Friday, October 5, 2012

Dandelion [Finale]


PAGI itu terlalu cerah. Sinar sang mentari memancar dengan terlalu terang sehinggakan berjaya membangkitkan Wulan dari kamar peraduannya. Berasa silau, dia lekas bangun dengan palma tangan yang menutup bahagian mata lalu menarik tirai menutupi jendela. Ah, baru terasa nyaman.

Wulan menghela nafas.

Anak matanya menangkap pandangan keliling. Oh, rupanya dia masih di bilik peraduan. Seketika, Wulan seakan lupa akan apa yang sedang berlaku di seputarnya. Hanya tatkala Nyx melangkah masuk, membawakan sarapan yang lazat terhidang di atas dulang, baharulah segala ingatan menerjah masuk kembali ke benaknya. Lengan Nyx diraih kasar. Nyaris terlepas isi dulang. Nyx menggeleng perlahan.

"Tenang, puteriku..."

Begitu pujuk Nyx. Wulan nyaris rebah. Sudah pagi rupanya. Sudah sampai masa rupanya. Sudah tiba detik dan ketikanya. Sudah...

"Ayuh, duduk. Tuanku seakan sudah kehilangan separuh nyawa dari badan..."

Dulang sudah elok terletak di hujung birai katil. Nyx segera memimpin Wulan untuk turut melabuhkan punggung di katil. Wulan menurut dalam palma tangan yang masih menggenggam dada. Dia ternyata sedang mencari kekuatan. Nyx langsung digigit simpati. Dia sesungguhnya mengerti.

"Nyawaku sudah melayah terbang ke langit, Nyx. Menjadikan aku sebagai jasad yang tidak lagi berdaya..."

Nyx memilih untuk enggan mendengar. Dia mencapai bubur yang sudah disediakan seawal pagi. Dia sendiri yang mengadunnya. Resepi istimewa warisan leluhurnya yang sudah berusia lebih ratusan tahun. Bubur itu mengandungi 17 jenis bahan terpilih yang apabila digabungkan, mampu melahirkan suatu sensasi yang membangkitkan semangat. Wulan menggeleng, namun gelengan itu tidak diperdulikan Nyx. Dia terusan menyuap, memaksa, dan menyebabkan Wulan dalam enggan, tetap menelan.

"Kau sentiasa berdaya, puteri. Seorang pencinta harus mempunyai 1000 daya yang kuat. Tidak boleh tidak. Atau kau akan berakhir sebelum bermula. Akan tewas dan mati sebelum waktunya. Apa kau rela membiarkan dunia mentertewaskan cintamu sebelum kau bangkit untuk memperjuangkannya?"

Wulan tersentak. Kata-kata Nyx sedang mengalir di dalam urat-urat darahnya. Wajahnya segera memerah.

Tidak!

Wulan segera bangkit. Dia melangkah pantas, lalu merentap tirai tebal yang tadinya menutupi sinar terang sang mentari. Ruangan kamar segera mencerah. Wulan terus berdiri menentang sinaran mentari. Kehangatannya cukup terasa. Wulan tenggelam dalam suatu dimensi rasa. Perlahan dia berpaling memandang ke arah Nyx.

"Aku yakin aku akan menang, Nyx. Cintaku akan menang."

* * *

Gisher sudah bersedia di suatu sudut. Manakala Enu Juarsa pula bersiaga di suatu sudut yang lain. Sang Bangsawan, para pembesar dan sekalian rakyat sedang berada di sekeliling arena. Wulan, setia ditemani oleh Nyx, sedang berada di suatu sudut yang agak terasing namun masih terlihat jelas. Debaran semakin memuncak, menyebabkan orang ramai ternanti-nanti.

Mata Enu Juarsa menyala-nyala. Tamsil seekor naga yang sedang terluka ekornya. Sedangnya Gisher terlihat tenang. Seakan tiada satu apa pun yang sedang menggetarkannya. Sang Bangsawan sendiri sedang gelisah, serba tak kena. Wulan sedang tenang, namun di wajahnya jelas terpancar sinar percaya dan tabah. Sekilas, Gisher memandang ke arah Wulan. Seulas senyuman terlontar dan sempat pula disaksikan oleh Enu Juarsa. Menyebabkan sang pangeran itu bertambah murka dan terluka.

"Ayuh! Kita selesaikan segala-galanya segera!"

Enu Juarsa segera menghunus pedangnya ke hadapan. Sudah tidak betah lagi mengepung sabar. Gisher berpaling kepada Sang Bangsawan, tanda hormat. Sang Bangsawan segera bangun, memberikan isyarat lalu mengangguk kepala. Sayembara merebut sang puteri bermula. Seluruh rakyat menganyam debar.

Gisher turut bermain pedang. Denting mata pedang mengisi ruang. Gisher sedang gagah bermain rentak Enu Juarsa yang tangkas. Perlawanan terlihat seimbang. Masing-masing bijak mengintai percaturan pihak lawan. Ketika srengenge sedang tegak di atas ubun-ubun, masing-masing sedang tercampak mengambil nafas. Sang Bangsawan terusan resah. Masih tiada tanda yang Gisher akan tewas. Begitu jugak masih belum terlihat Enu Juarsa akan menjadi juara.

Akhirnya pada suatu ketika, Enu Juarsa berjaya merunjam Gisher dengan serangan ampuh yang gagal ditepis. Gisher tercampak ke belakang, cedera. Wulan spontan berdiri. Enu Juarsa seakan sudah beroleh kemenangan. Dia bersorak dengan semahunya. Itu menjadikan dia lalai. Gisher bangun perlahan-lahan, lalu menyerang. Giliran si pangeran gagal bertahan. Dia rebah. Gisher meletakkan mata pedang di leher lelaki itu.

