Tuesday, April 28, 2009

Kepulangan... ( Preview PeTA' 09 - Kamil Hijrahmu )


Gema gempita yang memecahkan maya
Nyaring bersuara menenggelamkan sunyi yang beraja
Seluruh dewata raya terbingar suara
Yang rancak melaungkan suku-suku kata
Yang mempersoalkan letak duduk aku di muka dunia
Yang kembali membuatkan aku tertanya-tanya
Siapa aku? Siapa dia? Siapa kita? Siapa mereka…?
Bila ditanya : Apa? Mengapa? Siapa? Bila? Bagaimana?
Dan kemuncaknya, kenapa?!
Kau pandang aku dan aku lihat dia…
Dia tengok kita dan kita merenung mereka!
Siapa yang mahu menjawab soalan yang ditanya?
Siapa Pencipta dan apa yang dicipta-Nya
Dia menciptakan Adam a.s dari zat tanah yang mulia
Terciptanya Hawa sebagai suri Adam di syurga
Dan akhirnya tercampak ke dunia sebagai takdir dari-Nya
Lalu daripada cinta Adam dan Hawa
Lahir kita selaku khalifah-Nya di muka dunia!
Aku, dia, kita dan mereka…
Semuanya manusia yang sama mengalir darah yang merah mewarna
Hari ini bernyawa dan kemudian di suatu masa,
Akan kembali pulang kepangkuan Pencipta Yang Maha Esa
Tatkala sampai detik waktu dan ketika
Adakah kita sudah benar bersedia?
Maut yang menjemput takkan sekali-kali bertanya :
“Hai, anak Adam! Sudahkah bersedia untuk ditarik nyawa?”
Kita tak buta, tetapi gagal melihat nur cahaya
Kita tak tuli, tetapi gagal mendengar laungan suci yang bergema
Kita tak bisu, tetapi gagal melafazkan khalimah-khalimah mulia
Kita sempurna lahir di dunia
Tetapi cacat dalam amalan menuju ke sana…
Dalam sehari-hari kita menghela nafas dengan sempurna
Adakah telah kita kerjakan segala urusan yang diperuntukkan-Nya?
Dalam perjalanan kita untuk pulang ke sana…
Apa yang telah kita lakukan untuk menjamin syurga,
Dan apa yang kita tinggalkan untuk menjauhkan neraka?
Dunia hari ini semakin tua…
Dan usia kita juga tidak semakin muda!
Tiap-tiap degup jantung yang menandakan kita masih bernyawa
Tiap-tiap hembusan nafas yang masih dapat dihela
Bukankah patut kita mensyukuri nikmat dan ehsan-Nya
Kita tak selamanya hidup di dunia,
Gema gempita yang memecahkan maya
Hari ini bergema; esok mungkin kiamat tiba
Dan sakaratul-maut tak pernah alpa menyapa
Kembalilah ke pangkal sebelum masa terlewat tiba
Jadikanlah kepulangan kita kepada-Nya
Kepulangan yang diredhai dan membawa khabar gembira
Dan semoga bersih segala jiwa
Bersama terhapusnya dosa-dosa
Ya-Allah, berikanlah pengampunan kepada hamba
Dan bawalah aku pulang dengan jiwa yang suci dari segala noda!
Amin…!

Cahaya Yang Diredhai Dan Disayangi

Engkau memahkotakan aku dengan sebaris nama,
Bersama tinggi harapan dan sepotong doa,
Moga aku diselimuti cahaya
Tenggelam dalam redha Yang Maha Esa…

Aku kerdil dalam kandilmu, bonda
Aku hangus dalam dianmu, ayahanda
Aku hilang dalam lautan kasihmu
Aku diterbangkan bayu cintamu!

Nyawa taruhan bonda,
Untuk membawa aku ke atas dunia…
Keringat yang dibanting ayahanda
Demi meneruskan nafas yang kuhela

Hari ini selepas 23 tahun berlalu,
Aku mengenang duri yang kutancapkan pada sukmamu
Aku tak mampu
Mengembalikan masa lalu

Kau masih mengasihiku seperti dulu
Syurga tetap kau simpankan untukku
Seperti kasihmu yang tak tersentuh puncaknya
Membuatkan aku tunduk mengucup telapak kaki bonda!

