Tuesday, July 3, 2012

Mati

Ehsan Google
KALAULAH ditakdirkan korang dapat tahu yang korang akan mati esok, apa yang korang nak buat hari ni? Soalan ni bukan absurb. Ia tidak berbunyi 'korang akan mati esok, jadi apa yang korang nak buat hari ni?'. Ia dengan jelasnya menanyakan perihal 'kalau'.

Kalaulah kita akan mati esok, apa agaknya yang kita nak buat pada hari2 terakhir kita bernafas ni...? Untuk aku, tak ada apa lagi sebenarnya yang aku nak buat. Aku akan pergi kerja macam biasa, minta maaf, ucapkan selamat maju jaya dan kemudian selamat tinggal kepada rakan-rakan di pejabat. Balik dari kerja, aku akan ke BB, beli donut Big Apple. Kemudian makan sambil membuat panggilan kepada mak, ayah, adik beradik. Sama, minta maaf, ucapkan selamat maju jaya, selamat tinggal dan beritahu yang aku amat sangat sayangkan mereka. Kemudian aku akan hubungi teman-teman paling rapat terutamanya Jiha dan anak comel kami, Hadiff. Ucapkan semua perkara yang terbaik dan semoga Hadiff akan membesar sebagai seorang pemuda yang serba mengerti.

Sebenarnya, buat masa ni aku tak ada kekesalan dalam hati. Kalau benar aku memang ditakdirkan untuk mati dalam tempoh terdekat, rasanya tak ada benda yang nak aku kejarkan. Mati sajalah. Cuma terasa ralat kerana aku masih belum menjadi muslimah yang sejati dan anak yang membalas budi.

Pada adikku, Mifdhal, aku sudah berpesan. Dia, mak, ayah, along, kak long, Arrif boleh memilih dan memiliki judul yang mereka sukai dari rak harta karun yakni buku-bukuku sebagai kenang-kenangan tapi tak boleh terlalu banyak. Bukan kedekut, tapi aku sudah berhasrat akan mendermakan bakinya kepada perpustakaan pendalaman yang kekurangan bahan bacaan. Hanya buku-buku itu harta yang aku ada. Kalau ada duit ringgit aku berbaki dalam simpanan, aku minta diserahkan kepada mak dan ayah. 

Kalau ada hutang piutangku yang masih belum lunas, aku minta halalkan. Kalau tak sudi tak apalah, kita bertemu di akhirat nanti. Jangan minta pada keluarga aku. Jangan susahkan mereka. Jangan. Selagi aku hidup ni, mari tuntut dengan aku. Barangkali aku sudah lupa. Rasanya tak ada. Tapi jangan risau, kalau ada mari. Begitu juga dengan dengan permohonan maaf aku. Aku memohon maaf sekiranya ada menyinggung sesiapa. Kalau tak sudi dimaafkan, tak apa. Aku tak berkecil hati. Sama-sama kita selesaikan di akhirat sana.

Bagi aku sendiri, aku maafkan segala salah dan silap sesiapa juga terhadap aku. Kalau ada yang sudah terlupa atau si peminjam tak sudi nak pulangkan, aku juga halalkan semua hutang-piutang sesiapa saja yang pernah berhutang dengan aku. Cuma satu saja yang aku tak mampu nak lepaskan. Untuk sesiapa yang pernah menipu aku, berjanji palsu dan bermain kata dengan aku, itu semua aku tak lepaskan. Setiap huruf yang keluar sama ada melalui kata-kata atau tulisan, aku akan tuntut semuanya di sana kelak. 

Untuk dia, apa yang boleh aku katakan? Aku mencintai dia dengan setulus rasa yang ada. Aku juga bermohon maaf kerana pergi sebelum menjadi yang halal untuknya, melahirkan warisnya dan memberikan sebuah keluarga yang pernah aku janjikan. Sekuntum Kembang Di Sayap Jibril adalah untukmu.

Apa lagi yang boleh aku katakan. Kalau ditakdirkan ALLAH SWT telah menentukan aku akan mati, maka matilah aku. Aku cuma berdoa semoga kematian aku tidak akan begitu menyakitkan orang-orang yang menyayangi aku.

Amin...

No comments:

Post a Comment