Tuesday, January 21, 2014

Sodeh!

"Syukurlah... Malaysia masih aman~"
LEWAT kebelakangan ni, macam-macam demam melanda Malaysia. Demam selesema, demam akibat penyakit bawaan nyamuk, anak buah aku demam nak tumbuh gigi, rakan-rakan sepejabat pula demam sakit tekak, batuk dan sebagainya. Tapi manakan dapat melawan demam politik yang melanda tanah air. Demam barangan naik harga, demam tuntutan khalimah ALLAH, demam reformasi jalanan dan yang terkini, demam kangkung. Aku sebenarnya malas dan teramatlah muak nak menulis pasal isu kangkung ni. Isu ni sebenarnya tak relevan langsung dan tak sepatutnya jadi satu isu pun. 

Tapi kenapa media sosial dipenuhi soal kangkung?

Jawapannya mudah. Kerana rakyat sudah terluka. Luka ini pula nampak semakin parah hari demi hari. Oleh itu benda yang bukan apa-apa pun boleh terasa begitu menyakitkan jiwa. Aku selalu mengatakan yang aku ini orang lalang. Orang di atas pagar. Orang yang ke kiri tidak, ke kanan jauh sekali. Cuma selalunya, orang-orang sekeliling aku melihat si lalang ini selalu ditiup condong ke kiri. Salah... salah tu tuan-tuan. Hanya kerana aku selalu membangkang, itu tidak bererti aku menyokong pembangkang. Hahaha~

Sebagai rakyat Malaysia yang sudah hampir empat tahun menanggung perbelanjaan sendiri (bekerjalah kaedahnya), aku rasa aku mempunyai hak untuk mengutarakan pandangan. Jangan bebani aku dengan kenyataan yang teramat bodoh seperti ;

"Kalau tak suka dengan dasar kerajaan Malaysia, jangan duduk Malaysia."
atau

"Kalau rasa diri bijak pandai sangat, kaulah yang jadi menteri!"

Demi RABB, ini adalah di antara beratus-ratus kenyataan 'super-duper' bodoh yang seakan tak sudi cuping telinga aku ni nak mendengarnya. Mereka (aku gunakan mereka kerana aku tidak mengundi tempoh hari) ini adalah rakyat yang dengan hati ikhlas telah memilih pemimpin yang dipercayai boleh memimpin negara ke arah kemajuan dan kestabilan (melalui seluruh aspek kehidupan). Aku sendiri pula bercakap atas dasar aku memegang kad pengenalan biru dan berstatus warganegara. Oleh itu, aku masih rakyat yang berhak berkata-kata atas dasar kebaikan bersama. Setiap hari apabila kau dengar berita harga minyak naik, kau mesti bertanya;

"Kenapa minyak perlu mahal sedangkan kita mempunyai minyak kita sendiri?"

Bila pertanyaan ini timbul misalnya, pak menteri harus memberikan penjelasan yang munasabah dengan fakta yang kukuh dan bukannya menghalau rakyat Malaysia keluar dari negara tanah tumpah darah mereka ini. Itu sudah menoreh satu luka di jiwa rakyat. Apabila kita kekurangan bekalan gula di pasaran, kita mesti aku mengulang soal yang sama;

"Kenapa bekalan gula kurang sedangkan kita menghasilkan gula kita sendiri?"

Pak menteri juga tidak boleh menyuruh rakyat berhenti makan gula jika bekalan gula tidak ada. Itu telah menoreh satu lagi luka di hati rakyat. Bila pembangkang bikin manifesto yang berjanji akan menurunkan itu dan ini, pak menteri juga tidak sepatutnya 'menganjing' (istilah orang Ganu untuk memperli) pembangkang sebagai bermimpi di siang hari dan selepas itu meniru pula manifesto tersebut. Perbuatan ini boleh diumpamakan sebagai menjilat ludah sendiri.

Apabila tiba masa untuk janji ditepati, hal ini pula tidak berlaku. Semalam kata minyak takkan naik, hari ni tiba-tiba naik atas alasan ketidakstabilan harga minyak dunia. Semalam kata akan menurunkan harga tol, hari ini harga tol naik atas alasan perjanjian konsesi. Kemudian rakyat dihalau pula menggunakan jalan biasa jika tak mampu nak bayar harga tol. Semalam kata harga kereta akan turun, hari ni keluarkan model baru yang dibuang-kurangkan itu dan ini dan kemudian dijual dengan harga yang murah. Timbul lagi persoalan ;

"Kenapa harga kereta tempatan dijual lebih murah di luar negara berbanding di dalam negara sendiri?"

Semalam kata begitu dan hari ini jadi begini. Hinggakan aku bangun tidur dan bertanya ;

"Apa lagi yang akan naik hari ini? Apa lagi kenyataan pak menteri yang akan mengguris luka dalam hati rakyat kali ini?"

Jangan begitu, pak menteri. Jadilah cerdik. Ubati luka rakyat dan bukannya tambah garam pula pada luka dah sudah sedia pedih. Untuk orang yang hidupnya di atas tilam sutera dan makan di dalam dulang emas, barangkali kalau harga tol naik sampai berpuluh ringgit pun tak akan terasa apa-apa. Untuk orang yang duduk di atas kerusi baldu di dalam bilik berhawa dingin dan minum di dalam gelas permata juga tak akan terkesan kalau minyak naik harga sampai beratus ringgit pun. Tapi untuk golongan marhaen seperti aku ini, kalau naik 10 sen pun nilainya terasa menjerut sampai ke ulu hati. Belajar memahami kesusahan orang lain.

Ingatlah yang seluruh rakyat ini adalah amanah ALLAH SWT kepada anda semua.

Sekian~
p/s : Gambar ehsan dari sini

No comments:

Post a Comment