Monday, July 8, 2013

Selamat Datang, Ya Ramadhan


ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat ILAHI, aku masih bernafas, masih sehat dan masih berpeluang bertemu kembali dengan Ramadhan al-Mubarak. Semoga Ramadhan kali ini membawa 1001 barkah dan cerita ria dalam hidup aku.

Amin.

Selamat datang, Ya-Ramadhan. Kau kusambut dengan lapang dada dan tangan terbuka.

Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui... dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa kuberada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintah-NYA
Moga dapat kulenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin kubiarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan, pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kumemohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Kumerayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah
Dengan rahmat-MU oh, Tuhanku
Kutempuh jua...

(Harapan Ramadhan - Raihan ft. Man Bai)

Sunday, June 23, 2013

Hujung Minggu yang Padat


SEJAK berpindah tempat kerja dan tempat tinggal ni, aku terasa hujung minggu aku semakin padat sungguh. Mana tidaknya, ada saja teman, sahabat, keluarga dan sebagainya menghubungi ajak bertemu. Dalam erti kata lain, masa bertemu dengan kehidupan selain kerja hanya terhad pada hujung minggu saja! Aduh... duh... duh! Lelah juga memandangkan hujung minggu hanya ada 4 kali dalam sebulan. Amboi, sibuknya diri! Terasa kalah pak menteri.

Hahaha~

Manalah tak datang sibuknya. Para sahabat, ahli keluarga dan cinta hati masing-masing jauhnya... hai! Along di Putrajaya, Mifdhal di Kuala Kubu Baru, Kak Lang di Puchong, Angah Farana di Bandar Baru Bangi, Jiha di Serdang, Mimie di Bandar Saujana Putra, Ikynz di Shah Alam, Kak CT di Kedah dan Bulat di Perak (sekadar menyebut beberapa nama :p) Jauh tu sebenarnya tak sangat, tapi masing-masing perlu ditemui secara individu. Tu yang rumit tu. Apa pun hujung minggu baru ni aku menghabiskan sepanjang sabtu bersama Mimie, Ikynz dan teman-teman di MIG manakala sepanjang ahad pula bersama Kak CT dan Ikha yang gojes tapi ganas. Hahaha~

Rancangan asal untuk ahad ialah meraikan ulangtahun Jiha sambil berpiknik bersama anak-anak (Hadiff, Hannah dan Ikha) di Titiwangsa. Malangnya, saat yang jarang beginilah Sang Jerebu juga sibuk nak mencelah. Mengenangkan anak-anak yang masih kecil, terpaksalah rancangan asal dibatalkan dan ditunda ke lain kali (ke suatu masa yang tak tahu bila).

Apa pun aku ucapkan tahniah buat Mimie yang sudah pun memiliki kediaman sendiri dan selamat berpindah dengan jayanya. ^_^ Aku juga ingin merakamkan ucapan terima kaseh buat Kak CT atas kesudian menghantar lukisan yang aku tempah darinya dan dapat pula hadiah yang tak disangka-sangka. Terharu!

Selamat berhujung minggu kawan-kawan. Semoga jerebu lekas reda dan kesihatan kita semua akan baik-baik saja. Amin.


Monday, May 13, 2013

14 Mei... Salam Ulangtahun


HANYA sebuah catatan ringkas. Hari ini ulangtahun kelahiran Si Bulat. Alhamdulillah. Selamat meniti usia, wahai kekasih. Selamat panjang umur, selamat murah rezeki, selamat memiliki semua kebahgiaan yang ada dalam dunia ini. In shaa ALLAH. Amin.

Dengan izin RABB, cinta ini akan tetap abadi terpatri di hati.

Sunday, May 12, 2013

Apa yang Kami Nak...?


HARI ni aku tergerak hati nak mengemaskini ruangan yang semakin bersawang ni disebabkan oleh satu soalan;

"Apa lagi yang anak muda nak?"

Pertama sekali, pada usia 27 tahun ni, rasanya aku ni boleh dikategorikan sebagai muda lagi. Hahaha. Sementelah aku pun masih belum beranak-pinak, jadinya mudalah kot. ^_~ Oleh kerana ini, aku rasa aku layak untuk menjawab soalan yang terlontar sebentar tadi.

"Apa lagi yang anak muda nak?"

Soalan ini dilontarkan oleh Mr. Burgermeister. Nama gelaran yang aku berikan pada susuk berusia hampir 50-an ini disebabkan oleh bentuk fizikalnya yang menyerupai watak mayor yang diperankan di dalam filem Frankenweenie (oleh Tim Burton. semestinya). Sumpah aku tak tipu! Memang sebiji. Biarlah aku perjelaskan di sini, situasi bermula apabila Mr. Burgermeister (yang merupakan penyokong nombor wahid kerajaan BN. Pada pandangannya Najib Razak adalah pemimpin terbaik yang berjiwa rakyat, selain PM yang paling tampan di antara PM-PM Malaysia yang lain) meluahkan rasa kesal atas penentangan anak muda zaman sekarang yang tegar menyertai banyak perhimpunan haram (menurutnya) dan mencetuskan huru-hara sehingga mencelakakan ramai pihak.

Anak-anak muda ini dikatakan hanya ikut-ikutan dari pihak penghasut (menurutnya lagi), tidak tahu hujung pangkal perjuangan dan hanya tahu memberontak. Darah muda katanya, masih panas. Masih tidak tahu membuat perhintungan akal yang waras. Katanya begini;

"Apa lagi yang kerajaan tak bagi? Bagi bantuan, bagi sokongan, bagi kemudahan, bagi dorongan, bagi segala-gala. BR1M, KR1M, PR1MA, dan segala macam 1M-1M lagi. Apa lagi yang anak muda nak? Malaysia dah cukup aman. Makan pakai, tempat tinggal, tempat belajar, semua cukup! Apa lagi? Apa lagi? Kenapa tak reti nak bersyukur?"

Pertama sekali, aku nak cakap, kalau kita memberi saranan, melontarkan ide ataupun meminta penambahbaikan, itu bukan bermakna kita tak bersyukur. Itu maknanya kita mahukan perubahan. Sebagai contoh, anak kita ada 10 orang. Gaji kita RM 950 sebulan. Maka kita bekerja dengan baik, berdedikasi, berdisiplin (sementelah kita ada kelulusan dan pengalaman kerja), salahkah kalau kita meminta naik gaji? Patutkah majikan mengherdik kita dengan mengatakan kita tak bersyukur dah ada kerja, dan siapa suruh beranak ramai-ramai kalau dah tau gaji tu rendah? Patutkah?

Ini contoh sahaja. Untuk bagi kau tengok situasi dari sudut yang berbeza. Rasionalnya sama. KIta bukan lembu yang mudah diperdayakan oleh sistem. Kita ada akal untuk berfikir. Kalau kau nampak kepincangan, bolehkah dan mampukah kau menutup saja mata dek kerana kau telah mengecapi kehidupan yang 'aman' dan 'harmoni' selama ini?

Kau dimomokkan dengan media massa. Katanya isu air di Selangor meruncing. Katanya Kelantan mundur. Katanya Pulau Pinang sudah jadi republik Cina. Beratus-ratus orang parti ini umum keluar parti. Orang-orang dari parti itu bergaduh sesama sendiri. Apa ini? Bagi yang kata Kelantan mundur, kau pernahkah tinggal di Kelantan? Apa khabar dengan pendalaman Sabah dan Sarawak? Aku rasa tempoh 50 tahun itu adalah sangat lama. Oh, apa khabar pula dengan Pahang? Kau pernah ke Perpustakaan Awam Pahang? Pernah pula ke Perpustakaan Awam Kelantan? Hahahaha~ lucu.


Perpustakaan di Pahang.

Di Kelantan. Lucu, kan? Negeri yang paling 'mundur' di Malaysia ini 
memiliki gedung ilmu yang besar dan canggih.
(Gambar ehsan Google)

Teori aku mudah saja, adil. Ya, aku tau yang hidup ni memang tak adil, dunia juga tak adil. Tapi keadilan adalah isu yang berbaloi untuk diperjuangkan dalam hidup kita ni. Hidup manusia singkat. Maka untuk mengisinya, kau harus bangkit dan berjuang. Tanpa perjuangan, apalah ertinya hidup? Kau bangun, pergi kerja, balik kerja, makan, tidur. Kawan, itu bukan hidup. Itu rutin. Aku kongsikan bersama kata-kata Buya Hamka;

Kalau hidup sekadar hidup,
Babi di hutan juga hidup.
Kalau kerja sekadar bekerja,
Kera juga bekerja.

Sebagai seorang Islam dan hidup dalam negara yang berdemokrasi, ini adalah dua isu lagi yang perlu diperjuangkan.

