Thursday, February 12, 2015

Jumaat yang Memilukan



Pada Jumaat yang muram ini, kau telah pergi
Damai menuju pelukan ILAHI
Terkapai kami yang tertinggal
Dalam pilu yang merunjam qalbi
Terpinga-pinga kami cuba memahami
Tuan pergi, tak dapat kami mencari pengganti

Tuan dan aku,
Kita tak pernah bertemu
Begitupun tuan senantiasa terhormat dalam ingatanku
Setiap titis darah dan airmatamu yang tumpah
Seluruh jiwa dan rasamu yang kau serah
Demi mengharumkan udara seluruh tanah ini dengan kalam ALLAH

Jumaat ini telah menghantar tuan ke kuburan
Tenang dan damailah tuan dalam lena panjang
Aku yang tertinggal ini akan terus mendoakan
Tuan kekal dalam ingatan…
Untuk sepanjang hayat ini aku akan terus mengenang
Jasa dan pengorbanan tuan yang tiada bandingan.

*Gambar pinjam dari sini

Sunday, January 25, 2015

Perkara2 yang Kecil


ASSALAMUALAIKUM,

Nampaknya 2015 sudah hampir sebulan menampakkan wajah dan aku masih lagi dalam buih-buih yang sedang berterbangan antara langit dan bumi. Anehnya, kehidupan aku sebenarnya bertambah baik sejak akhir-akhir ini, namun entah kenapa aku masih berada dalam buih. Terasa kaki sentiasa terapung, tak berpijak di bumi yang nyata.

Entah kenapa...?

Terkadang usahkan orang lain, aku sendiri juga susah nak memahami diri sendiri. Adakah aku ini sebenarnya memang tak akan dapat keluar dari mandala ghobar aku sendiri? Entahlah... banyak perkara yang sudah diputuskan dalam hidup aku ini yang masih tergantung. Tak ada kepastian, walau sudah diputuskan.

Aneh bukan?

Entahlah... namun terkadang, banyak juga perkara yang kecil yang masih mampu meletakkan senyuman di pinggir bibirku. Syukurlah... dalam jiwa yang semakin memberat, aku masih mampu tersenyum.

Alhamdulillah....

Monday, November 24, 2014

Doa yang Manis

Hadiah paling mahal daripada Kak CT Nazariah! Tocey akak... sayang akak ketat2!
ASSALAMUALAIKUM. Sebenarnya, aku dan Si Bulat dah bersetuju untuk meraikan ulangtahun kelahiran kami mengikut tahun Hijrah. Aku berpendapat persetujuan ini sangat bagus. Ulangtahun kelahiran aku dalam tahun Hijrah adalah pada tanggal 21 Rabiul'awal. Alhamdulillah... tak lama, sebulan lebih sahaja lagi. Huhuhu~

Memandangkan sudah 27 tahun aku meraikan ulangtahun dalam tahun masihi, tidak dapat tidak, pada 24 November tahun ini, aku menerima ucapan selamat dan doa yang manis-manis daripada semua ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat-teman-taulan yang tersayang.

Adoi...

Aku ini memang sentimental orangnya. Apabila menerima ucapan dan doa-doa yang indah begitu, aku sungguh disentuh rasa. Terima kaseh, semua. Terima kaseh dari hujung rambut sampai hujung kaki. Aku sebenarnya sedang melalui tahun-tahun duka dalam hidup. Jatuh bangun, ghobar dan euphoria saling silih berganti sehingga terkadang aku kelemasan. Susah sungguh rasanya hendak menghela nafas pada waktu yang tertentu.

RABB, ampunilah kedaifan hamba-MU ini menerima ujian....

Terkadang kita lekas rimpuh apabila disapa ujian. Namun apabila nikmat mendatang, barulah kita sedar ketelanjuran keluh-kesah kita pada Tuhan semasa dijentik sedikit dugaan.

ILAHI RABBI....

Jujurnya, segala duka yang bersarang di dada seakan diterbangkan rasa gembira apabila membaca ucapan demi ucapan yang sampai di "muka buku" dan SMS. Aduhai... terima kaseh, sungguh terima kaseh.

Syukur pada ALLAH SWT yang masih mengizinkan diri ini menghela nafas dengan akal fikir yang masih jernih dan kesihatan yang masih baik. Mudah-mudahan kebaikan, kaseh saying dan rahmat RABB tidak akan terputus buat hamba-NYA ini. In shaa ALLAH. Hidupkanlah dan matikanlah aku dalam menyebut nama-MU, Ya ALLAH. Buat semua kesayanganku yang sudi mendoakan yang manis dan baik-baik serta mengirimkan ucapan selamat, aku balaskan dengan kaseh sayang. Aku kembalikan doa-doa yang indah ini kepada kalian semua juga dengan izin ALLAH SWT. Semoga kita semua akan terus berada dalam pelukan ILAHI.

Amin...!

p/s : Skill masakan aku semakin baik! Terima kaseh mak yang sentiasa sporting bila aku dok telefon Tanya macam mana nak masak itu dan ini. Juga terima kaseh Si Bulat yang selalu bersabar dan meyakinkan aku yang aku boleh belajar dari kesilapan serta terus memasak! Inilah hasilnya, belanja diri sendiri Keli Tempoyak Bakar sempena ulangtahun!

Tuesday, October 28, 2014

Selamat, Mudah-mudahan...!


ASSALAMUALAIKUM. Hari ini 29 Oktober 2014, genab bapaku Encik Shamsudin berusia 58 tahun. Pada entri yang ringkas ini, cukuplah kalau aku ucapkan selamat ulangtahun dan selamat segalanya. Mudah-mudahan di usia emas ini, ayah akan beroleh kesihatan yang baik, dimurahkan rezeki oleh ALLAH SWT. Mudah-mudahan juga kita sekeluarga akan terus harmoni, penuh dengan kasih sayang dan kekal bahagia sehingga ke hujung nyawa.

29 Oktober adalah tarikh yang cukup ironi untuk seorang aku. Ia merupakan ulangtahun kelahiran ayahku dan juga merupakan ulangtahun pemergian Allahyarham Abang Shahrul Anuar Ibrahim. Walaupun sudah tiga tahun berlalu, N masih mengenang abang. Damailah abang di sana, N hanya mampu menghantar doa.

Selamat ulangtahun, ayah! Dan, al-Fatihah, abang....

Wednesday, October 22, 2014

Perkara2 yang Sumpah Aku Takkan Faham!



ASSALAMUALAIKUM. Rasanya sejak dua menjak 13 menjak kebelakangan ni aku memang dah jarang sangat mengemaskini laman ini. Aku pun perasan jugak, laman kawan-kawan yang aku suka pun dah jarang sangat dikemaskini, sampai ada beberapa (sebenarnya lebih dari 10) laman kawan-kawan yang aku suka dah pun ditutup kerana sudah bertahun-tahun tak dikemaskini. Mengapa hal ini terjadi?

Kenapa?

Kita semua ni macam hangat-hangat taik ayam saja, bukan? Mula-mula berblog dulu, aku rasa macam nak post dua entri sehari, punyalah rajin dan punyalah banyak benda yang nak diperkatakan. Tapi sejak-sejak dah makin tua ni, setan malas makin membesar pulak dalam benak aku. Sekarang pun sebenarnya masih banyak benda yang hendak diperkatakan, cuma itulah... rasukan kemalasan semakin menggila.

Apa nak buat?

Kebelakangan ni (ayat yang paling banyak aku guna dalam sejarah menulis blog), aku hanya mampu meneruskan kegemaran aku singgah ke blog-blog yang seronok dibaca macam Tukar Tiub (sosialis sejati), Cursing Malay (Mantot yang cool), Hamka Keretamayat (pelopor kisah laki bini), Perang Filem (yang banyak mengingatkan aku pada zaman kuliah bersama Pak Hassan Muthalib), Malaysiakini (blog ke?) dan banyak lagi yang berfaedah untuk dibaca termasuklah Beautifulnara (jangan tak percaya). Cumanya blog si Nara ni amatlah tak berfaedah untuk dibaca. Ia sekadar hiburan murah untuk aku menonton sarkas. Pemainnya adalah rakyat Malaysia yang sungguh 'cerdik-pandai' yang amat suka membubuh komen dan berkonfrontasi di situ.

Aku memerhatikan semakin ramai yang bertindak di luar kotak waras pemikiran manusia seperti Mat Luthfi (anak muda yang cerah pemikirannya), Amran Fans (kebodohannya hanya untuk mereka yang berakal), Ronasina (pemikirannya memang tabik spring dan perjuangannya memang menyentuh hati), Fynn Jamal (yang membela hak anak-anak tak sah taraf dan ibu-ibu mereka yang tersalah membuat pilihan), Faisal Tehrani (yang sering di'bash' kerana tuduhan kononnya berfahaman shiah) serta banyak lagi nama yang tak sempat untuk aku rakamkan di sini. Penulisan mereka selalunya membuatkan kita berfikir tapi membaca komen-komen manusia di ruangan penulisan mereka memang paling tepat untuk aku gambarkan seperti sedang menonton sebuah pertunjukan sarkas.

Kelakar?

Amat!

Menyedihkan?

Juga amat!

Bila Mantot (http://cursingmalay.blogspot.com/) menulis tentang pandangannya terhadap penyusuan bayi di khalayak ramai misalnya (yang mana aku sangat bersetuju dengan pandangan ini), dia terus di'bash' habis-habisan oleh para wanita yang bersolidariti menegakkan hak untuk wanita 'memberi makan' kepada anak di mana-mana saja dan terus-terusan menghentam Mantot sebagai jantan gatal, pervert, lucah, fikiran tertutup, typical malay dan macam-macam lagi sampai aku yang dok baca ni pun tak sempat nak tarik nafas. Begitu juga nasib penulisan-penulisan Faisal Tehrani di kolum Malaysiakini. Tak kira apa isunya, tak kira apa yang ingin disampaikannya, mereka akan terus hentam dengan ayat antara yang paling popular berbunyi:

"Jangan baca mamat Shiah ni. Nak tegakkan shiah dia je kejenya! Mengarut je semua yang dia tulis."

Paling kelakar tuduhan "siapa yang beli dan baca buku mamat ni turut sama bersubahat menentang Allah dan Rasul!" Hebat tak? Adoi! Bila Fynn Jamal uar-uarkan tentang cara untuk mengambil anak-anak tak sah taraf ni sebagai anak angkat dan menyediakan tempat pelindungan untuk gadis-gadis yang tersalah langkah pula, dia terus dihentam sebagai pembela kemungkaran dan menggalakkan maksiat. Adoi lagi. Itu belum cerita bila Mat Luthfi, Ronasina dan Amran Fans muat naik status yang terang-terangan bersifat sinikal dan penuh sarcasm, ramai yang jenis 'tak faham bahasa' terus melenting dan menyerang balas dengan komen yang jelas memperbodohkan diri sendiri.

Adoi!

Adoi!

Adoi!

Apa nak jadi rakyat Malaysia oiii? Cubalah buka hati buka minda untuk memahami sesuatu itu dengan lebih terbuka dan jelas. Membaca dan memahaminya tak bererti kau perlu bersetuju. Kau boleh sahaja membuka ruang debat yang lebih sihat, berbanding terus menghentam dan marah-marah secara membabi buta. Tolonglah! Paling kelakar (dalam masa yang sama paling menyedihkan) ialah bila kau tersasar jauh dari point yang nak disampaikan. Contohnya bila FT memetik Hikayat Hang Tuah dalam tulisannya mengenai kempen anjing, ramailah cerdik pandai yang mempertikaikan tentang Hang Tuah ini sedangkan ITU BUKAN POINTNYA!!!

Faham ke tidak?

Adoi lagi...!

Cuba-cuba jadi manusia yang cerdik sikit. Aku tulis semua ni pun bukannya aku nak kata yang aku ni cerdik sangat. Tak... aku hanya seorang manusia yang cuba untuk belajar waras.

WARAS.

Jangan biarkan diri kau dikalahkan emosi. TUHAN beri kita akal untuk berfikir. Guna. Jangan bodoh sombong. Sekian.

Monday, August 25, 2014

Gila...


Aku : Kau tahu apa yang paling GILA...?

Dia : Apa... apa yang paling gila?

Aku : Dengan duka dan sengsara, aku tetap bahagia.

Dia : Ya, kerana aku tidak pura-pura, tidak bersandiwara...!

