Tuesday, November 23, 2010

Terima kasih, Tuhan, Bonda Dan Ayah...!

HARI ini 24 November 2010, genab 24 tahun aku diberi izin oleh ALLAH yang sarat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim untuk terus bernafas. Alhamdulillah... selaut syukur aku panjatkan kepada-Mu, RABB... hanya Kau yang Maha Mengerti dan Maha Mengetahui. Aku dilahirkan di Hospital Besar Kuala Terengganu, 24 tahun yang lalu tepat jam 12.15 tgh malam oleh bondaku yang bertarung nyawa selepas tiga bulan berjuang di hospital untuk mengekalkan di dalam rahimnya. Bondaku yang tercinta, Zawahir Binti Salleh telah keguguran sebanyak dua kali sebelum mengandungkan aku. Jadinya rahimnya lemah. Kerana ALLAH sudah menetapkan bahawa aku akan lahir ke dunia, maka lahirlah juga seorang Nurul Mardhiah yang berbintikan Shamsudin Ismail dengan berat sebanyak 4.10kg (beratkan? hahaha!). Nurul Mardhiah, ertinya Cahaya Yang Diredhai Dan Disayangi.

Aku masih ingat kata-kata ayah (seperti yang diceritakan kepada aku) semasa pertama kali dia melihat aku di balik cermin kaca yang jernih, dia tercari-cari yang mana satu puterinya. Apabila ditunjukkan ke arah aku, dia berkata begini ;

(ketawa) "Ingatkan budak mana tadi. Bulat dan hitam je!"

Hahaha... kulit aku memang gelap. Ayah adalah seorang lelaki yang aku gelarkan sebagai "Superman". Semasa cikgu tanya aku, siapakah superhero anda, aku jawab : Ayah! Di mata seorang anak kecil (ketika itu), ayah aku memang hebat. Dia boleh baiki hampir apa saja. Dia tahu menukang, tahu segala-galanya. Dia bekerja keras untuk membesarkan aku dan adik beradik yang lainnya. Ayah kuat, dia tak pernah sakit. Sehinggakan apabila dia sudah tua sekarang dan mulai sakit-sakit, aku jadi tersedar yang ayahku adalah manusia biasa. Bukan superman. Ayah sangat garang. Sangat-sangat garang. Tapi ayahku juga penuh dengan kasih sayang. Dia tak pernah merungut membanting tulang demi menyelesakan kehidupan kami anak beranak. Rumah indah yang tersergam di kampung, yang kami diami sekarang dibina oleh tangannya sendiri. Dengan kudrat dan keringatnya. Aduhai ayahku sayang... Aku tak mungkin dapat ayah yang lebih baik darinya.

Ibuku adalah wanita yang cukup mandiri dan tabah. Selama 24 tahun aku hidup, boleh dihitung dengan jari sebelah tangan sahaja, berapa kali aku melihat dia menangis. Dia adalah wanita yang sedar diuntung. Tak pernah merengek untuk diberikan kemewahan. Wang gaji ayah yang serba sedikit diaturnya cukup baik : mana untuk membeli barang dapur, mana untuk belanja anak-anak, mana untuk belanja hari raya. Aku tak pernah kebulur tak makan. Aku tak pernah tak berganti baju baru di hari raya. Kami tak mewah, tapi semuanya sentiasa cukup. Ibu selalu mengajar aku supaya tak mengharapkan jasa orang. Biar kita hidup dengan apa yang ada. Biarlah kita menyimpan sedikit2 dan membeli keperluan secara perlahan, asalkan jangan diamalkan sikap berhutang keliling pinggang. Aduhai bondaku kasih... aku juga tak mungkin dapat ibu yang lebih baik darinya.

Aku bersyukur dengan apa yang aku ada selama 24 tahun yang telah aku tempuhi ini Mungkin masih banyak yang belum aku capai, tapi tak mengapalah... aku akan berusaha memperbaguskan kehidupan. Apa yang ingin aku katakan adalah, andainya aku mati pada esok hari... aku redha dengan kehidupan yang aku ada pada hari ini dan semalam.

Terima kasih, Tuhan... Kau berikan aku nyawa dan kesempatan untuk berhidup di bawah kasih sayang-Mu. Terima kasih ayah dan bonda... kalian mempertaruhkan seluruh kehidupanmu untuk memanusiakan aku.

Monday, November 22, 2010

Mengunyah Serigala dan Tulip!


SANGAT gembira... sangat-sangat teruja! Ahaks! Over-dose pula aku nih! Hahahaha... bukan apa, sudah sekian lama menjeruk rasa dicemburukan oleh saudara benua suluk akhirnya ahad lalu semasa merewang di KLCC, aku telah menjumpai sekaligus membeli naskah SERIGALA DAN SEKUNTUM TULIP hasil tukangan penulis yang cukup aku gemar iaitu SM ZAKIR. Terima kasih kepada pensyarahku (benua suluk) kerana telah memperkenalkan aku kepada karya-karya Zakir. Pertama yang aku khatam ialah SEKUNTUM KEMBANG DI SAYAP JIBRIL. Aduh! Aku sedang diterbangkan sihir kata-kata!

Berbanding karya-karya beliau yang sebelum ini, kumpulan cerpen kali ini lebih santai aku kira. Mengunyahnya mudah sedikit. Dari segi gaya bahasanya maksud aku. Tapi malu untuk aku akui, aku masih belum khatam lagi. Aku sungguh letih sejak dua menjak ni. Hairan juga dibuatnya. Barangkali aku perlu mengambil makanan tambahan seperti vitamin mungkin. Semalam sebelum lena mencuri masa membacaku, aku hanya sempat menghabiskan dua buah cerpen sahaja. Pagi tadi sementara menunggu ke tempat kerja, aku rembat sedikit masa untuk menghabiskan sebuah cerpen lagi. Aduhai, masih ada 17 buah cerpen lagi... aku ingin benar segera menghabiskan kesemua 20 buah cerpen yang terkandung di dalam naskah terbaharu Zakir ini!

Terima kasih juga buat cik abang yang menyumbang separuh dari harga buku ini. Ahaks! Bukan tak mampu nak bayar kesemuanya, tetapi sengaja nak bermanja. Lagi pun esok adalah hari....... huhuhu! Kira hadiah untuk saya la ni! ^_~

Selepas usai aku khatam menghabisi naskah ini, aku akan ulas di dalam blog yang satu lagi. Buat masa sekarang, aku mahu gigih berperang melawan kantuk yang sedang enak bermaharajalela! Berusahalah!

Sunday, November 21, 2010

Hari-Hari Dalam Kehidupan


AKU susah untuk memperjelaskan kepada semua orang apa sebenarnya yang sedang terpasak dalam hati aku ni. Lewat dua bulan kebelakangan ni, hati dan minda aku dihambat kerunsingan yang macam-macam. Kerjaya, keluarga, teman-teman, cita-cita dan cinta... adalah antara yang sedang membaurkan rasa. Kata orang, kita tak tahu dan adakalanya tak nampak apa salah kita kalau tak diberitahu. Tapi sesudah diberitahu pun, aku masih gagal menemukan apakah salah aku yang sebenarnya.

Adakah aku ni memang spesies batu dan konkrit yang memang tak sedar diri dan tak tahu kesalahan sendiri? Ataupun aku ni memang tak bersalah langsung. Sudah menghampiri tempoh genab 24 tahun aku diberikan ALLAH nyawa dan kesempatan untuk hidup di atas muka bumi-NYA ini. Sudah berkali-kali aku berbalah dengan teman-teman, ahli keluarga dan sesiapa sahaja dalam hidup aku ni. Aku bukan batu. Aku manusia yang ada hati dan perasaan. Aku selalu bercermin, menengok refleksi diri sendiri dan menimbang-nimbang, berfikir dan bermuhasabah. Aku mencuba untuk tidak hipokrit. Seingat aku, aku tak pernah terniat untuk menyusahkan orang, menyakiti orang, masuk campur dalam urusan orang... tapi orang-orang selalu mencari ruang dan peluang untuk menyakiti aku.

Apakah maksud kehidupan yang sempurna?
  • Kerja kerajaan (supaya ada pencen, dapat bonus tahunan, senang nak buat pinjaman bank, hospital yang murah (kalau bersalin ataupun dapat penyakit kronik, kemalangan dll), waktu bekerja yang tetap, dll yang aku tak pasti pasal aku tak kerja kerajaan!)
  • Perkahwinan yang besar-besaran pasal hanya sekali seumur hidup.
  • Suami / isteri yang elok parasnya (paling tidak, sedap mata memandang) dan punya pekerjaan tetap (seeloknya kerja kerajaan juga).
Adakah hanya apabila memenuhi semua perkara di atas ni barulah kehidupan seseorang itu jadi sempurna? Kalau seseorang tu punya cita-cita untuk mengembara ke seluruh tempat (paling tidak, seluruh Malaysia) dan bekerja secara freelance, menulis mengikut cita rasa, kemudian mengimpikan majlis perkahwinan yang ringkas, akad nikah dan kemudian majlis makan dengan menjemput jiran serta sanak saudara terdekat sahaja : Maka ini dikatakan satu hal yang memalukan dan jauh dari mencapai tahap kesempurnaan!

Seumur hidup aku, aku tak pernah mengimpikan untuk hidup mewah. Aku hanya mahukan kehidupan yang sederhana ; tak senang sangat tapi tak susah. Ada rumah yang selesa untuk berlindung, ada kenderaan untuk mudah bergerak, dapur yang tak putus lauk dan beras serta duit lebih untuk simpanan dan berbelanja sekali-sekala. Aku selalu percaya, kehidupan yang sederhana lebih membuatkan kita menikmati dan menghargai kehidupan. Berhabis wang untuk menyedapkan mata orang memandang, apakah keuntungannya kepada kita?

Aku cuma mahukan kehidupan yang tenang. Suami yang baik yang dapat menjaga, menyayangi dan melindungi aku, kewangan yang stabil (tak perlu mewah), kawan-kawan yang memahami dan menghiburkan serta keluarga yang sentiasa ada dan menyokong aku dari semua sisi. MAcam mana aku nak fahamkan semua orang supaya jangan semudahnya menilai aku. Tak perlu susah payah memahamkan aku bagaimana aku perlu mengatur hidup aku sendiri. Kalau tak suka, aku tak pernah kisah pun. Mulut aku pun, aku sendiri yang suap. Aku tak susahkan korang, jadi tak perlu nak susah hati dan sakit mata tengok kehidupan aku. Aku bahagia. Sekurang-kurangnya, aku tahu apa yang aku nak.
  1. Aku tak pernah kahwin dan kemudian masih curang.
  2. Aku tak pernah terfikir nak membelakangkan keluarga dan kemudian kahwin lari.
  3. Aku sentiasa ukur baju di badan sendiri. Tak pernah terfikir nak beli dan pakai barangan berjenama sedangkan gaji bulanan berapa saja???
  4. Aku tak paksa diri kahwin dengan pilihan keluarga dan kemudian layan suami macam sampah sarap.
  5. Aku tak pernah nak sibuk-sibuk sindir anak orang sedangkan 'peel' anak sendiri lebih memalukan.
Jadi aku rasa, aku masih lebih baik dari orang-orang yang tengah sibuk sangat nak menyakiti hati aku dan keluarga aku sekarang ni. Terima kasih saja kerana aku memang takkan peduli dengan anjing yang tengah menyalak bukit.

Tak payah sibuk sangat nak jaga tepi kain orang, cuba tengok kain sendiri, entah-entah dah rabak ataupun busuk berselepet tahi!

Sunday, November 14, 2010

Tengok Muka Aku Ni - "Ada Aku Kesah?!"

Kegemukan yang berpunca dari makan banyak dan menjadi satu dosa besar menurut sesetengah pegangan. Aduhai...

KADANG-KADANG aku jadi pening. Susah sungguh kejadian jadi orang gemuk ni. Susah nak beli baju, payah nak beli seluar, gundah nak cari kasut @ selipar, resah nak gayakan fesyen yang sesuai, gelisah nak naik atas penimbang berat... serba serbi tak kena katanya! Tu baru sikit. Jangan ceritalah perasaan menjeruk hati bila buka majalah atau surat khabar. Selain menelan liur melihat model-model yang serba jelita dan bersaiz xs, nyali juga seakan dirunjam dengan tajuk-tajuk seperti ini ;

"Kegemukan menyumbang kepada serangan jantung..."

atau

"Obesiti antara punca datangnya penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis..."

