Monday, August 9, 2010

Kehidupan Yang Telah Lewat


LEWAT kebelakangan ni hidup aku banyak berubah secara mendadak sampaikan bila aku bangun pagi tadi, sambil2 duduk di birai katil aku termenung sejenak (padahal dah lewat nak ke pejabat! huhuhu). Banyak perkara yang dah berlalu dan banyak pula kenangan baru yang tercipta menindih kenangan yang lama dulu. Hujung minggu lepas aku menghabiskan masa di Perak. Bercuti dengan si dia. Huhuhu... seronok kerana terasa air terjun tempat aku berendam sambil kecut segala urat tu telah mengalirkan dan membawa bersama segala sisa yang tertinggal dalam hati aku. Semuanya dibawa pergi! Tak ada lagi yang sempat tinggal di hati.

Aku pernah mengatakan pada 'dia', hati aku bukan kertas. Dan apa yang pernah tertulis disitu bukan tinta yang bisa dipadamkan dengan cecair pemadam. Bukan! Dan 'dia' menjawab aku;

"Hati awak memang bukan kertas! Dan saya pun tak mahu memadamkan semua yang tertulis tu. Saya cuma nak menutup segala yang lama itu dengan segala yang lebih bersifat baru..."

Pada ketikanya aku berendam di dalam air terjun yang jernih itu, aku merasai seluruh kebenaran kata2nya itu. Aku bukan seorang yang suka berbicara tentang CINTA di ruangan ini. Terkecualilah puisi2 yang kutulis itu. Aku merasakan soal hati adalah soal yang lebih enak kalau diperibadikan. Tetapi kali ini aku merasa perlu merakamkan rasa hati di sini. Kalau masa boleh diundurkan, aku tetap akan memilih untuk menjalani hidup ini seperti ini. Aku tak pernah menyesal dengan apa yang telah berlaku. Aku yakin benar, penyesalan hanya akan membunuh diri detik demi detik.

Tidak menyesal, tidak pula bererti aku tak sedar salah betul setiap perbuatan aku. Aku cukup sedar! RABB... hanya KAU yang Maha Mengetahui dan Maha Mengerti di atas segala sesuatu itu. Setiap hari aku berperang dengan hati. Kalah atau menang, aku juga yang menanggung sakit nikmatnya.

Ada seorang lelaki pada suatu masa dahulu. Mengetuk pintu hati. Menghulurkan sebakul rasa hati dan aku terima baik. Tapi penerimaan aku sekadar di mulut. Jadinya hubungan itu bertahan sekadar tiga bulan sahaja. Sejak dari itu, hubungan aku dengan lelaki2 selepas dia selalunya tak menjadi. Menyebabkan aku terfikir, karmakah yang aku tanggung kerana mengecewakan lelaki sebaik dia? Dia sungguh ikhlas. Sampai sekarang aku tak berpeluang meminta maaf kerana melukakan dia. Selepas dia, datang pula seorang lelaki yang sentiasa ada 25 jam sehari dan 8 hari seminggu bersama aku. Aduhai... percaya atau tidak, dalam setiap detik bersama aku, entah betapa sempat dia masih meliar bersama perempuan lain. Dia melayan aku dengan sangat baik sebenarnya. Sangat-sangat baik! Tapi sikap suka meliarnya itu menyebabkan aku mengucapkan selamat tinggal dengan hati yang sungguh berat. Percaya atau tidak, sampai sekarang kami masih berhubung. Bertanya khabar dan sebagainya, Sebagai Kawan sahaja tentunya.

Di kala awan mendung sarat dengan guruh dan kedinginan yang mencengkam sampai ke tulang, datang seorang lelaki yang menyelimutkan aku dengan kehangatan. Yang ini aneh. Dia tak pernah ada. Tapi wujud. Dalam ketiadaannya, dia sentiasa dekat di hati menyebabkan aku terlalu kasih padanya dengan perasaan yang paling halus. Terlalu halus sehinggalah aku menerima khabar tentang pilihan lainnya dan perkahwinannya. Apa lagi yang boleh kita katakan?

Kali pertama dalam hidup, aku merasa sakit yang betul2 sakit. Sakit yang aku rasa sebelum ini automatik jatuh bukan apa2 kalau nak dibandingkan dengan sakit kali ni. Aduhai... entah macam mana, 'dia' datang dengan hanya menghulurkan tangan. Tidak meminta apa-apa melainkan mahukan huluran yang dihulur aku sambut dan tangannya aku genggam. Lebih dari itu dia memohon untuk menyimpan hatiku di dalam hatinya. Supaya hati itu tidak akan terluka lagi. Supaya sakit yang aku sengsarakan akan terhenti dan berganti dengan rasa indah yang lainnya. Supaya senyum yang aku ukirkan tidak lagi bersulam duka dan supaya airmata yang mahal nilainya itu tidak akan terbuang lagi.

'Dia'... bagaimana dapat aku katakan pada 'dia' yang aku benar-benar menghargai datangnya 'dia' dalam hidup dan hatiku? Bagaimana dapat aku ungkapkan apa yang ada dalam hatiku saat ini...? Bagaimana dapat aku zahirkan musim semi yang sedang bertamu dan memekarkan bunga rasa? Walaupun telah lewat 'dia' datang dalam nyali yang selalu rawan ini, namun masih belum terlambat!

RABB... telah aku ikhlaskan segala rasa. Hanya pada-MU tempat aku merapatkan kedua tapak tangan dan merayu-MU dengan seluruh rasa yang KAU wujudkan... jadikanlah ini yang terakhir. Kerana KAU yang Maha Mengerti... redhakanlah hati dan restuilah. ALLAH yang sarat dengan sikap kasih, sesungguhnya KAU yang Maha Esa... amin!

No comments:

Post a Comment