Thursday, August 7, 2014

Dunia yang Tenat :(


ASSALAMUALAIKUM.... dalam kegembiraan meraikan Syawal yang indah, aku dihimpit dengan kesedihan yang semakin membengkak. Mengapa? Mengapa dunia hari ini kulihat terlalu tenat? Begitu ramai umat manusia yang kelihatannya semakin terpisah dengan kewarasan akal. Serangan bertali arus di Gaza oleh syaitan Israel laknatullah, tragedi MH370 dan MH17 di dalam negara sendiri dan 1001 lagi masalah kemanusiaan yang dialami seluruh dunia cukup meruntun jiwa.

Namun, apa yang lebih menjentik kesedihan dalam jiwa aku, adalah golongan yang sungguh sukar untuk gambarkan ke dalam bentuk kata-kata yang entah macam mana. Mereka ini terdidik dengan ilmu pengetahuan yang tinggi, sudah melihat sudut dunia yang asing di seluruh bumi Tuhan ini dan dipandang tinggi dalam masyarakat. Malangnya, jiwa raga mereka seakan sudah terpisah dengan kewarasan akal dalam memahami kehidupan beragama. Ironinya, mereka menyeru masyarakat supaya ikut berfikir di luar kotak, jangan jumud dan amalkan minda yang terbuka, tetapi dalam "keterbukaan minda" mereka itu, mereka sendiri yang bersikap "jumud" dan menolak langsung penjelasan orang agama yang pada mereka, konservatif dan tidak berwawasan.

Aku rasa marah, tapi sebenarnya lebih kepada sedih.

Mengapa ya, pada dewasa ini orang agama (ustaz dan mufti misalnya), dipandang rendah, diperlekeh dan diperlecehkan sesuka hati? Kata-kata mereka dijadikan bahan gurauan, pendirian mereka dikatakan hipokrit, paling tenat, mereka difitnah "gila ingin menjadi orang Arab (sebab bertutur dalam bahasa Arab, berjubah, berserban dan berniqab)", "ingat pakai berbungkus-bungkus macam tu confirm akan masuk syurga", "gila ingin masuk syurga" dan "berlagak separuh Tuhan dengan menghukum orang akan masuk syurga atau dihumban ke neraka!"

Kau tak rasa sedih dengar semua ni?

Aku bukan ustazah. Jauh sekali. Pengetahuan agama yang aku ada hanya sekadarnya sahaja. Tapi aku yakin, ALLAH SWT mengutuskan nabi dan rasul ke muka bumi ini untuk membimbing umat manusia ke jalan-NYA. Demikian orang-orang agama yang mewarisi tugas mulia ini dengan menyampaikan ilmu kepada kita semua dan membimbing kita supaya tidak tersasar dari landasan agama yang benar ini. Mengapa hati kita begitu keras dan tertutup sehingga sampai melemparkan segala tuduhan yang hodoh dan busuk kepada mereka-mereka ini?

Ya, orang-orang agama ini bukan nabi, bukan rasul. Mereka tidak menerima wahyu terus daripada ALLAH SWT. Mereka sendiri tak pernah kata mereka nabi dan rasul. Tidak. Tapi kalau kau menentang mereka dengan berkata,

"Kau siapa nak tentukan apa yang aku buat ni berdosa? Kau nabi? Kau tuhan?! Hanya tuhan yang berhak hukum aku. Tak payah nak nak ambil tahu hal aku. Tak payah sibuk nak nasihat aku. Kubur lain-lain."

Maka kaulah sedangkal-dangkal makhluk yang barangkali memiliki saiz akal sebesar otak burung unta. Orang yang kau suruh tak payah ambil tahu hal kau tulah yang akan uruskan jenazah kau nanti. Kalau kau boleh bergolek sendiri masuk dalam kubur, itu memang aku angkat tanganlah. ALLAH SWT menciptakan seluruh insan di dunia ini untuk saling membuat kebaikan dan saling berpesan-pesan. 

Gambar pinjam dari sini
Jadi kalau kau mempersoalkan orang yang berpesan-pesan ini, kau fikir sendirilah kau sebenarnya mempersoalkan Siapa? Aku tak nak cakap banyak sebab kalau aku cakap nanti, kau tuduh aku manusia separuh Tuhan pula. Aku bukan manusia yang ingin jadi separuh Tuhan. Aku cuma hamba ALLAH SWT yang kerdil dan banyak kekhilafan. Aku cuma ingin menjadi hamba-NYA yang mengerjakan ibadat semata-mata kerana DIA. Aku cuma ingin berusaha memperbaguskan diri dengan meraikan kehidupan beragama. In shaa ALLAH. Janji ALLAH SWT adalah pasti. Aku juga percaya hidayah ALLAH SWT itu adalah benar dan penuh rahsia. Aku doakan suatu hari kelak, hati kau akan lembut semula. Aku doakan juga semoga hati kita akan kuat dalam mencintai-NYA. Semoga kita semua berhasil menikmati rahmat RABB yang penuh dengan sifat Al-Rahman dan Al-Ghaffar.