Agama dan demokrasi. Agama, keadilan dan demokrasi yang jujur. Itu.

Media tidak bersikap adil. Sekularisme berleluasa. Demokrasi? Telah arwah baru-baru ini. Jadi, aku tak hairan langsung jika anak muda (dan tua juga) mahu bangkit dan menentang. Inilah perjuangan.

Aku tak layak bercakap sebab aku tak mengundi?

Tak apa. Itu hak kamu untuk berasa begitu terhadap aku. Aku percaya, ini hak aku untuk berkata-kata (dalam medium ini, menulis). Kalau tak setuju, kita boleh berdebat, kita boleh mengemukakan hujah masing-masing dan selepas itu, kita boleh hormati pandangan masing-masing. Jangan fikir aku bicara begini sebab aku rasa aku lebih baik dari kau. Tak. Kita semua manusia bukan maksum. Kerana inilah kita perlu bangkit dan zon selesa dan mula melihat sekeliling. Jangan mudah dijadikan boneka, disumbat dengan pemikiran satu hala dan hanya tau nak berseronok. Sebagai manusia, kita perlu banyak berfikir, menganalisa situasi dan muhasabah diri.

Sebagai menjawab soalan tadi, ini jawapan aku;

"Aku mahukan agama, keadilan dan demokrasi. Aku mahu perubahan. Aku mahu berjuang."

Sekian, terima kasih.

p/s : Janganlah pula ada yang mempropagandakan tulisan ini dengan memfitnah aku menyamakan manusia dengan kera dan babi pula, ya? Ia adalah perumpamaan saja. Ibarat seorang ibu memarahi dua anaknya yang sedang bertengkar dengan mengatakan, "Kalian ini berkelahi saja, macam anjing dengan kucing!" Maka itu tak bererti si ibu itu menyamakan anak-anaknya sebagai anjing dan kucing, kan?

Monday, April 22, 2013

Jangan!


AKU tak tahu lagi nak bercakap dengan cara macam mana lagi dengan kau. Aku tahu, kita perempuan ni memang bodoh, memang penuh emosi, memang lemah dan memang segala-galanya. Tapi tolonglah! Jangan seksa diri sendiri dengan kebodohan yang macam ni. Aku tak boleh terima.

Tak boleh!

Aku tahu sebenarnya memang tak ada faedahnya aku tulis benda ni kat sini sebab kau memang bukan pembaca blog aku pun. Tapi nak buat macam mana, hati aku sakit tengok perangai kau. Bodoh kau. Dalam dunia, banyak benda yang boleh kita buat. Kalau kau nak rasa down, rasa kegembiraan dalam dunia ni dah lenyap hanya kerana seorang lelaki, memanglah tahap bodoh kau tu dah melampau-lampau dah!

Muka kau pucat macam mayat, mata kau macam mata orang dah seminggu mati - langsung tak bercahaya, bibir kau kering pucat - rasanya kalau aku toreh, memang dah tak berdarah, rambut paras pinggang kau potong sampai ke paras atas tengkuk, makan tidak, bercakap pun tidak, menangis 24 jam, heiiii! Apa ni?

Sebagai kakak, paling tidak, orang yang lebih tua dari kau, patut ke aku tampar muka kau kuat-kuat untuk bagi kau sedar? Patut ke? Nasihat sudah, pujuk pun sudah, apa lagi yang kau nak aku buat supaya kau sedar yang dunia ni belum kiamat? Tolonglah, dik. Sebagai perempuan, kita memang ada lesen untuk jadi bodoh sebab cinta dan lelaki. Itu memang tipikal. Tuhan memang jadikan kita sarat dengan emosi. Suka membebel, suka merajuk, suka mendesak, suka fikir bukan-bukan. ITU MEMANG PEREMPUAN. Kalau lelaki tak suka dan tak boleh terima, korang boleh berambus! Pergi cari yang konon-konon matang, konon-konon boleh mengawal emosi, itu semua hipokrit!

Marah sangat?

Ya, aku memang marah. Kenapa korang, tak kiralah lelaki atau perempuan, tak boleh nak terima nature masing-masing? Lelaki asyik tak faham kenapa perempuan macam itu dan macam ini. Perempuan pun sama, asyik tak faham kenapa lelaki macam itu dan macam ini. Jadilah manusia yang berakal sikit. Fikir! Kenapa Tuhan cipta lelaki macam itu dan perempuan macam ini? Bukankah untuk saling melengkapi? Saling menerima, memberi, dan mencukupi kekurangan masing-masing. Kalau korang tak boleh nak buat benda yang mudah macam ni, maknanya korang memang tak ditakdirkan untuk satu sama lain. Jangan jadi bodoh dan buang masa. Cari saja orang lain!