"Aku enggan menumpahkan darahmu. Kerana mata pedangku sedang berada di lehermu dan kau sedang rebah, aku kira ia adalah kemenanganku."

Enu Juarsa menundukkan kepala, seakan menyerah. Melihatkan itu Gisher mengangkat pedangnya lalu berpaling berjalan ke arah Sang Bangsawan. Arena gempita dengan sorakan memenangkan Gisher. Rupanya, Enu Juarsa bermain muslihat. Dia berpura menyerah. Perlahan dia bangun, menghunuskan pedang lalu...

Seketika itu, sepi segera membaluti. Seinci mata pedang telah menembusi kulit perut Wulan. Entah bila, dia meluru menghadang. Mujur, Enu Juarsa sempat menyedari dan berhenti. Apabila dia kembali menarik pedangnya, darah hitam merah segera keluar membasahi telapak tangan Wulan yang sedang berusaha menutupnya.  Gisher pantas merangkul Wulan.

"Kau laki-laki pengecut!"

Tempik Gisher. Enu Juarsa terpempan, namun amarahnya telah membius waras akal.

"Aku tak peduli. Apa yang aku mahu, pasti menjadi milikku! Kalau Wulan masih enggan, akan kuhancurkan Wilayah Timur!!!"

Wulan menggenggam erat tangan Gisher. Menghalang lelaki itu dari bersuara. Dalam sakit, dia menentang mata Enu Juarsa.

"Kau adalah laki-laki yang hanya tahu mencairkan kata-kata. Sedangkan aku mengotakannya. Kau pernah bilang, andai aku enggan, kau akan menerima dan pergi secara aman. Sekarang lidahmu sedang berputar memberikan ancaman."

Dalam termengah dan terketar-ketar, Wulan mengeluarkan sebilah belati dari dalam lipatan bajunya. Diangkat belati itu tinggi-tinggi. Enu Juarsa bersiaga.

"Enu Juarsa, demi rakyatku, aku akan memberikan apa yang kau mahu. Kau ambillah jantungku. Jadikan ia milikmu. Tetapi cintaku hanya untuk Gisher...!"

Dengan kata-kata itu, Wulan merobek dadanya sendiri. Gisher tidak sempat menghalang, manakala Enu Juarsa terus terpatung. Seakan tidak percaya apa yang sedang disaksikan. Wulan sedang berusaha memasukkan tangan ke dalam luka di dadanya, untuk menarik sang jantung keluar dari tubuh. Pada ketika inilah Sang Bangsawan meluru ke tengah gelanggang. Merebut Wulan dari dakapan Gisher lalu menekap luka di dada puterinya. Dijeritkan Nyx supaya segera mendapatkan tabib istana.

"Ayahanda, cinta telah menjadikan aku tak berdaya untuk menentangnya. Tapi cinta juga memberikan aku kekuatan untuk menentang dunia..."

Suara Wulan hampir tidak kedengaran namun jelas di inderia telinga Sang Bangsawan. Seketika itu jugak rabak dadanya dengan sebak. Hari ini telah benar-benar menyaksikan dia tewas sebagai ayah dan laki-laki. Puterinya itu dipeluk erat. Airmatanya terusan membasahi pipi tuanya. Sungguh dia sedang berasa terlalu kesal.

"Enu Juarsa, kau lekas pergi. Aku tidak mahu melihat walau bayangmu di atas bumi wilayah ini!"

Enu Juarsa berlalu dengan rasa terhina kerana terhalau. Dia tetap bertekad akan menyerang balas. Sang Bangsawan sedar akan hal itu. Kali ini dia tak lagi gentar. Dia akan menentang habis-habisan. Dia akan melawan. Dia tidak akan bersembunyi lagi. Dia akan bangkit demi cahaya mata belahan jiwanya yang satu itu. Dia berjanji, bersumpah akan memberikan apa sahaja kepada sang puteri andai Tuhan memberikannya satu lagi peluang.

"Oh, Tuhan... jangan ambil nyawa puteriku. Ampuni aku, Tuhan..."

Gisher tunduk, turut mengusap ubun-ubun Wulan yang semakin sejuk. Airmatanya juga menitis, lambang jiwanya yang sedang hiba. Dia mengeluarkan kristal berbentuk hati yang tersimpan di dalam bajunya lalu meletakkannya pada telapak tangan Wulan yang dingin dan berlumuran darah. Wulan cuba tersenyum. Begitu juga dengan Gisher.

"Ini hantaran penyatuan kita, wahai cinta. Wulan... kau cintaku yang abadi."

"Gisher... kau kekasihku yang tiada ganti."

Sang Bangsawan turut memaksa bibirnya tersenyum.

"Hari ini, aku menyaksikan langit dan bumi menyatu kerana cinta. Demi Tuhan, kalian berdua kurestui..."

Wulan memejamkan mata. Larian Nyx yang sudah tiba bersama tabib tidak lagi singgah di telinganya. Hanya kata restu Sang Bangsawan yang sedang bergentayangan di dalam benaknya kini. Sebutir air mata mengalir di hujung kelopak matanya yang sedang terpejam, bersatu dengan bibirnya yang sedang mengukir senyuman.

Abadi.

'Terima kasih, Tuhan...'

Dan untuk pertama kali, Jurang Agam tidak lagi memainkan gelombang yang mengerikan.



2 comments:

  1. fuh ayat2 dia, tak terkatalah akak...mmg tak mampu nak buat aya gitu..

    ReplyDelete