Sunday, November 14, 2010

Tengok Muka Aku Ni - "Ada Aku Kesah?!"

Kegemukan yang berpunca dari makan banyak dan menjadi satu dosa besar menurut sesetengah pegangan. Aduhai...

KADANG-KADANG aku jadi pening. Susah sungguh kejadian jadi orang gemuk ni. Susah nak beli baju, payah nak beli seluar, gundah nak cari kasut @ selipar, resah nak gayakan fesyen yang sesuai, gelisah nak naik atas penimbang berat... serba serbi tak kena katanya! Tu baru sikit. Jangan ceritalah perasaan menjeruk hati bila buka majalah atau surat khabar. Selain menelan liur melihat model-model yang serba jelita dan bersaiz xs, nyali juga seakan dirunjam dengan tajuk-tajuk seperti ini ;

"Kegemukan menyumbang kepada serangan jantung..."

atau

"Obesiti antara punca datangnya penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis..."

Aku tak malu mengatakan yang berat aku adalah 85 kg. Isy, tak payahlah terkejut sangat. Memang 85 kg pun. Berat. Selain dari lemak-lemak yang menggebu ni, aku juga mewarisi tulang dari baka yang besar. Jadinya semasa aku masih kurus dulu, badan aku memang dah besar. Dan semasa aku menimbang berat di The Mines, mesin yang boleh bersuara itu mengatakan begini dengan kuat ;

"Anda gemuk!"

Agak kurang ajar mesin penimbang yang memerlukan dua keping syiling 20 sen untuk menggunakan khidmatnya menimbang berat badanku. Aku bukan jenis orang yang makan banyak. Selalunya jarang mengambil sarapan, dan makan pun nasi separuh dengan dua jenis lauk saja. Ayam dan sayur. Ikutlah, kadang-kadang keli dan ulam (salad @ timun). Malam pun kadang-kadang menu yang sama. Itu kalau hari berduit, kalau tidak memang mencekik maggi mee sahaja kerjanya. Tak pun menanak nasi dan goreng telur. Jadi persoalan besarnya,

"Macam mana aku boleh gemuk?"

Semasa aku darjah 6, aku mengalami tekanan yang sangat kuat sebab pertama kali nak melalui peperiksaan yang besar dalam hidup. Pada masa ini, aku menghabiskan masa seputar 15 jam di sekolah. Percaya tak? Dari jam tujuh pagi sehingga 10 malam. Aku balik rumah untuk tidur saja. Dahsyat. Fokus sungguh aku masa tu. Menyebabkan aku menggemuk tanpa disedari. Aku sebenarnya berlawanan dari orang lain. Kalau korang tengok aku makin gemuk, itu ertinya aku sedang tertekan dan susah hati. Kalau aku macam kurang gemuk sikit (perkataan kurus tak sesuai), itu tandanya aku sedang bersenang hati dan lapang dada. Aku makan setiap kali tekanan. Kalau marah pun aku makan. Makan... makan... makan....! Makin rungsing, makin banyak aku makan.

Sejak dari umur 12 tahun, aku menggemuk dengan pesat. Ramai jugak orang yang memujuk aku, katanya ;

"Awak ni tak gemuk sangat lagi pun..."

Sebenarnya aku tak kisah jadi gemuk. Susah hati, rendah diri dan menjeruk nyali pun tak guna. Menambahkan gelisah sendiri. Aku tak pernah malu menjadi NURUL MARDHIAH SHAMSUDIN yang gemuk, berkulit gelap dan tak berapa nak cantik ni (tapi manisnya ada! ahaks!). Aku bangga dengan diri sendiri. Walaupun pencapaian aku dalam hidup ni tak begitu cemerlang, tapi sekurang-kurangnya masih banyak hal yang mampu aku kecapi dan berbangga dengannya. Aku tak nafikan, susah jadi gemuk begini. Berjalan cepat menangkap penat, kejap-kejap nak duduk. Kaki lenguh, belum campur rasa malas nak bergerak ke sana ke mari. Madam Jane (bos) dah berapa kali menegur aku ;

"N, verry slow la, you! Cepat sikit"

Madam selalu menyuruh aku menguruskan badan. Katanya, badan kurus otak cergas dan idea pun membukit dan melaut. Hari-hari dihulurkan teh herba Cina untuk aku minum. Katanya untuk membuang kolestrol dan menyihatkan badan. Malah, dia melarang aku naik lif, sebaliknya turun naik tangga sahaja. 8 tingkat, bro! ^_^ Merangsang stamina dan mengeluarkan peluh ulasnya. Aku nak ketawa pun ada. Hari-hari meneguk teh herba sampaikan perut memulas-mulas penuh angin dan kepala naik pening berpusing-pusing (aku sebenarnya alahan terhadap produk tradisional, ahaks). Tapi aku sebenarnya memang seorang yang tabah. Ramai yang memerli dan menjadikan tubuh sasaku (perhatikan pemilihan perkataan yang aku gunakan : SASA!) sebagai bahan mengusik dan berlucu, aku sesungguhnya memang tak terkesan. Tak sempat singgah di hati. Apalah yang ada pada cakap-cakap orang? Apa kita hidup di atas kasih sayang dari-NYA di muka bumi ini hanya untuk menyenangkan hati orang. Jadi apa khabar dengan hati sendiri? Adakah dipeduli? Menurut aku, biarlah kita menyenangkan hati sendiri. Asalkan kita tak susahkan hidup orang, orang pun tak perlulah nak susah-susah nak susahkan hidup kita. Jaga diri sendiri sudah!

Aku bukan menulis entri ni untuk puji diri sendiri yang sangat bangga menjadi diri sendiri yang gemuk ni. Tapi untuk berpesan kepada hati, tak usahlah digaduhkan berat badan yang baru naik lagi 5kg ni (sebelum ni berat 80kg, baru timbang tadi... naik lagi!). Itu biasalah. Sekarang aku tengah banyak hal yang perlu difikir dan dirisaukan. Selesai semuanya nanti, barangkali berat badan aku akan kembali ke asalnya (sekitar 75-80kg). Hahaha... atau mungkin tidak. Biarlah! Aku malas nak fikir.

Kalau korang rasa aku memang gemuk dan perlu berdiet untuk kelihatan slim dan menawan, cuba korang tengok muka aku ni...

"Ada aku kesah?"

2 comments:

  1. hahhahha...lantakla gemok, asal ati hepi, yer tak????

    ReplyDelete
  2. Aku happy je, kak...
    Yang tak happy tu orang2 yg nengok aku.
    Tu yang aku heran sangat tu...
    huhuhu!
    ^_^

    ReplyDelete