Aku tak malu mengatakan yang berat aku adalah 85 kg. Isy, tak payahlah terkejut sangat. Memang 85 kg pun. Berat. Selain dari lemak-lemak yang menggebu ni, aku juga mewarisi tulang dari baka yang besar. Jadinya semasa aku masih kurus dulu, badan aku memang dah besar. Dan semasa aku menimbang berat di The Mines, mesin yang boleh bersuara itu mengatakan begini dengan kuat ;

"Anda gemuk!"

Agak kurang ajar mesin penimbang yang memerlukan dua keping syiling 20 sen untuk menggunakan khidmatnya menimbang berat badanku. Aku bukan jenis orang yang makan banyak. Selalunya jarang mengambil sarapan, dan makan pun nasi separuh dengan dua jenis lauk saja. Ayam dan sayur. Ikutlah, kadang-kadang keli dan ulam (salad @ timun). Malam pun kadang-kadang menu yang sama. Itu kalau hari berduit, kalau tidak memang mencekik maggi mee sahaja kerjanya. Tak pun menanak nasi dan goreng telur. Jadi persoalan besarnya,

"Macam mana aku boleh gemuk?"

Semasa aku darjah 6, aku mengalami tekanan yang sangat kuat sebab pertama kali nak melalui peperiksaan yang besar dalam hidup. Pada masa ini, aku menghabiskan masa seputar 15 jam di sekolah. Percaya tak? Dari jam tujuh pagi sehingga 10 malam. Aku balik rumah untuk tidur saja. Dahsyat. Fokus sungguh aku masa tu. Menyebabkan aku menggemuk tanpa disedari. Aku sebenarnya berlawanan dari orang lain. Kalau korang tengok aku makin gemuk, itu ertinya aku sedang tertekan dan susah hati. Kalau aku macam kurang gemuk sikit (perkataan kurus tak sesuai), itu tandanya aku sedang bersenang hati dan lapang dada. Aku makan setiap kali tekanan. Kalau marah pun aku makan. Makan... makan... makan....! Makin rungsing, makin banyak aku makan.

Sejak dari umur 12 tahun, aku menggemuk dengan pesat. Ramai jugak orang yang memujuk aku, katanya ;

"Awak ni tak gemuk sangat lagi pun..."

Sebenarnya aku tak kisah jadi gemuk. Susah hati, rendah diri dan menjeruk nyali pun tak guna. Menambahkan gelisah sendiri. Aku tak pernah malu menjadi NURUL MARDHIAH SHAMSUDIN yang gemuk, berkulit gelap dan tak berapa nak cantik ni (tapi manisnya ada! ahaks!). Aku bangga dengan diri sendiri. Walaupun pencapaian aku dalam hidup ni tak begitu cemerlang, tapi sekurang-kurangnya masih banyak hal yang mampu aku kecapi dan berbangga dengannya. Aku tak nafikan, susah jadi gemuk begini. Berjalan cepat menangkap penat, kejap-kejap nak duduk. Kaki lenguh, belum campur rasa malas nak bergerak ke sana ke mari. Madam Jane (bos) dah berapa kali menegur aku ;

"N, verry slow la, you! Cepat sikit"

Madam selalu menyuruh aku menguruskan badan. Katanya, badan kurus otak cergas dan idea pun membukit dan melaut. Hari-hari dihulurkan teh herba Cina untuk aku minum. Katanya untuk membuang kolestrol dan menyihatkan badan. Malah, dia melarang aku naik lif, sebaliknya turun naik tangga sahaja. 8 tingkat, bro! ^_^ Merangsang stamina dan mengeluarkan peluh ulasnya. Aku nak ketawa pun ada. Hari-hari meneguk teh herba sampaikan perut memulas-mulas penuh angin dan kepala naik pening berpusing-pusing (aku sebenarnya alahan terhadap produk tradisional, ahaks). Tapi aku sebenarnya memang seorang yang tabah. Ramai yang memerli dan menjadikan tubuh sasaku (perhatikan pemilihan perkataan yang aku gunakan : SASA!) sebagai bahan mengusik dan berlucu, aku sesungguhnya memang tak terkesan. Tak sempat singgah di hati. Apalah yang ada pada cakap-cakap orang? Apa kita hidup di atas kasih sayang dari-NYA di muka bumi ini hanya untuk menyenangkan hati orang. Jadi apa khabar dengan hati sendiri? Adakah dipeduli? Menurut aku, biarlah kita menyenangkan hati sendiri. Asalkan kita tak susahkan hidup orang, orang pun tak perlulah nak susah-susah nak susahkan hidup kita. Jaga diri sendiri sudah!

