Sunday, October 30, 2011

Abang Rehatlah, Ye.... T_T

Annual dinner. Terbang dari Penang semata-mata nak meraikan bersama kami.

Di Ijok. Arwah berbaik hati membantu aku dan Mimie mengedit skrip.

Berbuka puasa... arwah belanja kami makan besar.

INI adalah sebuah belangsungkawa luka. Aku masih ingat sekitar pertengahan tahun 2009, aku menemani Mimie ke pejabat MIG di USJ 1. Ketika itu kami terserempak dengan arwah. Usai temuduga, Mimie memberitahu aku dia diterima bekerja, begitu juga dengan arwah. Aku gembira bagi pihak Mimie. Mula bekerja, Mimie selalu dihantar balik oleh arwah kerana kebetulan arwah tinggal di BTS dan kami pula di SS. Dekat. Itulah jasa pertama arwah yang menyebabkan kami begitu rapat dengan beliau.

Apabila aku pula mula bekerja di MIG, ketika itu Mimie 24 jam di lokasi pengambaran, ketika itulah aku diletakkan sebagai PA produksi ADAMAYA. Secara tak langsung aku adalah PA arwah yang ketika itu menjadi koordinator Adamaya. Daripada call lokasi, buat surat, call artis sehinggalah fotostat skrip yang menimbun2, semuanya aku buat. Mulanya aku rasa marah jugak, apasal pulak aku kena buat semua ni padahal aku ni panel skrip kot. Arwah bagitahu aku ;

"Dalam slip gaji abang pun tulis nama jawatan abang 'panel skrip'. Tapi tengok apa yang abang buat sekarang!"

Arwah adalah seorang yang sangat istimewa. Dia macam abang. Abang yang menyakitkan hati namun seorang yang baik hati dan penyayang. Dia suka mengusik. Pernah satu hari suntuk, ketika hanya aku dan dia yang berada di dalam bilik produksi, dia memanggil namaku dengan pelbagai nada. Satu hari suntuk tanpa henti! Sampai naik mereng kepala hotak aku. Akhirnya dia bawa aku pergi makan dan tengok wayang. Dia belanja! ;) Arwah paling suka tengok wayang. Dia tak kisah pergi dengan siapa pun, asalkan dia dapat tengok wayang. Kerjanya sibuk benar. Bila tak shooting, barulah dia berpeluang menonton. Kadang-kadang, tiap2 hari dia ke panggung.

Dia juga suka bercerita pada aku tentang DVD2 yang menjadi koleksi kegemarannya. Kadang2 dia bawa ke pejabat dan menonton bersama aku (memandangkan hanya aku yang selalu berada di pejabat ketika itu). Paling terkesan di hati, semasa kami menonton 'My Name Is Khan' dan aku termenangis. Dia ketawa dan bagitahu semua orang yang aku menangis tengok cerita hindustan. Nakal!

Arwah juga seorang yang sukakan kucing. Pernah satu hari dia datang ke pejabat dengan satu luka panjang dan dalam di lengannya. Bila aku tanya kenapa, dia jawab ;

"Kesian kucing abang sakit. Abang paksa bagi dia makan ubat, apalagi dia cakarlah abang. Kesian dia."

Aku masa tu terbengong kejap. Abang yang kena cakar, kenapa kesian kat kucing pulak? Dia jawab,

"Dia sakit! Bahagian mana yang N tak paham ni?"

Arwah selalu memanggil ramai orang dengan nama manja. Mimie - Momot, Tasya - Tasyot, Ikyn'z - Po oh, Syiella - Syisyi. Aku pernah tanya kenapa dia tak pernah panggil aku dengan nama2 pelik begitu. Dia hanya buat sejenis senyuman yang hanya dia boleh buat. Tuhan! Aku sangat merindui senyuman tu. T_T

Semasa di Ijok membikin edit skrip Epilog Syurga Cinta. Arwah tanpa segan silu begitu berbaik hari membantu aku dan Mimie. Sampaikan bila aku dan Mimie terbongkang tidur, dia yang berjaga sepanjang malam menyiapkan skrip. Kadang-kadang bila arwah tak faham dengan tulisan cakar ayam aku (di bahagian catatan), dia akan mengejutkan aku dengan perlahan ;

"N apa ni ye? Abang tak faham..."

Ujarnya lembut. Aku bangun sekejap dan menerangkan.

"Oke, abang dah faham. N tidur balik ye..."

Dia siap menepuk-nepuk kaki aku. Sudahnya, dia tertidur selepas balik dari solat Jumaat akibat keletihan berjaga sepanjang malam. Tengah malam berikutnya, dia menghantar aku dan Mimie balik ke USJ sebelum memandu berseorang pulang ke rumahnya di BTS.

Antara kata-kata terakhir yang aku paling terkesan ialah ;

"Abang rasa macam dah penat sangat-sangat. Rasa macam nak ambil cuti panjang dan rehat puas-puas..."

Sakit arwah bermula dengan batuk yang teruk. Kemudian melarat sampai dia tak boleh nak menelan makanan. Namun beliau tetap gagahkan diri datang bekerja dalam sakit-sakit yang semakin memamah dirinya yang semakin kurus melidi. Akhirnya setelah hampir sebulan (atau lebih) menanggung sakit, allahyarham Shahrul Anuar Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir pada jam 10.40 malam 29 Oktober 2011 di pangkuan ayahnya Pak Ibrahim di kampung halamannya di Pahang.

Aku terasa macam dihempap bumbung ketika mendengar khabar luka ini. Lutut terasa lembik. Masakan tidak? Baru hari selasa yang lepas aku bertemu arwah. Agak terkilan, kata-kata terakhir aku pada arwah ialah,

"Eh, abang ada kat ofis?"

Dia hanya senyum lemah sebagai jawapan. Aku terkejut bukan apa, setiap kali arwah di pejabat, dia tak pernah diam. Pasti kedengaran suaranya memecah suasana. Tapi sepanjang hari tu, aku langsung tak dengar suaranya. Dia mengadu lapar dan meminta Syiella tolong membelikan susu untuknya. Rawan sungguh hati melihat keadaannya kurus melidi.

Aku sampai ke hospital Kuantan sekitar jam 5 pagi. Hati semakin sayu menatap wajah ayahnya yang lampau terkesan dengan pemergian si anak. Hanya perkataan 'ALLAH' yang kerap terkeluar dari mulut Pak Ibrahim. Katanya yang paling menangkap ;

"Ya, Allah... gelapnya rasa dunia."

Berderai airmata kami mendengarnya. Tambah berderai apabila melihat jenazah arwah terbaring lesu di atas stretcher. Jenazah yang berselimut kain putih itu terlalu kurus. Tapi bila kain yang menutup wajahnya dibuka, hati aku berbunga lega. Wajahnya cukup tenang, cukup mulus dan bibirnya seakan mengukir senyuman. Alhamdulillah...

Abangku, selamat berangkat ke negeri yang abadi. Selamat kau selamanya... Abang dah penatkan? Abang rehatlah, ye... N akan sentiasa merindui abang. Al-Fatihah....

No comments:

Post a Comment