Thursday, December 31, 2009

Selamat Hari Natal, Cikgu Robert!


Krismas telah berlalu. Kerana inilah hampir sejam masa bekerja aku pada malam tadi dihabiskan dengan mendengar luahan hati seorang India yang beragama Kristian Katholik bernama Cikgu Robert. Mari aku perjelaskan, India adalah sebuah bangsa yang jarang di Terengganu. Majoritinya Melayu dan diikuti dengan Cina. Sejak aku di Bintulu, rata-rata teman2 yang berbangsa India yang aku kenali, sangat taat beragama. Tak kiralah sama ada yang Hindu ataupun Kristian. Setiap hari, asap colok akan memenuhi ruang di blok asrama menandakan mereka bersembahyang. Suatu hal yang paling memalukan aku (pahit untuk aku akui namun ia adalah kenyataan) ialah, bilangan yang bangun seawal pagi untuk ke gereja pada hati Ahad adalah sangat ramai sehinggakan bas yang disediakan oleh pihak Universiti cukup sarat berbanding dengan bilangan yang ke masjid pada hari Jumaat.

Perhatian : Gereja terletak jauh di bandar dan mengambil masa yang agak lama untuk ke sana, berbanding Masjid yang terletak di dalam perkarangan universiti dan mengambil masa seputar lima minit berjalan kaki sahaja. Malah, paling memilukan aku, sembahyang Jumaat selalu dimulai lewat kerana menunggu bilangan jemaah mencukupi 40 orang. Pilu!

Cikgu Robert seorang Kristian yang cukup taat. Dia memahami agamanya dengan baik. Agamanya adalah warisan dari ibunya yang sangat miskin namun berpegang teguh dengan Isa Al-Masih dan sentiasa redha dengan kehidupan. Ibu Cikgu Robert sentiasa percaya bahawa mereka akan tetap selamat selagi mereka punya kepercayaan, keredhaan, kesetiaan dan sentiasa bersedia untuk berkorban dan melepaskan. Berkorban apa sahaja! Itu kata Cikgu Robert. Maha Suci Allah! Aku jadi terkedu sebak mendengarkan kata-kata Cikgu Robert. Dia mengeluarkan loket salib dilehernya, menunjukkan kepada aku dan memperjelaskan bahawa itu bukan suatu perhiasan melainkan peringatan betapa sengsaranya Jesus dalam erti sebuah pengorbanan namun keredhaan jualah yang menjadi penawar. Dia juga menceritakan kepada aku, mereka orang-orang Kristian Khatolik merasa sangat hina dan tersisih di Terengganu. Mereka tidak diberikan sebuah gereja. Krismas juga tidak diraikan di Terengganu.

Mereka terpaksa bersesak di dalam sebuah dewan untuk sembahyang dan meraikan perayaan. Kala hujan, mereka beribat dan meraikan dalam kebasahan. Ada kalanya pula, mereka diminta bersurai oleh pihak berkuasa. Lalu Cikgu Robert dalam sebaknya bertanya kepada aku,

“Ke mana orang-orang Muslim pergi beribadat dengan membiarkan puluhan masjid dan ratusan surau dalam kekosongan?”

Sekali lagi aku tersentak. Serta merta teringatkan masjid dan surau yang dibina bagai cendawan tumbuh di negeriku. Namun sayang benar, masjid yang indah tersergam mempamerkan keagungan sebuah negara Islam terbiar sepi tanpa jemaah. Malah yang paling lucu, Masjid Kristal yang menjadi mercu tanda agung di sini. Politik semata-mata! Membina sebuah masjid yang gah di kawasan pinggir hutan... lalu mana nak datang jemaahnya? Gah binaanya... menyebabkan aku tercari-cari, di mana Islamku yang seharusnya penuh dengan kesederhanaan?

Cikgu Robert punya seorang anak lelaki. Anak lelakinya mengatakan bahawa orang Muslim tidak adil! Katanya,

“Appa, saya benci pemimpin Muslim di sini...mereka tidak adil!”

Cikgu Robert akan segera memujuk. Katanya, mereka orang2 Muslim sangat adil. Mereka akan memahami kita suatu hari nanti. Paling mengejutkan aku, Cikgu Robert dan komuniti Kristian di sini menghormati dan menganggap Tuan Guru Nik Aziz sebagai seorang Muslim yang sejati. Muslim yang adil sifatnya. Sederhana laku dan penampilannya. Di Kelantan, mereka punya gereja. Tuan Guru tidak bersifat berat sebelah, itu kata Cikgu Robert mewakili komunitinya. Aku juga pernah mendengar dari teman-temanku yang berasal dari Kelantan, benar Kelantan sebuah negeri yang miskin namun ia adalah negeri yang bebas hutang. Tuan Guru malah membiayai pendidikan anak-anak buminya dengan elaun beliau sebagai menteri besar.

Aku katakan pada Cikgu Robert, cubalah bangkit sebagai suatu komuniti dan berjuanglah untuk mendapatkan hak mereka. Barangkali kita tidak akan luka jika memberikan sedikit ruang kepada mereka. Contohilah junjungan kita, Rasulullah SAW. Bukankah indah jika kita saling menghormati. Jangan kerana terlalu menjaga hak kita sehinggakan kita terlihat hina di mata mereka. Asalkan kita sama2 tahu batasannya, aku kira kita tidak akan apa-apa.

Selamat Hari Natal, Cikgu Robert! Selamat Tahun Baru 2010 sekaliannya!

3 comments:

  1. Membuka ruang mereka beribadat juga satu kebaikan yang tak dipandang, kerana mereka lupa tolong menolong adalah satu ibadah.

    Benar, benar ada batasnya, jgn sampai jadi seperti di sini. Batu caves sudah jadi buktinya.

    p/s: bukna bersifat racis

    ReplyDelete
  2. anne,
    sampaikan salam aku pada cikgu robert walaupun dia tak kenal aku siapa. sedih aku dgr keluhannya. semoga cikgu robert makin teguh pegangannya pada ISA dan kristus. cikgu robert dan kita tiada beza pun sebenarnya - MANUSIA.

    aku setuju dgn kau, jgn keran terlalu sibuk sgt nak menjaga hak majoriti di malaysia sampai kita lupa pada minoriti. kemanusiaan utk semua, kemanusiaan BUKAN HAK EKSKLUSIF KUMPULAN MAJORITI sahaja.

    begitu juga sikap fasis, fasis bukan hak esklusif MusSolini dan Hitler sahaja. fasis boleh berjangkit pada semua manusia termasuk ISLAM MELAYU jika tiada sikap kemanusiaan.

    dan biasanya penyakit fasis ini mudah sangat berjangkit pada kumpulan majoriti.

    ReplyDelete
  3. Sahabat,
    Aku cuma kecewa...
    Begitu tidak adilkah kita?

    Pool,
    Salam kau aku dah sampaikan.
    Dan dia berterima kasih.
    Apa boleh buat,
    Melayu suka menidakkan hak!
    Untuk hal2 yang remeh-temeh pula...
    Kita suka beralah demi kesejahteraan bersama katanya!
    INI TANAH MELAYU KATA MEREKA.
    Pada aku, ini bumi MALAYSIA.
    Tidak ada Melayu, Cina, India dan Lain2 di sini!
    Yang ada cuma BANGSA MALAYSIA!

    ReplyDelete