2. Senyap saja... nak buat macam mana. Lama kelamaan naik nipis sudah kuping telinga. Tak dapat nak tahan-tahan lagi pasal makin lama makin banyak komen-komen negatif mengatasi positif. Makin lancang mulut sesetengah orang berbicara, menyebabkan aku bertanya,

“SALAH PEREMPUANKAH KALAU MEREKA MAHU BELAJAR DAN MENDAPAT KELULUSAN YANG SETARAF? SALAH PEREMPUAN JUGAKAH KALAU LELAKI ENGGAN PERGI SEKOLAH DAN MENJAHANAMKAN MASA DEPAN MEREKA?”

Aku bukan emo... aku tenang membicarakan soal ini. Tapi aku tak mengerti. Mereka bimbang kaum wanita memonopoli sektor pekerjaan, bimbang juga lebih ramai wanita di universiti. Jadi untuk mengimbangkan angka ini, adakah wanita harus berhenti belajar dan kembali kepada bidalan orang2 tua yang gemar mengatakan ini,

“ANAK DARA TAK PAYAHLAH BELAJAR TINGGI2... NANTI KE CERUK DAPUR JUGA PERGINYA...!”

Adakah juga demi mengangkat martabat kaum lelaki setingginya, kaum wanita harus berhenti kerja lalu menjawat tugasan sebagai suri rumah sepenuh masa. Begitukah? Martabat kaum lelaki sudah cukup tinggi. Tak perlu diangkat lagi. Wanita sendiri terbina dari sebahagian lelaki. Aku tak nafikan langsung, wanita adalah bangsa yang sarat dengan sifat emosional, kurang rasional dan sebagainya... itu fitrah yang tidak boleh ditidakkan. Tetapi wanita juga adalah makhluk yang mampu menjadikan kesakitan dan kegagalan sebagai tangga ketegaran. Utuh! Wanita sanggup melakukan apa sahaja demi mereka-mereka yang dicintainya. Untuk siapa cinta wanita? Untuk lelaki! Kalau wanita-wanita ini berhenti, cukupkah tenaga lelaki untuk menggantikan tempat mereka? Kalau cukup kenapa tidak dari mula lagi lelaki-lelaki ini menjawat jawatan tersebut. Mahu jadi pegawai bagaimana kalau ramainya SPM pun tak ada?

Abang saudara aku ada PMR saja. Sekarang dia berada di England kerana menemani isterinya yang sedang menyiapkan Ph.D di sana. Kenapa? Cinta tak kenal kelulusan. Abang saudaraku itu masih seorang yang berjaya. Dia handal melukis, lalu menjadi pelukis landskap untuk syarikat milik salah seorang abangnya. Kerja sampingannya menjual burger. Bukan tepi jalan, tapi punya sebuah kedai makan ala-ala McD dan KFC yang mempelbagaikan makanan itu ke dalam bentuk yang menarik hasil kekreatifan beliau.

Apa yang aku cuba sampaikan di sini ialah, tak kira lelaki atau perempuan, semua orang punya kelebihan masing2. Mengapa perlu diperbesarkan isu ramai wanita di alam belajar dan di dunia kerja? Lelaki yang tak menjawat jawatan di situ masih berjaya di mana-mana, membuka bengkel kereta misalnya. Atau membela ternakan, dan juga mungkin bertani. Kejayaan tidak dinilai dari bentuk kerjaya itu sendiri sebaliknya apa yang mampu kita capai! Duduk di pejabat, berhawa dingin, berpakaian bersih dengan berpanas terik, bergelumang minyak dan lumpur adalah sama sahaja jika mereka masing-masing berjaya di dalam bidang masing-masing.

Menyebabkan aku bertambah pilu, hal ini ditakuti kerana apabila kesemua wanita yang sedang bekerja itu mengandung dan beranak, bagaimana? Perlukah kalian mempersenda dan mempersoalkan hak seorang wanita begitu? Lupakan kesakitan dan kesengsaraan mereka selama 9 bulan demi membawa zuriat anda ke muka dunia ini? Pergi bekerja dengan kaki bengkak, tak selesa, penat itu untuk siapa? 90% dari wanita yang aku kenal meliputi teman dan sanak saudara aku, memberitahu bahawa mereka bekerja demi meringankan beban suami. Demi kehidupan yang lebih baik untuk anak-anak. Semuanya lebih gemar berada di rumah, memberikan seluruh masa dan kasih sayang untuk anak-anak namun pilihan tidak menyebelahi. Jadi aku mohon, hargailah pengorbanan wanita-wanita ini... hargailah!

Aku masih tertanya-tanya, perlukah aku menulis ini kerana pasti orang2 akan mengatakan inilah entri femenisme. Lalu... terima kasih!

Monday, March 1, 2010

Kupu-Kupu


Kalau kupu-kupu bisa meminjam warna pelangi,

Jadi cantik seperti rama-rama,

Lalu...

Siapa yang mahu jadi kupu-kupu?

Filem Kita... Wajah Kita...! Katanya...

Filem yang aku tersangatlah nak tengok dalam masa terdekat ni!

AKU sebenarnya dah malas nak bercakap pasal filem dan drama tempatan. Bukan apa, nanti dikatakan berlagak tak tentu hala dan kerana orang2 seperti aku nilah yang menyebabkan industri filem dan drama tempatan payah nak berkembang. Aku hairan, bukan apa. Salah siapa sebenarnya filem2 dan drama kita berwajah sampah. Katanya yang bikin filem,

"Ini adalah apa yang khalayak mahukan!"

Siapa yang nak rugi bila membikin projek yang menelan angka yang bukan sedikit? Jadi, salah khalayak kitakah yang tak pernah nak membuka mata dan mahukan sesuatu yang lebih bermakna dan mencabar minda? Sebuah filem antara yang terbaharu hasil canaian pengarah yang ada kelulusan tinggi itulah misalnya, pada aku apa pun idea yang si pengarah ni ada sebenarnya memang menarik dan berpotensi menjadi sebuah karya yang hebat. Tapi sayangnya, ideanya saja yang besar, tapi jiwanya kecil! Garapan entah apa-apa, jalan cerita longgar, banyak perkara diremehkan sampai membodohkan penonton dan macam2 lagilah! Macam bikin cerita sekadar melepaskan batuk di tangga. Lepas tu nak paksa penonton pergi tengok filem kau yang entah apa2 tu! Pada aku terima kasih saja. Baik RM10 tu aku habiskan untuk melantak KFC.

Filem yang mempotretkan kehidupan seorang raja lawak itu pula. Diarahkan pun oleh bukan calang2 orang juga. Tapi apa yang ada? Bermakna sangat ke kehidupan mamat tu sampai nak difilemkan bagai! Hanya kerana si dia tu tengah laku, minah tu pun sibuk nak buat filem tentang dia. Nazak sungguh industri kita!

Khalayak kita, kalau menonton filem komedi, nak gelak sahaja kerjanya. Harus ada bahagian lucu supaya dapat mengundang tawa. Itu sahajalah! Ketawa kosong... satu isi pun tak ada jadi apa faedahnya? Kalau nak dibandingkan dengan komedi luar negara, komedi mereka cukup sinikal. Menyindir dan memperkatakan tentang sesuatu yang tersirat tetapi masih boleh ditangkap lalu mengundang tawa dalam berfikir. Itu baru bermakna! Bukan calang2 isu yang mereka bawa. Membantai isu ekonomi dan pertadbiran negara misalnya. Presiden pun boleh dihentamnya. Kita kalau buat begitu, terus jadi tahanan tanpa bicara. Demi kedaulatan dan keamanan negara, katanya! Tak ada komenlah...

Satu lagi bab drama, nak cekik air mata khalayak sahaja kerjanya. Bila dah berabak melalak sambil bengkak mata dek kerana naratif yang dipaparkan begitu menyayat dan menyiat hati, ditambah pula dengan lakonan mantap pelakon2 air mata yang terkenal... barulah drama itu akan diangkat sebagai drama terbaik yang harus dikalungkan dengan segala macam pujian yang muluk2. Begitukah? Hanya drama yang memaparkan kesengsaraan, penindasan, mati laki, merempat, anak derhaka, bini curang, laki kaki pendera dan sebagainya yang layak dikatakan sebagai drama yang baik? Itukah caranya penggiat, khalayak dan wartawan kita menilai?

Sampai ke hari ini aku masih tertanya2... kenapa aku suka benar menonton Number 23, Secret Window, The Nanny, CSI, Criminal Minds, Desperate Housewife, Ugly Betty, Long Khong, Ju-On, Devdas dan sebagainya berbanding Berek, Dunia Anita, Puteri, Cinta Medik, Potret Mistik, Trauma, Otai, Mami Jarum dan sebagainya. Kenapa agaknya, ya? Mungkin betul, aku ni memang suka berlagak tak tentu hala dan kerana orang2 seperti aku inilah industri tempatan payah nak berkembang!