Monday, May 5, 2014

Euforia Mei


ASSALAMUALAIKUM. Rasanya sudah terlalu lama aku tak memberi salam sebelum menukang entri di blog ini. Maafkanlah kedaifan aku dalam meraikan kehidupan beragama. Mungkin kerana kejahilan inilah, aku dengan rasa rendah dirinya ingin memohon maaf kepada sesiapa sahaja yang berada di luar sana sekiranya aku ada menyentuh qalbi kalian dengan perbuatan dan kata-kata aku yang selalunya kasar ini. 

Kalau sudi.

Aku tidak memaksa minta diampuni. Terpulang pada budi bicara kalian. Cumanya aku benar-benar meminta maaf. Hidup ini terlalu singkat untuk saling menyakiti dan bermusuh-musuh. Apatah lagi untuk menyimpan dendam dan menyulam persengketaan. Marilah kita seluruh umat Islam yang berasal daripada Nabi Adam a.s. hidup dalam harmoni dan saling melengkapi. Semoga kita semua akan berhasil mencicip barkah Rabul'alamin serta menjadi muslimin dan muslimat yang sentiasa bersatu bergadingan bahu. Amin~

Alangkah manisnya. (^_^)

April yang penuh duka telah berlalu. Alhamdulillah. Mei yang datang bersama Rejab membuatkan aku tenggelam penuh di dalam kegembiraan dan kesyukuran. Ya, ALLAH SWT tidak pernah membiarkan hamba-hamba-NYA terkapai sendiri. Sudah menjadi lumrah hidup insani. Ada masanya kita berada di bawah. Berasa pedih dengan dugaan ILAHI. Kadang-kala kita jadi rimpuh. Iman yang sinipis kulit bawang ini menyebabkan kita mengeluh. Kita bertanya-tanya pada RABB, apakah dosa salah kita sehingga diuji begini? Di saat tenggelam dalam mandala ghobar, kita lupa rahmat ILAHI yang pernah kita dapat. Kita lupa betapa nikmatnya melihat, mendengar, bercakap, berfikir, bergerak, makan-minum dan segala-galanya. Kita lupa, perkara-perkara buruk dan hodoh yang menimpa kita itu hanya setitis noda hitam di dalam kemanisan semangkuk susu yang kita ada. Bila mana kita minum susu itu, kita akan kenyang dan noda hitam itu langsung tidak menjejaskan rasa susu. Kita lupa. Kita lupa pada dosa kecil, dosa besar, dosa jelas dan dosa tersembunyi yang kita lakukan dengan atau tanpa sedar. Kita benar-benar lupa.

Ya, aku lupa.

Bila dugaan datang bertimpa-timpa, aku terlalu mengikut rasa kecewa. Rasanya kalau tak ada Ikyn, aku makin hanyut melayan duka. Dia banyak ingatkan aku supaya mengadu pada Tuhan. Terima kaseh, Kyn. Terima kaseh kerana sanggup memandu jauh di tengah-tengah malam hanya untuk menenangkan aku. Terima kaseh kerana sentiasa menjawab panggilan aku dan berbual berjam-jam dengan aku tanpa mengira masa. Mendapat sahabat yang sentiasa ada untuk kita adalah satu rahmat. Rahmat ALLAH SWT buat hamba-NYA yang kerdil ini. Ikyn selalu cakap, 

"Kedukaan hari ini pasti akan membawa kegembiraan pada hari esok. Kau hanya perlu percaya. Bila manusia tak lagi mampu membantu kau, mengadulah pada Tuhan. Dia ada. Dia sentiasa ada."

Dalam hidup aku, aku cuma ingin menulis. Barangkali cita-cita seperti itu sukar difahami dan sering disalah erti sebagai hobi. Contohnya bila guru tanya,

"Mardhiah, apa cita-cita kamu?"

Aku akan jawab, "Menjadi penulis."

Guru akan menggeleng-gelengkan kepada dan berkata yang beliau bertanyakan cita-cita aku, bukannya hobi aku. Oleh kerana tidak mahu dimalukan sekali lagi, aku katakan aku ingin menjadi peguam.

Polis, peguam dan pensyarah.

Itulah yang sentiasa aku ucapkan setiap kali guru bertanyakan tentang cita-cita semasa di sekolah. Ya, aku sukakan undang-undang. Aku juga suka bercakap. Mulut murai. Becok. Semua orang yang mengenali aku akan cakap begitu tentang aku. Demikianlah cita-cita untuk menjad penulis lebur begitu sahaja. 

Walaupun manusia sukar memahami, tapi ALLAH SWT memberikan sokongan. Aku sentiasa percaya tu. Cerita bagaimana aku dapat masuk ke akademi adalah bukti cita-cita aku mendapat restu Tuhan. DIA Maha Mengetahui apa tersorok di sudut hati paling dalam hamba-NYA ini. Oleh itu, pada tanggal 15 Mei 2005, aku pasakkan dalam hati ;

"Tak apa kalau insani tak mampu menyokong aku. Sokongan ILAHI lebih daripada mencukupi."

