Friday, August 17, 2012

Rojak Kateh ~ Diari Ramadhan Akhir


ALHAMDULILLAH. Selepas hampir sebulan melalui Ramadhan nan indah permai, akhirnya lewat senja ini, bulan yang penuh barakah ini bakal melabuhkan tirainya. InsyaAllah, esok Syawal akan tiba bagi meraikan kemenangan kita semua berpuasa. Untuk aku, raya tahun ini berbeda sedikit dari raya yang sebelum ini.

Tahun ini aku akan beraya di Negeri Sembilan. Tanah tumpah darah ayahandaku, Shamsudin Ismail. Selepas raya kedua barulah kami sekeluarga (sebenarnya hanya aku, Arrif, mak dan ayah sahaja) akan berpulang sambung beraya di Terengganu. Apakan daya, Along dan Mifdhal tidak bercuti panjang. Kak Long juga tertinggal di Putrajaya, menemani suaminya. Itulah kejadian Syawal kami tahun ini. Hurm... Antara lain, aku terasa raya tahun ini kurang meriah untukku. Entahlah, adakah kerana usia yang semakin bertambah, menyebabkan kemeriahan Syawal sudah menjadi biasa-biasa sahaja. Sekadar meraikan kemenangan Ramadhan, tidak lebih dan tidak pula kurang.

Sebarang perayaan semasa zaman kanak memang dipenuhi dengan kenangan yang serba muluk-muluk. Maklum sahaja, akal awal hanya dipenuhi dengan keriangan. Syawal bersamaan dengan bunga api, mercun, pelita minyak tanah, lampu kelip-kelip, busana baru dan semestinya duit raya. Lain tak ada. Jadinya bila sudah merangkak dewasa begini, kesemua perkara itu sudah berlalu dan tidak mempunyai tempat dalam ingatan. Masalah yang membuak-buak, kesibukan bekerja dan kedudukan kewangan menjadi alasan yang paling selalu disebut-sebut.

Barangkali kalau mempunyai keluarga sendiri, lainlah keadaannya, bukan? Menguruskan suami dan anak-anak mungkin boleh menyebabkan keriangan menyambut hari raya kembali. Aku tak tahu, aku agak saja. Iyalah, seronok nak sediakan baju anak-anak, duit raya untuk mereka, bersibuk-sibuk mengemas rumah dan menyiapkan juadah barangkali boleh menyemarakan jiwa. Sekali lagi aku tak tahu dan masih mengagak saja. Aku tak punya semua itu. Mungkin bakal punya. Mungkin.

Apapun, sekejap lagi aku nak ke Bangi. Menjengah bapa saudara merangkap adik ayahku, Pak Chik Zainuddin dan Mak Chik Nab. Mereka tengah teruja bakar kaki lembu untuk dijadikan 'Rojak Kateh'. Kawan-kawan tau apa itu rojak kateh? Ia adalah sejenis makanan tradisi (mungkin, aku pun tak pasti) yang berasaskan perkara-perkara pada kaki lembu. Hahahaha. Itu saja penjelasan yang aku boleh jelaskan. Pasal aku sendiri pun tak tahu. Apa yang aku tau, aku TAK SUKA. Hahaha.

Baiklah, selamat hari raya semua. Maaf zahir dan batin, ya?

Selamat hari raya.

No comments:

Post a Comment