Monday, August 16, 2010

Hening Syawal Yang Pernah Singgah


Baju untuk raya pertama. Huhuhu... dah beli! Baru 7 hari puasa...

BILA meraikan Ramadhan yang mulia, pastilah dalam kepala sudah terkenang Syawal yang bakal menjelang sesudah Ramadhan melabuhkan tirai senjanya yang ke-29. Apalah yang boleh kita ceritakan tentang Syawal melainkan kegembiraan meraikan sebuah kemenangan dan harinya di mana kita saling bertemu dan memaafkan di antara satu sama lain.

Semasa aku masih di dalam susuk anak kecil, Syawal adalah satu kemestian yang paling menggirangkan. Selain dari mengumpul duit raya dengan seluruh sanak saudara, hari raya memang menjanjikan seribu satu kegembiraan. Selalunya selepas masuk malam 15 Ramadhan, kami akan mula mencari buluh dan pelita. Terang seluruh kawasan rumah dengan cahaya pelita yang sayu indah. Masa ni aku duk umah kayu dekat dengan umah Teh (kakak mak aku). Sepupu ramai. Epi, Edi, Peyus, Abang Mir, Kak Ayu dan Kak Sa pun join sekaki dengan kami empat beradik. Seronok lawan pasang pelita. Masjid pun depan rumah, dapat dengar orang terawih. Suasana puasa+nak raya memang hidup.

Dan selepas itu setiap malam adalah syurga buat kami. Main bunga api dan mercun adalah mesti! Aku biasalah, tipikal perempuan. Lebih gemar dengan mercun yang meletup-letup dengan berwarna-warni. Mercun naga namanya. Cantik! Aku paling tak suka dengan mercun bawang sebab budak2 ni suka campak dekat kaki. Tak sukalah! Mercun tarik macam biasa, memang diletakkan di antara selipar. Bila tertarik... pap! Huhuhu... semua orang ketawa. Selain tu mercun jarum. Bentuknya seakan mancis tapi menghasilkan letupan yang agak kuat. Paling kuat adalah mercun bola. Bunyinya... wow! Hebat! Tapi selalunya memang suka main bunga apilah.

Bunga api mempunyai satu kenangan yang takkan mungkin aku lupakan. Masa tu aku tak tahulah sama ada ayah lupa atau buat2 lupa untuk membelikan bunga api. Aku dan adik tak berani nak tanya pasal ayah memang garang orangnya. Along aku pulak dah besar. Dah pandai beli mercun sendiri. Jadi untuk mengubati hati, aku ajak adik aku tuang minyak tanah dalam cawan dan main cucuh2 ranting kayu. Punyalah seronok sampai tak sedar percikan minyak tanah tu dah menyala atas pangkin. Adik aku tiba-tiba cuak dan dia ambil secawan minyak tanah tu (yang disangka air sebab terlalu panik) lalu menyimbah ke arah api yang mula nak menyala tu. Apa lagi... wush! Pangkin terbakar! Ayah aku adalah ahli bomba yang baru nak gi kerja (shif malam) apalagi terus amik pasir dan curah atas pangkin. Hadiahnya, aku dan adik dirotan atas tapak tangan sampai jari aku cedera. Sebabnya ayah terlalu geram (pangkin tu baru buat... hahahaha). Tapi ayah tetap ayah. Esoknya balik dari kerja, dia belikan sekotak bunga api! Hah... mainlah sampai lebam! ^_^

Pagi raya macam biasa, kontrak aku adalah buat air, potong nasi impit dan cuci pinggan. Jadinya setiap kali pagi raya pertama aku akan pakai baju kurung biasa2 je pasal memang duk dapur. Huhu... hari raya kedua baru pakai lebih sikit pasal jadual hari raya kedua memang pergi beraya ke rumah jiran dan keluarga yang duduk dekat. Raya ketiga melangkah jauh-jauh beraya ke rumah saudara-mara. Raya ke4 beraya ke seluruh kampung dan rumah saudara yang bau-bau bacang. Aku beraya ke rumah kawan-kawan pun masa raya ke4.

Sekarang dah tak macam dulu. Sejak pindah ke rumah baru, kami dah tak pasang pelita. Pasang lampu kelip-kelip je tapi perasaannya tak sama. Kat sini angin terlalu kuat, tak boleh pasang pelita. Sepupu semua dah jauh. Masjid pun jauh. Sunyi sungguh. Tahun ni aku balik malam raya. Lagilah sedih perasaannya. Tapi tak kesahlah! Balik juga... itu yang penting. Hm, aku tunggulah dapat anak-anak buah nanti. Mungkin masa tu baru ceria Syawal tu akan kembali. Yelah, rumah dan riuh dengan suara budak... mesti seronok!

Duhai Syawal yang indah... pasti kukira detik bertemu kembali.

4 comments: