Monday, November 8, 2010

Rak Harta Karun

Heaven. Impian aku nak buat camni bila da ada umah sendiri nnt. Huhuhu!

LEWAT kebelakangan ni aku terasa begitu kesibukan sedang merompak masa lapangku habis-habisan sampaikan masa untuk aku bersantai dan bersenang-senang pun sudah tak menentu lagi. Kadang-kadang terasa macam dah tua sangat. Bangun tidur pergi kerja, balik kerja terus tidur. Masa untuk menonton televisyen sudah aku tinggalkan. Enaknya zaman studi, orang azan subuh barulah aku terhegeh-hegeh nak tidur selepas bersenang-senang melayan dvd sepanjang malam. Hasilnya, aku dan Mimie mengheret kantuk ke dalam dewan kuliah. Hahaha...

Tapi itu bukan isu yang paling utama. Yang terutamanya ialah RAK HARTA KARUNku semakin terbiar sepi dan berhabuk di sana sini. Sedih! Kalau dulu, letih macam mana pun paling tidak aku tetap aku membaca satu bab sebelum tidur. Semasa keluar bersama 'cik abang' (^_^) tempoh hari, aku sempat menyambar KUNTUM TULIP BIRU di Kinokuniya KLCC. Aduh, girang hati tak usah cerita. Selepas memiliki dan menguliti SAKURA MENGORAK KELOPAK sekitar 13 tahun yang lalu, hasil tukangan SN Arena Wati ini memang membuai rasa dan berhasil membikin jantung jadi berdetup detap.

Sayangnya, selepas sekian minggu Kuntum Tulip Biru berada di sebelah bantal tidur, hanya 1 bab sahaja yang berjaya aku tekuni. Aduhai... kata-kata yang sedang menyihir berjaya ditewaskan oleh kantuk yang dipintal oleh rasa letih. Buku-buku kesayangan yang menjadi harta karunku semuanya barangkali sudah menyimpan rajuk. Betapa tidak? Aku biarkan mereka bermandi habuk. Jarang lagi dibelek belai dan diciumi (ajaran dari guru, mencium dan menikmati aroma buku sebelum menekuninya ^_~) seperti dulu. Kasihan kesayanganku semuanya. Jiwa terasa kosong jadinya. Otak bagai berkarat.

Sejak meninggalkan zaman belajar, aku selalu merasa kosong. Zaman studi memang indah. Bertemu teman-teman, bergebang, bersembang tentang betapa luasnya dunia. Buku, filem dan lagu, mengkritik, berkongsi idea dan pandangan, bertukar-tukar pengetahuan. Itu semua merangsang hidup! Arghhhhh!!! Dunia memang luas. Tidak sekadar, bagaimana untuk menanak nasi minyak, menggulai terung, menggilap mangkuk pinggang, menenun kain ataupun layakkah Lisa Surihani menang FFM?

Semasa preview filem KEMBAR SIANG di The Curve tempoh hari, aku terserempak dengan En. Hassan Mutalib, pensyarahku semasa di akademi. Pensyarah yang pernah menghalau seisi kelas keluar kerana gagal menghantar tugasan seperti yang ditetapkan (hasilnya kami serik dan tidak lagi mengulang kasalahan yang sama). Pensyarah yang pernah mahu menembak aku dan Mimie dengan senapang gajah kerana bekerja dengan MIG. Pensyarah yang menggelar kami sebagai 'terror of terrorist'. Paling penting sekali, pensyarah yang pernah memberikan aku mimpi ngeri dengan filem GLADIATOR. Aku kagumi beliau. Sebenarnya, ramai pensyarah yang aku benar-benar kagumi semasa di akademi antaranya Tuan Haji A. Rahim Abdullah (kritikan yang sungguh merangsang dan kemas!) dan beberapa nama lagi yang elok untuk aku pendam saja. Kami sempat bersembang. Dan apabila aku dibebelkan tentang 'FILEM' oleh beliau, aku tiba-tiba merasa hidup! Aduh! Terima kasih atas pertemuan ini. Tak banyak, sedikit ia berjaya menyegarkan kelesuan aku.

Banyak hal dah berlalu dari hidup. Kadang-kadang melihat tulisan di blog ni pun aku dah naik menyampah. Bebelan-bebelan tentang hidup sendiri sahaja tak habis-habis. Persekitaran aku sekarang amat melemaukan. Paling menarik, apabila aku buka mulut, aku pernah ditempelak begini ;

"N, jangan la bawak bahasa ASWARA kau tu kat sini! Aku tak fahamlah... (ketawa seterusnya)"

Apakah nasib. Sesekali apabila bertemu dengan teman-teman lama, barulah terasa seronok berlawan kata. Tangan terawang-awang mengalahkan pemimpin politik sampai terkadang menepuk-nepuk meja. ^_^ Sayangnya, teman-teman juga turut dihambat kesibukan. Hidup baru menjadi hijab yang menutup kenangan silam yang muluk-muluk.

Hujung minggu ni aku sungguh-sungguh menyimpan angan untuk kembali membelek belai rak harta karunku, seterusnya menekuni Kuntum Tulip Biru sehingga khatam. Kalau sempat, mahu mengulang baca Sakura Mengorak Kelopak sambil sesekali menjernihkan jiwa rasa dengan membelek beberapa kuntum puisi dari SULUK CINTA dan MEMBURU MALAIKAT. Mungkin kalau benar rajin, aku akan mengintai-ngintai kumpulan drama tukangan Pak Usman. Hujung minggu yang indah! Mudah-mudahan... ^_^

2 comments:

  1. tulislah novel sastera N, kau layak sgt nulis ditambah dgn ayat2 gitu...akak dah jauh terlupa macam mana nak masukkan ayat semiotik atau estetika dalam bahasa...terlalu lupa. sampaikan kadang2 dah malas untuk menulis, dan sekarang membaca. alhamdulillah lah N masih tak lupa..

    ReplyDelete
  2. Kak,
    aku hargai sangat2 kata2 kau.
    Tapi aku memang salah,
    coz aku memang malas hanya kerana terhimpit dengan kesibukan.
    hmmm...

    ReplyDelete