Aku adalah cahaya yang diredhai
Permata yang disayangi diqalbi ayahanda
Hutang yang kupikul atas setiap titis keringatmu
Membuatkan aku tunduk ganti memikul bebanmu!

Tuesday, April 21, 2009

B++ Untuk Haris Fadilah!


Hari Sabtu dan Ahad yang lepas, aku sekali lagi sempat menyelitkan diri bersama adik comelku, Mimie, sahabatku, Jiha dan 'anak2 angkatku', Dani dan Memey ke Panggung Eksperimen ASWARA bertujuan menyaksikan Bangsawan Haris Fadilah. Punyalah sesak satu panggung tu pasal tempat duduk di sebelah kanan telah ditutup untuk pemuzik (menyerlahkan kebodohan pengurusan ASWARA). Pada malam Sabtu, aku, Jiha dan Mimie terpaksalah berdiri selama setengah jam pasal gigih nak menonton. Lepas setengah jam tu, dapatlah duduk. Tu pun kejap2 kena berdiri pasal tak nampak. Akhirnya, berbaki lagi 3 babak terakhir, aku akhirnya ditarik oleh Kak Elis untuk bersila di depan sekali (terima kasih kepada Kak Elis). Aduhlah...

Keseluruhan untuk show ini, aku boleh merumuskan sebagai bagus. Bagus sangat tu tidaklah, tetapi baguslah! Kualiti lakonan serta muzik berada di tahap baik. Kira puas hati jugalah. Cuma yang tak puas hatinya dengan pengurusan ASWARA. Tak rasa kesian ke buat budak2 tu macam tu. Apalah salahnya kalau pentaskan Bangsawan ni di Panggung Bandaraya, macam tahun yang sudah2. Ini tidak! Punyalah sesak panggung! Lepas tu, khalayak pula duduk depan muka pelakon, termasuklah Rektor.

Hari kedua, tak segah hari pertama. Walaupun watak heronya dilakonkan oleh jiran aku yang paling cool! Huhuhu... (Fizie, lakonan ko memang mantap!) Tapi heroinnya pula yang potong mood aku. Punyalah laju dia berdialog sampai si Mimie terkeluar ayat,

"Oi, ada anjing ke yang tengah kejar kau?!"

En. Jeff dan Pn. Kushee dah gelak2 dekat sebelah. Macam2 hal. Kurang2 masa hari yang pertama tu, terasalah juga perasaan antara Tengku Haris Fadilah dan Siti Zawiyyah tu. Tapi hari ke2, bubye! Tak sempat nak rasa apa dah! Tapi dari segi lontaran vokal, hari kedua lebih baik. Satu lagi, gaya pelakon. Lebar benar bukaan tangannya sampai kami ni asyik ketawa sebab tu saja. Habis seorang melebarkan tangan, seorang lagi pula menyambung melebarkan tangan. Lebar benar! Bukan separuh2... Huhuhu! Nak gelak pun ada. Tapi keseluruhannya, aku boleh bagi B++ la (lagi sikit nak A-) untuk produksi ni. Aku suka! ;-)




Wednesday, April 15, 2009

Putih Dan Putih Dan Putih Lagi...


Hari ini aku melihat putih di mana2...
Kau putih, aku putih, dia putih;
Mereka pun putih juga!

Hari ini aku melihat putih di mana2...
Tiba2 qalbi terbetik kata tanya;
Putihkah jiwa?

Hari ini aku melihat putih di mana2...
Kau putih, aku putih, dia putih;
Mereka pun putih juga!

Tapi aku merasa,
Lebih baik hitam sahaja...
Legam tanpa pura2!

Monday, April 13, 2009

Tukar Nama Lagi... Lagi2 Tukar Nama!

Semalam aku duduk minum2 dengan member2... dalam duduk2 tu, adik comelku ni tanyalah pasal timbalan PM sekarang ni. Aku cakap tak tahu siapa! Aku tak nafikan, aku memang macam katak bawah tempurung. Tak baca surat khabar... tengok Buletin Utama pun tidak! Bila PM bertukar pun aku tak tahu! Sedar2 muka Najib dah terpampang sebagai PM ke-6 Malaysia. Aku bukan apa, dulu kalau korang tengok berita jam 8, mesti macam2 hal-ehwal semasa yang tersiar... Seronoklah juga hati! Ambil tahu hal rakyat jelata... susah kat sini atau senang kat sana. Tapi sekarang ni, setengah jam yang pertama saja dah cerita pasal politik. Orang parti ini buat itu, orang parti itu lancarkan ini... Orang parti sana buat rusuhan kat sini, orang parti sini pula buat kebajikan dekat sana! Bosan sungguh!!! Aku bukan haluan kanan... kiri pun tidak! Duduk atas angin saja. Mak ayah dan kawan2 kata aku tak ada pendirian, tapi biarlah! Dua2 pun aku rasa tak betul!
Aku bacalah kabinet Malaysia 2009... saja nak ambil tahu. Kalau MHI atau Wakenabeb datang tanya aku tiba2, aku taulah juga nak jawab tanpa malukan diri sendiri. 1 benda yang aku suka ialah, Y.B. Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim dah kembali ke kementerian kami. Yalah, aku rasa beliau je yang serasi dengan kementerian ni. Tapi yang aku berbulunya... kementerian ni tukar nama lagi! Aduh, tak ada kerja lain ke selain dari duduk tukar nama kementerian saja! Dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan jadi Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Lepas tu jadi Kementerian Perpaduan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan. Sekarang ni dah jadi Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan pula! Macam cut and paste. Macam2 hal... bosan betul!
Apalah yang ada pada nama? Macam akademi kami juga... dulu dah elok2 namanya Akademi Seni Kebangsaan. Perkataan 'seni' itu sendiri dah cukup kuat! Tapi tukar pula ke Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan... panjang berjela! Nak bawa sangat nama kementerian. Apakah? Dekat Malaysia ni, budaya tukar menukar nama dah jadi satu trend! Tak tahulah apa tujuannya... kualiti dulu yang penting! Nama bukan soal... setujukah anda?

Saturday, April 11, 2009

Makyong ke?


Semalam aku dan Kak Wani sempat la menyelitkan diri ke Panggung Eksperimen ASWARA untuk menonton Makyong. Punyalah teruja aku nak tengok pasal pengarahnya bukan lagi yang selalu tu, tapi pembantunya. Kira naik pangkatlah, pembantu jadi pengarah dan pengarah lak jadi penasihat. Aku dah dengar macam2 haru-biru sebelum show. Antaranya, produksi budak2 tahun 3 kali ni dibahagikan kepada 3. Tak macam tahun2 sudah yang ada 1 produksi saja. Ceritanya pun bersambung2... kira 3 malam tu bukan cerita yang sama la. Macam2! Bila dah menonton, aku jadi sesat. Apa punya Makyong ni? Kata Epool, member aku,


"Diorang buat Makyong avant-garde kot, N!"


Rupanya dia pun fikir benda yang sama dengan aku. Yelah, masa produksi Makyong kami tahun lepas tak adalah buruk sampai macam ni sekali. Bayangkanlah, bila dah 3 produksi bawa cerita yang berbeza (walaupun bersambung2) cukup untuk memeningkan kepala khalayak. Ni watak yang mana? Siapa pula dia ni? Macam2 la persoalan yang timbul! Cara mereka menari pun keras semacam (mana taknya, lelaki kena menari tarian perempuan) sebabnya untuk Produksi Muzik pada malam kedua, tak cukup perempuan! Bayangkanlah! Malam pertama untuk Produksi Filem dan Tari pula, merayakan pondan! Pening... pening... pening! Malam ni pula, Produksi Penulisan dan Teater. Tapi aku kena kerja. Tak boleh pergi tengok. Satu hal yang buat aku terkilan, adalah set. Semua pun sedia maklum, Makyong tak memerlukan set yang macam2 seperti Bangsawan. 3 perkara yang paling utama adalah bulatan, tempat pemuzik dan tempat jong dondang. Paling penting sekali tentulah bulatan! Selalunya orang lukiskan bulatan tu cantik2... ini tak! Lukisannya terlalu simple. Macam buat nak tak nak saja. Satu lagi, suara pelakon. Satu apa pun tak dengar. Macam bercakap sesama sendiri saja. Aduh! Tekanan betul. Jong dondang pun satu hal. Seluruh pelajar tahun 3 yang tak berlakon pergi jadi jong dondang. Bunyi suara diorang pun dah bergema satu panggung. Bingit! Pulak tu, duduk bergurau senda, bersembang, keluar masuk sesuka hati... oi, hormatlah sikit pada khalayak yang tengah tengok awak ni! Aduh, tak dapat nak cakaplah! Kecewa rasa hati... Paling penting, aku tak salahkan pelakonnya... pasal diorang dah buat yang terbaik! Siapa yang salah, sendiri mau ingatlah...!

p/s : Mungkin betul cakap Epool! Diorang buat Makyong avant-garde agaknya!

Monday, April 6, 2009

Bukan Milikku...!

Saat kau padamkan namamu dari hatiku
Saat itulah kau menarik keluar jantungku dari tempatnya
Saatnya degup tidak lagi bererti...
Kosong!

Dimensi 143 ini telah mati
Ruang Ai ini telah lampus
Bersama jantung yang tertarik keluar...
Kematian!

Hari majlis pengkebumian berlangsung
Kau tidak mengisi ruang yang kosong
Lalu aku langsung...
Rentung!

Lagenda Negeri Atas Angin!

Hari ini aku mahu bercerita lagi. Kali ini, Hikayat Si Ego dan Si Tolol! Tersebutlah kisah di sebuah kerajaan Atas Angin, terdapat seorang Sultan, Tuah dan Jebatnya. Tuah seperti biasa, dalam mana2 kisah pun akan tetap memegang watak Si Tolol yang menjilat bontot! Sultan juga seperti biasa akan jadi Si Ego yang hanya tahu memberi dan mengungkit. Si Jebat juga tak ada bezanya, tetap menjadi pemberontak jalanan yang cuba mencari dan menegakkan kebenaran.
Tuah telah dihukum kerana mendapati beliau telah melakukan kesalahan. Lalu Jebatlah yang sentiasa berada di sisi, menemani dan memberikan kata-kata semangat. Oh, pada ketika ini Tuah marah benar pada Sultan. Katanya, Sultan telah mencemarkan maruahnya. Sultan tak adil kerana menghukumnya begitu sedangkan selama ini beliau telah taat setia benar terhadap Sultan. Kenapa Sultan melayan beliau begini?
Mendengarkan rintihan Tuah, darah panas Jebat segeralah menggelegak. Lalu Jebat tekad melangkah ke istana demi menuntut bela atas maruah Tuah yang kononnya telah dipermainkan. Melangkahlah Jebat bersama Dang Wangi. Tetapi, alangkah sakitnya hati Jebat apabila sampai sahaja di istana. Tuah sedang bergelak tawa bersama Sultan. (Sebenarnya Sultan sahaja yang bergelak tawa sedangkan Tuah sedang menjadi badut sarkis dan membuat lawak-lawak bodoh). Apabila ternampak sahaja Jebat, Tuah segera memohon ampun ke bawah duli untuk beredar seketika lalu menarik Jebat di balik sebuah pohon.
"Apa ni, Tuah? Kau cakap marahkan Sultan sebab hina kau?"
"Sultan dah berbaik dengan akulah, Jebat. Dia dah cakap elok2 dengan aku. Aku tak bolehlah nak marah2 lagi."
Jebat tetap Jebat! Peduli apa Tuah dah lembut hati?! Jebat pun tetaplah bersemuka dengan Sultan. Sultan yang diserang Jebat dengan pertanyaan yang bertalu-talu itu teruslah kelu lidahnya. Sultan pun tetap Sultan juga! Menjawablah baginda dengan jawapan2 tipikal yang tak boleh diterima dek akal yang waras. Jebat mulalah nak mengamuk. Tetapi alangkah ironinya apabila Tuah segera membela Sultan.
"Aku faham perasaan Sultan. Baginda tengah bengang masa tu..."
Meluat betul Jebat dan Dang Wangi dengan jawapan bodoh si Tuah tu. Lama2, Jebat malas dah nak melayan makhluk dua orang ni lalu Jebat tikam sahaja kerisnya ke dada Tuah dan Sultan sekaligus. Menyampah sangat dah! Lalu pulanglah Jebat dan Dang Wangi ke kediaman mereka lalu hiduplah mereka berdua aman damai dan bahagia hingga ke akhir hayat.
p/s : Ada ke hikayat macam ni? Tepuk dahi, tanya kawan2 yang tahu...

