Monday, June 27, 2011

Hati Sedang Menangis... T_T

Menyalami mak, Zawahir Salleh pada syawal yang lalu... Rabb, sembuhkanlah ibuku. T_T

DEMI Tuhan... aku sedang menimbang sebuah keputusan yang amat berat. Baru-baru ini, aku titipkan belangsungkawa buat seorang teman di pejabat di atas pemergian ayahandanya, Allahyarham ASP Zahari ke alam baqa. Aku gagahkan bertandang menemuinya di majlis tahlil. Semasa dia menceritakan detik2 pemergian ayahandanya, aku terkedu sayu. Dia berpeluang menjaga sang ayah sehingga ke hembusan nafas yang terakhir. Ayahnya sihat selama ini. Dan pada jumaat itu, dia memang tergerak hati untuk pulang menjenguk keluarga (dia tinggal di rumah sewa). Tak sangka, ia menjadi pertemuan yang terakhir. Sebak aku mendengar sehingga menitis airmata.

Aku perlahan merenung diri. Seumur hidup, mak sentiasa mengharapkan aku duduk bersamanya. Menemaninya. Tapi di sinilah aku. Jauh terpisah beribu-ribu batu. Perjalanan pulang memakan masa sehingga 8 jam. Aku tak tahu kenapa aku terlalu sentimental. Tetapi kepulangan Allahyarham ASP Zahari Abdullah terlalu mengacau goncang jiwaku. Aku terasa diri begitu mementingkan diri sendiri. Aku di sini mengejar cita-cita dan tuntutan hidup sedangkan mak sedang bersendiri melayani hari tua di kampung.

Terlalu mementingkan dirikah aku? Dulu aku tak begitu ralat meninggalkan mak kerana ayah dan adik ada di sisinya. Tapi kini, adik sudah bekerja jauh seperti aku juga malah ayah juga terhantar jauh bertukar balai menyebabkan mak bersendiri. Sebetulnya, mak kurang sihat. Masalah lutut dan gastrik yang teruk menyebabkan mak susah berjalan dan selalu sesak nafas. Perlu selalu diurut dengan minyak panas, sediakan tungku dan dihulurkan ubat. Semalam semasa aku menalefon pun, mak terketar-ketar menjawab. Oh, ibuku demam! T_T

Patutkah aku berkorban berhenti kerja dan balik menjaga mak di kampung. Paling tidak sehingga ayah pencen tahun hadapan. Patutkah...? T_T

2 comments: