Wednesday, September 13, 2017

Hijrah


Hijrah adalah sepatah perkataan yang memberi 1000 makna besar di sebaliknya. Bukan senang untuk seseorang itu melakukan sebuah penghijrahan, tidak kiralah bagaimana pun bentuk hijrah itu sendiri. Untuk seorang aku, telah aku berkelana meninggalkan kampung halaman. Sejak berusia 18 tahun. Di usia 31 ini, dengan tiba-tiba aku terasa letih.

Letih.

Letih dengan keadaan yang mendesak, dan paling letih berperang dengan perasaan. Oleh itu, aku dan Bulat berbincang habis-habis dan akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah pulang ke kampung halaman. Ya, kami akan kembali pulang tinggal di kampung.

Bukan mudah untuk buat keputusan begini. Selepas hampir 13 tahun membina kehidupan di kota raya ini, aku sudah lupa bagaimana perasaannya tinggal di kampung. Paling utama, kami perlu membina semula kehidupan di sana. Bila aku luahkan rasa gusar ini, Bulat berkata;

Luruskan niat. In shaa ALLAH kita takkan tersasar. ALLAH akan membantu. Percaya dan yakin. Kita usaha. Selebihnya harus tawakal dan redha.

Dengan itu, hatiku menjadi tenang. In shaa ALLAH kami akan bertatih dan terus berusaha memberi kehidupan yang terbaik buat seorang Daffa. Dia adalah fokus utama kami sekarang. Amanah dan tanggungjawab kami.

Doakan agar kami berjaya.

Wednesday, July 19, 2017

Rahmat Rejab (Pembelaku)


ALHAMDULILLAH. Tiada rasa syukur yang melebihi rasa syukurku pada ALLAH SWT apabila telah diberikan kesempatan dan keizinannya untuk aku menjadi seorang ibu. Pada tanggal 19 April yang lalu, aku telah selamat melahirkan putera sulungku.

DAFFA BIN NOR AZAHAR.

Tak dapat nak aku gambarkan perasaan aku ketika ini. Terlalu agung kasih Tuhan. Selepas melahirkan Daffa, aku sungguh melihat dunia ini dari sudut yang jauh berbeza. Aku sesungguhnya adalah seorang manusia yang sangat ego dan degil. Dulu aku pernah terfikir bahawa sikap degilku ini adalah bawaan hormon berontak zaman remaja. Rupanya menurut mak, aku sudah begini sejak kanak.

Ya, aku memang anak yang degil kata mak. Sejak kecil, aku akan buat apa sahaja yang aku mahu dan tak akan buat sesuatu yang aku tak nak. Pada ketika ini, cerita begini jadi bahan senyum tawa kenangan mak. Tapi aku tahu, sebagai anak aku memang telah terlalu banyak melukakan hati mak. 

Bondaku, Zawahir Salleh-Embong.

Mak adalah seorang wanita hebat yang berjiwa besi. Sejak zaman kanaknya, dia telah mengharung sejumlah kehidupan mencabar dengan penuh tabah, tanpa airmata dan keluh kesah. Terkadang aku terlupa wanita di hadapanku ini adalah seorang ibu yang rapuh jiwa dalam mengasihi anak-anaknya. Ego dan degilku mengelabukan mata.

Setiap kali menatap Daffa, seluruh rasa kasihku tertumpah di situ. Setiap kali mendakap Daffa, seluruh rasa jiwaku membajir di situ. Sesekali luka bersalinku terasa nyilu. Sesekali terpandang parut hodoh yang tertinggal di perutku, aku akan terasa sayu. Mengenang bahawa itulah rasa yang Mak dan Ayah tumpahkan pada aku sejak lahirku sehingga kini.

Setiap kali terpandang Daffa, setiap kali itulah segala dosaku pada Mak dan Ayah akan melukakan hatiku. Terasa terlalu kerdil diri ini. Sejak Daffa keluar dari rahimku, seluruh ego aku lebur seperti salji di bawah terik mentari. Berkali-kali aku pohonkan keampunan dari Mak, atas segala dosaku yang telah menghiris hatinya. Tapi di setiap kali itulah jawapan mak,

"Seorang ibu tak pernah menyimpan rasa sakit itu dalam hatinya. Mak sentiasa maafkan setiap apa pun yang angah buat. Mak redha dunia akhirat. Doa untuk angah sentiasa ada, selama mak bernyawa...."

Ibuku, Zawahir Salleh-Embong adalah seorang ibu hebat yang tiada tolok bandingan. Seluruh kasih untuknya telah bertakung penuh di jiwaku. Terima kasih kerana menjadi mak untuk seorang aku. Tak kira berapa kali pun aku memohon ampun, tak terasa dekat pintu syurga untukku... terlalu banyak yang aku telah buat. YA ALLAH....

Buat Daffa mak, mak telah bentangkan seluruh kehidupan buatmu, wahai anak. Dengan izin Tuhan, melangkahlah kamu sentiasa ke hadapan. Andai terjatuh, akan mak depangkan tangan untuk menyambut. Jangan pernah takut, nak. Pelukan mak dan apok sentiasa tersedia. Melangkahlah dengan berani, wahai Pembela mak. In shaa ALLAH, kasih mak tak akan pernah habis untuk Daffa. Mudah-mudahan dewasalah kamu menjadi rahmat buat mak dan apok. Aamiin Ya Rabbal'alamin.