Aku bukan menulis entri ni untuk puji diri sendiri yang sangat bangga menjadi diri sendiri yang gemuk ni. Tapi untuk berpesan kepada hati, tak usahlah digaduhkan berat badan yang baru naik lagi 5kg ni (sebelum ni berat 80kg, baru timbang tadi... naik lagi!). Itu biasalah. Sekarang aku tengah banyak hal yang perlu difikir dan dirisaukan. Selesai semuanya nanti, barangkali berat badan aku akan kembali ke asalnya (sekitar 75-80kg). Hahaha... atau mungkin tidak. Biarlah! Aku malas nak fikir.

Kalau korang rasa aku memang gemuk dan perlu berdiet untuk kelihatan slim dan menawan, cuba korang tengok muka aku ni...

"Ada aku kesah?"

Wednesday, November 10, 2010

Sepanjang Jalan-Jalan Kenangan

AKU tersenyum sendiri hari ni. Jadi teringat dan mengenang tiba-tiba. Sejak berpindah ke pejabat baru, aku dan Mimie seakan semakin akrab dengan seorang teman sekerja di pejabat. Beliau yang dimaksudkan ialah En. Azhar Mustaffa, senior creative executive katanya, orang grafik! Huhuhu... mamat ni sebaya aku. Lebih mesra dengan nama Ard @ Don Jaxx. Kenapa aku tiba2 memperkenalkan dia ni ke dalam blog aku? Muhahaha... hal ini adalah kerana tempoh hari aku, Mimie dan Ard serta teman wanitanya yang comel bernama Eiyna telah menghabiskan hujung minggu di Melaka. Seronok!

Aku dengan Mimie memang teruja habis pasal mulanya si Ard ni cakap nak ke Banting, ke Pantai Morib sahaja untuk berdiskusi tentang short film kami yang sedang dalam perancangan. Dalam perjalanan kami terlelap membiarkan Ard memandu sendiri. Jauh sungguh ke Banting, fikirku diam-diam. Tiba-tiba kami dihogah Ard supaya bangun. Aku tenyeh-tenyeh mata, terus ternampak papan tanda, SELAMAT DATANG KE MELAKA. Uiks! Terkejut gak tapi tak lama, keterujaan terus mengisi ruang. Maklum saja, jarang berjalan. Sesekali bila dapat kejutan begini, gila kalau tak teruja?! Huhuhu...

Sepanjang malam kami merayau dibawa Ard. Kejap-kejap berhenti bergambar. Teruja sungguh aku. Aku memang suka amat dengan banggunan-banggunan lama yang klasik ni. Cantik amat! Kemudian kami bermalam di tepi Pantai Pengkalan Balak. Tak tidur pun, teruja main air... menikmati alunan ombak. Aduhai! Menikmati menjelang subuh di tepi pantai memang indah. Selepas pagi menjelmakan diri sepenuhnya, Ard bawa kami sambung berjalan. Akhirnya menjelang tengah hari, kami bertolak pulang ke Kuala Lumpur, membawa bersama kenangan indah di Melaka. ^_^

Hujung minggu seterusnya, aku dibawa cik abang pula berjalan. Kebetulan Ard dan cik abang punyai nama yang sama. Ejaannya saja yang berbeza, Ard = Azhar, cik abang = Azahar. Huhuhu. Macam hal. Satu perkara yang aku sangat suka dengan cik abang nih (huh, kalau dah suka tu semuanya indah! Kawan2 sila bertenang ye... jangan menyampah lak. Aku saja berkongsi seronok. Ahaks! ;p) ialah dia memang suka bawa aku ke tempat-tempah indah yang memang aku cukup suka. Kami ke Hutan Simpan Bubu. Air terjunnya... wow! Kepenatan separuh mati jungle tracking (akibat jarang bersenam) sebelum sampai ke kawasan atas air terjun serta merta hilang! Cantik sungguh ciptaan ALLAH... alangkah ajaibnya alam. Mengucap panjang aku. Cantik... kendian aku menggelupur nak mandi. Air yang sejuk jernih seakan memanggil-manggil aku berendam. Tapi katanya ;

"Orang suruh bawak baju salin tak nak. Nak mandi macam mana?"

