Wednesday, January 22, 2014

Wo-hoop2x... Dengar Radio~


RADIO. Satu benda yang aku rasa di mana-mana sahaja. Di rumah, pada kenderaan, di pejabat dan di mana-mana sahaja. Sementelah pada zaman langit terbuka ini, anda boleh mendapatkan siaran radio melalui internet. Betapa canggihnya dunia. Bayangkan apa yang akan kita dapat esok?

Aku sendiri seorang penggemar radio yang tegar. Kegilaan aku pada radio bermula sejak entah bila. Tahu-tahu sahaja, sehingga ke hari ini aku memerlukan radio untuk membuang masa. Sungguh. Masa boleh dihabiskan begitu sahaja tanpa jemu sekiranya aku mendengar radio. Semasa tinggal di rumah lama dahulu, rumah kami hanya mempunyai sebuah radio yang maha buruk. Terlalu buruknya radio itu sehingga butang 'main'nya tidak boleh ditekan lagi. Ertinya, ia tidak boleh memainkan kaset. Tapi tak apa, asalnya ia masih boleh menangkap frekuensi, aku tidak kisahkan langsung tentang butang 'main' yang tidak boleh ditekan itu. Sehinggalah pada suatu hari, emak telah berjaya mengumpul duit dan membeli sebuah radio yang canggih. Canggih di sini adalah kerana bukan sahaja ia boleh memainkan kaset, malah ia juga boleh memainkan cakera padat selain menyimpan beberapa frekuensi radio dalam 1 masa. Gila? Semasa tahun 1997, radio sebegitu adalah satu rahmat. Satu kecanggihan yang mampu mengkagumkan orang-orang kampung.

Hahahaha~ lampor!

Setiap petang sehingga malam aku akan menghabiskan masa di sisi radio. Balik sekolah, aku akan tidur selama dua jam sambil mendengar radio. Malamnya pula, aku akan menyiapkan kerja sekolah di hadapan radio. Meja kopi yang aku gunakan untuk menulis betul-betul terletak di depan radio. Aku menggunakan si radio habis-habisan seperti radio itu abah aku yang punya! (memang bapak aku yang punya pun. Hahaha~) Zaman tu semua stesen radio yang karut-marut macam sekarang ni mana ada. Lebih hangat dari biasa ke, rentak muzik terkini ke, hanya memainkan muzik retro yang terbaik ke... semuanya tak ada! Apa yang ada hanya stesen-stesen yang hurm~ walaupun agak membosankan, namun ia 10x ganda lebih baik dari stesen yang ada zaman sekarang. Sungguh. Dulu aku paling gila dengan Radio Muzik : Stesen Muzik Anda. Rancangan 'Pilihan Bersama' menemani aku setiap malam. Ia adalah sebuah zaman yang indah... dan mudah. Sungguh!

Bila aku dengar radio, aku cuma nak dengar dua benda sahaja sebenarnya : Lagu dan informasi. Info pun cukuplah sekadar aku tahu hal dunia. Lagu adalah agenda paling penting. Tanpa lagu, untuk aku, radio tidak lebih hanyalah sekadar kotak empat segi yang tak ada faedahnya. Jadi, aku sebenarnya menulis entri ini untuk meluahkan rasa menyampah dan meluat aku yang sedang menggebu-gebu kala ini. Perjalanan ke tempat kerja memakan masa maksima 20 minit setiap pagi. Dalam 20 minit ni, kalau aku pasang radio, aku cuma akan dapat 10 minit sembang mengarut DJ, 5 minit iklan tanpa henti dan kalau nasib aku baik aku akan dapat 5 minit untuk lagu (bersamaan dengan 1 lagu sahaja!). Kalau nasib tak baik, 5 minit itu akan dihabiskan sama ada untuk berita ataupun iklan lagi!

Apa ini?

Aku cuma menyimpan enam frekuensi stesen radio sahaja di dalam kereta. Kadang-kadang, meruap betul darah bila keenam-enam stesen tu tak habis-habis menyiarkan iklan! Aduh~ sakit dada. Sudahnya, aku memilih untuk memasang cakera padat sahaja (kereta aku tak cukup canggih. Tak ada slot untuk pemacu keras). Ini merupakan suatu kekesalan di dalam hidup aku. Apalah gunanya radio kalau ia tak berfungsi? Apakah relevannya iklan tanpa henti dan celoteh DJ yang lewat kebelakangan ini semakin sasau dan macam orang hilang akal. Cakap-gelak, cakap-gelak! Apakah?

Di sini aku ingin menyeru agar berhentilah memanipulasikan radio untuk membasuh minda pendengar, terutamanya kanak-kanak. Iklan yang sama dipasang beratus-ratus kali sehari sehingga melekat dalam kepala. Anda pernah dengar iklan yang lebih kurang bunyinya macam ni ;

Situasi : Perbualan antara dua kanak-kanak mengenai satu item.

Budak A : Tapi kamera saya tak canggih... (sedih)

Budak B : Suruhlah ayah awak beli kamera 'sekian-sekian'! (bangga dan berlebih-lebih)

Ini antara sikap memanipulasikan kanak-kanak untuk melariskan jualan yang paling hodoh sekali. Kanak-kanak diasuh untuk menghasut ibu bapa dan jika ibu atau bapa mereka tidak mampu untuk membeli item yang diminta, mereka akan merasa kehidupan mereka serba kekurangan dan malang. Aduh! Kasihan ibu dan bapa dewasa ini. Mereka ditekan dari semua arah. Bukan sahaja tekanan kerja dan pembelanjaan, malah tekanan dari para kapitalis yang sentiasa mahu mencekik darah dan keringat.

RADIO, sila kembali ke pangkal jalan~
*Gambar pinjam dari sini

No comments:

Post a Comment