Wednesday, February 22, 2012

Dandelion [Part 5]



WULAN terusan mengunyah resah. Sesekali palma tangannya singgah ke dada. Diusap perlahan dadanya dengan harapan rasa sakit di dalamnya akan segera berkurang. Namun sayang, sang jantung terus berdegup laju. Rancak menendang-nendang ruang dalam dada. Menyebabkan dia merasa begitu mengah. Begitu lelah. Dengan segera Wulan melontar pandangan ke luar jendela. Berharap malam akan berbaik hati meneduhkan gelora jiwanya dengan indah sinar bulan. Aduhai sayang seribu kali sayang... malam gelap tanpa bintang. Sang bulan juga seakan segan, terus bersembunyi di balik awan.


"Ah! Apa khabar si Nyx?! Masih belum pulang!"


Wulan berucap dalam resah yang semakin membarah. Gelisah hatinya sudah gagal ditahan. Rasanya sudah hampir dua jam berlalu selepas bayang Nyx menghilang ditelan muka pintu. Wulan mula memikirkan yang tidak-tidak. 'Adakah Nyx menemui celaka dalam perjalanan pergi atau pulangnya?'


"Oh, tidak! Aku bermohon jangan..."

Atau 'adakah Nyx sudah berpaling tadah dan membawa diri bersama Gisher...?'


"Tak mungkin!!! Nyx terlalu setia untuk melakukan itu!"

Tanpa sedar Wulan memekik dan spontan melontarkan tubuhnya ke atas katil. Resah gelisah yang merejah menyebabkan dia langsung jadi runtuh lelah.


"Tuanku... mengapa...?"

Lembut suara yang menyapa bagaikan menyihir Wulan untuk bangun dan berpaling. Segumpal nafas lega dilantun keluar dari kerongkong tatkala anak matanya menangkap batang tubuh Nyx yang sedang berdiri dengan wajah lelah berkeringat. Wulan ingin menjawab, ingin bertanya mengapa Nyx lambat, adakah amanahnya sudah disampaikan, dan apa pula jawabnya Gisher. Tetapi entah kenapa dan entah apa celakanya, bibir Wulan seakan dijahit. Terkunci kemas. Dia sekadar merenung Nyx dengan mata yang mula bergenang. Wulan sedang dihimpit rawan. Terlalu parah gelisah melontarkan dia ke dalam emosi yang tidak keruan.


"Tuanku, pesanmu sudah aku sampaikan. Dan dia meminta suatu hal yang amat berat untuk aku sampaikan pula kepada tuanku."

Demikian dengan kata-kata itu, Nyx tertunduk lesu. Tangannya terangkat pula menghulurkan segulung kertas. Dalam keliru Wulan menyambutnya.


"Ini adalah titipan dari Pengeran Enu Juarsa. Aku bertembung dengannya berhampiran jalan ke kamar tuanku. Kerana itu aku lewat. Pangeran itu mahu berkenal dengan bakal ratunya. Jadi dia menyoal aku tentang apa yang tuanku gemarkan dan apa pula yang tidak. Sebelum berpisah, ini dikirimkan untuk tuanku"

Dalam terketar, jemari Wulan membuka gulungan kertas bingkisan daripada Sang Pangeran. Ada setitis air mata mengalir perlahan di pipinya yang gebu. Rawan semakin menyucuk bagai sembilu. Wulan dapat merasakan nyalinya terhiris pilu. Ada tulisan yang terukir kemas di atas kertas itu. Wulan cuba mentafsir kata-kata yang seakan bernyawa di hadapannya.


"Ketika bulan penuh, dan cahaya peraknya yang menyentuh...
Ketika itulah aku menyimpan hatimu di dalam hatiku...
Seribu mawar bukan apa-apa...
Selaut berlian juga bukan tolok bandingnya...
Kau intan terpilih, lalu aku merasa kasih...
Aku simpul mati janji pada bulan...
Akan kusunting kau di dalam genggaman...
Lalu mekar cinta di telapak tangan..."


Wulan langsung merenyuk dan mencampak jauh kertas di tangannya. Dadanya merasa bagai hendak pecah dengan sengsara! Dia bingkas bangun dan menggoncang bahu Nyx.


"Katakan padamu, apa pesan Gisher padamu?! Katakan!"

Nyx menggeletar mahu membuka mulut. Tetapi lidahnya seakan terpotong. Kelu. Goncangan yang semakin kuat dibahunya terus memaksa menyebabkan lidahnya yang terpotong sebentar tadi langsung bercantum kembali.


"Dia mahu bertentang mata dengan tuanku. Selepas bulan gelincir di dada langit. Lewat jam dua belas, di pinggir muara..."

Wajah Wulan segera berubah. Dia berlari ke jendela. Ah, bulan hampir gelincir. Dia lantas ke almari persalinan. Ditarik keluar sehelai jubah labuh bertudung kepala lalu disalut ke tubuhnya.


"Ayuh!"

Wulan lantas hilang ditelan muka pintu. Dalam gusar, Nyx segera menurut.


* * *

Malam tenang. Bulan sudah kembali menebarkan cahaya peraknya yang berkilauan. Lembut dan anggun menyapa muka muara yang beralun tenang. Lembut dan anggun pula kemilau muara memantulkan riak-riak alun ke wajah Gisher. Ah, alangkah berserinya malam!


"Terlalu indah malam. Tambah berseri pula dengan kehadiran Sang Puteri..."

Wulan yang sedang elok duduk di sisinya mengukir senyum.


"Patik orang kasar, tuanku. Tidak mahir dalam mencairkan kata-kata. Katakanlah yang sebenarnya, mengapa tuanku mahukan hati patik yang tidak bernilai apa-apa ini?"

Wulan terus menerus mengukir senyum sedang di hujung sana Nyx sedang gusar dalam memerhatikan sekitar.


"Aku telah tumpas dipanah sinar matamu. Bawalah aku pergi, Gisher. Aku tidak punya banyak masa di sini."


"Aku tidak pandai melarikan kepunyaan orang, puteri. Apa yang aku mahu, aku akan memintanya secara benar dari tangan yang punya hak. Kalau benar hatimu mahu disimpan di dalam hatiku, aku akan menemui Sang Bangsawan. Akan kurebut kau dari pangeran itu. Aku bukan laki-laki yang pengecut untuk membawamu lari!"

Wulan terpempan. Entah mengapa musim bunga seakan sudah bertamu mekar di dalam hatinya. Dia merenung mata yang jernih itu. Oh, di dalamnya ada kolam yang sarat dengan cinta. Wulan perlahan merebahkan tubuh ke dalam dakapan Gisher. Lantas lekas lengan kekar lelaki agam itu mendakapnya erat. Ada rasa yang sedang menjalar dan mengalir laju. Setiap urat dan darah sedang menyatu. Wulan tenggelam dalam wujud rasa yang terlalu agung.

Dia tidak salah memilih laki-laki! Laki-laki ini berani dan mahu memperjuangkan haknya demi cinta. Wulan mula merasa gagah kembali, tidak lagi berselerak emosi seperti tadi. Jiwa rasanya terasa dikuatkan oleh pengakuan Gisher. Dalam dakapan sang arjunanya itu, dia melontar pandangan ke hadapan. Muara yang indah sedang disiram cahaya anggun bulan. Romantis yang mengapung di dalam udara menyebabkan jiwanya seringan kapas.

Tatkala Wulan hampir terlena dalam ketenangan, kuping telinga terasa disentuh lembut oleh kelopak bibir milik Gisher. Dalam sedar dan tidak, dia menangkap kata-kata yang terungkap dari lelaki itu ;


"Aku akan menghadapi ayahanda dan tunanganmu sesudah kokok ayam yang pertama esok..."

Dengan itu, Wulan perlahan merapatkan kelopak matanya...!

No comments:

Post a Comment