Cakap memang mudah?

Ya, cakap memang mudah kalau korang dah rasa sendiri. Dik, aku dah banyak kali rasa apa yang kau rasa. Sakit, ya, memang sakit. Tapi apa yang kau dapat kalau terus seksa diri sendiri? Haizzz.... Suka hati kaulah! Kalau kau memang seronok jadi gini, teruskanlah. Kalau dah terjelepok satgi, aku bawa pergi hospital. Untuk nak pujuk kau lagi, sorry! Limit aku dah habis. Kau teruskanlah bodoh sorang-sorang, aku tak nak ambil tau lagi.

Aku nak tengok saja!

Thursday, April 18, 2013

Catatan Ringkas

TAK ada apa sangat yang nak diperkatakan melainkan luahan rasa untuk beberapa catatan ringkas dalam hidup :

1. Ratu sakit. Terpaksa dimasukkan ke wad dan telah berjaya memiskinkan aku untuk seketika. Pad brek + disc brake pump repair kit + minyak brek = RM 260. Airmata....

Aku dah Ratu... bergambar dengan berlatarbelakangkan pokok 'Sleepy Hollow'. Pls, jangan sakit lagi, baby...  kasihanlah pada mummymu nih!

2. ASWARA dah tukar logo lagi. Sejak aku graduasi, rasanya dah banyak kali tukar logo. Hei, mambang! Ini sekolah seni, tolong jangan bunuh rohnya!!! Marah...

Mengarut, kan? Dah macam logo Pantene! Bullsh*t!

3. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013. Rasanya aku hanya akan memendam rasa. Wang simpanan yang diperuntukkan untuk memborong sudah lebur kepada Ratu. Haizzz. Kecewa...

4. PRU-13. 2013 menyaksikan masuk kali ke-2 aku gagal menjadi warganegara Malaysia yang baik. Rasanya aku tak mengundi jugak kali ini. Hampa....

Itu saja. Babai!

Monday, April 1, 2013

Ikatan Hati Bersulam Janji


Chewah! Tajuk entri sentiasa tak nak kalah saja kerjanya. Huhuhu. Ini adalah entri dedikasi, istimewa buat teman, sahabat dan adik yang sentiasa dalam ingatan dan kenangan. Seperti biasa, bila aku pandang ke belakang, wah2! Ramai sudah teman-teman yang selamat mengakhiri zaman bujang, malah sudah beranak-pinak. Wahahaha~ aku juga yang tertinggal kereta api ye tak?

Tak apa!

Aku cuma nak berkongsi kegembiraan. Cuma mahu kembali mengenang. Pertamanya, Kak Siti Nazariah. Ini seniorku yang paling goth dan gila. Hahaha~ Kejam tak? Aku suka berkawan dengan dia sebab dalam sesetengah hal, kami memang sekapal. Masa belajar dulu, dia suka tulis cerita yang serba gila. Serius. (Perhatian : gila di sini membawa maksud super-duper + ngeri... kau hado?) Ada satu, kalau tak silap aku untuk Projek Tahun Akhir dia, cerita pasal seorang mamat ni yang misinya nak bom KLCC. Selain itu, dia ada satu cerita ni pasal isteri (atau suami?) yang potong kedua-dua kaki suaminya (atau isteri? dah tak ingat pasal dah lama) dan dikurung dalam rumah.

Ngeri!

Beliau yang bernama Kak Siti ini juga suka benar memakai baju serba hitam, bermain kad tarot dan mengunjungi blog KontrolHisteria yang memang boleh buat anda histeria. Dia juga sukakan makhluk-makhluk mistikal seperti Siren (sila google) yang membunuh dengan nyanyian mereka yang merdu. Tapi itu dulu (mungkin?). Sekarang dia sudah pun selamat mendirikan rumahtangga bersama Encik Hasben, Abang Rizal yang merupakan seorang askar (kekanda di medan perang, adinda di medan seni). Mereka suami isteri dikurniakan seorang puteri yang gojes dan ganas iaitu Siti Nur Zulaikha. Alhamdulillah, kami masih berhubungan baik walaupun dia tengah sibuk menguruskan rumahtangga, menjadi ibu dan isteri sepenuh masa. Tabik spring!


Seterusnya, Mimi Aima. Sahabat karib sejak zaman sekolah. Kami dulu memang macam belangkas. Ke mana-mana saja berdua. Berkongsi impian dan harapan yang sama. Masuk ke persatuan yang sama, kelab yang sama dan segala-galanya juga dilakukan bersama. Namun begitu, kami juga banyak perbezaan. Selain aku suka biru (ketika itu) dan dia suka merah, dia juga tidak suka cendol, yang mana aku amat sangat suka. Dia sangat 'perempuan' dan aku pula kasar. Zaman sekolah memang indah. Lepak tepi sungai. Lumba haram. Bertumbuk. Ukir nama lelaki idaman dia (merangkap musuh ketat aku) pada pokok, pusing-pusing kampung, cari pasal dengan kumpulan musuh ketat kami (rakan sepersilatan) dan macam-macam lagi benda sewel yang kami buat yang tak tergamak nak aku kongsikan di sini. Dia tetap setia di sisi. Jadi penyokong setia. Adakah? Hahaha~ 

Sahabat ini juga telah menamatkan zaman bujang dengan seorang anggota polis, iaitu Encik Amran dan telah dikurniakan seorang puteri yang pemalu dan sangat manja, bernama Nur Dinie Syahirah. Alhamdulillah.


Ini, seorang sahabat merangkap adik yang paling dekat dengan jiwaku. Nurjihadah. Pertemuan pertama kami di tempat letak kereta semasa hari pertama mendaftar di akademi sentiasa segar dalam ingatan. Dia sahabat yang lucu, manja dan dalam masa yang sama keras kepala. Ada sejarah rahsia yang cukup manis, tersimpan kemas dalam hati kami mengenai dia dan lelaki yang kini telah bergelar suami buatnya. Huhuhu~ Lucu bila diingat kembali. Aku menghargai kehadiran dia dalam hidup aku kerana dia benar-benar seorang sahabat yang berkualiti. Masa senang, masa susah, masa satu dunia membuang aku, dia tetap ada di sisi. Mempercayai dan tidak pernah gagal memberikan kekuatan.

Dalam kenangan bersamanya, ada hujan dan airmata, ada bunga api dan gelak tawa. Ada masa jatuh dan ada masa bangun. Alhamdulillah, dia juga telah selamat mendirikan mahligai jiwa bersama Haniff, seorang kaunselor muda yang kini bertugas di UPM. Mereka berdua dirahmati dengan sepasang cahaya mata, si abang yang tampan dan penyayang, Hadiff Mujahid dan si adik yang manis memikat, Hannah Nur Imanina. Walaupun Jiha ini seorang wanita berjiwa besi dan bercita-cita tinggi, namun aku tau dia tidak pernah menyesal malah berbangga menjadi surirumah sepenuh masa. Menjadi isteri yang setia di sisi seorang suami dan ibu yang membesarkan anak-anak dengan tangan sendiri. Tahniah, sahabat!


Yang terakhir, adindaku yang paling kukasihi, Muhammad Mifdhal. Ini adalah adik yang paling erat denganku. Selang usia dua tahun menyebabkan kami membesar bersama. Dia adik yang cukup istimewa. Walaupun lelaki, namun dia betah memahami persoalan aku dan senang berkongsi cerita bersama. Dia tidak pernah membuatkan aku berasa kekurangan kerana tidak mempunyai adik perempuan. Budak yang nakal, degil dan keras hati namun selalu menyembunyikan kasih-sayangnya di dalam hati.

Dia adik yang mengerti, selalu menyokong dan paling tidak, akan cuba memahami setiap pilihan yang aku buat. Lahirnya yang dua tahun berselang denganku itu pada awalnya pernah membuatkan aku rasa cemburu. Dia adik, dan aku sebagai kakak (yang masih kecil) perlu banyak beralah. Setiap kali ayah menjemput kami dari sekolah dengan motor vespa, kami selalu berebut untuk berdiri di depan. Akhirnya aku yang selalu terpaksa mengalah duduk di belakang. Aku juga pernah (secara tidak sengaja) menyebabkan kecederaan kepada dia. Hahaha. Aku pernah sumbat (sebenarnya suap) buah rambutan ke dalam mulut dia yang ketika itu masih bayi. Nasib baik mak nampak, kalau tak memang boleh arwah budak tu sebab tercekik. Aku juga (secara nakal) pernah bukak pintu rumah dan menyebabkan Mifdhal yang masa tu baru boleh jalan, terjatuh. Ia serius, tulang selangkanya patah. Nasib baik juga semasa itu di Serdang ada tukang urut patah yang handal. Macam-macam hal. Itulah tragedi aku dan adik kesayanganku itu. Hahaha~

