Wednesday, October 5, 2011

Menghukum... Dihukum... Terhukum...?

Metafora

MASA aku tingkatan 4 dulu, pernah jadi kes seorang ibu membunuh dua anaknya (perempuan kalu tak silap) dengan cara mengelar leher kedua anak-anaknya itu. Memang ngeri dan hangat kes tu pada masa tu. Ia disiarkan disemua muka depan akhbar arus perdana dan dilaporkan secara menyeluruh oleh siaran berita di kaca tv. Pada masa tu, satu benda je yang bermain dalam kepala aku yang sedang berusia 16 tahun tu,

"Betina ni memang binatang! Setan jadah apa yang sanggup bunuh anak sendiri dengan kejam!"

Uiii, marah betul aku! Kebetulan keesokkan harinya semasa aku di dalam kelas sedang menelaah matapelajaran Pendidikan Islam, ustazah yang aku kagumi itu membangkitkan isu ini dan bertanyakan pandangan kami. Aku apa lagi, dengan emosi yang membengkak di dada terus menghamburkan cela amarah. Ustazah agak terkejut, namun kemudian dia mengukir senyum dan mengatakan ini kepada seisi kelas ;

"Mardhiah, sebagai manusia kita jangan terlalu cepat menghukum orang. Kedudukan seorang ibu terlalu suci di sisi Tuhan. Naluri seorang ibu juga terlalu istimewa. Untuk seorang ibu yang melakukan perkara sekejam itu, ternyata dia telah terlepas kewarasan akal."

Aku jadi bisu kelu. Terdetik kata-kata busuk dalam hati. Adakah ustazah aku yang kuat berpegang pada agama ini sedang membela seorang pembunuh? Adakah? Seperti tahu bisikan setan yang berbaur di dalam hati ini, ustazah segera menyambung ;

"Menghukum, dihukum dan terhukum. Kita sebenarnya berada di dalam kitaran ini. Dia terhukum dengan kehidupan yang menyebabkan dia jadi tidak waras lalu menghukum anak-anaknya yang barangkali terhasil daripada 'hukuman'nya dan selepas itu dia dihukum dengan undang-undang dan kehinaan pandangan masyarakat."

Ustazah berhenti seketika untuk menarik nafas. Aku kian tertarik dengan ulasannya. Dalam senyum yang tak lekang, dia menyambung ;

"Anak gadis perawan yang hamil dan kemudian membuangnya. Kita katakan dia betina jalang yang sudah bersedap dan kemudian membunuh hasil dosa terkutuknya. Dia kejam. Berhati setan bernafsu binatang. Layak dicela dan direjam, biar mampus! Tapi pernahkah kita terfikir, dia mungkin diperkosa, dirosakkan kehidupannya oleh orang yang sedarah. Akhirnya saat tekanan memuncak apabila melihat wajah comel si anak (yang mengingatkan dia pada tragedi pemerkosaannya), lalu ketika itu akal waras akan lenyap dan tekanan celaannya menyebabkan dia cenderung untuk melempar si bayi."

Aku mula muhasabah diri.

"Pernahkah kita terfikir sebagai manusia yang baik, celaan dan hukuman dari kitalah yang sebenarnya menyebabkan mereka menjadi gila dan membunuh. Barangkali kitalah pembunuh yang sebenar yang bersembunyi di sebalik kata-kata!"

Aku mula rasa tercekik.

"Seorang gadis hamil diperkosa, kita tak tahu dia diperkosa, kita panggil dia jalang, dia panggil anak dia anak haram jadah, seorang pelacur yang dijual suami, seorang bekas banduan, bekas penagih dadah, kita hinakan mereka, kita bersangka buruk terhadap mereka, kita pulaukan mereka. Sedarkah kita, andai mereka kembali kepada kehidupan asal mereka, kitalah puncanya yang PASTI akan dihukum ALLAH SWT di akhirat kelak."

Aku menginsafi diri.

"Wanita yang membunuh anaknya. Dia miskin, suaminya penagih dadah, masyarakat menghinakan dia. Mengatakan dia tidak layak beranak. Anak-anak kelak akan jadi sampah masyarakat. Tidak bersekolah dan bakal berpeleseran. Hari-hari disogok dengan kata-kata cemuh seperti ini, kalau kamu... tidakkah kamu akan terdorong untuk mengambil pisau dan mengelar leher si anak? Supaya dia mati dan tenang di syurga. Supaya dia tidak akan jadi sampah masyarakat. Sama seperti si gadis. Biarlah anak haramnya mati dan aman di indraloka. Daripada hidupnya terseksa apabila besar kelak dan dicemuh dengan panggilan anak haram."

Hari itu aku pulang ke rumah dengan perasaan yang baru. Aku sudah membuang celaan dan hinaan yang pernah bersarang dalam kalbu. Sehingga ke hari ini aku masih cuba mencari puncanya sekiranya aku membaca berita-berita yang seperti ini dan bukan begitu mudah menghukum. Bagi wanita-wanita suci di luar sana. Ingatlah langit ALLAH ini ada tinggi rendahnya. Hari ni kau dengan mudah menunding jari dan menyalahkan mereka-mereka yang membuang bayi. Entah esok, entah lusa, entah malam nanti kalian akan ditarik ke semak mana, diperdaya teman lelaki sendiri (yang nampak sangat baik sekarang) atau berkahwin dengan lelaki tak guna dan sembilan bulan yang akan datang, anda akan terpampang di dada akhbar atas tuduhan yang sama.

Aku bukan membela sewenang-wenangnya. Barangkali ya, memang ada di kalangan mereka yang membuang dan membunuh anak sendiri itu memang jalang, memang bohsia yang siang malam diangkut jantan, memang betina murahan yang mudah menyerah badan untuk sama bersedap. Ya, memang ada. Itu adalah bahagian mereka dengan Tuhan. Tapi sebagai manusia tolonglah jangan begitu mudah menghukum kerana pada suatu masa kalian sendiri akan dihukum dan terhukum.

1 comment:

  1. kita boleh mencelik mata pada apa yag benar atau tidak itu saja, ambil yg positif dan buangkan yg negatif

    ReplyDelete