Tuesday, November 23, 2010

Terima kasih, Tuhan, Bonda Dan Ayah...!

HARI ini 24 November 2010, genab 24 tahun aku diberi izin oleh ALLAH yang sarat dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim untuk terus bernafas. Alhamdulillah... selaut syukur aku panjatkan kepada-Mu, RABB... hanya Kau yang Maha Mengerti dan Maha Mengetahui. Aku dilahirkan di Hospital Besar Kuala Terengganu, 24 tahun yang lalu tepat jam 12.15 tgh malam oleh bondaku yang bertarung nyawa selepas tiga bulan berjuang di hospital untuk mengekalkan di dalam rahimnya. Bondaku yang tercinta, Zawahir Binti Salleh telah keguguran sebanyak dua kali sebelum mengandungkan aku. Jadinya rahimnya lemah. Kerana ALLAH sudah menetapkan bahawa aku akan lahir ke dunia, maka lahirlah juga seorang Nurul Mardhiah yang berbintikan Shamsudin Ismail dengan berat sebanyak 4.10kg (beratkan? hahaha!). Nurul Mardhiah, ertinya Cahaya Yang Diredhai Dan Disayangi.

Aku masih ingat kata-kata ayah (seperti yang diceritakan kepada aku) semasa pertama kali dia melihat aku di balik cermin kaca yang jernih, dia tercari-cari yang mana satu puterinya. Apabila ditunjukkan ke arah aku, dia berkata begini ;

(ketawa) "Ingatkan budak mana tadi. Bulat dan hitam je!"

Hahaha... kulit aku memang gelap. Ayah adalah seorang lelaki yang aku gelarkan sebagai "Superman". Semasa cikgu tanya aku, siapakah superhero anda, aku jawab : Ayah! Di mata seorang anak kecil (ketika itu), ayah aku memang hebat. Dia boleh baiki hampir apa saja. Dia tahu menukang, tahu segala-galanya. Dia bekerja keras untuk membesarkan aku dan adik beradik yang lainnya. Ayah kuat, dia tak pernah sakit. Sehinggakan apabila dia sudah tua sekarang dan mulai sakit-sakit, aku jadi tersedar yang ayahku adalah manusia biasa. Bukan superman. Ayah sangat garang. Sangat-sangat garang. Tapi ayahku juga penuh dengan kasih sayang. Dia tak pernah merungut membanting tulang demi menyelesakan kehidupan kami anak beranak. Rumah indah yang tersergam di kampung, yang kami diami sekarang dibina oleh tangannya sendiri. Dengan kudrat dan keringatnya. Aduhai ayahku sayang... Aku tak mungkin dapat ayah yang lebih baik darinya.

Ibuku adalah wanita yang cukup mandiri dan tabah. Selama 24 tahun aku hidup, boleh dihitung dengan jari sebelah tangan sahaja, berapa kali aku melihat dia menangis. Dia adalah wanita yang sedar diuntung. Tak pernah merengek untuk diberikan kemewahan. Wang gaji ayah yang serba sedikit diaturnya cukup baik : mana untuk membeli barang dapur, mana untuk belanja anak-anak, mana untuk belanja hari raya. Aku tak pernah kebulur tak makan. Aku tak pernah tak berganti baju baru di hari raya. Kami tak mewah, tapi semuanya sentiasa cukup. Ibu selalu mengajar aku supaya tak mengharapkan jasa orang. Biar kita hidup dengan apa yang ada. Biarlah kita menyimpan sedikit2 dan membeli keperluan secara perlahan, asalkan jangan diamalkan sikap berhutang keliling pinggang. Aduhai bondaku kasih... aku juga tak mungkin dapat ibu yang lebih baik darinya.

Aku bersyukur dengan apa yang aku ada selama 24 tahun yang telah aku tempuhi ini Mungkin masih banyak yang belum aku capai, tapi tak mengapalah... aku akan berusaha memperbaguskan kehidupan. Apa yang ingin aku katakan adalah, andainya aku mati pada esok hari... aku redha dengan kehidupan yang aku ada pada hari ini dan semalam.

Terima kasih, Tuhan... Kau berikan aku nyawa dan kesempatan untuk berhidup di bawah kasih sayang-Mu. Terima kasih ayah dan bonda... kalian mempertaruhkan seluruh kehidupanmu untuk memanusiakan aku.

No comments:

Post a Comment