Pada 21 Mac yang lalu, adikku itu telah selamat menamatkan zaman bujangnya dengan pilihan hati, seorang jururawat, Siti Fatemah yang manis. Adik iparku ini memang peramah dan periang orangnya. Alhamdulillah, perkenalan selama 6 tahun 6 bulan, sejak di Tingkatan 6 itu telah berakhir ke jinjang pelamin. Aku tumpang gembira. Semoga pernikahan ini dirahmati ALLAH SWT, dikurniakan ramai cahaya mata yang soleh solehah dan dipelihara sehingga ke pintu syurga. Amin.


In shaa ALLAH. Andai ada jodoh, kami akan bersatu juga. Kawan-kawan sila doakan ye? Saya sayang awak, Si Bulat. Huhuhu~ miang.


Wednesday, March 27, 2013

Sembilu Dalam Dada


SUSAH nak pujuk hati sendiri bila sembilu yang paling bisa tiba-tiba terbenam dalam dada. Apa boleh buat, aku ini memang sentiasa diselubungi dengan rasa yang maha kurang enak. Kata orang, apalah hidup dan pekerjaan tanpa masalah. 

Ia. 

Ia memang benar yang tidak aku tidakkan. Tapi kalau sudah terasa bagai teraniaya benar, aduhai... macam mana mahu kupujuk hati ini lagi?

Aku macam tak nak membebel panjang-panjang. Takut nanti lain pulak jadinya. Apa yang boleh aku katakan, kepada kawan-kawan yang sudi mendoakan dan tidak putus-putus memberikan sokongan, dukacita aku maklumkan yang Menunggu Nuraga dari Tuhan masih perlu menunggu. Ia tidak akan diterbitkan dalam masa terdekat ini.

Sekian.

Tuesday, March 12, 2013

Belas Kasih Tuhan


SYUKUR, alhamdulillah... setelah melalui penantian panjang untuk menunggu lahirnya baby sulung aku, akhirnya hujung bulan ini (in shaa ALLAH kalau tiada aral) ia akan keluar. Huhuhu~ Kalau orang mengandung, aku rasa dah bukan bunting kerbau lagi, ini memang dah bunting gajah! Hampir 3 tahun naskah ini 'bertapa' dalam gua, diperam semasak-masaknya. Alhamdulillah, sayapnya sudah kering dan sudah boleh membebaskan dirinya untuk terbang.

Adakalanya dalam melewati hari-hari dalam kehidupan lewat kebelakangan ini, aku jadi lupa dan kadang-kadang sesat. Tak tahu arah mana nak dituju. Hari ini, masuk hampir 3 tahun selepas hari terakhir aku bergelar mahasiswa. Aku sentiasa sedar, hidup ini takkan pernah mudah. Kerana itulah ALLAH SWT mengurniakan kita akal dan jiwa. Cuma itulah. Kita ini manusia yang tidak kamil. Kita ini manusia yang selalu khilaf.

Kamil Hijrah-Mu.

Naskah yang bertungkus-lumus aku tukangi demi Projek Tahun Akhir (PeTA) sebagai prasyarat untuk bergelar graduan Diploma Penulisan Kreatif (Pentas dan Cereka). Benar, novel setebal 360 m/s ini masih mentah. Walaupun sudah hampir 3 tahun ia diperam, namun mentahnya masih belum masak-masak juga. Hahaha~ Inilah natijah kelalaian aku. Aku kira tak mengapalah, in shaa ALLAH untuk novel yang kedua dan seterusnya nanti, aku akan berusaha dengan lebih tekun untuk memasaknya. Dengan harapan supaya ia boleh dihadam dengan baik oleh khalayak yang mahu menghadamnya (amin!). Semoga aku tidak akan berhenti. Amin, Ya-Rabb.

