Friday, February 24, 2012

Rahmat Dari Langit

Yang kuning itu aku dan yang biru itu juga adalah aku...
(Ehsan Google)

AKU benar-benar rasa gembira hari ini. Alhamdulillah... dikala hidup sedang berada dalam keadaan yang sangat menghiris hati, aku merasakan hujan rahmat sedang turun dari langit ketika ini. Jujurnya, hari ini adalah hari yang sangat menggembirakan aku selepas hampir 3 tahun aku bergelar graduan penulisan kreatif. Aku telah menemukan pekerjaan yang aku idami selama ini dan ALLAH Maha Pengasih... Maha Mengasihani... aku merasa amat kerdil dengan rahmat ni.

Mungkin ada sesetengah orang tak faham apa yang membuat aku teruja sangat dengan kerja ni. Aku tak salahkan mereka, jauh sekali mahu berkecil hati. Aku terlalu gembira untuk ditenggelamkan dengan hal remeh seperti itu. Ya, mungkin menjadi editor di sebuah syarikat penerbitan buku yang kecil dengan gaji permulaan yang juga kecil ini jatuh bukan apa-apa untuk kalian, tetapi untuk aku, ia adalah impian dan cita-cita aku selama ini. Impian yang aku semai dan bajai dengan harapan yang menggunung.

Selama 4 tahun di akademi, aku bergelumang dengan dunia tulis, dunia sastera, dunia seni, dunia yang bijaksana (menurut kaca mata mereka yang mengangkat ianya sebagai kebijaksaan). Aku mengenali teman, sahabat yang selalu mengajak lawan bicara, berkongsi pengetahuan yang selama ini jauh dari pengamatan dan sama-sama mengenal betapa luasnya dunia. Sungguh dan suka untuk aku tegaskan, 4 tahun di akademi adalah syurga dunia. Dunia yang benar2 mengajar dan menguja.

Tamat belajar, dunia yang mengujakan ini seakan semakin memudar, menjauh dan menghilang. Aku kehilangan magis sihir kata-kata. Dunia keliling begitu lemau dan melemaskan. Aku jadi rindu untuk bergebang tentang sosialis, moralis dan dunia tanpa sempadan. Tapi, aku kira itu bukanlah perkara yang paling teruk. Dua tahun menjadi panel skrip, banyak yang sempat aku kutip dan menimba pengalaman. Paling tidak aku tahu bagaimana sebuah filem dihasilkan dan aku belajar suatu perkara yang penting, 'MUSTAHIL adalah perkataan yang tak wujud'. Untuk itu aku kalungkan terima kasih buat mantan boss.

Untuk seketika aku terfikir untuk berhenti berkhayal dalam mimpi indah ini (menurut pandangan sesetengah orang yang menilai aku). Maksudnya berhenti menjadi penulis dan cuba mencari pekerjaan di luar bidang yang menjanjikan pulangan yang lebih kukuh, contohnya menjadi admin dengan gaji RM2200. Serius, untuk sedetik aku merasa sungguh lelah dalam mempertahankan kecintaan aku dalam bidang penulisan. Lalu aku bawa diri, cuba kembali menyelami qalbi dan mengangkat tangan kepada Rabb... mohon dipertunjukkan jalan.

Alhamdulillah, aku diberikan rahmat oleh Tuhan untuk cuba kembali bergelumang dalam dunia yang amat aku cintai. Tanpa dirancang, tanpa diduga. Alhamdulillah, syukur. Ada rezeki aku di sini. Semoga aku beroleh kekuatan dan harus tahan menempuh cabaran. Biarlah pekerjaan ini menjadi yang paling molek kedudukannya di jiwa, semoga ia bisa menenang dan menguatkan rasa dan paling wahid ialah semoga rezeki yang aku perolehi di sini halal dan diberkati-NYA. Aku banyak buat silap dalam pekerjaan yang lepas. Semoga Tuhan mengampunkan aku. Percayalah kawan-kawan, rungutan, cemuhan dan makian boleh menjejaskan keberkatan rezeki yang kita terima.

Aku tetap percaya, selagi ada nyawa selagi itu esok masih ada. Dan semoga esok akan terus berbaik hati kepada aku. Amin. :'-)

No comments:

Post a Comment