Alhamdulillah.

Semasa di MIG, aku menulis. Jawatan aku dalam slip gaji pun memang script-writer. Penulis skrip katanya. Cuma itu bukan jiwa. Dan walaupun beberapa skrip tukangan aku telah selamat ditayangkan di panggung wayang gambar dan kaca televisyen, orang masih bertanya ;

"Hei, sasterawan! Mana hasil tulisan kau?"

Owh, mungkin mereka tidak tahu bahawa skrip juga adalah sejenis tulisan. Tak apa, aku berbaik sangka. Aku jadi faham yang selagi naskah novelku tidak menjengah pasaran, untuk mereka, aku masih belum maju jaya sebagai penulis. Aku masih di dalam dunia angan-angan. Berkhayal tidak sesuai di dalam realis, kau tahu? Kau akan dipandang seperti si Jenin yang lampus di perdu pokok.

Tak apa.

Kata-kata seperti itu tak sempat jadi kudis pun dalam hati aku. Aku tahu, walaupun Mak dan Ayah juga kurang memahami impian aku, tapi mereka berdua adalah insan yang amat mengasihi aku. Mak dan Ayah tak pernah berhenti dan sentiasa mendoakan kejayaan aku di sepanjang penghujung solat mereka. Aku tahu tu. Aku tahu. Kejayaan anak-anak adalah kebahagiaan buat Mak dan Ayah. Along aku dah mencecah usia 33 tahun. Adik aku yang bongsu pula sudah menginjak usia 21 tahun. Usia yang sudah cukup matang untuk berdiri di atas kaki sendiri. Namun Mak dan Ayah tak pernah melepaskan tangan kami. Ini tahun kelima aku bekerja. Hanya sejak dua bulan lepas baru aku mampu mengirimkan sedikit (baca : hanya 10% daripada gaji) duit kepada mereka. Begitu pun, mereka tetap gembira dan tidak pernah merungut untuk membebankan anak-anak. Mak selalu cakap, 

"Tak apa kalau anak-anak tak boleh nak bantu. Mak faham hidup di kota memang ibarat bernafas dalam lumpur (rock mak ambe!). Asalkan anak-anak tak menyusahkan Mak dan Ayah, alhamdulillah. Tu dah cukup."

Terima kaseh, Puan Zawahir dan Encik Shamsudin.

Aku yakin, berkat dengan doa Mak dan Ayah inilah penantian aku selama lima tahun untuk melihat Menunggu Nuraga dari Tuhan menjadi buku akhirnya telah menemui titik noktah. Alhamdulillah. 30 April yang lalu, novel tukanganku telah berhasil diterbitkan. Syukur. Segala puji-pujian kepada ALLAH SWT yang Maha Agung dan Maha Pengasih.

Aku gembira.

Sangat gembira dan bersyukur. Aku juga telah mendapat tawaran yang lebih baik di dalam pekerjaan. Aku kira penghujung Jamadil'akhir (juga penghujung April) benar-benar telah menghadiahkan aku dengan rasa bahagia yang sudah hampir setahun tidak aku rasakan. Seperti selalunya pula, apabila ghurub dalam euforia begini, aku jadi mengenang. Aku kembali waras dan mula muhasabah diri. Aku mula sedar akan rahmat Tuhan itu tidak pernah meninggalkan aku. Ia cuma tersembunyi, ditutup resah duka. 

Setiap kali aku bermula semula, setiap kali aku memulakan langkah pertama untuk kali yang entah ke berapa, aku akan penuh dengan semangat. Aku akan gembira. Jiwa akan diselimuti dengan rancangan yang muluk-muluk sahaja. Untuk seorang aku, tidak kiralah berapa kali pun aku perlu bermula, aku tetap akan teruskan perjuangan ini. Ini adalah perjuangan hidup. Aku hanya akan berhenti apabila nafas aku juga terhenti. Di saat aku menutup mata buat selama-lamanya, aku akan pulang kepada YANG MAHA ESA. Hanya ketika itulah, perjuangan aku akan menemui garis penamatnya.

Di alam barzakh dan alam akhirat kelak, akan bermula perjuangan yang lain pula. Semoga kita semua akan beroleh syafaat daripada rasul junjungan Nabi Muhammad SAW. Amin~

Kawan-kawan sila doakan novel aku ini akan berjaya di pasaran. Doakan juga semoga aku akan terus menulis. Doakan semoga novel ini tidak menjadi yang pertama dan yang terakhir. Paling utama, kawan-kawan doakan semoga aku akan cepat-cepat bernikah.

Amin~ (^_^)

Hanya penulis kecil, tetapi berjiwa besar. Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment