Monday, October 22, 2012

KL ~ Elegi Tangisan Langit


TANPA aku sedar, masa semakin berlalu dan musim basah telah bertamu kembali. KL sedang dalam kedinginan lewat kebelakangan ini. Aku yang sentiasa gagal menahan rasa dingin telah bermalam-malam tidur dengan memakai stokin. Sejuk. Sesejuk hatiku yang semakin membeku.

Begitukah?

Semasa di PD tempoh hari, salah seorang penceramah motivasi yang cukup handal, bernama En. Azman, ada berkongsi sebuah (?) teori. Begini kurang lebih bunyinya.

"Ada tiga jenis manusia dalam menggelumangi situasi. Pertama, manusia jenis lobak. Kedua, manusia jenis telur. Ketiga, manusia jenis serbuk kopi."

Beliau memberikan air yang sedang mendidih sebagai metafora untuk situasi. Apakah yang akan terjadi apabila lobak, telur dan serbuk kopi di dalam tiga periuk yang berisi air mendidih? Mudah. Lobak akan menjadi empuk, telur akan masak dan air kopi akan terhasil. Betul? Jadi apakah perkaitannya dengan sifat manusia?

Dapat aku perjelaskan satu-satu di sini. Golongan manusia yang pertama iaitu jenis lobak. Lobak secara fiziknya adalah bersifat keras. Namun, apabila dia masuk dan bergelumang dalam situasi yang serba menekan dan memaksa serta tidak menyenangkan, dia akan diempukkan lalu menjadi lembut dan lemah. Hasilnya, dia akan terus diinjak-injak dan diperkudakan. Situasi tidak berubah. Tetap panas dan membara.

Golongan manusia yang kedua adalah jenis telur. Sama. Tapi kali ini psikologi berbalik. Orang yang jiwanya lembut namun terjun ke dalam situasi yang serba tidak mengerti, mencabar dan menyakitkan, dia akan terdidik untuk menjadi keras. Tamsil telur yang cair dan lembut menjadi masak dan keras. Seorang diktator lahir dan dia akan cenderung menyakiti orang lain di sekelilingnya pula. Jiwa besi. Situasi tetap tidak berubah. Terus panas dan membara.

Akhir sekali golongan yang ketiga iaitu jenis serbuk kopi. Golongan ini serba mengerti diri. Tahu apa kemampuan dan kehendak diri. Tegas. Jadi bila dia masuk ke dalam situasi, dia yang akan menangani situasi dan mengubahnya. Lihat serbuk kopi di dalam air panas. Serbuk kopi tetap ada dan tetap hitam. Tetapi dalam masa yang sama air mendidih yang jernih turut berubah ke warna hitam malah menghasilkan aroma kopi yang harum dan rasa yang menyelerakan.

Barangkali aku terletak dalam golongan yang mana? Aku pernah terfikir bahawa aku adalah serbuk kopi. Kerana itulah aku tinggalkan sesuatu (seperti UPMKB dan MIG) supaya aku tidak berubah. Aku masih serbuk kopi yang sama. Cuma masih gagal menghitamkan air didih. Itukah aku? Untuk situasi lain dalam kehidupan pun sama. Aku tidak dipengaruhi oleh kehendak orang. Aku tetap mahukan apa yang aku mahu. 

Tetapi.

Kedinginan dan kebasahan yang ditangiskan oleh langit menyebabkan aku banyak berfikir. Apakah hatiku sudah semakin keras sekarang? Adakah aku sudah berubah menjadi telur? Telur yang sedang perlahan-lahan mengeras di dalam air mendidih. Hurm...

Langit, berhentilah menangis. Aku rindukan hangatnya matahari dan kepanasan yang selalu mendodoikan tidurku saban malam. KL, lenyapkanlah awan mendung dan kabus dingin yang menyelimuti dada langitmu. Aku mahu menikmati keindahan bandaraya ini.

Aku merindui...

2 comments:

  1. Janganlah bersedih sangat sahabat...... Yea. Tabahkan hati bukan jadi keras yang membinasakan diri dah la.

    ReplyDelete