Friday, April 3, 2009

Kata Seorang Lelaki!

Kata seorang teman yang kupanggil sebagai Mr. KK, "bukan rupa paras atau bentuk badan yang dipandang, sebaliknya sopan santun dan elok perangai yang membuatkan hati berkenan." Aku terasa sentap ke hulu hati. Bondaku yang tercinta, selalu berkata demikian kepada aku. Hal ini adalah kerana aku ini bersifat 'jantan' benar! Mana tidaknya, adik-adik dan abangku adalah lelaki. Jadi aku membesar dalam dunia yang penuh kasar secara tidak langsung. Bonda selalu menegur cara jalan, cara bertutur dan juga perlakuan aku. Katanya, nak harapkan rupa memang kuranglah (namun aku bersyukur kerana masih sempurna). Jadi sikap dan tutur yang sopanlah yang dipandang orang. Aku selalu pekakkan telinga bila bonda bercakap. Dah aku memang macam ni, nak berubah jadi perempuan Melayu terakhir macam mana? Tapi, bila hari ini, Mr. KK juga katakan hal yang sama gara-gara aku marahkan mamak roti canai yang acuh tak acuh melayan kami (juga kerana aku hampir menumbuk mamak 'tu), aku terfikir kembali kepada kata-kata bonda. Aku akui, aku memang kasar serba-serbi. Mungkin sebab tu ramai yang kurang gemar berdamping denganku. Tapi, perlukah aku berubah? Sayu juga rasa hati...

Wednesday, April 1, 2009

Sebuah Cerita Luka 2...

Pernahkah kalian mempunyai teman yang kalian fikir sudah cukup memahami kalian, tetapi ternyata kalian silap?! Mungkin pernah, mungkin juga tidak. Untuk apa kita berteman? Barangkali untuk berkongsi susah senang... atau juga barangkali untuk memastikan yang kita tidak bersendirian di atas muka bumi ALLAH ini. Semua orang mempunyai pandangan tersendiri. Untuk aku, teman-teman adalah anugerah-NYA. Aku sentiasa berusaha untuk menghargai teman-teman di sekeliling. Kadang-kadang aku terlajak menghargai sehingga terlanjur mengasihi. Mengasihi dengan perasaan yang paling halus. Aku lebih rela hilang kekasih... hilang kekasih, teman masih ada di sisi. Tetapi, kalau hilang teman? Apa lagi yang tertinggal...?
Semalam, aku terasa seperti tertusuk duri. Sakitnya, Tuhan sahaja yang Maha Mengetahui. Di mata seorang teman, aku dilihatnya begitu rendah. Jahat benar aku merasakan diri ini. Lama sudah bersama. Lama sudah berkongsi susah senang... tetapi ternyata tempoh selama itu masih belum cukup untuk kami saling mengenal dan memahami. Aduh! Sakitnya terasa merunjam hati.
Sejak semalam... aku jadi sedikit fobia untuk berteman lagi. Kukatakan begitu kepada adik comelku, Mimie. Aku tak sanggup lagi mengasihi teman-teman dan kemudian dilukai begini. Kata Mimie, janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Lagi katanya, aku barangkali tidak perlu rawan hanya kerana teman seperti itu. Mungkin Mimie benar... aku akui itu. Namun lukanya masih terasa. Untuk teman-teman, ikhlas kukatakan demi Tuhan! Aku tidak pernah terfikir untuk membawa kalian ke suatu jalan yang merosakkan. Aku jujur bersahabat dengan kalian tanpa ada niat untuk mengkhianati kalian. Jangan hukum aku begini hanya kerana aku mengasihi kalian. Mengertilah... jangan lukakan aku begini....