Thursday, December 19, 2013

Tahniah!



ALHAMDULILLAH, katanya keputusan PMR dah keluar. Tahniah aku ucapkan kepada yang berjaya. Tahniah juga aku ucapkan kepada yang kurang berjaya. Tahniah juga aku ucapkan kepada tak berjaya, dengan syarat anda sudah berusaha. Untuk aku, anda hanya gagal apabila anda sudah berhenti berusaha. 

Aku rasa terpanggil untuk menulis kerana perbualan aku dengan rakan sekerja pada pagi tadi. Dia memberitahu anak saudaranya 'HANYA' mendapat 3A dalam PMR. Katanya begini ;

"Akak nak cakap apa lagi, suruh mak dia sabar ajelah. Dah orang lain dapat sampai 8, 9 A... dia dapat 3 aje. Banyak main budak tu. Belajar tak ndak!"

Aku punya jawab ;

"Eh, baguslah kalau macam tu. Dia tak ndak belajar pun buleh dapat 3A. Hebat!"

Muka akak sekerja aku tu berubah dibuatnya. Aku bukan apa. Aku sebenarnya terasa kesal. Terus-terang aku cakap, aku dapat 2A masa PMR dulu. Dan aku cukup berpuas hati dan bersyukur dengan keputusan tersebut. Jujur. Nak susah hati buat apa? Aku dah berusaha, itu sahaja kemampuan aku, jadinya alhamdulillah. Ada juga A. (^_^) Syukur!

Aku ingin menyeru kepada masyarakat, sudah-sudahlah tu. A bukan segala-galanya. Siapa yang dalam dunia ni yang nak jadi bodoh? Siapa pula yang dalam dunia ni tak nak jadi cerdik pandai? Cemerlang, terbilang, pelajar nilam dan segala bagai tu? Siapa yang tak nak? Semua orang nak. Hakikatnya, tahap pemahaman dan pemikiran orang tak sama. Aku tak salahkan guru-guru 100%. Guru adalah manusia biasa yang bukan maksum. Ruang kekhilafan sentiasa ada sentiasa terbuka. Namun, tolonglah ikhlaskan diri apabila sudah menerima amanah sebagai guru. 

Aku ceritakan pengalaman sendiri tentang 3 orang guru aku. Pertama, cikgu sejarah tingkatan 3 aku. Guru yang sepatutnya memberi didikan pernah mengherdik aku sebagai hodoh, menyakitkan matanya yang berdiri di hadapan dan kalau tak ada pelajar seperti aku adalah lebih baik. Situasinya? Begini :

Aku mempunyai dua orang sahabat ketika itu. Malangnya kedua-dua orang sahabat aku ni tak suka matapelajaran sejarah. Jadinya mereka cukup suka bersembang semasa cikgu mengajar. Aku ulang, MEREKA berdua suka bersembang semasa cikgu mengajar. Tambah malangnya aku duduk di antara mereka berdua. Jadi, cikgu aku ni terus 'aim' kami bertiga. Maki hamun dan herdikan yang dilontarkan kepada kami bertiga cukup menusuk dan masih aku kenang sehingga ke hari ini. Dia juga dengan berani dan yakinnya berkata yang aku tidak akan menjadi manusia yang berjaya di dalam kehidupan kelak.

Cikgu yang kedua, cikgu bahasa Melayu di tingkatan 4. Dia masuk ke dalam kelas dan naik hantu apabila melihat kerusi di meja gurunya hanya kerusi yang sama dengan kerusi kami. Dia terus mengherdik kami dan berkata ;


"Awak semua tahu tak yang darjat saya sebagai guru ni lebih tinggi daripada awak semua? Kerusi macam ni tak layak untuk saya. Jatuh martabat saya. Ketua kelas pergi cari kerusi guru di stor sekarang jugak."

Cikgu yang ketiga paling 'seronok'. Cikgu matematik di darjah 3. Inilah cikgu yang bertanggungjawab menyebabkan aku jadi tak berminat dengan subjek matematik. Aku memang lemah di dalam subjek kira-kira. Apabila dia menerangkan tentang darab dan bahagi di papan hitam, aku lambat dapat menangkap. Selesai memberi penerangan, dia pun bertanya siapa yang masih tak faham sila angkat tangan. Aku pun apa lagi, teruslah angkat tangan. Dia menulis satu soalan di papan hitam dan menyuruh aku menjawabnya. Bila aku kata aku tak tahu, dia terus menghantuk kepala aku di papan hitam dan memarahi aku sebab tak beri perhatian semasa dia mengajar.

