Monday, May 22, 2023

2023 dan Masih Ada (Alhamdulilah)


SEMAKIN lama semakin jarang amat aku mengemaskini laman blog ini. Sejujurnya di tahun 2023 ini, aku sendiri tak pasti adakah blog masih relevan. Ialah, dunia pasca TikTok, Twiter, Instagram, Facebook dan sebagainya, siapa lagi yang ingin membaca coretan panjang-panjang? Nanti disuruh lukis pula (sejenis jenaka media sosial yang tidak aku fahami).

Begitupun, aku amat menyayangi laman Zon Sendiri ini. Segala apa yang ada di sini adalah dokumentasi kehidupan, gagasan pemikiran, pendirian dan kenangan aku sejak dari zaman Akademi (zaman terindah dalam hidup). Inilah fragmen seorang N. Mardhiah Shamsudin. Oleh sebab itu, selagi laman ini masih boleh diakses oleh aku, akukan terus memastikan ia ada, walaupun sekadarnya cuma.

2023

Kami sudah masuk ke zaman endemik. Tiada sesiapa pedulikan COVID-19 lagi walaupun ia tetap ada dan terus memamah nyawa. Ramai yang menganggapnya sekadar hoax. Begitulah. Untuk aku, kami (aku, Bulat dan anak-anak) tetap berusaha semampu kami untuk menjarakkan diri dan berjaga-jaga dengan pelitup muka, hand sanitizer dan sebagainya dengan doa dan tawakal agar kami dijauhkan dari jangkitan wabak ini. Cukuplah aku kehilangan Almarhum Pak Lang dan Almarhumah Kak Lang kesayanganku disebabkan C19 ini.

Adik ayahku, Pak Chik Zainuddin Ismail juga telah berpulang ke alam abadi. Bukan kerana C19 namun dek komplikasi kesihatan. Keluarga besar kami semakin mengecil. Generasi paling tua kini hanyalah di barisan Ayah Bondaku. Aku juga semakin tua. Ya, sudah 18 tahun berlalu sejak zaman Akademi. Aku kini sudah menjangkau usia 37 tahun. Sudah hampir 40. Huhuhuhu. Anak-anak semakin membesar, alhamdulillah.

Pandemik sejak 2020 sehinggalah memasuki frasa endemik kini telah memberi impak besar terhadap ekonomi. Ramai yang terkesan. Ramai pula yang tersungkur. Aku termasuk dalam golongan ini. Mungkin kami perlu membuat keputusan drastik sekali lagi. Amat sukar untuk bertahan di bandar besar begini dalam keadaan ekonomi yang semakin teruk meruncing. Andai masih ada yang tersesat membaca hantaran ini, mohon doakan aku dan keluarga berhasil menempuh cabaran ini. 

Akhir kalam, semoga kita semua diberikan kekuatan oleh RABBAL'ALAMIN dan mampu untuk terus melangkah selagi nyawa dikandung badan. Aamiin Ya Mujib.

No comments:

Post a Comment