Monday, December 19, 2011

Aku Nak Merepek Sikit, Boleh?

(Ehsan Google)

AKU terkesan sedikit apabila membaca 'surat' yang ditujukan oleh salah seorang daripada rakan belajar, pernah jadi rakan sekerja dan kini rakan se'FB' aku kepada salah seorang mereka yang bergelar Sasterawan Negara. Aku terkesan bukan apa. Aku merasa ada sedikit ralat dalam motifnya menulis surat yang demikian. Aku sedar yang dia punya hak untuk meluah keluh kesah tentang apa yang dirasakan membarah di dalam hatinya. Namun malang, haknya itu tanpa sengaja aku pandang sepi kerana aku kurang bersetuju dengan tulisannya. Biasalah, akukan memang suka mencari pasal!

Si kawan 'SZ', aku tahu niat kau suci murni. Aku tahu kau mahukan sasterawan kau kembali ke pokok pangkal yang kau senangi. Aku juga tahu yang kau tak mahu sasterawan mu itu ke kanan atau ke kiri. Kau mahu beliau berdiri di hadapan, dengan mata penanya yang lebih tajam dari pedang, membelah segala kepincangan dan ketidak adilan. Benar usaha kau itu, tidak sama sekali aku tidakkan.

Tapi sedarkah engkau, bahawa tiap-tiap orang yang lahir di muka bumi ini di bekalkan tuhan dengan akal fikir dan suara hati. Akal dan hati inilah yang membuatkan seseorang itu memiliki prinsip yang berbeda di dalam hidup mereka. Kau tak boleh nak suruh atau paksa seseorang itu mengikut jalan yang kau pilih hanya kerana kau merasakan jalan itu paling benar. Hanya di atas tiket dia seorang sasterawan negara yang terkenal, maka kau merasa dia bertanggungjawab mempertimbangankan permintaan dari kau, salah seorang dari ribuan atau mungkin jutaan penyanjungnya.

Sedarkah kau, mungkin, dalam jutaan penyanjungnya itu lebih ramai yang mahukan dia meneruskan perjuangannya pada hari ini? Wajarkah dia menidakkan prinsip hati dan moralnya untuk mempertimbangkan permintaan kau? Katamu begini ;

"Saya hanya pencari nadi tulisan mata besi biasa, yang mampu tajamkan jiwa - bukan yang mampu tumpulkan kuasa"

Aku petik pula kata-kata dari seorang lagi sasterawan negara yang terlalu aku kagumi ;

"Seseorang hanya layak dipanggil penulis apabila berani menyatakan sikap!"

Aku kurang mengerti. Mengapa kau merasakan perjuangan beliau ini bukan untuk kita? Mengapa kau merasakan perjuangan beliau ini hanya demi dakyah politik dan hanya mengambil tahu soal pemimpin politik-politik yang semakin kotor dan busuk ini? Tidakkah kau sedar, ini adalah perjuangan rakyat? Perjuangan sang pencari kebenaran yang mahukan kita hidup dalam hak kita sebagai rakyat! Kita mahu berfikir. Kita tidak mahu diperkuda dan dibodohkan oleh kejumudan.

Aku menulis ini bukan kerana aku anti kerajaan. Aku juga tidak menulis ini kerana aku pro pembangkang. Aku tak pilih mana-mana pihak. Ke kanan tidak, ke kiri pun bukan! Aku berada di tengah-tengah, berdiri di atas angin dan hanya menelaah satu sandiwara demi satu sandiwara. Tonil ini benar-benar lucu, kau tahu? Itulah magisnya akal. Itulah manisnya meneliti perjuangan para sasterawan ini. Kau harus belajar melihat dunia dengan cara ia tidak selalu dilihat dan bukannya bagaimana ia mahu dilihat. Kau harus bijak mencari memaknakan metafora dan parodi masyarakat.

Kau harus!

Jadi buat aku, suratmu kau simpan saja sehingga kau benar-benar memahami dirimu sendiri.

No comments:

Post a Comment