Wednesday, December 21, 2011

Dandelion [Part 4]



DARI celahan daun pintu, Nyx hanya setia memerhatikan gerak laku Wulan yang serba tak kena di dalam kamarnya. Nyx tahu segalanya. Nyx tahu isi hati Wulan yang hebat bergelora. Nyx juga tahu makan malam kelmarin tidak berjalan seperti mana yang direncana. Buktinya, kristal berbentuk hati yang sepatutnya bertukar tangan masih utuh di atas meja yang berukir indah. Nyx spontan mengeluh.

Perlahan dia berlalu membawa sebeban pakaian untuk di cuci di telaga. Sesampainya di telaga, dalam keluh kesah hatinya yang gundah, Nyx terus setia menyudahkan kerja-kerjanya. Pada ketika timba keempat diangkat dari telaga, Nyx mendengar dirinya disapa orang. Dalam terkejut dia berkalih, timba terlepas ke dalam perigi. Sepantas itu juga sepasang tangan kekar yang berurat gagah mencapai timba dari terhumban ke dasar perigi. Nyx berkalih memandang sang pemilik timba. Seakan kaku apabila mendapati wajah tampan Gisher mengisi ruang.

"Apa mahumu?"

Dalam getar dia bersuara. Gisher memandang Nyx, penuh gelisah. Dia memberikan isyarat mahu berbicara. Nyx memandang kiri dan kanan. Sejurus dia membawa diri ke suatu sudut terpencil sambil diikuti oleh Gisher yang juga begitu berhati-hati menyusun gerak.

"Aku sudah menetapkan hatiku. Ya, jantungku juga sedang berdetak menarikan rentak yang sama dengan sang puteri..."

Nyx terpana, memaku tepat pandangannya kepada Gisher. Seketika kemudian bibirnya terukir senyum manis. Sukmanya seakan dituruni salji dingin. Kelegaan mengisi ruang.

"Apakah aku sudah terlewat? Apakah sang puteri sudah bertunang dengan pangeran dari selatan itu?"

Baur gelisah yang membusung dalam nada yang dituturkan Gisher menyebabkan Nyx tambah yakin dengan pengakuan pemuda itu. Nyx cuba menerangkan dengan seringkas mungkin rentetan yang sedang berlaku. Sementara itu dia langsung meminta diri untuk mengkhabarkan warita itu kepada Wulan. Selepas berjanji, Gisher melepaskan dia pergi.

Dalam mengah yang bersisa, Nyx spontan rebah di kaki Wulan. Dia sungguh tidak lagi menaruh sabar untuk memberitahu Wulan apa yang baru sahaja terjadi. Namun baru sahaja Nyx mahu membuka mulut, sapaan dari satu suara asing langsung membisukan dia. Nyx bangun lalu tunduk hormat lalu membawa diri ke tepi. Sang Bangsawan ayahanda kepada Wulan sedang berdiri di hadapannya sambil diiringi oleh Enu Juarsa. Sang Bangsawan berdehem lembut.

"Khabar apakah yang dibawakan sehingga begini teruja?"

Wajah Nyx segera dihinggap peluh. Wulan langsung pucat, dia seakan dapat menebak. Dalam tergagap Nyx memberi alasan, musim bunga akan tiba. Enu Juarsa terus ketawa menyebabkan Sang Bangsawan sama terhibur. Helah Nyx berkesan.

"Baiklah, cukup kita bersenda. Anakanda, ayahanda harap anakanda akan mula membuat persiapan. Kita tidak punya banyak masa."

Dengan kata-kata itu, Sang Bangsawan dan Enu Juarsa berlalu dari kamar Wulan. Enu Juarsa sempat menjual senyum manis buat Wulan sebelum batang tubuhnya lenyap ditelan muka pintu. Wulan lalu mengesak tangis. Nyx segera faham. Hatinya mula berbelah bahagi sama ada mahu memberitahu khabar gembira sebentar tadi atau dia. Dia tahu jodoh Wulan dan Enu Juarsa sudah rasmi diputuskan kini. Melihatkan esak tangis Wulan yang menghiba menyebabkan Nyx sedar yang dia perlu jujur.

"Gisher sudah menyambut tangan yang tuanku hulurkan!"

Wulan mengangkat muka. Tangisannya tiba-tiba terhenti. Ada sedikit kejernihan, cahaya muncul tiba-tiba menyerikan wajahnya. Wulan bangun mendapatkan Nyx.

"Kau berkata benar?"

"Patik tak mungkin berbohong!"

"Oh!"

Wulan terlalu gembira. Dia menari-nari di dalam kamar. Tangannya sempat mencapai ukiran kristal. Hatinya terlalu dibuai. Seketika kemudian Wulan jadi tersedar. Dia resah. Tiba-tiba sahaja diraihnya palma tangan Nyx lalu membenamkan kristal berbentuk hati di situ. Dia sempat membaca riak keliru yang berlari-lari di wajah Nyx.

"Kau sampaikan ini kepadanya. Katakan padanya dia harus membawa aku pergi pada hari perkahwinanku nanti. Jangan tidak! Atau aku sendiri akan menghumbankan diriku ke dalam Jurang Agam!"

Nyx langsung terkedu,

"Pergi sekarang!"

No comments:

Post a Comment