Thursday, June 13, 2024

Rindu


MENJADI seorang anak yang tinggal jauh di perantauan adalah sesuatu yang sering membuatkan aku terluka. Aku pernah cuba berhijrah, tinggal di kampung halaman semula. Begitupun hanya mampu bertahan setahun. Semua rencana tak menjadi kenyataan dan akhirnya aku menyerah, kembali semula ke bandar. Kembali menjadi perantau. Kata En. Bulat;

"Ini adalah kita. Kita sama-sama berjiwa perantau. Kampung halaman bukan lagi tempat kita. Tak akan serasi kita di sana."

Aku menelan pahit hakikat ini. Sejujurnya, aku tak pernah peduli tentang kampung halaman. Bumi Terengganu yang indah itu tak pernah menjadi jiwa aku. Aku cuma mencintai pantainya. Laut China Selatan itu terlalu mengkagumkan. Afsun kamil seorang Mardhiah. Hakikatnya, aku mahu pulang hanya kerana keluargaku. Kedua ibu bapaku. Itu sahaja.

Aku kini sudah berkeluarga besar. Mempunyai tiga orang anak kecil yang sedang lasak membesar adalah suatu hal yang sangat melelahkan. Ia menuntut terlalu banyak kesabaran dan kekuatan dari langit. Menempuh perjalanan jauh dari Negeri Sembilan ke Terengganu bukanlah suatu hal yang mudah bersama tiga ketul makhluk ini. Hahahaha. Daffa dan Erza tak habis-habis bertengkar. Asta pula tak putusnya meragam. Aduh! Terasa bercinta sungguh nak balik kampung!

Sedih.

Apa yang lebih menyedihkan seorang aku adalah ibuku. Setiap kali berbual di telefon, aku selalu terasa yang aku patut berada di sisinya. Menemaninya melalui hari-hari tua yang entah tinggal berapa lama... Tuan Ayah mempunyai aktivitinya sendiri. Sejak pencen, dia aktif dengan masjid. Berusaha mengejar kembali sepanjang hayat yang dulunya dihabiskan dengan sibuk bekerja. Alhamdulillah. Setidak-tidaknya jadual Tuan Ayah padat dengan akhirat. Puan Mak pula sebaliknya. Sakit lututnya semakin memburuk, seiring dengan usia yang semakin lanjut. Dia tidak mampu aktif seperti Tuan Ayah. Ibadahnya terhad di rumah. Mujur sahaja sekarang adalah zaman langit terbuka. Dapat juga Puan Mak mengikuti ceramah dan kuliah melalui telefon bimbitnya. Alhamdulillah.

Cuma...

Cuma begitulah. Ada masa mahu dia diurut bagi membuang lenguh. Mahu dia ke sana sini sesekali menjenguk adik-beradiknya yang juga semakin uzur seperti dirinya. Mahu dia berbual bersua muka. Namun begitulah...! Jarak sejauh 512 KM ini tidak memungkinkan aku menjadi tukang urutnya, pemandu peribadinya dan teman berbualnya seperti setahun yang pernah aku lalui bersamanya.

Sedih.

Aku sedih kerana amat sedikit dapat berbakti kepada kedua ibu bapaku. Alangkah malangnya menjadi seorang anak yang masih tidak mampu memberi jasa kepada orang tua. Hampa sungguh rasa hati. Di penghujung hari, aku cuma mampu berdoa dan berharap sungguh agar diberikan peluang untuk menjaga kedua orang tuanya di penghujung usia mereka. Biarlah aku sempat menjaga sakit mereka. Biarlah aku ada di sisi di saat mereka memejamkan mata. Biarlah aku dapat mencium tangan mereka, memohon ampun atas segala dosa-dosa. Allahuakhbar! Ya Rabb, perkenankanlah, Ya ALLAH! Aamiin Ya Mujib.

Friday, May 17, 2024

Kemaskini 2024


NAMPAKNYA setakat ini aku hanya sempat mengemaskini laman kesayanganku ini setahun sekali. Adududu. Tak mengapalah. Lebih baik sedikit dari tak ada langsung.