Amin...!
Gambar di atas dipinjam dari sini

Wednesday, July 23, 2014

Eid Mubarak 1435H


ASSALAMUALAIKUM. Apa khabar semua? Mudah-mudahan kita semua sentiasa berada di dalam rahmat kaseh sayang ALLAH SWT. Alangkah indahnya Ramadhan. Bulan penuh barakah yang membawa jiwa kita pulang ke pangkuan Yang Maha Esa. Jika waktu dalam susuk anak kecil dahulu, semestinya Syawal yang dinanti dengan penuh bahagia. Namun, dalam usia yang semakin ranum ini, sudah pastilah Ramadhan yang terasa enggan dilepaskan. Keindahan Ramadhan terlalu menghiasi jiwa, sehingga hati cukup sayu mengenangkan ia hanya berbaki lagi sedikit hari.

:(

Hidup ini ibarat putaran roda. Setiap yang datang, pasti akan pergi. Demikian Ramadhan yang singgah bakal berlalu dalam sedikit waktu lagi. Ya, ALLAH SWT telah menghadiahkan seluruh hamba-NYA dengan Syawal yang meriah untuk kita meraikan kemenangan. Kalau tahun-tahun sudah, nafsu cukup menggebu-gebu untuk membeli-belah. Shopping raya katanya! Bila dikenang-kenang, malu pula rasanya. Kita meraikan Syawal lebih daripada kita menikmati Ramadhan. Mahu berbaju, berkasut dan perhiasan yang serba baru, semua yang mewah ni sepadankah dengan amalan kita semasa Ramadhan? Sudah berapa kali kita khatam al-Quran sepanjang Ramadhan? Cukupkah ibadat wajib dan sunat kita? Cukupkah tarawih kita? Adakah kita meraikan malam-malam Ramadhan dengan tahajud dan qiamullail? Terjagakah adap dan sikap kita dalam berpuasa? Sudahkah kita sujud dan bertaubat kepada-NYA atas dosa-dosa kita?

Kalau jawapannya tidak, tak rasa malukah kita dengan persiapan beria-ia yang kita lakukan untuk menyambut Syawal? Jujur aku katakan, aku terlalu malu. Aku sendiri masih terlalu kurang dalam usaha untuk merebut rahmat dan redha ILAHI. Lantaran kerana kelemahan diri inilah, cukup Syawal tahun ini aku raikan dengan seadanya sahaja. Memadailah mengisi Syawal dengan menjaga hubungan baik sesama manusia. Bermaaf-maafan atas kesalahan diri dengan seikhlas hati dan ziarah-menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim di antara kita semua. Semoga ukhwah kita akan berkekalan teguh dan penuh harmoni.

Alangkah indah dan kuatkan umat Islam andai kita semua bersatu teguh dan saling harmoni.

Buat semua yang mengenali diri ini, aku ingin menyusun 10 jari dan meminta maaf dengan setulus hati. Maafkanlah jika ada salah dan silap dalam perbuatan dan perkataan aku yang ada menyentuh hati kalian. Halalkanlah andai ada yang aku terminum, termakan dan terguna daripada harta kalian. Semoga Syawal yang bakal tiba ini membawa 1001 kebahagiaan dan kegembiraan di dalam kehidupan kita semua.

Amin.

