Tuesday, August 10, 2021

COVID-19 dan Aku

Harapan

DUNIA sedang dilanda pandemik hampir 2 tahun sudah lamanya. Kami terkurung. Kehidupan tidak lagi seperti semalam. Kita tidak lagi bebas bersosial, berjabat tangan saja sudah jadi tabu, apalagi mahu berdakapan dan berlaga-laga pipi seperti dulu.

Kasihan. 

Semua orang perlu berjarak sekurang-kurangnya 1 meter. Cecair pembasmi kuman dan topeng muka telah menjadi rutin. Satu kemestian. E membesar menjadi anak dunia pandemik yang sunyi. Syawal pertamanya hanya punya aku, Bulat dan abangnya sahaja. Begitu juga Iduladha baru-baru ini. Hanya kami berempat. E tak kenal orang. Tak berjalan ke mana-mana. Hanya duduk di rumah dan sesekali ke klinik untuk rutin vaksin.

Kapten Daffa semakin lasak. Naluri bermainnya tersekat. Tak berkawan dan hanya diam setempat membuatkan dia selalu membentak. Apa lagi yang mampu aku lakukan selain bersabar?

Virus COVID-19 telah meragut nyawa Pak Lang dan Kak Lang yang aku kasihi. Telah berpulang kedua-dua kesayanganku itu ke negeri abadi. Hanya ALLAH SWT sahaja yang Maha Tahu betapa luka parah hatiku. Angka jangkitan dan kematian semakin meningkat. Mati itu pasti, namun bersungguh kupanjatkan doa agar tiadalah matiku disebabkan virus dahsyat ini. 

Aku sedang punya dua kebimbangan berkenaan kesihatanku ketika ini. Serangan gastrikku semakin menyakitkan. Sudah dua kali aku terpaksa berkejar ke wad kecemasan kerana terlalu sakit. Doktor mencadangkan aku membuat ujian endoscopy bagi mengesan permasalahan yang berlaku disebabkan kesakitan melampau yang aku alami. Malangnya dalam keadaan C19 yang sedang mengganas ini, kapasiti hospital penuh dan aku sendiri takut nak ke hospital kerana terlalu berisiko.

Kebimbangan kedua ialah aku diserang pening kepala yang teruk sehingga rebah terbaring dan tak mampu nak bangun ketika serangan. Setakat ni dah dua kali aku diserang pening tiba-tiba. Aku cuma terdaya berdoa semoga tiada apa yang serius dengan kesihatanku. Mungkin tekanan terkurung dalam dunia pandemik ini menyebabkan badanku memberi tindak balas yang buruk. Mungkin juga keletihan mengasuh dua anak kecil ini membuatkan hormon serta emosiku jadi tak ketahuan.

Apa sekalipun, selagi masih diberi nafas, menjadi kuat adalah satu-satunya pilihan yang ada. Demi kehidupan, demi ibu ayah tersayang, demi suami, demi anak-anak. Semoga virus ini akan lekas terhapus dari muka bumi ini. Aamiin Ya Rabbal'alamin. Mudah-mudahan.