2024.

Apa yang baru? Alhamdulillah aku dan En. Bulat telah dikurniakan seorang lagi cahaya mata pada 2023 nan lalu. Seorang lagi hero;

ASTA AL-AZAHAR

Cinta. Kekuatan daripada TUHAN. Semoga anakanda bongsu kami ini menjadi pengikat kasih dan memberikan kami kekuatan yang tak pernah habis hendaknya. Mudah-mudahan, aamiin YA MUJIB. 

COVID-19 semakin menjadi sejarah silam yang sengaja dilupakan. Pelbagai varian yang berbahaya sesekali diberitakan mengganas, tetapi entah kenapa, tiada sesiapa yang peduli lagi. Masing-masing sekadar menahan debar, risaukan kesan vaksin. Ramai yang sudah meninggal tiba-tiba. Entah ada kaitan atau tidak dengan vaksin, hanya ALLAH SWT yang tahu.

Keluarga besar kami semakin mengecil. Ramai yang sudah berpulang ke Rahmatullah. Khabar kematian sentiasa berlegar. Saudara mara, kenalan taulan, ramai yang telah pergi ke negeri abadi. Hanya ingatan dan doa yang terus kami panjangkan buat mereka. Semoga dalam rahmat sentiasa.

Membesarkan 3 orang anak dalam zaman sekarang bukan mudah. Kapten Daffa dah masuk darjah 1. Bujang sudah sulungku itu. Alhamdulillah. Dr. Erza (kupanggil doktor kerana itu cita-citanya, semoga tercapai di dewasanya kelak. Aamiin Ya Mujib) pula sudah semakin nakal. Keras hati dan kepalanya mengalahkan batu. Anak kedua begitulah. Asta juga sudah semakin melasak. Umur baru setahun lebih, namun tingkahnya saling tak tumpah seperti abang dan kakaknya juga. Memang memeningkan. Namun tetap kusyukuri kurnia terindah ILAHI. Alhamdulillah.

Aku sudah semakin menua. Lagi 2 tahun bakal menempuh usia 40. Kesihatan semakin memburuk. Gastrik teruk yang kerap kualami rupanya disebabkan batu karang dalam hempedu. Dalam usia seawal 38 tahun, aku sudah kehilangan hempedu. Makan minum harus berjaga rapi. Gigi juga semakin meragam. Sakit dan sensitif. Kurang nikmat sudah dalam menikmati hidangan. Aidilfitri tempoh hari aku demam kuat akibat bengkak tonsil. Hilang pula nikmat beraya. Huhuhuhu.

Aku sentiasa percaya, setiap yang terjadi ada hikmahnya. Memetik kata-kata keramat saudara Hamka Keretamayat, "Kita harus mencari nasib baik yang menyamar dalam takdir yang buruk." In shaa ALLAH. Sentiasalah bersangka baik pada RABB. Hanya DIA yang Maha Tahu segalanya. 

Cukup sampai di sini dulu. Harapnya masih dipanjangkan usia dan bertemu di tahun hadapan pula. Hahaha.


Bongsuku, yang ketiga Bonda.

Kau hadir ketika Bonda tidak lagi bersedia

Tidak mahu lagi Bonda berbadan dua;

Begitupun takdir ILAHI mengatasi segala,

        Datang kau ke dunia,

        Tidak kurang kau istimewa,

        Rebah punah seluruh sangka-sangka jiwa

        Mendakapmu, rahmat yang tak terungkap kata.

Wahai anak, pembawa selaksa bahagia

Kau mengusir segala duka, mengukir segala tawa

Kau hadiah terpaling agung YANG MAHA ESA

Kau kekuatan dari TUHAN yang tiada tara.

Warisku, duhai suria kencana indra sukma

Hendaklah kuat ragamu menempuh dunia

Pegang erat kasih bonda dan sayang ayahanda

Kaukan terus berjalan menuju jaya.