Monday, October 24, 2011

Terguris Dan Terhiris...


ADA orang pernah berkata, salah faham boleh mengundang padah. Ada juga orang pernah berkata, mata pena lebih tajam dari mata pedang. Ia memungkinkan cetusan revolusi. Ia juga bisa menghiris dan menghancurkan hati. Untuk seorang aku, mata pena adalah nyawa. Nadi yang menghidupkan sebuah kehidupan. Aku seorang penulis. Tulisan-tulisan ini adalah cerminan jiwaku. Apa yang boleh aku katakan untuk menjelaskan ini?

Ada orang pernah berkata, kasih sayang tidak boleh diumpama air setempayan. Kasih sayang tidak pernah habis dan sentiasa melimpah-ruah walaupun telah dibahagi menjadi beberapa bahagian. Ia tetap mencurah membasahi sekepal hati yang tandus kekeringan. Sebanyak mana pun aku sayang dan kasih pada Budak Bulat, ianya sedikit pun tak mengurangkan kasih sayang aku pada mak dan ayah. Kasih sayangku sentiasa banyak dan melimpah ruah.

Aku tak tahu macam mana nak menulis secara terang-terangan. Aku ini orangnya memang suka berkias dalam berkata. Sayangnya aku merasa kiasan itu amat mudah disalah erti. Andai begitu ada hati yang terguris dan terhiris, aku memohon keampunan maaf dari seluruh ruang hati.

Untuk seumur hidup, aku hanya ingin membahagiakan dan memberikan pembelaan. Aku tahan jiwa dan perasaan demi menghadiahkan kebahagiaan ini. Aku tak sempurna. Terlalu banyak kekhilafan yang aku lakukan sama ada sedar atau tidak. Aku tak tahu macam mana nak memujuk dan menyembuhkan kembali luka yang tanpa sedar telah aku goreskan. Mungkin ini adalah dugaan Tuhan untuk aku.

Tuhanku, aku ini menadah tangan memohon kepada-Mu... sembuhkanlah duka dan luka di hatinya. Bagaimana dapat aku katanya padanya bahawa aku amat mengasihi dirinya...?

25 musim yang lalu,
Kau meraikan November yang indah,
Mendakap bulan dalam genggaman,
Kau mempertaruhkan seluruh kehidupan,
Demi memperindahkan gemerlap sinar bulan...

Semalam,
Ada warna gerhana yang membekukan rasa,
Zulmat terasa melemaskan dan luluh jiwa,
Sang bulan hilang seri hilang rona,
Kau pujuk hati menelan segala,

Hari ini,
Kau masih percaya,
Bulan yang gerhana akan kembali sinarnya,
Ada masa-masa duka pasti ada juga masa-masa ria,
Untuk jiwa yang sentiasa bernyawa.

2 comments: