Thursday, February 26, 2015

Tak Cantik Tak Boleh Kerja?


ASSALAMUALAIKUM, semua. Apa khabar para pembaca yang aku sayang sekalian? Huhuhu, ada ke tidak tak tau orang yang baca blog cabuk aku ni sebenarnya. Tak apalah, aku buka blog ni pun sebenarnya sekadar mencari satu medium untuk aku luahkan apa sahaja yang terlintas dalam kepala hotak dan hati sanubari aku selama ini.

Cantik.

Kecantikan seorang manusia adalah subjektif. Sebagai contoh, pada mata aku Soffi Jikan 10x ganda lebih kacak serta berkarisma berbanding Aaron Aziz dan Dayang Nurfaizah 10x ganda lebih jelita berbanding Lisa Surihani. Mungkin ada yang bersetuju dengan aku, mungkin juga tak. Oleh itu, aku simpulkan ia adalah subjektif. Bagaimana kau melihat dunia, adalah bergantung kepada kesukaan kau. Kalau kau suka kulit gelap, kau akan rasa orang berkulit gelap lebih kacak dan jelita. Begitulah juga sebaliknya.

Jadi, apa sebenarnya point aku kat sini? Aku baru sahaja melalui satu diskusi menarik dengan rakan sepejabat yang membincangkan isu, Tak Cantik Tak Boleh Dapat Kerja? Sedih sebenarnya apabila menyedari hal ini masih kuat walaupun kita sudah berada dalam tahun 2015. Hanya 5 tahun sahaja lagi nak mencapai Wawasan 2020 yang sudah terpasak dalam hati sejak entah bila aku boleh mengingat.

Rakan sepejabat aku menceritakan kisah sahabatnya yang pernah menyaman bekas majikannya (suami kepada seorang ahli politik) dan memenangi saman yang berjumlah puluhan ribu ringgit itu atas tuduhan menjatuhkan maruah. Ya, suami kepada ahli politik itu memecatnya selepas seminggu bekerja atas alasan, dia tak cukup cantik dan tak layak mewakili pejabat majikannya kerana tak cantik.

Apakah gilanya dunia ini?

Kisah 2, salah seorang kawan aku yang pernah bekerja bawah satu bumbung. 5 tahun pengalaman bekerja sebagai admin, 3 kali menerima anugerah pekerja cemerlang, kemahiran bekerja terbaik serta mahir, sabar dan pemurah senyum serta cepat belajar perkara baru (ini semua apa yang aku tengok sendiri sepanjang bekerja dengan dia). Aku tanya, kenapa tak nak cari kerja lain yang mungkin boleh menjanjikan gaji yang lebih baik. Sebab company lama aku tu bayar gaji memang tahap menganiaya orang. Kawan aku tu jawap terus terang, dulu dia banyak kali pergi interview, tapi semua cakap dia gemuk sangat, tak diterima.

Bayangkan, 5 tahun pengalaman + 3 sijil perkhidmatan cemerlang dikalahkan oleh berat badan 130 kg. Sedih aku. Dan sehingga ke hari ni, dia masih bekerja di syarikat yang sama dengan gaji yang sama sedangkan dia berhak lebih dari itu.

Aku sangat bersyukur pada ALLAH SWT. Walaupun dilahirkan dengan wajah yang sederhana, alhamdulillah, aku masih diterima menjawat jawatan yang baik. Cumanya, ikut pengalaman sendiri, aku juga pernah merasa didiskriminasi dek kerana wajah yang kurang jelita. Antaranya, orang susah nak ingat kau. Orang lebih suka berurusan dan bertegur sapa dengan rakan sekerja kau yang lebih jelita. Orang hubungi kau sebab nak mengenali kawan kau yang lebih comel. Orang rapat dengan kau sebab nak mengorat teman kau yang lebih cantik. Bos bagi job penting kat rakan setugas kau yang lebih lawa, walaupun rakan setugas kau tu terang-terangan tolak job tu atas alasan dia tak ada pengalaman dan dia sendiri cakap kau yang patut handle job tu sebab pengalaman kau, tapi bos kau tetap bagi job tu dekat dia. Paling best, bos kau beria-ia nak bagi anugerah pekerja cemerlang pada rakan setugas kau yang lawa tu, sedangkan semua HOD dan salah seorang Board Director menyokong anugerah tu diberi pada kau. Akibatnya, bos kau terpaksa mengalah dan bagi ucapan yang menyakitkan hati masa sampaikan anugerah tu kat kau di majlis makan malam syarikat, seolah-olah kau tak layak dapat.

Sedihkan.

Mujurlah BD aku yang baik hati tu faham dan dia sendiri bagi galakan untuk aku terus berusaha. Aku sangat bersyukur sebab ALLAH selalu hantar orang-orang macam BD aku ni untuk gembirakan hati aku. Rakan setugas, sahabat-teman, serta HOD yang aku dapat pun selalunya orang yang baik-baik. Mereka yang sentiasa bagi aku dorongan untuk buktikan kualiti kerja lebih penting berbanding rupa paras. Alhamdulillah. Mujurlah.

Cuma, aku masih terkilan dengan diskriminasi yang diterima oleh kami yang tak cukup 'meter' jelita ni. Terkadang, pelakon dan penyanyi yang berbakat besar sukar naik dan tidak berada di tempat yang sepatutnya kerana wajah mereka. Sedangkan selebriti yang belakon kurang sikit daripada kayu dan menyanyi ke laut lebih mengaut jutaan peminat kerana so-called jelita dan kacak.

Adoi.

Aku juga langsung tak nafikan, ramai juga yang tepat digelarkan Beauty with Brain. Ini merupakan satu bonus. Bukan rupa sahaja kacak dan jelita, akal juga bergeliga. Golongan ini memang sangat beruntung dalam kehidupan mereka, dan aku tumpang gembira melihat kejayaan mereka. Aku menulis entri ini bukan untuk menghentam golongan kacak/jelita. Aku menulis untuk mengutuk dan menentang sekeras-kerasnya diskriminasi terhadap golongan sederhana.

Kalau kami layak untuk sesuatu posisi itu, berikanlah kami hak yang sepatutnya. Jangan pula kami dipinggirkan dan ditolak ke tepi semata-mata kerana nak mengisi posisi tersebut dengan orang yang lebih kacak/jelita. Jadi, kami semua nak ke mana?

Fikir-fikirkanlah. 

1 comment:

  1. Perkenalkan, saya dari tim kumpulbagi. Saya ingin tau, apakah kiranya anda berencana untuk mengoleksi files menggunakan hosting yang baru?
    Jika ya, silahkan kunjungi website ini www.kumpulbagi.com untuk info selengkapnya.

    Di sana anda bisa dengan bebas share dan mendowload foto-foto keluarga dan trip, music, video dll dalam jumlah dan waktu yang tidak terbatas, setelah registrasi terlebih dahulu. Gratis :)

    ReplyDelete