Cukup dengan cikgu yang 'hebat'. Aku ceritakan pula pengalaman dengan dua orang guru yang paling hebat dan sentiasa unggul di hati aku. Dua orang lagi guru yang juga tak kurang hebat dengan cara mereka yang tersendiri di dalam mengajar. Pertamanya, cikgu sains aku di tingkatan 3. Cikgu Asma namanya. Amat bengkeng dalam mengajar. Namun tegasnya cukup bertempat. Ada dua peristiwa yang paling melekat dalam kepala aku. Pertamanya, ada dua orang kawan aku ni asyik 'tertinggal' kerja sekolah mereka di rumah. Cikgu Asma pun berkata ;


"Minggu lepas tertinggal, semalam tertinggal, hari ini pun tertinggal. Apa yang pelupa sangat? Scrotum ingat pulak nak bawak? Bawak scrotum tak?"

Masa tu kami semua tak tahu apakah bendanya scrotum tu. Jadi kami pun sibuk membelek buku. Bila dah tahu, wosh! Merah menyala muka kawan aku tu. Hahaha. Sejak tu, tak ada siapa lagi yang berani tinggal kerja sekolah. Satu lagi, Cikgu Asma selalu ingatkan kami semua ;


"Jangan biasakan diri cakap 'tak tahu'. Tapi ajar diri cakap 'tak pasti, nanti saya rujuk dulu'. Pastikan diri betul-betul rujuk. Belajar benda baru setiap hari. Baru kita boleh berjaya. Kejayaan sentiasa datang dalam bentuk yang berbeza-beza. Semua orang tak sama. Apa yang penting, kita tetap berjaya di dalam bidang yang kita pilih. Kalau kita pilih nak jadi doktor, pastikan kita belajar sampai berjaya jadi doktor. Kalau kita pilih nak jadi mekanik motor, pastikan kita berjaya jadi mekanik motor yang handal dan terbaik. Hidup ni mudah. Jadi, jangan susahkannya."

Bila aku dapat 2A dalam PMR yang mana salah satunya subjek sains, aku terus berlari kepada Cikgu Asma. Namun langkah aku terhenti apabila melihat beliau dikerumuni pelajar yang mendapat 5, 6, 7, 8 dan 9 A. Aku jadi segan. Aku ingin berpaling namun kehadiran aku disedarinya. Dia terus merampas slip peperiksaan di tanganku dan melihatnya. Kemudian, dengan senyuman dia memeluk aku dan berkata ;


"Tahniah, Mardhiah. Awak dah berjaya."

Sejak itulah, aku tak pernah ada kekesalan dalam hati dengan apa yang aku dapat. Alhamdulillah. Guruku yang kedua, Cikgu Noraini yang mengajar subjek matematik tambahan di tingkatan 4 dan 5. Sepanjang tingkatan 4, aku dapat markah 0 untuk subjek ini. Sepanjang tingkatan 5 pula, adalah peningkatan sikit sekitar 10-12 markah. Beliau sama bersusah hati. Lagi 3 bulan nak SPM, beliau tarik aku di dalam latihan intensif bagi memastikan aku lulus. Bila keputusan SPM diumumkan, aku berjaya lulus 8E dalam matematik tambahan menjadikan slip keputusan SPM aku bersih tanpa 9G. Alhamdulillah. Apabila aku tunjukkan pada Cikgu Noraini, beliau terus menangis terharu dan memeluk aku sambil berkata,


"Alhamdulillah, kamu lulus. Tahniah, Mardhiah! Cikgu dah kata, kalau kamu berusaha, kamu pasti akan berjaya."

Aku bayangkan semasa itu kalaulah aku dapat 1A dalam matematik tambahan, agaknya Cikgu Noraini akan terus buat kenduri doa selamat. Aku cuma lulus cukup makan, namun beliau sudah begitu gembira. Inilah guru yang benar-benar seorang pendidik yang ikhlas di dalam mendidik anak bangsanya. 

Ada beberapa orang lagi guru-guru yang aku kagumi dengan semangat mereka di dalam mendidik. Namun coretan ini sudah terlalu panjang untuk aku lipurkan kisah mereka. In shaa ALLAH, ilmu dan kasih sayang yang mereka curahkan tetap tersimpan kemas di dalam sudut ingatan. Terima kasih wahai guru-guruku.

Aku selalu percaya, jika semua guru benar-benar ikhlas di dalam mengajar dan tidak menjadi guru hanya kerana tidak ada kerja lain (dll), pasti tidak ada seorang pun pelajar yang akan gagal di dalam dunia ini. Seperti kata Cikgu Asma, barangkali kejayaan itu sahaja yang akan berbeza-beza kerana semua orang tak sama.

Menjadi orang yang berjaya itu sebenarnya subjektif. Alhamdulillah, sebagai seorang graduan di dalam pengkhususan Penulisan Kreatif, aku kira aku sudah menjadi manusia yang berjaya dengan menjawat jawatan sebagai Editor. Syukur.

Tahniah sekali lagi buat SEMUA adik-adik yang menerima keputusan PMR. Semoga anda semua akan menjadi insan yang berjaya di dalam kehidupan anda.

Amin. 
( Gambar adalah ehsan dari sini )