Tuesday, July 10, 2012

Dandelion [Part 7]


WULAN CITRA EKA WIJAYA SARI adalah satu-satunya pewaris kepada Wilayah Timur yang terletak di bawah jajahan takluk Sang Bangsawan. Selepas bertahun-tahun menikahi Anggun Dewi, sang suri permaisuri, barulah mereka isteri suami dirahmati dengan seorang puteri, pewaris kepada negeri. Lebih penting, pewaris kepada leluhur bangsawan mereka. Sang Bangsawan bukanlah orang yang paling cerewet sebenarnya. Dia sendiri hanya berhasil menikahi Anggun Dewi selepas melalui satu sejarah yang panjang. Anggun Dewi adalah pilihan hati dan dia mencabar segala takdir yang menuntut dia menikahi sepupunya sendiri, Avara Sigarlaki.

Avara Sigarlaki.

Wanita yang telah dipilih dan ditakdirkan untuk menjadi Ratu Wilayah Timur. Tetapi masakan Sang Bangsawan mampu melawan kata hati. Dia telah lama ditewaskan senyuman Anggun Dewi. Untuk manis senyum itu, dia bertindak memutuskan pertunangan dan nyaris kehilangan takhta. Sang Bangsawan terpaksa bertarung bermati-matian untuk mempertahankan haknya. Dan dia menang. Selepas pernantian bertahun bersilih ganti, akhirnya Anggun Dewi berhasil memberikan dia waris, bagi menyambung dan memelihara hak yang telah dipertahankan dengan nyawa dan darah.

Sayang seribu kali sayang, Avara ternyata adalah wanita pendendam yang penuh sihir. Lahirnya Wulan membawa petaka bersama. Anggun Dewi menghembuskan nafas terakhir sesudah menatap wajah sang puteri. Avara langsung muncul dengan penuh gaya, melemparkan sumpahan yang telah dikarang semenjak berkecainya ikatan pertunangan antara dia dengan Sang Bangsawan. Kerana itulah.

Kerana Sumpahan Avara Sigarlaki itulah.

Sang Bangsawan tidak lagi berani mengulang sejarah. Dia tahu, merestui pernikahan di antara Wulan dengan Gisher hanya akan mengundang dendam Enu Juarsa. Dia sedikit bernasib baik kerana Avara adalah sepupunya, sama-sama penakluk Wilayah Timur. Dendam Avara hanya meracun dan memusnahkan jiwa milik dia. Tetapi dendam Enu Juarsa pastilah akan membawa petaka dari Selatan bersama. Sang Bangsawan tidak mampu menjadi pementing diri sendiri. Dia sayangkan warisannya. Sayangkan rakyat jelatanya. Dia tidak mahu peperangan meletus hanya kerana cinta.

Sang Bangsawan tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia hanya berdoa dan berharap supaya Enu Juarsa mampu menewaskan Gisher. Bukan dia benci pada anak muda itu. Tidak! Dia jelas tidak berdaya. Takdir menghadapi rakyat jelata dan para kerabat telah menewaskan dia sebagai ayah dan laki-laki. Tidak mampu dia merestui pilihan anak gadisnya kerana dia terikat dengan sejarah. Terikat dengan norma kehidupan yang tidak biasa menerima orang kebanyakan untuk diserap masuk ke dalam keluarga bangsawan. 

Enu Juarsa.

Lelaki itu adalah putera bongsu kepada Raja Wilayah Selatan. Bukan pewaris takhta namun telah dewasa dalam mengenal selok-belok urusan istana. Sungguh padan menjadi pemerintah selepas Wulan ditakhtakan kelak. Elok. Tidak terdaya dia menerima keluarbiasaan dan menolak kelaziman. Sungguh Sang Bangsawan berharap Tuhan akan memakbulkan doa yang sedang dipanjatkan ke langit. Semoga Enu Juarsa berhasil menewaskan anak muda dari Utara itu.

Sang Bangsawan menyimpan sedikit ragu sebetulnya. Dia tahu asal-usul Gisher. Anak muda itu ternyata bukan calang orang. Kegagahan dan keberaniannya bukan sebarang tandingan. Dia menjadi orang suruhan di istana itu pun hanyalah kerana takdir. Jika tidak, pasti Gisher antara kesatria yang sedang gagah mempertahankan Wilayah Utara pada tika ini. Cuma Gisher bukan waris yang sah. Si Panglima, ayahanda Gisher telah menikahi wanita sebarangan. Bukan seketurunan. Gisher tidak diterima untuk menyambung warisan Si Panglima.

Oh, Sang Bangsawan semakin resah! Terasa terlalu lama masa berjalan. Detik demi detik terasa begitu menyeksakan. Andai Gisher berhasil menang, bagaimanakah nanti pendiriannya kelak? Mampukah dia benar-benar mengusir Wulan pergi? Mampukah pula dia berpisah dengan satu-satunya kenangan dia bersama Anggun Dewi? Siapakah kemudiannya yang mahu mewarisi  takhta Wilayah Timur sesudah Wulan terusir pergi?

Oh!

Adakah esok akan berbaik hati...?

No comments:

Post a Comment