Wednesday, May 26, 2010

Kesedihan Yang Mencekik Airmata...!


AKU pernah jadi seorang ekstrimis sejarah! Begitu mendalami seterusnya kagum dengan darah dan airmata di masa silam. Bila orang2 menyebut tentang MERDEKA, ada sejenis perasaan mengalir ke dalam dada seterusnya aku akan berpeluh2, seluruh bulu roma meremang dan jantung akan berdegup kencang. Bila ada yang mencabar, aku akan menyingsing lengan, menghentak meja, memasang muka garang lalu berdebat hebat akan nilai sebuah kemerdekaan ini. Malah ketika di dalam kelas arwah Zubir Ali dulu pun, lirik di bawah tema kemerdekaanlah yang terbaik aku hasilkan berbanding tema cinta. Betapa!

Ketika aku membaca TULANG2 BERSERAKAN yang ditukangi Seniman Negara Allahyarham Usman Awang (dalam kedua2 bentuk, puisi dan novel), aku jadi tersayat pilu. karyanya terlalu menyentuh, menyebabkan aku mula memandang sejarah ke dalam sisi lain. Aduh... selepas membaca majalah Mastika dalam keluaran yang istimewa menampilkan seorang wanita yang cukup hebat buat aku yang bergelar RATU RIMBA MALAYA, bernama SHAMSIAH FAKEH, aku jadi lebih mempercayai sebaris ayat di dalam puisi Pak Usman yang berbunyi bagini ;

"Buat mereka yang tak pernah disapa,
atas keberanian dan keyakinan,
yang tak terkalahkan,
dengan sedar menerima segala derita..."

Aku tertanya2 kepada diri sendiri. Apa yang kita faham tentang erti merdeka sesungguhnya? Wujudkah kemerdekaan yang sebenarnya? Merdekakah kita? Apa yang kita faham tentang masa silam yang penuh DARAH dan AIRMATA itu? Oh....... mencukupikah dengan apa yang kita baca di dalam buku teks semata2...? Benarkah... suatu kebenarankah apa yang tercatat di dalam buku teks sejarah di sekolah kita itu? Hanya TUNKU ABDUL RAHMANkah yang layak digelar sebagai BAPA KEMERDEKAAN? Oh... aku ingin sekali menitiskan airmata saat ini!

Apabila aku menonton WARKAH TERAKHIR yang menampilkan persoalan tentang ROSLI DHOBY adakah beliau seorang PEJUANG atau PEMBUNUH?! aku jadi terkaku melihat anak muda yang baru berusia 17 tahun itu... begitu berani dia menghayun senjata menikam Sir Duncan Stewart di Sibu. Kemudian menelan pahit maut di tali gantung pada 02 Mac 1950 seterusnya jasad disemadikan pula di sebalik tembok penjara tanpa sebarang penghormatan! Hanya selepas 46 tahun lamanya baru beliau diangkat sebagai PERWIRA NEGARA. Shamsiah Fakeh pernah mengatakan ini ;

"Sebenarnya aku bukanlah pemimpin wanita PARTI KOMUNIS MALAYA atau seorang tokoh wanita yang terkemuka. Aku hanya seorang pejuang wanita yang berjuang melawan British untuk kemerdekaan tanah air dan untuk emansipasi wanita."

"Aku telah mempertaruhkan seluruh hidupku hanya untuk menentang penjajah dan memerdekakan tanah airku!"


MERDEKA negara ini adalah dengan air mata dan darah mereka juga sesungguhkan. RABB... aku jadi lemas dalam relung sejarah ini. Aku bertambah2 lemas menatap akhbar saban hari kini. Dahulu orang bermatian menentang penjajah. Hari ini orang bermatian menentang sesama sendiri. Memperjuangkan KETUANAN BANGSA... memperjuangkan HAK RAJA2... di mana PERJUANGAN RAKYAT...? Aku jadi sesat dalam mencari di mana negaraku yang seharusnya membebaskan rakyatnya dari belenggu kemiskinan dan ketidakadilan?!!! Ini NEGARA kita! TANAH TUMPAH DARAH kita... IBU PERTIWI kita... Selepas lebih 50 TAHUN, adakah kita masih tidak mengenal negara ini seluruhnya? Adakah kita masih perlu dipisahkan oleh perkataan BANGSA? Adakah kita masih mahu mempercayai PEMBOHONGAN dan KEBENARAN yang selama ini diSEMBUNYIkan demi kepentingan? Aduhai...!

Kesedihan ini memang mencekik air mata aku seluruhnya..........

