Wednesday, August 15, 2012

Politik dan Bagus

Cover asal yang 'wallah'!
Cover terkini dan rasmi. Lebih 'berwarna' dan bebas kontroversi.
Sebuah lagi buku bakal terbit yang menarik. Kesemua cover kredit pada Mr. Aliy yang cool!
ALHAMDULILLAH. Itulah perkataan pertama yang pop-up dalam hati dan minda aku pada hari ini. Sebabnya? Mudah. Selepas hampir 3 minggu bertungkus-lumus + kontroversi yang melanda semalam, aku berasa sedikit tenang hari ini apabila segala-galanya hampir selesai. Untuk pengetahuan kawan-kawan (yang sudi singgah dan membaca entri ini), sejak 3 minggu yang lalu aku menerima tugasan yang sungguh mencabar kredibiliti aku sebagai seorang pejuang politik atas angin yang sekali-sekala ditiup ke kiri ini, iaitu mengedit sebuah manuskrip untuk dijadikan buku memakai judul Politik Bagus.

Seperti biasa, persoalan normal yang akan menari salsa dalam kepala hotak aku ialah, 'ceh, apa yang bagusnya politik?' Haa, inilah bahagian yang menariknya. Memandangkan aku ni memang pantang dicabar orangnya, maka aku sahut cabaran untuk mengedit manuskrip ini dengan semangat Hang Jebat. Hahahaha... Untuk pengetahuan semua, buku ini ditulis oleh saudara Prof. Rahman Shaari. Beliau juga merangkap salah seorang daripada bos aku di sini. Banyak perkara yang menarik untuk diperkatakan tentang Prof. Rahman, sungguh! Prof merupakan seorang ketua (lebih bersikap sebagai penasihat) yang mempunyai personaliti menarik untuk dikupas dan diceritakan di sini. Namun seperti selalu, kita akan bercakap tentang yang paling menarik. Jadi yang paling menarik (tak tahu kenapa aku terlalu banyak memetik perkataan 'menarik') tentang Prof. Rahman adalah jenakanya yang bagus dan unik.

Bagi sesiapa yang pernah memesrai lelaki ini pasti bersetuju dengan aku. Jenaka Prof. Rahman bukan sembarangan jenaka. Ia bersifat halus dan perlu difahami. Bagusnya, apabila ia difahami, baharulah akan mendatangkan gelak tawa. Hahahaha. Aku sentiasa senang dan terhibur dengannya. Jadi, apabila beliau datang kepada aku dengan Politik Bagus, aku segera menyambut dengan tangan terbuka.

POLITIK BAGUS.

Ia sebenarnya adalah sebuah manuskrip yang sebagus judulnya. Politik dicerakinkan secara adil (walaupun ada bahagian yang memberat ke kanan, tapi hei... itu adalah biasa) dan terbuka. Ada pencerahan. Ada sejarah yang sebelum ini aku terlepas pandang (atau sengaja tak nak pandang?) dan ada hujah dari sudut ilmiah yang matang. Aku tak semestinya bersetuju dengan penulis tetapi seperti kata Prof ;

"Itu adalah pandangan dan pemerhatian saya, tak berkaitan dengan persetujuan anda."

Dengan memegang kata-kata ini, aku berasa begitu selesa menggauli dan mencanai manuskrip ini sehingga menjadi hampir sempurna di dalam bentuk buku. Isinya juga aku hadam dengan baik. Ada bahagian yang elok, aku serap masuk ke dalam akal. Ada bahagian yang kurang cantik, aku tinggalkan di situ untuk dinilai oleh khalayak yang lain pula. Setiap orang ada otak yang berbeza-beza. Maka, pandangan dan pendirian juga pasti berbeza-beza. Apa yang tidak dipersetujui oleh aku barangkali diterima oleh orang lain. Apa yang ditelan aku, barangkali pula dibangkang mereka. Itu tak apa. Itu demokrasi katanya. Setiap orang berhak memilih.

Apa yang aku nak sampaikan ialah, aku lega kerana berjaya menyelesaikan tugas yang diamanahkan kepada aku dengan jayanya pada hari ini. Untuk aku, sudah 99% sempurna. Lagi 1% barangkali ada sisi yang aku terlepas pandang. Maklum sahaja, aku bukan maksum. Sekarang ini aku sedang menunggu cover baru selesai diedit. Memandangkan cover asal yang aku approve telah menimbulkan sedikit pertikaian kerana ditakuti bakal mengundang kontroversi. Walaupun cover asal itu sungguh elegan dan serba cun-melecun macam Cameron Diaz, namun aku terpaksa akur dan merelakan ia diedit semula ke dalam versi yang lebih 'selamat' dan sedikit fancy (kerana ada pendapat mengatakan yang bagus (merujuk judul) itu sepatutnya terlihat riang dan menarik). 

Aku tetap memegang kata-kata Prof untuk membujuk hati. Namun aku ubah sedikit untuk menyesuaikan dengan keadaan.

"Itu adalah pandangan dan pemerhatian mereka, tak berkaitan dengan persetujuan aku."

Perkara yang kita tak setuju tak semestinya kita tolak. Itu dinamakan kompromi dalam komuniti ye, kawan-kawan. Jadi, walaupun hampa, aku tetap berpuas hati dan gembira. InsyaAllah. Kalau tak ada melintang aral, selepas raya ini Politik Bagus akan ada di pasaran. Kalau sesiapa nak tempah buku ini, silakan maklum pada aku. Harga asalnya RM15.00. Dapat diskaun 20% (RM12 selepas diskaun) dan biaya pos percuma. Sila hubungi aku di mana-mana yang anda selesa, FB, email (n.dhia07@gmail.com), hp ataupun tinggalkan sahaja komen di sini. Huhuhuhu. Kalau berminat. Kalau tak minat, aku sedikit pun tak berkecil hati. Jangan risau.

Politik Bagus adalah sebuah karya yang baik, dan sesuai dibaca untuk bersantai-santai sambil berfikir dengan mendalam mengenai keputusan yang terbaik untuk diambil semasa mengundi di PRU-13 nanti. Sekurang-kurangnya.

(^_~)

No comments:

Post a Comment