Salam idul fitri daripada hati yang penuh rasa kaseh. (^_^)

Thursday, July 10, 2014

1460 Hari... Masih Ada!


ALHAMDULILLAH. Sudah empat tahun berlalu semenjak hari pertama hati kami menyatu. Untuk seorang dia, terima kaseh kerana sudi memenuhkan kehidupan seorang aku dengan cinta yang sentiasa menggebu-gebu. Untuk RABBULALAMIN, terima kaseh kerana mengurniakan dia kepadaku

In-yeon i ra go ha jyo
Geo bu hal su ga eob jyo
Nae saeng e i cheo reom a reum da un nal
Ddo da shi ol su it teul gga yo
Go dal peun salm-ui gil e
Dang shin eun seon mu lin geol
I sa ram i nok seul ji an do rok
Neul dak ka bi chul gge yo

* * *
This is what we call fate,
it's something we can't deny
Will I ever experience another day
as glorious as today?
You're a gift upon this exhausting path of life
I'll continuously wash and shine our love 
so it won't rust away
(In-Yeon / Lee Sun Hee)

Untuk 1460 hari... dan hari-hari yang bakal menjelma dan berlalu pergi, kurelakan jiwaku padamu...!

Monday, July 7, 2014

Tetamu ALLAH SWT


ASSALAMUALAIKUM. Semoga pada hari yang ke-10 ini, kita semua masih bertenaga dan terus meraikan Ramadhan yang mulia ini dengan hal-hal yang baik. In shaa ALLAH. Aku hanya singgah untuk berkongsi kegembiraan kerana ayah bonda dan adik2ku yang tercinta telah selamat pulang ke tanah air selepas menjadi tetamu ALLAH SWT selama dua minggu.

Alhamdulillah.

Alangkah besarnya kekuasaan ALLAH SWT yang telah memudahkan laluan buat ayah dan bondaku untuk menjadi tetamu-NYA. Keadaan kesihatan lutut mak menjadi faktor kerisauan kami yang paling utama. Syukurlah dan mujurlah adikku, Mifdhal, turut berkesempatan menunaikan umrah bersama. Khabarnya selama di Tanah Suci Makkah dan Madinah, dialah yang sepanjang masa menolak kerusi roda mak.

Alhamdulillah.

Mak ayah dan adik2ku juga sihat sejahtera. Batuk dan demam tidak sempat singgah. Menurut mak, gastriknya juga tidak menyerang. Aku benar-benar memanjatkan syukur yang teramat syukur ke hadrat ILAHI. Terima kasih, RABB... alangkah Maha Pengasihnya ALLAH SWT. Di tanah air pula, anak saudaraku, Muhammad Nor Iman, langsung tidak meragam dalam jagaan ummi dan abahnya. Walaupun sejak dilahirkan, Iman membesar dalam jagaan mak dan ayah di kampung, namun anak itu tetap sangat memesrai ummi dan abahnya.

Alhamdulillah.

Syukurlah, segala-galanya berjalan dengan baik. Semoga suatu hari kelak, aku juga akan berkesempatan untuk menjadi tetamu ALLAH SWT di sana. Amin... in shaa ALLAH. (^_^)
Gambar pinjam dari sini

Monday, June 30, 2014

Marhaban Ya Ramadhan


ASSALAMUALAIKUM. Alangkah indahnya Ramadhan. Pada bulan mulia yang menuntut seluruh umat Islam menunaikan Rukun Islam yang ketiga ini, kita semua seakan bersatu hati. Kesabaran dilatih menjadi semakin tinggi, akhlak mulia diusahakan menjadi penghias peribadi dan misi mencari Nur ILAHI semakin menggebu-gebu di dalam diri. Bahkan, segala perkara yang lagho semakin terabai sepi dan segala keburukan diri semakin terusir pergi.

Alhamdulillah.

Tahun ini, sudah masuk tahun yang ke-11 aku meraikan Ramadhan secara berdikari. Jauh daripada ayah, bonda dan keluarga yang tercinta. Namun aku tetap bersyukur kerana setiap tahun, paling tidak akan ada sehari dua yang berjaya aku lapangkan untuk pulang ke kampung halaman dan menikmati Ramadhan bersama mereka. Syukur kepada RABUL'ALAMIN yang sentiasa memakbulkan hasratku untuk bersama keluarga pada bulan yang istimewa ini.

Ada kesederhanaan yang datang bersama Ramadhan. Kita terdorong untuk berasa rendah hati, dan semakin dekat dengan rahmat Sang Pencipta. Perut yang kosong mengingatkan kita pada kesusahan orang lain. Tekak yang haus membuatkan kita terkenangkan kepanasan di Padang Masyar kelak. Namun begitu untuk seorang aku, apabila berpuasa, aku memang akan serta-merta menjadi 'perlahan'. Kurang bercakap, kurang ketawa, lebih tenang dan kurang berasa marah.

Alhamdulillah.