Buat teman-temanku yang dikasihi
gelakmu hangus di hutan malam
tinggallah sedu di bilik ibu
( lihat tugu "indah"mu tegak berdiri
yang dipahat oleh tangan asing
seperti mengalirnya darahmu untuk orang lain)

Buat mereka yang tak pernah disapa
atas keberanian dan keyakinan
yang tak terkalahkan
dengan sedar menerima segala derita

Inilah kisah di bumi Tuhan
kita dan mereka bersama-sama
menggali lalu menimbuni rangka
dari tulang-tulang berserakan....

( Tulang-Tulang Berserakan
Usman Awang / 1962 )

Tuesday, May 18, 2010

Betulkah Katanya Begini...?


KATA orang, penulis ni punya magis sebagai peramal masa hadapan. Seperti apabila seorang penulis barat (maaf, buruk sungguh perangai aku! Cuma ingat fakta tapi tak ingat spesifiknya.) yang menulis tentang kematiannya secara cereka, beberapa tahun kemudian beliau didapati menemui ajal dalam keadaan seperti yang ditulisnya secara teliti tepat 100%. Aku juga masih ingat semasa di tahun empat, aku pernah menulis skrip komedi situasi TV bersama Mimie dengan menggambarkan aku sendiri sebagai watak di mana aku yang tension kerana kerja di 7-11 selepas habis belajar dan di akhir cerita aku akhirnya dapat kerja yang sesuai dengan kelulusan. Oklah... aku betul2 habis belajar dan kemudian kerja 7-11, tertekan dan kemudian alhamdulillah, dapat juga kerja sebagai penulis.

Salah seorang sahabat aku juga pernah mengingatkan secara keras,

"Jangan menulis tentang diri sendiri atau teman-teman dan ahli keluarga. Ia mungkin boleh jadi sumpahan!"

Aku sebenarnya menulis entri ni sebab aku tengah ada satu idea baik punya untuk dijadikan skrip cereka tv! Ia tercetus atas pengalaman sendiri dan aku tersangatlah ingin menulis tapi aku tiba2 jadi seram. Teringat perkara2 yang memungkinkan cerita yang bakal aku garap ni akan menjadi sumpahan pada aku memandangkan ia dalam genre seram/thriller.

Aku jadi nak ketawa sendiri pun ada bila mengenangkan ketakutan aku ni tapi entahlah! Sepanjang 24 tahun hidup, aku banyak baca tentang cerita2 seram kuno dan tonton banyak filem bergenre psiko-thriller dan seram. Walaupun tak adalah BANYAK sangat tapi total angkanya sudah cukup untuk menghantui aku. Huhuhu... koleksi seram pertama yang aku baca semasa darjah dua yang berjudul 'SIRI BERCAKAP DENGAN JIN', paling sarat mencetuskan idea dalam kepala aku. Tapi apakan daya... aku lebih suka membenamkan idea2 yang muncul tu dengan kemalasan dan penangguhan. Dulu masa sekolah, sukalah juga tulis cerpen seram dan kemudian bagi kawan2 baca. Kalau ada kawan2 aku masa sekolah rendah (SK Seri Nilam Chabang Tiga K.Trg/1993-1998) yang baca entri ni, sila hubungi aku ya? Aku rindu kalian! Siap ada kelab peminat aku ni masa tu. bayangkan, kalau aku tak sempat tulis, mereka paksa aku bercerita saja pada mereka. Hasilnya, ramai yang mendoakan cikgu tak masuk kelas dan ada juga yang sanggup tak keluar rehat pasal aku memang jenis yang lepak dalam kelas masa rehat.

Rindu sungguh!

Tapi tu dulu... barangkali kalau aku tulis cerita hantu sekarang ni peminat aku mesti kalangan budak sekolah rendah juga. hahahaha! Yalah, pasal pengalaman yang aku ada pun ala-ala pernah menghiburkan budak sekolah rendah saja. Dulu pernah masa tahun 2 aku tulis sebuah cereka tv yang berkisarkan alam mistik dunia Melayu. Pensyarah aku suka tapi katanya mentah sangat. Terlalu banyak kelemahan yang HARUS diperbaiki. Ideanya saja menarik. Lagi pun aku memang lemah menulis cereka tv dan lakon layar. Jadinya, harus merangkak aku sebelum bertatih berjalan.

Isunya sekarang, betulkah tulisan seorang penulis bisa jadi sumpahan? Ataukah ia sekadar suatu kebetulan yang sangat kebetulan? Aku betul2 nak tahu pasal aku tersangatlah nak tulis pasal idea aku ni! Huhuhuhu... (gelak dengan nada seram) (^_~)

Harapan Sang Kupu-Kupu


Kupu-kupu itu...
Beterbangan dengan sayapnya yang patah,
Mengharapkan malam akan menjelmakan ia sebagai rama-rama,
Menantikan rawi terbit menerangi warna-warna yang terukir di sayapnya,
Lalu ia menjadi keindahan yang dipuja!

Kupu-kupu itu...
Terus berterbangan dengan sayapnya yang masih patah,
Mengharapkan pawana bakal meniupkan warna pelangi,
Menutupi putih yang semakin pudar,
Dan pesona segera mengisi ruang!

Kupu-kupu itu...
Terus patah sayapnya,
Ia semakin sedar angka saptanya semakin mampir,
Lalu ia lupakan bayang rama-rama,
Dan mula berharap patah sayapnya akan sembuh semula!

Thursday, May 6, 2010

Pergi...


AKU ingin sekali memasukkan dua tiga helai pakaianku ke dalam beg sandangku yang mula lusuh warna hitamnya dan kemudian menaiki tren ke Perlis. Keinginan ini telah aku pendam sejak aku mengenali seorang teman di tempat studi seputar tahun 2007. Aku ingin menaiki tren ke Perlis, tanpa sebarang persediaan melainkan beg berisi dua tiga helai pakaian saja. Menapak menengok suatu tempat yang tak pernah aku singgahi selama 23 tahun 6 bulan aku hidup.

Sudah terlalu banyak kali aku menyuarakan keinginan ini kepada sahabat terdekat namun malang untuk aku kerana tak ada sesiapa pun sudi temani aku. Aku hanya pingin seorang teman temani aku mengatur langkah kerana jalan terasa canggung sendirian. Tapi itu bukanlah sebab kenapa hasrat ke Perlis masih belum aku lunasi. Entah kenapa walau keinginan aku sungguh kuat untuk mengembara, aku seperti lampau banyak berfikir. Ada saja yang menghalang.

Aku ingin naik tren ke Perlis hanya untuk sehari dua. Aku ingin menikmati suasananya, ingin merasa pemandangannya, ingin katakan pada anakku kelak :

"Mummy pernah ke Perlis naik tren. Asyik sekali pemandangannya, asyik juga suasananya..."

Selepas ke Perlis, aku ingin naik kapal terbang murah dan membelah awan menuju ke Miri. Di sana ada air terjun yang sangat cantik. Aku ingin sekali menikmati pemandangannya. Mendirikan khemah dan bermalam di sana untuk semalam cuma. Kemudian terbang pulang. Ramai yang bertanyakan dan malas mengikut kerana jangka masanya yang pendek. Tapi untuk apa berlama? Aku cuma ingin merasa menghirup udara yang berbeda untuk seketika kerana serasa jemu memijak tanah yang sama.

Selepas ke Sarawak, aku mahu naik feri di Langkawi. Juga untuk semalam dua. Seterusnya ke Cameron Highland. Semalam dua juga. Tidak akan lebih lama dari itu. Untuk masa depan, aku pingin sekali sambung studi di Indonesia. Ini impianku sejak zaman kanak. Entah kenapa, aku mahu merasa tinggal di negara jiran itu. Barangkali juga tidak begitu lama. Usai studi, aku akan berpulang semula ke tanah air dan pusing ronda2 satu Malaysia. Ini semua adalah impian aku. Aku mahu jalan2. Mahu jenguk sudut dunia yang lain. Barangkali kalu ada hayat dan rezeki, usai pusing Malaysia, aku panjangkan langkah pula ke tempat2 lain. Ada beberapa buah tempat yang aku impikan untuk lawati. Athen, Rome, Mesir, Jepun dan India. Ini yang utama dalam senarai aku.

Oh, sungguh indah mempunyai keinginan! Aku sungguh2 memanjangkan harap dan doa agar di suatu masa andai hayat masih ada, aku duduk di sebuah kerusi malas di tepi pantai mengadap mentari yang semakin terbenam dan mengatakan ini pada orang2 yang ada di sekelilingku:

"Aku telah menghabisi hayatku dengan menulis dan melihat dunia. Andai aku menutup mata, ia pastilah akan terpejam dengan serapatnya..."

Ya, Rabb... perkenankanlah!