Seperti kebanyakkan manuskrip lain yang melalui sebuah perjalanan yang disebut 'proses', Kamil Hijrah-Mu juga telah berubah (diubah?) dengan memakai judul yang baru. Judul yang baru ini secara rasionalnya dilihat lebih mempunyai potensi yang bagus. Apa kata anda? ^_^

Menunggu Nuraga dari Tuhan.

Alhamdulillah. Setiap kali menatapnya, aku terasa diri bagaikan disihir dengan semangat yang baru. Di dalam naskah ini terkandung kenangan zaman terindah, ajaran guru, konflik diri, impian sepanjang hayat dan separuh nyawa-jiwaku yang telah aku tinggalkan. Untuk sesetengah orang, ia hanya sebuah novel kaku. Untuk aku, seluruh rasaku telah aku pertaruhkan bersamanya. Semoga mata penaku akan sentiasa basah dalam ingatan.

Untuk 'Guru yang Mengajar Aku Bagaimana Untuk Memanggil Masa Lalu', aku ucapkan terima kasih setinggi langit biru. Aku masih di sini, mempertahankan ini, kerana kau pernah menyihirku dengan kata-kata ;

"Biarpun tidak menjadi sasterawan negara, asalkan jangan melangkah keluar dari dunia penulisan ini juga sudah tidak apa..."

Terima kasih. Hutang budi ini kubawa mati.

* * *

"Aku tak sabar hendak menjadi dewasa... barangkali kerana aku mahu bebas" - Azad Ahmad Firjani

"Tidak! Aku tak pernah menyalahkan kau tentang apa yang berlaku. Percayalah... kita bertiga sama-sama bersalah!" - Abdul Rasydan

"Aku katakan bahawa sengsara itu cinta... dan cinta itu penakluk jiwa. Keindahan dan emosi yang menghidupkan jiwa manusia." - Wan Muhammad Wazien

- Menunggu Nuraga dari Tuhan -

Tuesday, February 26, 2013

Teringin


ASSALAMUALAIKUM. Tulis ni entri ni sebab nak bagitahu satu perkara. Teringin sangat nak jumpa budak ni. Teringin sangat-sangat.

Itu saja. Sekian, terima kasih.

p/s : Nama dia, Muhammad Nor Iman Bin Muhamad Shamzie. Alhamdulillah.

Thursday, February 21, 2013

Hydra... Macam-Macam Hal!


TAHUKAH anda apa itu Hydra? Lernaean Hydra merupakan sejenis makhluk dalam Mitologi Greek kuno yang merupakan tugasan kedua dari 12 Tugasan yang perlu diselesaikan oleh Heracles (atau Hercules). Hydra merupakan sejenis reptilia menyerupai ular gergasi (ada sesetengah berpendapat ia lebih menyerupai naga) yang mempunyai lima kepala. Sekiranya satu kepala dipancung, ia akan tumbuh semula menjadi dua. Inilah cabaran yang dihadapi oleh Heracles apabila dia memancung kelima-lima kepala Hydra, setiap satunya tumbuh semula dalam kiraan dua, menyebabkan Heracles terpaksa melawan ular gergasi (atau naga) yang berkepala sepuluh!

Kenapa aku bercerita tentang Hydra?

Sebenarnya, aku terasa seperti sedang menjadi Heracles yang sedang menentang Hydra. Masih ingat lagi tentang En. Burung yang pernah mengganggu ketenteraman kami di rumah, dan telah mati baru-baru ni? Ya, En. Burung sudah kembali.

Satu mati, dua kembali!

Seperti Hydra (ya, mungkin ia bukan sengeri naga dan ular), En. Burung yang telah mati seekor, telah datang kembali, kali ini dua ekor. Aku sendiri pun pelik dengan hal ni. Tak taulah sampai bila kehidupan kami akan diganggu oleh burung-burung.

Ada dua pendapat dari kawan-kawan tentang hal ini. Satu berbunyi agak mistik ; mungkin burung-burung ini membawa sihir. Satu lagi lebih realistik ; mungkin atap rumah kami ni tempat mereka bersarang. Cuma apa yang peliknya, semasa En. Burung 1 masih hidup, hanya ia seekor saja yang datang. Berlegar-legar di dalam kamar mandi dan seputar mandala dapur. Kini datang pula En. Burung 2 dan En. Burung 3, juga berlegar di kamar mandi dan dapur.

Entahlah... aku lebih senang menerima pakai pendapat yang kedua. Barangkali mereka bersarang. Apa pun, aku harap mereka takkan kembali lagi.