Apa yang cukup aku kesalkan ialah media hiburan masa kini. Di dalam Ramadhan begini pun, tak habis-habisnya menghidangkan umat dengan perkara-perkara yang jelas bertentangan dengan agama. Memang betul, kita tidak sepatutnya menjadi hipokrit. Baik semasa berpuasa, dan menyetan apabila tidak. Ada suara-suara sumbang yang selalu mengatakan begini;

"Buat apa nak jadi plastik? Masa bulan puasa, pakai tudung, mengaji al-Quran, tengok rancangan agama. Tapi bulan-bulan lain? Dedah aurat, al-Quran hanya jadi perhiasan almari dan rancangan hiburan jadi tontonan 24 jam!"

Betullah tu. Memang dedah aurat tu HARAM pada sepanjang tahun, dan bukannya pada bulan Ramadhan sahaja. Memanglah membaca al-Quran itu sepatutnya jadi amalan harian. Tetapi sedarkah kamu yang melakukan sedikit itu lebih baik daripada tidak melakukannya langsung? Tidak bernanahkah mata kamu melihat orang yang mengaku beragama Islam sedang memakai baju T tanpa lengan, skirt pendek dan gaun sendat pada bulan yang penuh dengan kemuliaan ini? 

Alangkah anehnya melihat rancangan hiburan yang terpekik terlolong, mengumpat dan memfitnah selebriti di sana-sini dan kemudian mengucapkan 'selamat berpuasa' dan semoga dapat mencari kebaikkan di dalam berpuasa. Alangkah canggungnya pula apabila kita melihat orang yang sedang menyeru supaya umat Islam mengambil kesempatan di bulan Ramadhan ini untuk mendekatkan diri kepada ALLAH SWT dan melipat-gandakan amal ibadah serta memperbaiki kekurangan iman diri tetapi dalam masa yang sama memakai kebaya sendat yang berkain jarang dengan rambut yang mayang mengurai.

Benar ada kata-kata yang mengatakan begini, "Jangan lihat siapa yang berbicara, tetapi lihat apa yang dibicarakannya." Tetapi eloklah kalau aku perturunkan pula kata-kata Imam Ibnu Sirin yang berbunyi ;

"Sesungguhnya ilmu ini adalah agama, maka hendaklah kalian melihat dari siapa kalian mengambil agama kalian." 
(Muqaddimah Sahih Muslim)

Aku sedar yang aku sendiri masih jauh daripada kesempurnaan menjadi seorang muslimah. Ada bahagian aurat yang masih cuai ditutup dengan sempurna. Ada ibadat yang masih lompang di sana-sini. Ada juga sikap dan percakapan yang masih tidak terjaga dengan baik. Oleh sebab itulah, aku suka untuk menyeru semua muslimin dan muslimat sekalian, marilah kita sama-sama terus berusaha memperbaiki kelemahan diri. Melakukan kesilapan itu wajar, kerana kita hanya manusia biasa yang tidak maksum. Ruang khilaf sentiasa ada. Biarpun begitu, terus melakukan kesilapan dan berasakan kesilapan itu hanya hal yang kecil adalah SALAH dan TIDAK WAJAR.

Demi Ramadhan yang sedang memeluk kita dengan erat, ambillah sebanyak mungkin kesempatan untuk terus mendekatkan diri dengan ALLAH SWT. Saratkanlah jiwa hamba kita ini dengan cinta kepada ALLAH SWT dan Rasul. Demi ALLAH SWT yang sentiasa bersifat MAHA PENGASIH dan MAHA PEMURAH dengan sekalian hamba-NYA, marilah kita bersujud dan memohon keampunan untuk semua kekhilafan yang pernah kita lakukan. Dosa kecil, dosa besar, dosa tersembunyi, dosa terang-terangan, dosa yang sengaja dan tidak sengaja yang kita lakukan semoga akan mendapat keampunan-NYA. Sujudlah, berdoalah... kita selamanya hidup berTuhan.

Kumengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna,
agar dapat kulalui dengan sempurna....

Nota tangan kanan : Salam rindu yang menggebu-gebu pada ayah bonda dan adinda-adinda tercinta yang sedang menunaikan ibadah umrah di tanah suci Makkah. Semoga beroleh rahmat nikmat beribadat dan semoga selamat pulang ke tanah air. Amin.