Tuesday, July 30, 2013

Masih Mencari Hingga Kini


DRAMA sungguh tajuk entri kali ini. Sebenarnya bukan apa. Sempena bulan baik hari baik ini, aku sedang mengenang seorang sahabat lama yang sudah menghilang tanpa jejak. Sudah bertahun-tahun aku cuba mencari, cuba menjejakinya kembali, namun masih gagal sehingga ke hari ini. Dia sudah hilang ibarat ditelan hijab masa.

Noor Shahida binti Madri.

Itu namanya. Seorang gadis bertubuh tinggi lampai, berkulit cerah dan manis. Aku mengenalinya semasa darjah 5. Kami semakin erat semasa di darjah 6. Terpisah selepas bersekolah menengah apabila dia kembali ke pangkuan keluarganya di Pahang. Terkadang aku mengutuk zaman 90-an yang masih tidak terkenal dengan telefon bimbit apatah lagi media sosial seperti Facebook yang menyebabkan hubungan kami menjadi terlalu jauh... jauh... jauh... dan jauh....

Sedih.

Walaupun tempoh kami bersahabat tak lama, tapi aku seakan berasa terikat dengannya. Dia adalah seorang wanita yang istimewa. Dia membuatkan aku lengkap sebagai manusia. Kali terakhir kami bertemu adalah semasa aku di tingkatan 2 dan kali terakhir aku bercakap dengannya adalah semasa di tahun 1 diploma. Tahun 2004, yakni 9 tahun yang lalu. Aku sentiasa terasa kehilangan sejak hari pertama dia meninggalkan aku.

Darjah 6, tahun 1998 adalah satu tahun yang sangat panjang dalam hidup aku. Terlalu panjang sehingga aku tak sedar yang ia telah berakhir. Aku menghabiskan hampir 365 hari bersamanya. 1998 juga menyaksikan bagaimana aku menjadi gemuk dan mula menyukai potongan rambut pendek. 1998... tahun yang amat penting dan terlalu bermakna dalam hidup aku. Ia menyimpan 1001 misteri, sejarah, memori dan permulaan bagi seorang aku.

Walaupun aku telah meneruskan hidup selama 13 tahun tanpa dia di sisi, namun aku tak pernah berhenti memerlukan dan mencari dia. Aku masih mencari hingga kini. Februari yang lalu adalah ulangtahunnya yang ke-27.

Bagi sesiapa yang mengenali susuk bernama Noor Shahida binti Madri yang berusia 27 tahun pada Februari 2013 ini, sila hubungi aku. Aku akan mengenang jasa kalian untuk seumur hidup.

Ya, Rabb... ketemukanlah aku dengannya walau hanya sekali. Amin.

No comments:

Post a Comment