Tuesday, May 4, 2010

Perkembangan

Cukup kembang tak? (^_^)

KEBELAKANGAN ni terasa hidup berlalu tanpa sebarang peristiwa yang memberangsangkan dan membikin jiwa berdetup-detap. Tak mahu bicara tentang anak remaja yang mati tertembak. Nanti ada yang sensitif tak tentu hala. Ada pula yang terpekik-pekik mengingatkan supaya jangan dipolitikkan isu ini. Senang cakap, yang tertembak tu bukan anak, adik, abang dan sedara terdekat korang, jadi bercakap pakai lidah memang mudah! Sempat aku rakamkan suara2 nakal yang menyalahkan keluarga si mangsa yang tidak tahu di mana anak sendiri berada dan bergaul dengan siapa. Amboi sedapnya berkata2. Kalau Tuhan nak tunjuk, tak tunggu besok! Kejap lagi pun boleh jadi. Hanya kerana benda tu tak jadi pada kita, jangan ingat kita ni bagus sangat jaga anak. Jangan ingat anak kita tak mungkin akan kena tembak bila2 masa. Tak mahu sebut tembaklah, jadi apa2 je senang. Jangan ingat anak kita tak mungkin akan jadi apa2... ada faham?

Aku bukan sewenang2 menyalahkan si penembak. Tidak. Aku mahu semua orang menimbang isu ini seadilnya. Jangan tidak! Emosi keluarga mangsa wajar dihormati kerana perit menanggung bebannya adalah mereka. Bukan kita. Jadi kita yang hujung kain pun tak ada kena mengena ni janganlah sesedap rasa saja yang menunding jari pada keluarga mangsa pula. Sakit sungguh hati dan mata membawa komen2 rakyat Malaysia yang disiarkan di dalam ruangan akhbar lewat hari2 ni. Pada aku semua orang yang sedang bercakap tu sebab tak ada dalam situasi ni. Anak mereka baik. Tak mungkin jadi itu dan tak mungkin buat ini. Aduh, senangnya! Anak dara yang bertudung litup, tup2 mengandung tak berbapak! Anak bujang yang sopan yang hisap rokok pun tidak, tup2 mati over dose dadah! Laki kita yang baik budi dan sembahyang tak tinggal, tup2 kena tangkap khalwat. Isteri kita yang lemah lembut dan cakap tak tinggi suara, tup2 pengedar dadah berskala kecil yang mengedar pada budak2 sekolah!

Apa yang aku cuba sampaikan ialah, kau tak boleh nak jangka apa pun! Jadi jangan cakap keluarga mangsa tak pandai didik anak, tak pandai pantau jaga pergerakan anak. Jangan... tolonglah demi Tuhan, jangan! Jangan bercakap ikut sedap mulut. Kita tak kena, kita tak tahu. Paling menyakitkan hati bila ada yang mengeluarkan kenyataan seperti ini :

"Ada orang mati tercekik tulang, ada orang mati dalam akuarium, ada orang mati kena tembak. Cuba renung2kanlah ini semua, qada dan qadar dari Allah."

Betapa ceteknya akal orang yang menulis ini. Mati tercekik tulang, mati dalam aquarium tu mati kemalangan, yang terlibat hanyalah diri sendiri. Kalau Tuhan itu bersifat tak adil, kenapa wujud hukum qisas? Sebab tu aku minta disiasat. Yang bersalah WAJIB dihukum kalau dia terbukti bersalah. Habis tu, kalau anak kau kena langgar sampai mati, kau redha dan maafkan sajalah orang yang langgar anak kau tu? Cubalah bercakap pakai akal sikit. Keadilan MESTI dicari! Ada faham?

Aku rasional. Kalau selepas dibicarakan tu terbukti si pelaku itu tak salah dan dia sekadar menjalankan tugas, jadi barulah kita berusaha bermuafakat mencari penyelesaian terbaik. Sesungguhnya ALLAH SWT maha mengetahui di atas segala sesuatu itu. InsyaAllah, kebenaran dan keadilan akan terbukti juga sesungguhnya. Amin. Hentikanlah kata2 seperti :

"Kepada rakyat Malaysia, janganlah bawa kereta seperti penjenayah!"

"Orang salah, walaupun kecil, perasaan takut memang ada."

"Sudah takdir ajal arwah di peluru polis, terimalah ketentuan Ilahi."

Sesungguhnya fahamilah bahawa ini bukan soal takdir atau tak terima ketentuan-NYA, ini soal mencari keadilan.

Hm, aku memang tak nak cakap langsung pasal perkara ni. Bukan apa malas nak dengar orang terpekik2 melalak minta jangan dispekulasi dan dipolitikkan perkara ini. Aku cuma nak cerita pasal kehidupan aku yang tak berapa nak berkembang sangat kebelakangan ni. Bosannya...

Monday, April 26, 2010

Sangat Suka... Sangat-Sangat Suka...!

Versi asal ( 1984 ) yang dah lama menjadi sweet nightmare aku! Love ya, Freddy!
( dan Johnny Deppku yang masih mudo ketika di dalam filem ini! )


Versi baru yang dipercayai lebih dahsyat, lebih chun, lebih penuh darah dan lebih banyak kematian! Muhahahaha...