Sebelum gerak, sebetulnya aku merasa kurang sehat. Jadinya memang bercadang nak berjalan saja, tak ingin nak berseronok dalam air. Ternyata keindahan alam ciptaan RABB memang menyihir dan langsung menyembuhkan aku. Menyesal sungguh rasa hati tak mendengar saranan darinya supaya membawa pakaian salin dan tuala. Huhuhu... Sepanjang bersama dengan cik abang, lokasi berjalan wajib ke air terjun. Rasanya dah lima enam lokasi berbeza kami 'jemba'. Suka aku.

Selepas meninggalkan Bubu, kami ke Lenggong, menjengah Tasik Raban nan indah. Wow... angin sepoi seakan menyambut selamat datang. Saujana mata memandang keindahan tasik yang luas beralun. Ya, ALLAH! Indah damainya bukan main. Terasa lapang dada dan tenang jiwa. Dia memang tahu mengambil hati. Dia sendiri maklum resah gelisah serta penat lelah aku lewat kebelakangan ni. Apabila berhadapan dan bermesra dengan alam begini, semua rasa yang kurang enak itu seakan dibawa pergi dari aku. Terima kasih, sayang! ^_^

Aku sangat bersyukur kepada Tuhan kerana mengurniakan kawan-kawan dan kesayangan yang baik dan rajin membawa aku menengok dunia. Terima kasih banyak-banyak kepada En. Azahar (malam saya) dan En. Azhar (Ard @ Don Jaxx) yang sudi memeriahkan hidup saya ni dengan membawa saya berjalan. Lain kali bawa lagi ye? Huhuhuhu...

Sepanjang jalan-jalan kenangan, aku semakin meranumi dan memesrai kehidupan...!

Keindahan ciptaan RABB yang Maha Esa

Air terjun Hutan Simpan Bubu

Cik Abang yang tengah rungsing dan larikan diri sebab aku tengah menggelupur nak mandi! Ahaks!

Tasik Raban, Lenggong... aku sedang dibelai angin sepoi yang hampir melenakan.

Bandar Hilir, Melaka. Ard dan Eiyna ketawa menggeleng kepala menengok keterujaan aku.

Cantik...

Bandar Melaka nan klasik

Pantai Pengkalan Balak yang mengujakan

Tuesday, November 9, 2010

Gita Inderaloka

Kalau bulan bisa bicara,
Aku akan menyuruh ia diam...

Kalau angin sedang mengalun gita,
Aku akan meminta ia nyenyat...

Kalau jeladari mengulum wirama dalam gulungan bena,
Aku akan membiarkan khali meraja...

Setelah diam sang cendera,
Setelah nyenyat sang pawana,
Setelah khali sang jeladari dan bena,
Dan setelah usai semesta bisu tanpa kata...

Aku akan meminta,
Sang Dia mula memetik kecapi cinta,
Aku mahu mendengar tunaian nada,
Menarikan gemalai irama di bibirnya...

Kerana di situ aku menemui bahagia...
Kerana di situ aku menganyam dan memintal inderaloka!

Monday, November 8, 2010

Rak Harta Karun

Heaven. Impian aku nak buat camni bila da ada umah sendiri nnt. Huhuhu!

LEWAT kebelakangan ni aku terasa begitu kesibukan sedang merompak masa lapangku habis-habisan sampaikan masa untuk aku bersantai dan bersenang-senang pun sudah tak menentu lagi. Kadang-kadang terasa macam dah tua sangat. Bangun tidur pergi kerja, balik kerja terus tidur. Masa untuk menonton televisyen sudah aku tinggalkan. Enaknya zaman studi, orang azan subuh barulah aku terhegeh-hegeh nak tidur selepas bersenang-senang melayan dvd sepanjang malam. Hasilnya, aku dan Mimie mengheret kantuk ke dalam dewan kuliah. Hahaha...

Tapi itu bukan isu yang paling utama. Yang terutamanya ialah RAK HARTA KARUNku semakin terbiar sepi dan berhabuk di sana sini. Sedih! Kalau dulu, letih macam mana pun paling tidak aku tetap aku membaca satu bab sebelum tidur. Semasa keluar bersama 'cik abang' (^_^) tempoh hari, aku sempat menyambar KUNTUM TULIP BIRU di Kinokuniya KLCC. Aduh, girang hati tak usah cerita. Selepas memiliki dan menguliti SAKURA MENGORAK KELOPAK sekitar 13 tahun yang lalu, hasil tukangan SN Arena Wati ini memang membuai rasa dan berhasil membikin jantung jadi berdetup detap.

Sayangnya, selepas sekian minggu Kuntum Tulip Biru berada di sebelah bantal tidur, hanya 1 bab sahaja yang berjaya aku tekuni. Aduhai... kata-kata yang sedang menyihir berjaya ditewaskan oleh kantuk yang dipintal oleh rasa letih. Buku-buku kesayangan yang menjadi harta karunku semuanya barangkali sudah menyimpan rajuk. Betapa tidak? Aku biarkan mereka bermandi habuk. Jarang lagi dibelek belai dan diciumi (ajaran dari guru, mencium dan menikmati aroma buku sebelum menekuninya ^_~) seperti dulu. Kasihan kesayanganku semuanya. Jiwa terasa kosong jadinya. Otak bagai berkarat.

Sejak meninggalkan zaman belajar, aku selalu merasa kosong. Zaman studi memang indah. Bertemu teman-teman, bergebang, bersembang tentang betapa luasnya dunia. Buku, filem dan lagu, mengkritik, berkongsi idea dan pandangan, bertukar-tukar pengetahuan. Itu semua merangsang hidup! Arghhhhh!!! Dunia memang luas. Tidak sekadar, bagaimana untuk menanak nasi minyak, menggulai terung, menggilap mangkuk pinggang, menenun kain ataupun layakkah Lisa Surihani menang FFM?

Semasa preview filem KEMBAR SIANG di The Curve tempoh hari, aku terserempak dengan En. Hassan Mutalib, pensyarahku semasa di akademi. Pensyarah yang pernah menghalau seisi kelas keluar kerana gagal menghantar tugasan seperti yang ditetapkan (hasilnya kami serik dan tidak lagi mengulang kasalahan yang sama). Pensyarah yang pernah mahu menembak aku dan Mimie dengan senapang gajah kerana bekerja dengan MIG. Pensyarah yang menggelar kami sebagai 'terror of terrorist'. Paling penting sekali, pensyarah yang pernah memberikan aku mimpi ngeri dengan filem GLADIATOR. Aku kagumi beliau. Sebenarnya, ramai pensyarah yang aku benar-benar kagumi semasa di akademi antaranya Tuan Haji A. Rahim Abdullah (kritikan yang sungguh merangsang dan kemas!) dan beberapa nama lagi yang elok untuk aku pendam saja. Kami sempat bersembang. Dan apabila aku dibebelkan tentang 'FILEM' oleh beliau, aku tiba-tiba merasa hidup! Aduh! Terima kasih atas pertemuan ini. Tak banyak, sedikit ia berjaya menyegarkan kelesuan aku.

Banyak hal dah berlalu dari hidup. Kadang-kadang melihat tulisan di blog ni pun aku dah naik menyampah. Bebelan-bebelan tentang hidup sendiri sahaja tak habis-habis. Persekitaran aku sekarang amat melemaukan. Paling menarik, apabila aku buka mulut, aku pernah ditempelak begini ;

"N, jangan la bawak bahasa ASWARA kau tu kat sini! Aku tak fahamlah... (ketawa seterusnya)"

Apakah nasib. Sesekali apabila bertemu dengan teman-teman lama, barulah terasa seronok berlawan kata. Tangan terawang-awang mengalahkan pemimpin politik sampai terkadang menepuk-nepuk meja. ^_^ Sayangnya, teman-teman juga turut dihambat kesibukan. Hidup baru menjadi hijab yang menutup kenangan silam yang muluk-muluk.

Hujung minggu ni aku sungguh-sungguh menyimpan angan untuk kembali membelek belai rak harta karunku, seterusnya menekuni Kuntum Tulip Biru sehingga khatam. Kalau sempat, mahu mengulang baca Sakura Mengorak Kelopak sambil sesekali menjernihkan jiwa rasa dengan membelek beberapa kuntum puisi dari SULUK CINTA dan MEMBURU MALAIKAT. Mungkin kalau benar rajin, aku akan mengintai-ngintai kumpulan drama tukangan Pak Usman. Hujung minggu yang indah! Mudah-mudahan... ^_^