Wednesday, July 27, 2011

Kemuliaan Diri..?

Salam ramadhan. (ehsan google)

AKU tertarik dan qalbi bagaikan tersentuh jentik selepas membaca entri Cik Hanny Esandra, seniorku yang manis. Benar Ramadhan bakal menziarahi lagi. Alhamdulillah. Masih diizinkan ALLAH SWT untuk bertemu dengan bulan seribu bulan. Bulan penuh barkah. Seperti Kak Nad (panggilan mesra), aku juga kembali merenung ke dalam diri. Aduhai...

Aku ini hamba-Mu yang banyak kurangnya, Rabb... kerdil sungguh rasanya. Dosa serasa dicedok setiap hari sehingga merebehkan bahu kiri. T_T NURUL MARDHIAH ini sangat mudah alpa dan pemarah orangnya. Terkadang mulut dan hati begitu mudah menghamburkan buah maki. Aurat juga kerap gagal terlindung. Aduhai... aku selalu memikirkan, kalaulah aku mati sekejap lagi, betapa azabnya rohku. Betapa terseksanya... betapa saratnya beban dosa. Betapa...

Kadang-kadang sebagai manusia, kita terlalu pedulikan kata-kata orang dan masyarakat. Menutup aurat itu tidak relevan. Malah satu kejutan buat aku, salah seorang artis Malaysia yang terkenal dengan irama alternatif pernah mengeluarkan kenyataan seperti ini di depan mukaku ;

"Akak tak pernah terfikir untuk bertudung selagi akak yakin mampu menjaga maruah diri. Sebenarnya dik, aurat kita adalah maruah. Harga diri kita adalah aurat yang sebenarnya. Bertudung litup hanyalah budaya orang Arab."

Boleh? Aku bersimpati kepada beliau. Semoga ALLAH memberi hidayah. Aku sendiri amat membutuhkan kekuatan dan keampuhan jiwa. Aku selalu ditewaskan oleh kelemahan. Lemah. Tidak kuat untuk melawan hasutan dan desakan nafsu. Ingin santai, ingin bergaya, ingin itu, ingin ini. Susahkah untuk menjaga solat dan aurat? Susah benarkah untuk menjaga batas pergaulan dan menjaga mulut? Susah sungguhkah untuk meninggalkan larangan-Nya dan mengikuti suruhan-Nya? Aduhai insan yang dinamakan NURUL MARDHIAH, susah sangatkah...?

Apabila sampai masanya kelak, salam Izrail terpaksa jua aku sambut. Dan tatkala Munkar dan Nakir menziarah dan bertanyakan... aku terpaksa jua menjawab.

Wahai Nurul Mardhiah Binti Zawahir, wahai Nurul Mardhiah Binti Zawahir, wahai Nurul Mardhiah Binti Zawahir, hendaklah kamu ingat akan janji-janji Allah yang mana kamu ada bawa bersama-sama dari dunia ini...

Duhai Rabb, ALLAH... tuhan yang sarat dengan sifat Khaliq dan Ghaffar, tunjukkanlah aku jalan yang lurus, jalan ke arah mencintai-Mu, mentaati-Mu dan kuatkan jiwaku. Tenangkanlah qalbiku. Sesungguhnya Ya-ALLAH... aku masih ingin mencari kemuliaan diri di dalam redha-Mu. Amin...!

Salam Ramadhan ayuhai saudara-saudaraku.

No comments:

Post a Comment