SEORANG kakak terbaikku telah mengingatkan aku kepada sesuatu. Ya, filem yang bakal menjengah pawagam hujung bulan nih! Bahagian yang terbaiknya filem ni adalah filem yang paling aku suka pada masa kanakku yang telah di bikin semula. Teruja dan sangat suka! Itulah perasaan aku sekarang ni. Jadi aku ingin menyeru teman2 yang aku suka dan tak suka, sila tonton filem ini di pawagam bersama2, ok?

Jangan lupa, ya...?!

Wednesday, April 21, 2010

Dunia Seorang Aku


BERKATALAH seluruh mereka kepada aku,

"Hidup harus pantas! Jangan tinggal berfikir saja. Jangan ulang sejarah Mat Jenin, teori saja difikir2 lalu praktisnya berterabur terperosok di perdu pokok!"

Aku diam sejenak. Malahan sedari awalnya aku memang tinggal diam. Sekadar mendengar dan cuba mencerna saja. Aku akui aku banyak berfikir (fikir yang sangat banyak walaupun sekadar mahu membeli air minuman). Ada yang kata aku kedekut amat. Sebagai contoh, aku dahaga dan mahu minum. Aku malah fikir, patutkah aku membeli air ataupun menimbangkan kemungkinan aku boleh minum di rumah saja dan sebagainya. Itu sifat yang tak mampu aku kikis. Aku memang banyak berkira soal mengambil keputusan. Selalunya sifat yang teliti begini pun tidak begitu menguntungkan. Buktinya kadang2 timbul iri melihat teman2 yang lebih maju dari aku, tak kiralah dari segi karier, wang, aset dan sebagainya.

Semalam aku menghadiri satu majlis. Suatu hal yang mencuit hati adalah apabila beliau mengatakan bahawa gaji sebanyak RM 2000 di KL adalah miskin! Ini fakta, bukan auta katanya. RM 2000/seorang adalah nilai miskin. Tertanya2 aku seketika, jadi bangsatkah aku yang bergaji separuh dari nilai yang dinyatakan itu?

Kalau aku katakan aku tak suka duit, apakah reaksi orang2 kepada aku? Ya, tidak lain aku langsung akan dituduh sebagai hipokrit! 2010 ini menyaksikan orang2 sanggup melakukan apa saja demi wang. Menyamun, merompak, meragut, memeras ugut, ceti haram, namakan saja! Wang sudah jadi separuh Tuhan. Atau mungkin untuk sesetengah para ekstrimis, wang sudah jadi Tuhan! Wang, wang, wang!

Jujur aku katakan. Gaji aku sedikit amat. Amat-amat sedikit. Malah sempat aku rakam suara2 yang mentertawakan aku dan mengatakan gaji aku tak secocok dengan nama jawatan yang aku sandang. Tak apalah. Rakaman itu aku telan diam-diam. Aku selalu percaya, semakin besar periuk, semakin banyak keraknya. Jadi, realisnya sebanyak mana pun gaji yang diterima ia pasti tidak akan pernah cukup. Lalu mengapa harus dibebani hati dan minda dengan hal2 duit ni?

"Hidup demi masa depan. Tanpa perancangan yang mencukupi dan rapi, kita tidak akan punya masa depan. Pelajari kesilapan Thomas Wilson dalam The Lotus Eater."

Entahlah. Aku selalu mahu hidup untuk hari ni sahaja. Semalam sudah berlalu dan esok belum tentu. Nikmati saja hari ini. Aku jujurnya cuma ingin tenang dalam menjalani penghidupan. Kalau aku berpecah kepala dan meneraburkan otak demi memikirkan untuk mencari wang, bukankah itu tidak seronok? Bukankah bagusnya berlebih kalau aku gembira dan menerima rezeki aku sedang seadanya di samping berusaha perlahan-lahan untuk memperbaguskan kehidupan? Bukankah?

Ataukah aku sememangnya salah dan TEORI SIPUT yang aku pegang selama ni memang tak boleh diguna pakai dan elok kalau dicampak saja ke longkang?

Entahlah...

Tuesday, March 30, 2010

Aku Pilih Derita...!


AKU masih percayakan cinta! Aku tak mahu jadi hipokrasi... aku tak ingin bikin celaru emosi. Kau selalu bertanya, apa cinta untukku? Dan seperti selalunya juga aku menjawab, sengsara itu adalah cintaku. Lalu kau bertanya lagi seperti hari-hari yang telah berlalu, mengapa cinta harus sengsara? Akhirnya aku akan tetap menjawab, sengsara adalah roh cinta dan cinta adalah roh nyawa. Kemudian kau akan mengangguk dan aku kira itu adalah anggukan mengerti.

Aku pilih cinta. Ertinya aku pilih sengsara. Begitukah? Aku tahu engkau adalah bahagia bagiku... realisnya juga engkau adalah derita. Para sahabat pernah tanyakan pada aku,

“Wahai Sang Ratu, mengapa kau enggan melepaskan...”

Selalunya aku enggan menjawab terus melainkan memilih untuk diam. Mengharapkan nyenyatku bakal memahamkan mereka bahawa aku tidak punya jawapan untuk soalan mereka itu walakin aku sendiri tahu bahawa menipu para sahabat samalah seperti bohong pada nyaliku sendiri. Maka seburuk-buruk penipuan itu tiadalah lain melainkan dengan pendustaan nyali sendiri. Kerana terpukul dengan hakikat sedemikian, aku jawablah juga dengan sukma yang penuh berontak,

“kerana aku pilih derita...”

Meloponglah para sahabat. Sahabat I bangkit dan dengan suara yang memetir keras dia berkata,

“Ratu, kau masih belum temui mata yang bisa membisukan bibir serta qalbimu untuk ribuan tahun lamanya dan kau masih bahagia dengan situasi itu!”

Sahabat II pula terduduk lalu dengan suara yang perlahan campur tegas dia segera melempar bicara,

“Ratu, kau terlalu percaya yang sinar sebutir permata akan tetap dapat ditenggelamkan kilauan selerakan kaca. Kau harus belajar mendongak kepala!”

Engkau... dengarkah kau pada kata-kata para sahabatku? Melewati kuping telingamukah? Sempat singgah ke kesumamukah? Kalau terdengar, aku mohon abaikan. Aku tahu sendiri, tanpa permohonanku pun kau masih tetap jadi patung kencana. Kau hanya bernyawa tika bersamaku, bukankah?

Hari ini, aku enggan mengingati semalam. Aku tak sudi mengenang esok. Walau indah semalam masih bisa membaluti memori hari ini namun aku jijik mengungkit. Esok adalah fantasi. Untuk apa difikiri? Aku tahu hasratku tidak pernah keliru. Kau selalu katakan padaku, indah mempunyai harapan. Harapan adalah sama seperti separuh daripada harapmu telah tertunai. Petikan kecapi euforia mengiringi canaian hari-hari di mana harapanmu terukir di qalbi. Aku menggeleng kepala sekerasnya. Harapan untukku adalah hukuman yang paling kejam. Kau gembira untuk seketika, dan jika pada penghujung waktu kau akhirnya sedar dan tewas merealitikan impian harapanmu, bukankah sakitnya membunuh kesumamu? Mematahkan vitalitimu untuk meneruskan degup jantung. Bukankah?

Engkau selalu mahukan euforia mewarnai nyalimu supaya terukir bianglala di situ walaupun untuk sedetik cuma. Kau tidak tamak, katamu. Kau rela mengisi bahagia walau kau tahu ia tidak akan lama. Namun aku juga enggan menurut itu. Kau tahu, aku selalu percaya adalah terlalu indah dilupakan. Ia menzahirkan kerinduan yang tiada padam. Tahukan engkau itu? Untukku, andai bahagia bersamamu hanyalah seketika, maka aku lebih rela memilih derita merinduimu.

Engkau harus tahu. Cintaku tidak buta, tidak juga bermata. Tahukah? Cinta yang tidak mengenal hujungnya. Cintaku tidak punya suara namun tidak pula ia bisu tanpa bicara. Cintaku tidak bersyarat. Cintaku tidak punya permintaan.

Aku hanya punya cinta. Cinta sepenuhnya atau tidak ada langsung! Itu sahaja. Para sahabat juga, ketahuilah perihal cintaku yang tidak ada apa-apa.

Kata mereka, cinta itu puncak hidup. Tanpanya hidup ini tak akan mungkin sempurna. Sempurnakah cinta? Tiada cacat celakah? Adakala tika sakit dan sengsara yang melingkar jiwa menyebabkan aku ingin benar menancapkan bilah pisau di antara jantungku, membelah hati dengan belati, memutuskan urat nadi dengan mata yang tajam berkilauan. Cinta Juliet bisa jadi agung apabila bibir Romeonya mencicip manis setitis racun lalu menikmati saat-saat racun itu enak melalui tekaknya, melewati rongga nyawa lalu mengirimkan cinta ke alam syurga. Seperti mana kasih Romeo juga melayah ke alam dewa-dewa tatkala Sang Juliet membenamkan bilah belati dalam-dalam ke dalam jantungnya. Membelah jiwa dan membawa bersama cinta ke inderaloka.

Cinta mereka menyusuri zaman bukan? Kasih mereka mengatasi batas setempat tidakkah? Dunia mengenal agung cinta mereka. Namun terbuktikah kasih hanya dengan kematian? Andai kematian bisa pasti jadi riwayat yang menghikayatkan cinta, aku rela meletakkan sebutir peluru ke dalam kepalaku. Aku rela benar-benar meletakkan tengkukku di antara siong sang tedung andai mati itu pasti bisa menjadikan cinta itu hak mutlakku. Namun benarkah? Benarkah matiku akan menjamin itu? Aku masih belum dapat memastikan. Dan kerana ketidakpastian itulah, aku masih bisa bernyawa. Aku tetap dapat menghela nafas semahunya dan degup jantungku masih berdetak derita. Aku hanya punya satu cinta. Hanya satu!

Cintamu berbeda semuanya. Cinta kata-katamu berbeda dengan cinta perbuatanmu berbeda juga dengan cinta tulisanmu tetap berbeda lagi dengan cinta hatimu. Aku tak tahu jujurnya yang mana satu daripada beda cintamu itu adalah cinta untukku.

Adakalanya aku gagal membaca namun ada ketikanya aku hanya tahu. Ia berbisik ke dalam sukmaku. Aku sekadar Sang Ratu yang semakin pudar serinya namun masih punya cinta yang tak tersentuh puncaknya! Untuk itu sengsaraku terbasuh dengan bahagia.

Engkau, andai bahagia bagimu adalah pergi dan bersama dengan Dewi yang kau kasihi, aku akan melambai pemergianmu dengan sekalung doa. Berbahagialah kalian berdua sehingga ke pintu syurga. Andai bahagia bagimu adalah sendiri dan melayari penghidupanmu dengan semahu hati, maka aku akan membiarkan kau dengan duniamu sendirian dan memerhatikan kau dari suatu sudut kecil tanpa suara. Aku tetap akan ada untuk menyambutmu andai engkau rapuh dan terjatuh. Kau takkan pernah rebah. Itu janjiku. Jagat raya ini milik cintaku. Terbanglah ke bumantara. Aku tetap berdiri di bentala, bersiaga memastikan sayapmu tak akan pernah patah. Senyumanku milikmu. Dengan itu, bianglala tetap berseri walau tanpa kurrat seperti punya rawi dan cendera. Zulmat masih enteng kusisih pergi.

Engkau, wahai kekasihku. Aku mahu kau mengerti, aku tak rawan bila kau pergi... namun aku terkilan bila kau enggan kembali. Namun aku masih terus menanti. Setia kerana panah cintamu telah sesap ke dalam khali nyaliku. Aku enggan melepaskan kerana sengsara adalah roh cinta dan cinta adalah roh nyawa. Aku masih percaya. Seperti hari-hari semalam dan hari-hari yang bakal mendatang, aku masih tahu yang hasratku tidak pernah keliru.

Andai derita merinduimu itu sebenarnya bahagia, maka aku pilih derita!

Monday, March 29, 2010

Buruk Sangatkah...?

KADANG-KADANG aku tertanya2 sungguh... buruk sangatkah menjadi aku? Asal orang tengok saja muka aku, mesti lama2 akan keluar ayat ni dari mulut diorang,

"Nak aku make-overkan kau tak?"

Aku geleng2 sambil senyum saja. Apakah salahnya... apakah buruk benar kelihatannya kalau aku hanya betah menyarung jeans dan t-shirt saja ke tubuh ni? Aku pernah cuba melaram, pakai comel2... tapi tak sesuailah dengan jiwa. Untuk apa kelihatan elok tapi hakikatnya aku sendiri tak selesa. Sejak bekerja, aku mula melanguk depan almari (perkara yang aku tak pernah buat seumur hidup!) memikirkan baju apa yang dipakai supaya kelihatan lebih elok dari biasa. Tapi... aku tak suka. Aku suka menjadi aku yang bangun pagi, mandi, sarung baju dan jalan. Aku ambil masa setengah jam saja untuk semua tu. Kadang2 sempat sarapan lagi. Pukul 8 aku bangun, 8.30 dah boleh keluar umah. Sekarang dah tak boleh. 7.45 dah kena bangun. Pilih baju, pakai make-up (kerja pejabat katanya) kemudian baru keluar umah.

Aku tak betah selalu begini. Aku pernah ke pejabat sesempoi yang mungkin. Terbeliak mata semua orang melihat aku selekeh begitu. Bila esoknya aku pakai elok2, ada akak menegur,

"Barulah sedap mata memandang..."

Sedap mata memandang, sedap ke hati aku merasa. Aku tahu, semua orang perlu berubah. Perlu lebih matang dan dewasa. Perlu tahu tatacara. Tapi adakah apa yang kita pakai, cara kita bertutur dan perilaku kita yang sopan saja yang menjadi kayu ukur betapa baiknya kita sebagai seorang insan? Aku seorang yang kasar, cakap kasar, perilaku pun kasar (macam jantan kata bondaku) malah, pakaian pun selekeh (berselipar jepun, jeans dan t-shirt, tudung pun main sarung je, tak pandai nak belit2, taruk pin kilat2). Jadi adakah aku ni manusia yang tak sempurna dan elok jadinya?

Kalau kesempurnaan itu dinilai dengan perkara yang cantik, indah dan baik2 saja... aku fikir, aku lebih bahagia menjadi yang tidak sempurna...!

Tuesday, March 23, 2010

Antara


Di manakah kubur seekor kupu-kupu
Di antara peniti dan paku

Di manakah terletaknya nombor tujuh
Di antara enam dan lapan

Di manakah kurrat sang pelangi
Di antara hujan dan mentari

Di manakah kesudahan hutang mati
Di antara hujung rambut dan jemari kaki

Di manakah ai yang sejati
Di antara mata dan nyali

Wednesday, March 17, 2010

Adalah Penting Untuk Merasa Diri Penting!

Sebelum ni, aku memang tak rasa penting untuk merasa diri penting sebab kepentingan untuk merasa penting itu hanya terpulang kepada orang-orang yang penting dan dipentingkan oleh perkara2 yang penting. Penting ke untuk rasa penting? Coz aku dulu fikir penting tu subjektif. Kalau kau rasa penting, pentinglah dan kalau kau rasa tak penting, tak pentinglah jadinya. Tak gitu? Betul ke tidak?
Hahahaha... pening ke belum? Aku ala-ala nak peninglah ni. Bukan apa, aku baru-baru ni baru dapat kerja baru. Kawan-kawan baru, persekitaran baru dan BOS baru! Rumah pun baru. Jadi aku yang baru ni terkial-kial sikit yang meninggalkan diri yang lama. Risau pun ada. Boleh ke tidak aku buat kerja? Berkualiti ke tidak kerja aku tu? Boleh memuaskan hati bos ke tidak? Aku memang terkial-kial datang kerja, terperuk macam penyu tua depan Blackie (laptop mummy!) sambil berpura-pura sibuk supaya tak nampak macam goyang kaki. Tapi selepas memberanikan diri berhadapan dengan bos selepas mendapat khidmat nasihat dari Abang Hairi (trimas, abang!) aku mula menjadi yakin.
Madam pun cakap pada aku,
"Awak jangan terperuk senyap-senyap dalam bilik tu saja. Jumpa saya setiap hari, laporkan kerja awak pada saya. Jangan sampai saya lupakan awak!"
Beliau berkata-kata sambil menepuk bahu aku sebanyak dua kali. Aku terima sebagai pembakar semangat. Dengan bos lagilah. Katanya,
"Kamu, jangan takut kena tegur (marah) sebab kamu akan tahu salah kamu. Jangan jadi macam pokok yang hijau daunnya tapi akar dah berulat dan bakal reput bila2 masa!"
Bos kata, bilik beliau tak ada halangan. Aku dan pekerja yang lain boleh datang bila2 masa sahaja demi menyampaikan apa saja komen, tak puas hati, berbincang masalah, menyampaikan berita terkini... pokoknya semua! Apa saja! Jangan rasa takut atau segan atau malu atau... apa saja! Jangan. Maunya terus terang saja! Aku entah kenapa lantas magis merasa diri penting. Aku rasa pun semua pekerja di sini merasa diri mereka adalah satu kepentingan dalam syarikat ni. Satu pujian aku kalungkan. Semangat untuk bekerja membara kerana bos sendiri cakap,
"Tengok preview, lepas tu bagi komen kepada saya sendiri. Jangan melalui orang lain!"
So? Sebenarnya hari ni aku memang semakin yakin, adalah penting untuk merasa diri penting kerana apabila kita rasa kita penting, kita juga akan rasa kerja-kerja kita penting dan oleh kerana ia penting, adalah satu kepentingan untuk menjadikan ia sempurna lalu kerja-kerja yang penting itu akan mendatangkan hasil yang penting pula! Dah pening? Kalau belum sila bongkok dan letak jari telunjuk atas lantai kemudian pusing sebanyak 18 kali sampai muntah!